Waspada kursus pertanian

BATU PAHAT 4 Ogos – Orang ramai dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan helah pihak tertentu yang menganjurkan pelbagai kursus berbayar mengenai bidang pertanian kerana ia hanya memberi keuntungan kepada pihak penganjur.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor, Faridulatrsh Md. Mokri berkata, kebanyakan kursus pertanian berbayar anjuran pihak berkenaan hanya teori sahaja tetapi tidak memberi latihan secara praktikal.

Menurutnya, adalah lebih baik sekiranya orang ramai yang berminat dalam bidang pertanian mengikuti kursus yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan terbabit seperti Jabatan Pertanian, Haiwan dan FAMA kerana kursus yang diberikan adalah percuma.

Lebih memberi manfaat, agensi kerajaan terbabit akan sentiasa memantau perkembangan projek pertanian yang diusahakan dan pelbagai bentuk bantuan serta insentif akan diperoleh oleh para pengusaha.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri kursus asas pengendalian lepas tuai dan pemasaran tebu kepada 50 peserta kursus berkenaan anjuran FAMA di Kompleks Pengumpulan Ladang FAMA bagi komoditi tebu di Semerah, dekat sini baru-baru ini.

Kerajaan telah memperuntukkan RM135 juta dan RM65 juta telah dibelanjakan pada tahun ini untuk ladang kontrak dan selebihnya untuk tahun hadapan serta ia merupakan program komprehensif.

Faridulatrsh berkata, menariknya dalam program ladang kontrak semua kursus yang dianjurkan adalah percuma dan setiap peserta akan dipantau dari mula memilih benih, cara menanam serta pasaran yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa yang dilantik.

Katanya, program itu menyasarkan 16 jenis sayuran seperti terung, timun, bendi, kacang buncis, kacang panjang dan cili serta 12 jenis buah-buahan dan dikenal pasti mempunyai pasaran yang meluas di negara ini.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat tanam tebu

BATU PAHAT 5 Ogos – Menyedari masalah kekurangan bekalan gula yang sering melanda negara sejak kebelakangan ini, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Siam Kasrin, 60, sanggup menanam tebu kerana tanaman itu mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan.

Beliau yang menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat bagi penggal 1999-2004, kini menanam tebu di kawasan seluas 1.2 hektar.

Bagi meningkatkan ilmu mengenai tanaman itu, Siam baru-baru ini menghadiri kursus asas Pengendalian Lepas Tuai dan Pemasaran Tebu di Kompleks Pengumpulan Ladang Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA), Semerah dekat sini.

Beliau mengakui teruja melibatkan diri dalam bidang penanaman tebu kerana yakin pasaran produk amat tinggi dan kekurangan bekalan tebu serta gula patut ditampung.

Selain menanam tebu, beliau turut menanam pelbagai tanaman lain seperti serai, limau kasturi dan durian belanda di tanah seluas enam hektar di Rengit dan Senggarang.

“Walaupun saya orang politik, tetapi saya amat meminati bidang pertanian dan ingin memajukan diri agar berjaya dalam bidang ini supaya menjadi contoh kepada anak-anak buah saya nanti,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Pertama Perniagaan Melayu Batu Pahat yang ditubuhkan pada April lalu berkata, tanaman tebu mempunyai potensi besar untuk mendapat pulangan lumayan.

Turut mengikuti kursus berkenaan ialah Pengarah De Nita Trading, Mejar (B) Mahizan Mahbob, antara pengeluar buah naga terbesar di daerah Kluang yang turut yakin dengan pasaran tebu yang sentiasa meningkat.

Mahizan akan turut menanam tebu berikutan mengalami kerugian besar kerana ladang buah naganya musnah dalam banjir besar yang melanda Johor dua tahun lalu.

“Selepas banjir, ladang saya mengalami kerosakan teruk dan pengeluaran buah naga turut menurun apabila terkena jangkitan penyakit,” katanya.

Ladang seluas 12 hektar dahulunya mampu mengeluarkan 12 tan metrik buah naga sebulan tetapi selepas banjir dan apabila terkena jangkitan penyakit ia hanya mampu mengeluarkan tiga tan buat naga sebulan.

