Bekas guru hasilkan baja

ag_01.1

Ismail Sulaiman boleh berbangga dengan baja ‘HBO’ iaitu 100 peratus bioorganik kerana ia membuahkan hasil yang memuaskan. – Gambar Bernama


PADA Karnival Jualan Mega 2009 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Tawau, Sabah baru-baru ini, kelihatan ramai pengunjung tertumpu di gerai yang dikendalikan guru bersara, Ismail Sulaiman.

Pengunjung jelas tertarik melihat dua pokok kacang bendi yang ditanam di dalam dua pasu di hadapan gerai itu.

Pokok kacang bendi di dalam sebuah pasu, nampak kurus dan tumbesarannya terencat berbanding pokok bendi di dalam pasu satu lagi yang tumbuh subur daunnya lebar, menghijau segar dan batang yang besar dan ketinggiannya jauh melebihi pokok bendi pertama.

Pokok kacang bendi yang subur dan tinggi itu menggunakan baja organik buatan Ismail, yang dinamakannya ‘HBO’ iaitu 100 peratus bio-organik.

Jika berkunjung ke rumah dan kebunnya di Kampung Sungai Imam, anda akan berpeluang menyaksikan kesuburan tanaman lain seperti pokok tomato melalui penggunaan baja organik buatan beliau.

Pada masa ini, Ismail, 60, bekas pengetua di SMK Abaka, Tawau, Sabah adalah pengusaha tunggal baja organik Bumiputera di Tawau. Beliau bersara daripada kerjaya guru pada tahun 2005.

“Selepas menghadiri taklimat tentang baja organik anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tawau, minat saya menceburi bidang ini timbul. Saya kemudian menghadiri kursus membuat baja organik menggunakan tahi ayam di Johor.

“Sekembali dari kursus, saya terus memulakan usaha mengeluarkan baja organik secara manual dengan modal permulaan RM20,000 daripada pinjaman bank dan hasil wang pencen.

“Bagaimanapun saya berhadapan dengan masalah kerana tidak seperti tahi ayam, tahi kambing tidak mudah dihancurkan menggunakan tangan sebaliknya perlu menggunakan mesin khas.

“Pengeluaran ketika itu cuma antara lima hingga enam guni baja sehari. Jadi, ketika itu walaupun saya masih boleh mengeluarkan baja organik berasaskan tahi kambing namun baja berkenaan cuma untuk kegunaan kebun sendiri kerana kualitinya belum sampai ke tahap boleh dipasarkan.

Bagaimanapun, atas bantuan LPP, beliau memperoleh mesin penghancur tahi kambing bernilai RM10,000 dan kini mampu mengeluarkan antara 40 hingga 50 tan baja organik sebulan.

Dengan khidmat nasihat LPP, pembungkusan baja organik keluaran Ismail kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini yang menggunakan guni-guni terpakai.

“Saya kini dalam proses untuk mendapatkan mesin yang mampu memproses sehingga satu tan baja organik sejam,” katanya yang berhasrat memasarkan baja organik buatannya ke seluruh Sabah.

Ismail turut membekalkan bajanya kepada sebuah ladang yang mengamalkan penanaman organik.

Beliau kini berusaha mendapatkan pensijilan baja organik dari beberapa buah negara termasuk Thailand, Jepun, Australia, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat kerana Malaysia sendiri belum mengeluarkan sijil seperti itu.

“Sebenarnya, saya melakukan semua ini bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dengan menyediakan baja yang dijamin halal dan bersih kepada pekebun-pekebun yang beragama Islam.

“Pada masa ini, ramai kalangan umat Islam tidak mengetahui secara pasti kandungan sebenar baja termasuk baja organik yang mereka gunakan sama ada dibuat berdasarkan syariat Islam.

“Sehubungan itu, saya berharap baja HBO ini akan menjadi baja organik alternatif kepada umat Islam yang memerlukan baja organik yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan yang tidak meragukan,” katanya.

Menurut Ismail, potensi pasaran masa depan baja berasaskan organik amat cerah dan beliau sudah menghantar kertas cadangan kepada kerajaan Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah agar menjadi- kan Sabah sebagai negeri baja organik.

