JOHOR BAHRU 10 Ogos – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjaya melahirkan seramai 3,421 usahawan baru dalam industri itu berbanding jumlah sasaran 3,500 sepanjang tahun lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharom berkata, mereka meraih pendapatan bersih minimum RM2,000 sebulan dan sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus daripada mereka dibantu untuk meningkatkan kualiti produk ke tahap persijilan antarabangsa.
Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada sasaran yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun iaitu melahirkan 10,000 usahawan baru asas tani di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
”Bagi mencapai taraf negara maju, kita perlu terus berusaha meningkatkan lagi kemampuan dan daya saing yang sedia ada serta tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan apa yang telah dicapai.
”Usaha-usaha ke arah peningkatan bagi setiap aspek perlu berterusan dan saya yakin dengan cara ini, kita dapat meletakkan diri kita setanding dengan negara-negara maju lain mengikut acuan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis sambutan bulan industri asas tani Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia 2009 di Pulai Perdana dekat di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Shahdan Salim.
Johari berkata, pembangunan industri asas tani merupakan strategi penting untuk merancakkan semula sumbangan sektor agro makanan di negara ini.
Jelasnya, ini kerana, industri itu mempunyai potensi besar dan berhubung kait seperti pembungkusan, pemprosesan, penyejukan, peralatan dan jentera.
”Penekanan mestilah diberikan kepada strategi seperti peningkatan nilai di tambah keluaran pertanian makanan dan peningkatan penggunaan hasil sampingan makanan.
”Selain itu, peningkatan pendapatan daripada aktiviti bukan komoditi untuk menambah pendapatan isi rumah dan menyumbang kepada pembasmian kemiskinan serta peningkatan eksport,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata, eksport nanas negara berjumlah RM56 juta pada tahun lalu yang melibatkan nanas segar sebanyak RM22 juta dan nanas proses sebanyak RM34 juta.
Katanya, sebanyak 50 peratus nanas di negara ini dieksport ke Singapura dan selebihnya ke negara-negara Timur Tengah.
Sementara itu, pada majlis sama, seramai enam usahawan yang mengusahakan projek berasaskan nanas menerima sijil pemberian insentif mesin.