Beliau yang juga pengeluar minuman kordial dan jem buah naga mendakwa, pengeluaran produk berkenaan juga tergugat akibat penyakit yang menyerang pokok buah berkenaan.

Justeru, menyedari potensi tebu, beliau tidak teragak-agak untuk menanam tanaman berkenaan setelah mendapat maklumat dan tunjuk ajar daripada pihak FAMA.

Sementara itu, Pegawai FAMA Daerah Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, sambutan terhadap kursus asas pengendalian lepas tuai dan pemasaran tebu itu mendapat sambutan menggalakkan dan para peserta teruja serta yakin dengan tanaman tebu.

Para peserta turut dibawa melawat kilang memproses dan menggredkan tebu di Kompleks Pengumpulan Ladang serta melihat sendiri bagaimana pokok itu digred dan dibungkus untuk dieksport ke Singapura.

Perasmian majlis penutupan kursus itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Aris Samsudin dan turut dihadiri Pengarah FAMA Johor, Faridulatrsh Md. Mokri.

Tanam cili kerjaya baru Normahiran

ag_02.1

Normahiran berbangga dengan tanaman cili secara fertigasi yang telah menampakkan hasil.

MINAT yang mendalam menceburi bidang perniagaan, mendorong Nor Mahiran Yusoff nekad mengambil keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus promosi di sebuah syarikat rakaman di ibu negara.

Bermula dengan syarikat penganjuran konsert berbayar, Nor Mahiran beralih kepada bisnes butik dan pengedar makanan sejuk beku.

Meninjau sektor pertanian yang menyumbang kepada pendapatan negara, Normahiran memilih untuk beralih mengusahakan tanaman cili merah dan cili padi.

Mengusahakan tanaman cili menggunakan konsep fertigasi di tanah seluas 1,500 kaki persegi di Dengkil, Selangor.

Sehingga kini, Normahiran mempunyai lebih 1,000 pokok cili merah jenis 990 dan cili padi Semerah hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mendapat khidmat nasihat daripada pengusaha tanaman fertigasi, Pengarah Fahim Agribaze, Abd. Rahim Ariff, yang bertindak sebagai mentor.

Nor Mahiran yang juga Pengurus Pentadbiran Nur Edar Enterprise berkata, beliau memilih cili merah jenis 990 kerana saiznya yang luar biasa sehingga mencecah sembilan inci.

“Walaupun cili jenis 990 bersaiz besar tetapi cepat matang kerana sudah boleh dituai selepas dua bulan setengah dipindahkan dari tapak semaian ke polibeg,” katanya semasa ditemui di tapak tanamannya di Sungai Merab, Kajang, Selangor.

Cili jenis 990 ini agak rendah hanya 0.5 meter (m) dengan setiap pokok boleh menghasilkan sehingga lima kilogram cili setiap pokok.

Menggunakan media campuran sekam padi dan sabut manakala campuran baja A + B bagi mendapatkan hasil yang optimum.

Selain cili merah, Nor Mahiran juga menanam 300 batang cili api Semerah yang dibeli dari MARDI.

“Bagi peringkat permulaan saya mengeluarkan modal lebih RM10,000 bagi membeli kelengkapan fertigasi bagi 1,000 anak pokok cili.

“Ini termasuk peralatan fertigasi seperti polibeg, sabut, sekam padi, baja A+B, saluran paip, pam, tanah peat moss dan racun serangga,” katanya.

Walaupun tidak sampai setahun mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, Nor Mahiran dengan kerjasama Abd. Rahim merancang mengadakan kursus tanaman fertigasi.

Nor Mahiran berkata, beliau merancang mengadakan kursus tanaman fertigasi termasuk cili, tomato, rock melon pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Kami akan mengadakan kursus dalam satu kumpulan kecil seramai 12 peserta bagi memudahkan penumpuan.

“Kursus yang diadakan di tapak ini akan memudahkan peserta melakukan latihan secara hands-on,” katanya yang telah menyediakan modul untuk panduan tanaman.

Pengalaman yang luas

Nor Mahiran berkata, kursus berkenaan akan dikendalikan oleh Abd. Rahim yang mempunyai pengalaman luas dalam penanaman berkonsep fertigasi.

Beliau juga akan mengajar cara tanaman yang betul bermula dari semaian sehingga kepada penjagaan dan tuaian.