Katanya, melalui moto pengeluaran bajanya Go Green From Today (Hijau mulai hari ini), beliau berharap kesedaran orang ramai tentang pemeliharaan alam semula jadi melalui penggunaan baja organik dapat ditingkatkan.

Sanggul Biru hasilkan lapan produk minyak kelapa dara

ag_02.1

pewangi minyak kelapa dara sesuai digunakan semasa beribadah.


MENGGUNAKAN moto ‘Untuk kecantikan dan kesihatan,’ Amidah Lazim menghasilkan produk hiliran minyak kelapa dara.

Walaupun baru dua tahun melibatkan diri dengan industri minyak kelapa dara, beliau sudah boleh berbangga dengan usahanya.

Menurut Amidah, langkahnya bermula apabila beliau dan suami Othman Mahmud mula mencari perniagaan yang sesuai selepas persaraan pilihan.

“Kenalan anak yang bertugas di Jabatan Pertanian memberi idea agar saya mendalami kaedah pengeluaran minyak kelapa dara,” katanya semasa ditemui di bengkel minyak kelapa dara di premis Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Perak, baru-baru ini.

Mendapat latihan dan kursus asas di Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Amidah kemudian mengikuti kursus penghasilan kelapa anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Indonesia.

Di sana, Amidah mempelajari kaedah mempelbagaikan minyak kelapa dara kepada pelbagai produk penjagaan badan dan wangian.

Sehingga kini, Amidah menerusi syarikat Sanggul Biru Enterprise telah berjaya menghasilkan lapan produk berasaskan minyak kelapa dara.

Idea menghasilkan minyak kelapa dara berperisa timbul apabila terdapat pengguna yang tidak sukakan rasa dan baunya.

Justeru Amidah meminta nasihat Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai cadangan beliau bagi memberi pilihan kepada pengguna

“Minyak kelapa dara biasanya boleh diminum antara tiga hingga lima sudu kecil setiap hari dan boleh tambah kepada minuman atau makanan kegemaran dan sangat sesuai untuk semua peringkat usia kerana kaya dengan bahan semula jadi dan diakui terbaik di dunia,” katanya.

Minyak urut kelapa dara serai wangi dan kayu putih bagi kegunaan dewasa dan kanak-kanak boleh digunakan untuk mengurut, meredakan kembung pada bayi selain bisa gigitan serangga.

Losen badan minyak kelapa dara pula dapat mencantik, melembut dan melembapkan kulit.

Krim malam minyak kelapa dara sesuai digunakan pada sebelah malam sebelum tidur dan merawat kulit muka.

Sabun pencucinya sesuai digunakan pada bila-bila masa untuk merawat kulit muka.

Manakala tonik rambut boleh digunakan sebagai minyak rambut, merawat kulit kepala bagi menjadikannya lembut, bersinar, tidak berkelemumur dan tidak mudah gugur.

Pewangi minyak kelapa dara tidak menggunakan alkohol, sesuai digunakan untuk beribadah dan balm minyak pala sesuai bagi mereka yang mengalami sakit sendi.

Selain mendapatkan bahan mentah daripada kawasan sekitar, Amidah mempunyai ladang kelapanya sendiri seluar empat ekar.

“Suatu masa dulu saya mempunyai ladang kelapa tetapi telah ditebang kerana ketika itu kami tidak tahu kegunaan kelapa dan kini kami sedang menanam semula kelapa matag,” katanya.

Buat masa sekarang, Amida memerlukan 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan minyak kelapa dara, jeli kelapa dan kerisik.

Produknya mendapat sambutan menggalakkan memandangkan beliau merupakan salah seorang ahli program inap desa di Bagan Datoh.

“Setiap kali terdapat pelancong berkunjung ke inap desa, mereka akan dibawa ke bengkel saya.

“Ramai pelancong yang datang dan mencuba minyak kelapa dara di sini dan mereka biasanya datang semula untuk membelinya,” katanya yang mempromosikan produknya menerusi majalah dan akhbar.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Amida di talian 013-4507252 atau Othman di 013-4391792.

