![]() |
AZHAR Ibrahim (kanan) dan Ariffin Awang menikmati buah durian dan buah-buahan tempatan lain sempena Program Lebihkan Makanan Buah-Buahan Tempatan anjuran Fama di Sekolah Sri Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
|
BUTTERWORTH 7 Ogos – Di Pulau Pinang, kawasan Balik Pulau yang menjadi tempat himpunan ratusan jenis durian sejak bertahun-tahun, mula diserbu peminat raja buah yang datang dari merata tempat.
Nama-nama pelik seperti Udang Merah, Lipan, Labu Raja Kunyit, D15, D24 dan 808 – merujuk jenis-jenis durian – kembali menjadi sebutan para penggemar buah itu.
Kelibat penjual durian di sepanjang laluan ke kawasan berbukit-bukit itu boleh dilihat seawal pukul 8 pagi hinggalah waktu malam.
Ternyata, populariti durian masih terserlah walaupun pernah dilanda masalah lambakan di pasaran sehingga mengakibatkan harganya jatuh merudum.
Pada tahun 2001 misalnya, harga buah durian kampung cuma 30 sen sekilogram kecuali klon terbaik seperti D24, D13 dan 101, yang mendapat harga antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram – fenomena yang menjatuhkan semangat pekebun buah itu.
Malah, lambakan berterusan menyebabkan durian kampung boleh dibeli pada harga 20 sen sekilogram terutamanya di sekitar Johor manakala harga durian jenis klon pilihan antara RM1 hingga RM1.50 sekilogram.
Mengambil iktibar daripada pengalaman itu, pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuat perancangan rapi bagi mengatasi masalah lambakan buah terutamanya durian ketika musimnya tiba.
Usaha menstabilkan harga durian dilihat penting untuk ‘memahkotakan’ semula buah itu yang cukup sinonim dengan gelaran raja buah.
Bagi mencapai matlamat itu, Fama mewujudkan program yang dipanggil Durian Party bagi menggalakkan orang ramai membeli durian dengan kuantiti yang banyak pada harga berpatutan.
Pengarah Fama Wilayah Utara, Ariffin Awang berkata, program itu yang julung-julung kali diadakan itu turut memberi galakan kepada syarikat swasta, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan parti durian.
”Mereka boleh membeli durian dengan jumlah yang banyak pada harga berpatutan dan sama-sama memeriahkan musim durian bersama keluarga atau rakan sekerja.
”Kita melihat program seumpama ini dapat memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat untuk menikmati kemeriahan setiap kali tibanya musim durian,” katanya pada majlis Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan di sini baru-baru ini.
Perasmian kempen itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.
Ariffin berkata, orang ramai yang berminat boleh membuat pesanan sehari lebih awal dengan menghubungi Fama Pulau Pinang di talian 04-3907222 dan akan diberi pilihan untuk memilih pakej A, B atau C.
Pakej A berharga RM180 merangkumi durian sebanyak 40 kilogram (kg), rambutan (3 kg), manggis (4 kg), dokong (4 kg) dan cempedak 15kg.
Bagi pakej B pula, Fama menawarkan harga RM450 bagi 100kg durian; rambutan, manggis dan dukong masing-masing 10 kg, cempedak (25 kg).
Pakej C pula berharga RM650 merangkumi durian sebanyak 150 kg; rambutan, manggis dan dukong masing-masing 15 kg dan cempedak 30 kg.
”Fama turut menyediakan air mineral, pulut dan santan secara percuma bagi setiap pakej,” katanya.
Menurut Ariffin, Fama turut mengadakan kempen di sekolah setiap tahun bagi menyemai minat makan buah-buahan tempatan di kalangan generasi muda.
Selain itu, katanya, pihaknya juga mengadakan karnival buah-buahan bermusim dari 1 Julai hingga 15 Ogos ini melibatkan beberapa kawasan strategik di Pulau Pinang iaitu di Komtar serta pusat membeli-belah termasuk Tesco, Giant Perai dan Carrefour.
say merupakan peniaga buah-buahan..sys ingin mendapat mkalumat tentang fama.maksud saya,betul ke FAMA ni membekal kan buah-buahan kepada peniaga2 buah-buahan ni.kalau betul mcm mane hendak membeli dari FAMA ni.sy suada membaca laman web fama,tp x terdapat pulak tentang fama membekalkan buah-bauhan kepada peniaga2