“Kepada mereka yang berminat menjalankan tanaman fertigasi, kami turut menjual segala barang kelengkapan tanaman seperti media sekam padi dan sabut, baja A+B serta benih cili yang telah disemai,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus tanaman fertigasi boleh menghubungi Nor Mahiran di 019-212 9029 atau 03-4042 8561.

Jus timun semakin popular

ws_01.1

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan (dua dari kiri) dan antara jemputan yang hadir mencuba jus timun di program Hari Bertemu Pelanggan baru-baru ini.

MELAKA 7 Ogos – Sebut sahaja tentang timun, pasti ramai menganggap ia merupakan salah satu makanan ulam yang mempunyai pelbagai khasiat dan penawar terkandung di dalamnya.

Timun atau nama saintifiknya cucumis savitus ialah sejenis sayuran yang tumbuh menjalar dan menjadi sayuran utama di kalangan negara tropika di mana bahan itu mudah didapati di pasar basah atau pasar raya.

Timun juga merupakan makanan segar yang enak dan sesuai sebagai makanan kecantikan kerana membekalkan manusia dengan segala vitamin dan galian serta serat yang diperlukan oleh tubuh.

Apa yang lebih menarik, timun banyak membantu mereka yang mempunyai masalah dalaman seperti sembelit, gastrik, ulser serta kandungan asid tinggi dengan hanya memakan timun setiap hari.

Menyedari khasiat dalam kandungan timun ini harus dipelbagaikan, Jabatan Pertanian negeri membuat kajian bagi menghasilkan jus timun.

Penolong Pengarah Asas Tani Pertanian negeri, Juliawaty Sulaiman berkata, pihaknya telah melakukan testimonial terhadap jus timun dengan mencampurkan kandungan jus timun dengan susu cair, gula dan soda.

”Rata-rata masyarakat umum menyukai jus timun yang dicampurkan dengan susu cair kerana ia lebih berlemak dan mengekalkan rasa timun yang asli.

”Seperti yang kita tahu, timun mempunyai khasiatnya yang tersendiri dan ini adalah salah satu cara kami melakukan inovasi produk iaitu menjadikannya sebagai jus timun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada perasmian program Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Produk Industri Asas Tani yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan di sini baru-baru ini.

Menurut Juliawaty, jus timun itu juga merupakan minuman rasmi kelima yang disarankan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang merasakan jus timun ini harus dikomersialkan.

Ditanya mengapa memilih timun untuk dijadikan sebagai jus, beliau menjelaskan, timun mempunyai pelbagai keistimewaan selain mengandungi sejumlah besar air yang menjadikan makanan rendah kalori dan paling digemari mereka yang mementingkan berat badan dan suka berdiet.

”Kita sedia maklum bahawa timun bukan sahaja sedap dimakan begitu sahaja malah ia memberi pelbagai khasiat dalam tubuh badan kita,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kepada golongan yang kurang memilih makanan ulam seperti timun tetapi boleh mencuba dalam bentuk jus timun demi membantu menjaga kesihatan mereka.

Bagaimanapun, jus timun tersebut belum lagi dibotolkan dan mendapat label rasmi daripada agensi yang berkaitan.

Juliawaty menyarankan pengusaha di luar sana mengambil inisiatif menjalankan pengusahaan jus timun ini.

Ini kerana, pihak Jabatan Pertanian sendiri menyalurkan beberapa bantuan tidak kira dari segi sokongan mahupun dalam bentuk kewangan kepada pengusaha tempatan bagi membantu dalam membangunkan sektor pertanian di Melaka.

Jadikan minuman rasmi

MELAKA 7 Ogos – Program Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Produk Industri Asas Tani yang berlangsung di perkarangan Wisma Negeri, Ayer Keroh di sini baru-baru ini mendapat sambutan orang ramai.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohd. Hidhir Abu Hasan itu dianggap sebagai platform terbaik untuk mereka mengintai peluang bagi menceburkan diri dalam kegiatan pertanian.

Ini kerana program itu disertai oleh usahawan industri asas tani dalam beberapa aktiviti seperti pameran, promosi dan jualan produk pertanian.

