![]() |
Peserta bengkel air nira nipah melihat seorang peserta menuang campuran bahan nira ke dalam acuan untuk dibuat gula-gula nipah di Universiti Malaysia Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM
|
KUALA TERENGGANU 26 Julai – Sebut sahaja air nira, pasti ramai yang terliur apatah lagi bulan Ramadan semakin menghampiri.
Menjadi kebiasaan, pada Ramadan air nira menjadi hidangan minuman wajib bagi sesetengah penggemar minuman ini.
Air nira yang kebiasaannya dijadikan minuman ialah daripada nipah (Nypa Fruticans) merupakan sejenis pokok palma yang kebanyakan tumbuh di kawasan hutan bakau.
Bagaimanapun, memandangkan penghasilannya amat terhad tidak ramai pengusaha yang mahu mencuba menghasilkan produk berasaskan air nira selain minuman dan cuka sahaja.
Ini ada relevannya memandangkan bukan mudah untuk mendapatkan air nira.
Bayangkan anda terpaksa meredah hutan belukar hanya semata-mata untuk mendapatkan air itu.
Jika mengikut cara dahulu, bagi mendapatkan air nira nipah yang berkualiti, tandan bunga nipah perlu diurut selama 44 hari selain dipukul dengan menggunakan pengetuk kayu sebelum dilumurkan dengan lumpur bagi mengelakkan ia kering.
Kemudian barulah dahannya ditoreh dan dibiarkan seketika airnya menitis sebelum ditadah ke dalam ‘tukey’ (sejenis takungan yang diperbuat daripada buluh) untuk memperoleh air nira yang benar-benar sedap.
Rasanya yang amat manis dan sedikit masam menjadikan minuman tersebut amat enak diminum ketika sejuk.
Namun, selain boleh diminum begitu sahaja, ramai yang tidak tahu air nira juga boleh dibuat kek, kuih, ais krim dan jem.
Baru-baru ini, wartawan Utusan Malaysia berpeluang mengikuti satu bengkel anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diadakan selama dua hari di UMT bersama 22 peserta lain dari negeri Kedah dan Perlis.
Bengkel tersebut memberi pendedahan kepada peserta tersebut mengenai produk air nira nipah selain memberi penerangan tentang kepentingan pengurusan produk tersebut secara sistematik.
Dalam bengkel tersebut, beberapa produk berasaskan air nira telah diperkenalkan antaranya ialah ais krim nira, cream puff‘ inti nira, sorbet nira, gula-gula gelung nira, kek lapis nira dan jeli nira.
Ketua Jabatan Sains Makanan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Dr. Ammir Izzwan Zamri berkata, produk berasaskan nira mampu berkembang luas jika diperkenalkan.
Katanya, sejak 2004, UMT telah menjalankan kajian terhadap potensi air nira untuk dipelbagaikan hasilnya.
“Pada tahun lalu, produk ais krim nira telah dipertandingkan di pertandingan British Invention Show 2008 di Britain dan telah memenangi anugerah khas, mengalahkan 300 produk dari negara lain.
“Jelas sekali produk berasaskan air nira bakal mendapat sambutan daripada pengguna sekiranya ia diperluaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di UMT di sini.
Bagaimanapun menurut Ammir Izzwan, produk berasaskan nira itu masih belum dikomersialkan oleh universiti berkenaan.
Disebabkan itu, UMT bersedia membantu mana-mana pengusaha untuk mengkomersialkan produk berkenaan ke pasaran luar.
Jelasnya, penghasilan kepelbagaian produk nira itu dapat mengurangkan risiko kerosakan cairan tersebut selain memudahkan ia diperoleh di mana jua.
“Air nira asli sukar didapati dan ia juga mudah rosak dalam masa beberapa hari sahaja.
“Bagi mengatasi masalah tersebut ia perlu dijadikan produk tahan lama seperti kek, jeli atau manisan.
“Inisiatif ini mampu menjana pendapatan pengusaha-pengusaha air nira yang selama ini hanya bergantung kepada produk air nira dan cuka sahaja,” jelasnya.