BATU PAHAT 4 Ogos – Orang ramai dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan helah pihak tertentu yang menganjurkan pelbagai kursus berbayar mengenai bidang pertanian kerana ia hanya memberi keuntungan kepada pihak penganjur.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor, Faridulatrsh Md. Mokri berkata, kebanyakan kursus pertanian berbayar anjuran pihak berkenaan hanya teori sahaja tetapi tidak memberi latihan secara praktikal.
Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya orang ramai yang berminat dalam bidang pertanian mengikuti kursus yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit seperti Jabatan Pertanian, Haiwan dan FAMA kerana kursus yang diberikan adalah percuma.
Lebih memberi manfaat, agensi kerajaan terbabit akan sentiasa memantau perkembangan projek pertanian yang diusahakan dan pelbagai bentuk bantuan serta insentif akan diperoleh oleh para pengusaha.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri kursus asas pengendalian lepas tuai dan pemasaran tebu kepada 50 peserta kursus berkenaan anjuran FAMA di Kompleks Pengumpulan Ladang FAMA bagi komoditi tebu di Semerah, dekat sini baru-baru ini.
Kerajaan telah memperuntukkan RM135 juta dan RM65 juta telah dibelanjakan pada tahun ini untuk ladang kontrak dan selebihnya untuk tahun hadapan serta ia merupakan program komprehensif.
Faridulatrsh berkata, menariknya dalam program ladang kontrak semua kursus yang dianjurkan adalah percuma dan setiap peserta akan dipantau dari mula memilih benih, cara menanam serta pasaran yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa yang dilantik.
Katanya, program itu menyasarkan 16 jenis sayuran seperti terung, timun, bendi, kacang buncis, kacang panjang dan cili serta 12 jenis buah-buahan dan dikenal pasti mempunyai pasaran yang meluas di negara ini.
akum cm ne nk msok krus ni?