Melaluinya juga usahawan tempatan mempamerkan segala hasil jualan mereka termasuk satu pameran yang menjual jus timun yang diuruskan Jabatan Pertanian Negeri.

Ini adalah langkah promosi bagi menarik minat orang ramai untuk merasai keenakan jus timun yang dihasilkan.

Seorang pengunjung, Nur Ain Musdad, 21, berkata, apabila dia melalui gerai pameran yang menjual jus timun ini, dia segera mendapatkannya untuk menghilang rasa dahaga sekali gus untuk mencuba kelainan jus timun tersebut.

”Ternyata jus timun ini sememangnya enak selain mampu menghilangkan rasa dahaga serta panas dalam badan,” katanya.

Menurutnya lagi, dia mengetahui timun hanya boleh dimakan mentah sahaja namun pada hari ini, barulah saya tahu bahawa timun boleh dibuat jus dan rasanya masih sama cuma ia berbentuk jus dan untuk diminum.

”Jus timun ini merupakan antara minuman terbaik dan saya amat bersetuju apabila ia dijadikan minuman rasmi kelima Melaka.

”Bukan sahaja khasiat yang pelbagai kita dapat daripada timun ini tetapi kita juga dapat membantu dalam meningkatkan penjualan pengusaha timun di Melaka,” katanya.

Muhd. Ashraf Atan, 23, pula berkata, jus timun ini merupakan minuman unik kerana dia tidak terfikir langsung timun boleh dijadikan jus.

”Selalunya kita hanya jadikan timun sebagai ulam untuk dimakan mentah sahaja tetapi kali ini, timun dijadikan jus dan ini membantu mereka yang tidak menyukai timun untuk merasai keunikannya.

”Kita ketahui timun mempunyai pelbagai khasiat dan saya berasa amat setuju apabila jus timun ini dijadikan sebagai minuman rasmi kelima negeri Melaka,” katanya.

Menurutnya lagi, dia berasa jus timun ini perlu segera dikomersialkan kerana ini merupakan peluang terbaik bukan sahaja dalam industri asas tani malah menambahkan lagi satu produk pelancongan negeri Melaka.

Fama 'mahkotakan' raja buah melalui Durian Party atasi masalah lambakan

wu_05.1

AZHAR Ibrahim (kanan) dan Ariffin Awang menikmati buah durian dan buah-buahan tempatan lain sempena Program Lebihkan Makanan Buah-Buahan Tempatan anjuran Fama di Sekolah Sri Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.

BUTTERWORTH 7 Ogos – Di Pulau Pinang, kawasan Balik Pulau yang menjadi tempat himpunan ratusan jenis durian sejak bertahun-tahun, mula diserbu peminat raja buah yang datang dari merata tempat.

Nama-nama pelik seperti Udang Merah, Lipan, Labu Raja Kunyit, D15, D24 dan 808 – merujuk jenis-jenis durian – kembali menjadi sebutan para penggemar buah itu.

Kelibat penjual durian di sepanjang laluan ke kawasan berbukit-bukit itu boleh dilihat seawal pukul 8 pagi hinggalah waktu malam.

Ternyata, populariti durian masih terserlah walaupun pernah dilanda masalah lambakan di pasaran sehingga mengakibatkan harganya jatuh merudum.

Pada tahun 2001 misalnya, harga buah durian kampung cuma 30 sen sekilogram kecuali klon terbaik seperti D24, D13 dan 101, yang mendapat harga antara RM1.50 hingga RM2 sekilogram – fenomena yang menjatuhkan semangat pekebun buah itu.

Malah, lambakan berterusan menyebabkan durian kampung boleh dibeli pada harga 20 sen sekilogram terutamanya di sekitar Johor manakala harga durian jenis klon pilihan antara RM1 hingga RM1.50 sekilogram.

Mengambil iktibar daripada pengalaman itu, pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuat perancangan rapi bagi mengatasi masalah lambakan buah terutamanya durian ketika musimnya tiba.

Usaha menstabilkan harga durian dilihat penting untuk ‘memahkotakan’ semula buah itu yang cukup sinonim dengan gelaran raja buah.

Bagi mencapai matlamat itu, Fama mewujudkan program yang dipanggil Durian Party bagi menggalakkan orang ramai membeli durian dengan kuantiti yang banyak pada harga berpatutan.

