KOTA BHARU 25 Julai – Kira-kira 500 usahawan herba di negara ini berpeluang memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa apabila bergabung di bawah Konsortium Herbal Asia Sdn. Bhd. (CHA) yang akan beroperasi Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif konsortium itu, Dr. Muhammad Hakim berkata, di bawah gabungan itu pengusaha terlibat akan mendapat pelbagai perkhidmatan profesional dalam mengetengahkan produk masing-masing.
Katanya, perkhidmatan yang diberikan termasuk penyelidikan, pemasaran serta bantuan dalam menangani isu-isu perniagaan.
”Ia merupakan sebahagian aktiviti yang disasarkan oleh konsortium dalam meningkatkan penggunaan dan pemasaran herba tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada penggiat dan usahawan herba anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Dagangan Kelantan di sini baru-baru ini.
Kira-kira 70 orang pengusaha dan usahawan herba di negeri ini menyertai majlis itu.
Menurut Muhammad, penggiat dan usahawan herba tempatan mempunyai kemampuan untuk membangunkan serta memajukan industri tersebut.
”Ini terbukti kerana ramai daripada mereka mampu mengekalkan pengeluaran produk masing-masing walaupun melibatkan diri sejak lama dahulu,” ujarnya.
Justeru, katanya, sudah sampai masanya produk herba diketengahkan dan tidak lagi menjadi industri terpinggir.
Katanya, terdapat 60 agensi kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan dan peruntukan bagi memajukan industri herba di negara ini.
Tambahnya, penubuhan CHA yang tidak berorientasi keuntungan bertujuan membantu menyelaraskan permohonan seperti bantuan kewangan, promosi, pemasaran dan penyelidikan serta pembangunan yang diperlukan oleh industri itu.