Keperitan menternak itik

wu_01.1

TERNAKAN itik jenis khaki cambell berskala besar bukan sahaja memberi pendapatan lumayan tetapi mampu mengatasi masalah siput gondang emas yang merosakkan anak padi semasa tumbesarannya.


PENDANG 23 Julai – Bidang pertanian dan penternakan memang memberi pulangan lumayan, namun cabaran sebelum beroleh kejayaan amat perit untuk dihadapi.

Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi oleh seorang penternak itik jenis khaki cambell di Batu 8, Jalan Tokai, Simpang Empat di sini.

Halim Mat, 50-an, berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan niat membela itik, namun dorongan daripada rakan-rakan membuatkan dia bertahan sehingga hari ini.

Jelasnya, masalah kekurangan modal menjadi kekangan utama kepada penternak untuk terus menternak itik.

“Itik jenis ini memerlukan masa selama empat bulan untuk matang dan bertelur.

“Saya baru dua bulan membela itik ini dan terpaksa menunggu selama beberapa bulan lagi untuk mengutip hasil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia menggunakan wang simpanan sendiri untuk membeli baka itik dan membina reban.

Sehingga kini, jelasnya, dia masih belum menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak untuk membantunya meneruskan penternakan itik tersebut.

“Saya membeli 2,000 baka anak itik Khaki Cambell daripada penternak di Perak.

“Itik juga perlu diberi makan dengan sempurna dan harga dedak agak mahal dan makanan itik yang berharga kira-kira RM3,000 hanya bertahan selama 10 hari sahaja,’ katanya.

Jelasnya, idea untuk membela itik tersebut datang setelah hasil sawah padi miliknya sering kali susut disebabkan serangan siput gondang emas.

“Itik dapat dilepaskan pada peringkat awal padi ditanam untuk memakan telur siput gondang dan merupakan salah satu kaedah biologi untuk mengawal siput gondang emas.

“Namun kini padi sudah hampir masak dan itik perlu dikurung di dalam reban dan diberi makan dedak serta kangkung,” ujarnya.

Tambahnya, dia bertuah kerana rakan-rakan seperti Mat Isa Awang Kechik, 60, dan Abdul Wahab Nan, 58, sentiasa membantu dan memberi dorongan untuk terus membela itik tersebut.

“Jika tiada mereka saya mungkin tidak akan meneruskan impian untuk menjadi penternak itik.

“Penjagaan itik agak sukar dan saya terpaksa tinggal bersebelahan dengan reban itik kerana perlu mengawasinya 24 jam sehari,” jelasnya.

Halim memberitahu, dia berharap itik- itik tersebut akan bertelur dan segala penat lelahnya berbaloi.

Jelasnya, bukan mudah untuk menceburi bidang penternakan itik, namun dia yakin itik peliharaannya akan memberi pulangan yang lumayan kepadanya.

Longan tambah pendapatan

MERSING 24 Julai – Seorang peneroka Felda Tenggaroh Tiga dekat sini, Yusof Tan berjaya meraih pendapatan tambahan sekitar RM2,500 sebulan hasil tanaman buah longan yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

Yusof, 64, berkata, pendapatan itu diperoleh hasil usahanya meneroka tanah terbiar seluas 0.72 hektar di Felda tersebut mulai Julai 2003.

Berkat kegigihannya berbakti kepada tanah, bapa kepada tujuh anak kini mampu meraih sekitar 4.8 tan metrik longan bagi setiap kali tuai.

“Idea untuk menanam pokok longan ini timbul apabila mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian yang banyak memberi bantuan, dorongan dan semangat untuk mengusahakan tanaman tersebut.

“Berikutan itu saya bersama beberapa peneroka yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Felda Tenggaroh Tiga, Madon Hamid telah mengadakan lawatan ke ladang longan milik seorang individu di Tangkak, Muar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yusof yang mendapat sokongan padu daripada Pengurus Felda Tenggaroh Tiga, Mispar Salim telah mengusahakan sebidang tanah yang dikurniakan oleh Felda untuk menanam pokok itu secara komersial.

Berikutan komitmennya yang tinggi, beliau telah mendapat bantuan dan sokongan yang cukup baik daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin setempat.