Pengarah Fama Wilayah Utara, Ariffin Awang berkata, program itu yang julung-julung kali diadakan itu turut memberi galakan kepada syarikat swasta, jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan parti durian.

”Mereka boleh membeli durian dengan jumlah yang banyak pada harga berpatutan dan sama-sama memeriahkan musim durian bersama keluarga atau rakan sekerja.

”Kita melihat program seumpama ini dapat memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat untuk menikmati kemeriahan setiap kali tibanya musim durian,” katanya pada majlis Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan di sini baru-baru ini.

Perasmian kempen itu dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

Ariffin berkata, orang ramai yang berminat boleh membuat pesanan sehari lebih awal dengan menghubungi Fama Pulau Pinang di talian 04-3907222 dan akan diberi pilihan untuk memilih pakej A, B atau C.

Pakej A berharga RM180 merangkumi durian sebanyak 40 kilogram (kg), rambutan (3 kg), manggis (4 kg), dokong (4 kg) dan cempedak 15kg.

Bagi pakej B pula, Fama menawarkan harga RM450 bagi 100kg durian; rambutan, manggis dan dukong masing-masing 10 kg, cempedak (25 kg).

Pakej C pula berharga RM650 merangkumi durian sebanyak 150 kg; rambutan, manggis dan dukong masing-masing 15 kg dan cempedak 30 kg.

”Fama turut menyediakan air mineral, pulut dan santan secara percuma bagi setiap pakej,” katanya.

Menurut Ariffin, Fama turut mengadakan kempen di sekolah setiap tahun bagi menyemai minat makan buah-buahan tempatan di kalangan generasi muda.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mengadakan karnival buah-buahan bermusim dari 1 Julai hingga 15 Ogos ini melibatkan beberapa kawasan strategik di Pulau Pinang iaitu di Komtar serta pusat membeli-belah termasuk Tesco, Giant Perai dan Carrefour.

Fama ‘mahkotakan’ raja buah melalui Durian Party atasi masalah lambakan

3,421 usahawan tani baru

JOHOR BAHRU 10 Ogos – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjaya melahirkan seramai 3,421 usahawan baru dalam industri itu berbanding jumlah sasaran 3,500 sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharom berkata, mereka meraih pendapatan bersih minimum RM2,000 sebulan dan sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus daripada mereka dibantu untuk meningkatkan kualiti produk ke tahap persijilan antarabangsa.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada sasaran yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun iaitu melahirkan 10,000 usahawan baru asas tani di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

”Bagi mencapai taraf negara maju, kita perlu terus berusaha meningkatkan lagi kemampuan dan daya saing yang sedia ada serta tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan apa yang telah dicapai.

”Usaha-usaha ke arah peningkatan bagi setiap aspek perlu berterusan dan saya yakin dengan cara ini, kita dapat meletakkan diri kita setanding dengan negara-negara maju lain mengikut acuan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis sambutan bulan industri asas tani Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia 2009 di Pulai Perdana dekat di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Timbalan Ketua Pengarah LPNM, Shahdan Salim.

Johari berkata, pembangunan industri asas tani merupakan strategi penting untuk merancakkan semula sumbangan sektor agro makanan di negara ini.

Jelasnya, ini kerana, industri itu mempunyai potensi besar dan berhubung kait seperti pembungkusan, pemprosesan, penyejukan, peralatan dan jentera.

”Penekanan mestilah diberikan kepada strategi seperti peningkatan nilai di tambah keluaran pertanian makanan dan peningkatan penggunaan hasil sampingan makanan.

”Selain itu, peningkatan pendapatan daripada aktiviti bukan komoditi untuk menambah pendapatan isi rumah dan menyumbang kepada pembasmian kemiskinan serta peningkatan eksport,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata, eksport nanas negara berjumlah RM56 juta pada tahun lalu yang melibatkan nanas segar sebanyak RM22 juta dan nanas proses sebanyak RM34 juta.

Katanya, sebanyak 50 peratus nanas di negara ini dieksport ke Singapura dan selebihnya ke negara-negara Timur Tengah.

Sementara itu, pada majlis sama, seramai enam usahawan yang mengusahakan projek berasaskan nanas menerima sijil pemberian insentif mesin.