Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat tanam tebu

BATU PAHAT 5 Ogos – Menyedari masalah kekurangan bekalan gula yang sering melanda negara sejak kebelakangan ini, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Siam Kasrin, 60, sanggup menanam tebu kerana tanaman itu mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan.

Beliau yang menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat bagi penggal 1999-2004, kini menanam tebu di kawasan seluas 1.2 hektar.

Bagi meningkatkan ilmu mengenai tanaman itu, Siam baru-baru ini menghadiri kursus asas Pengendalian Lepas Tuai dan Pemasaran Tebu di Kompleks Pengumpulan Ladang Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA), Semerah dekat sini.

Beliau mengakui teruja melibatkan diri dalam bidang penanaman tebu kerana yakin pasaran produk amat tinggi dan kekurangan bekalan tebu serta gula patut ditampung.

Selain menanam tebu, beliau turut menanam pelbagai tanaman lain seperti serai, limau kasturi dan durian belanda di tanah seluas enam hektar di Rengit dan Senggarang.

“Walaupun saya orang politik, tetapi saya amat meminati bidang pertanian dan ingin memajukan diri agar berjaya dalam bidang ini supaya menjadi contoh kepada anak-anak buah saya nanti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Pertama Perniagaan Melayu Batu Pahat yang ditubuhkan pada April lalu berkata, tanaman tebu mempunyai potensi besar untuk mendapat pulangan lumayan.

Turut mengikuti kursus berkenaan ialah Pengarah De Nita Trading, Mejar (B) Mahizan Mahbob, antara pengeluar buah naga terbesar di daerah Kluang yang turut yakin dengan pasaran tebu yang sentiasa meningkat.

Mahizan akan turut menanam tebu berikutan mengalami kerugian besar kerana ladang buah naganya musnah dalam banjir besar yang melanda Johor dua tahun lalu.

“Selepas banjir, ladang saya mengalami kerosakan teruk dan pengeluaran buah naga turut menurun apabila terkena jangkitan penyakit,” katanya.

Ladang seluas 12 hektar dahulunya mampu mengeluarkan 12 tan metrik buah naga sebulan tetapi selepas banjir dan apabila terkena jangkitan penyakit ia hanya mampu mengeluarkan tiga tan buat naga sebulan.

Beliau yang juga pengeluar minuman kordial dan jem buah naga mendakwa, pengeluaran produk berkenaan juga tergugat akibat penyakit yang menyerang pokok buah berkenaan.

Justeru, menyedari potensi tebu, beliau tidak teragak-agak untuk menanam tanaman berkenaan setelah mendapat maklumat dan tunjuk ajar daripada pihak FAMA.

Sementara itu, Pegawai FAMA Daerah Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, sambutan terhadap kursus asas pengendalian lepas tuai dan pemasaran tebu itu mendapat sambutan menggalakkan dan para peserta teruja serta yakin dengan tanaman tebu.

Para peserta turut dibawa melawat kilang memproses dan menggredkan tebu di Kompleks Pengumpulan Ladang serta melihat sendiri bagaimana pokok itu digred dan dibungkus untuk dieksport ke Singapura.

Perasmian majlis penutupan kursus itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Aris Samsudin dan turut dihadiri Pengarah FAMA Johor, Faridulatrsh Md. Mokri.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s