![]() |
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan (dua dari kiri) dan antara jemputan yang hadir mencuba jus timun di program Hari Bertemu Pelanggan baru-baru ini.
|
MELAKA 7 Ogos – Sebut sahaja tentang timun, pasti ramai menganggap ia merupakan salah satu makanan ulam yang mempunyai pelbagai khasiat dan penawar terkandung di dalamnya.
Timun atau nama saintifiknya cucumis savitus ialah sejenis sayuran yang tumbuh menjalar dan menjadi sayuran utama di kalangan negara tropika di mana bahan itu mudah didapati di pasar basah atau pasar raya.
Timun juga merupakan makanan segar yang enak dan sesuai sebagai makanan kecantikan kerana membekalkan manusia dengan segala vitamin dan galian serta serat yang diperlukan oleh tubuh.
Apa yang lebih menarik, timun banyak membantu mereka yang mempunyai masalah dalaman seperti sembelit, gastrik, ulser serta kandungan asid tinggi dengan hanya memakan timun setiap hari.
Menyedari khasiat dalam kandungan timun ini harus dipelbagaikan, Jabatan Pertanian negeri membuat kajian bagi menghasilkan jus timun.
Penolong Pengarah Asas Tani Pertanian negeri, Juliawaty Sulaiman berkata, pihaknya telah melakukan testimonial terhadap jus timun dengan mencampurkan kandungan jus timun dengan susu cair, gula dan soda.
”Rata-rata masyarakat umum menyukai jus timun yang dicampurkan dengan susu cair kerana ia lebih berlemak dan mengekalkan rasa timun yang asli.
”Seperti yang kita tahu, timun mempunyai khasiatnya yang tersendiri dan ini adalah salah satu cara kami melakukan inovasi produk iaitu menjadikannya sebagai jus timun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada perasmian program Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Produk Industri Asas Tani yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan di sini baru-baru ini.
Menurut Juliawaty, jus timun itu juga merupakan minuman rasmi kelima yang disarankan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang merasakan jus timun ini harus dikomersialkan.
Ditanya mengapa memilih timun untuk dijadikan sebagai jus, beliau menjelaskan, timun mempunyai pelbagai keistimewaan selain mengandungi sejumlah besar air yang menjadikan makanan rendah kalori dan paling digemari mereka yang mementingkan berat badan dan suka berdiet.
”Kita sedia maklum bahawa timun bukan sahaja sedap dimakan begitu sahaja malah ia memberi pelbagai khasiat dalam tubuh badan kita,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kepada golongan yang kurang memilih makanan ulam seperti timun tetapi boleh mencuba dalam bentuk jus timun demi membantu menjaga kesihatan mereka.
Bagaimanapun, jus timun tersebut belum lagi dibotolkan dan mendapat label rasmi daripada agensi yang berkaitan.
Juliawaty menyarankan pengusaha di luar sana mengambil inisiatif menjalankan pengusahaan jus timun ini.
Ini kerana, pihak Jabatan Pertanian sendiri menyalurkan beberapa bantuan tidak kira dari segi sokongan mahupun dalam bentuk kewangan kepada pengusaha tempatan bagi membantu dalam membangunkan sektor pertanian di Melaka.