Menurutnya, buat masa ini semua hasil longannya hanya mampu memenuhi pasaran setempat.

“Kadang-kadang baru putik dah ada yang tempah dan apa yang menarik setakat ini buah longan saya berjaya menguasai pasaran tempatan berbanding longan dari Thailand.

“Ini kerana saya tidak menggunakan sebarang sumber racun atau bahan pengawet, sebaliknya pengguna boleh makan buah longan keluaran dari kebun kami tanpa dicuci terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Yusof, kelebihan longan keluarannya ialah harganya lebih murah iaitu hanya RM3.50 sen sekilogram berbanding longan Thailand yang kadang kala mencecah sehingga RM6 sekilogram.

Menurutnya, penjagaan pokok longan cukup mudah dan tiada masalah penyakit, yang penting cukup baja, bekalan matahari dan air yang mencukupi

Usahawan herba bersatu

KOTA BHARU 25 Julai – Kira-kira 500 usahawan herba di negara ini berpeluang memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa apabila bergabung di bawah Konsortium Herbal Asia Sdn. Bhd. (CHA) yang akan beroperasi Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif konsortium itu, Dr. Muhammad Hakim berkata, di bawah gabungan itu pengusaha terlibat akan mendapat pelbagai perkhidmatan profesional dalam mengetengahkan produk masing-masing.

Katanya, perkhidmatan yang diberikan termasuk penyelidikan, pemasaran serta bantuan dalam menangani isu-isu perniagaan.

”Ia merupakan sebahagian aktiviti yang disasarkan oleh konsortium dalam meningkatkan penggunaan dan pemasaran herba tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada penggiat dan usahawan herba anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Dagangan Kelantan di sini baru-baru ini.

Kira-kira 70 orang pengusaha dan usahawan herba di negeri ini menyertai majlis itu.

Menurut Muhammad, penggiat dan usahawan herba tempatan mempunyai kemampuan untuk membangunkan serta memajukan industri tersebut.

”Ini terbukti kerana ramai daripada mereka mampu mengekalkan pengeluaran produk masing-masing walaupun melibatkan diri sejak lama dahulu,” ujarnya.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya produk herba diketengahkan dan tidak lagi menjadi industri terpinggir.

Katanya, terdapat 60 agensi kerajaan yang menyediakan pelbagai bantuan dan peruntukan bagi memajukan industri herba di negara ini.

Tambahnya, penubuhan CHA yang tidak berorientasi keuntungan bertujuan membantu menyelaraskan permohonan seperti bantuan kewangan, promosi, pemasaran dan penyelidikan serta pembangunan yang diperlukan oleh industri itu.

Dijamin halal lagi suci

wj_01.1

KASMIN Kasar dan pembantunya memasukkan kacang soya ke dalam mesin memproses untuk membuat tauhu di kilangnya UB Food Manufactory di Felda Ulu Belitong, Kluang, Johor.


KLUANG 26 Julai – Menyedari perlunya umat Islam memperoleh makanan bersih dan halal mendorong seorang peneroka Felda Ulu Belitong di sini, Kasmin Kasar, 58, mengusahakan mi dan tauhu yang dijamin halal dan suci di kilangnya UB Food Manufactory, sejak 17 tahun lalu.

Bermodalkan hanya RM10,000 menerusi bantuan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Johor, Kasmin yang lebih dikenali ‘Wak Min’ memberanikan diri membuka kilang mi dan tauhu itu di rumahnya di tanah rancangan tersebut pada tahun 1992.

Beliau berkata, peringkat awal, kedua- dua makanan itu hanya dijual kepada penduduk Felda tersebut dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

”Pasarannya kemudian berkembang hingga ke Felda Ulu Penggeli, Bandar Tenggara, Taman Sri Lambak dan seterusnya di bandar Kluang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Kasmin, jika sebelum ini beliau hanya memproses beberapa kilogram tepung gandum untuk dijadikan mi, tetapi kini jumlah itu meningkat sehingga 400 kilogram sehari.

Beliau berkata, beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian turut menghulurkan bantuan untuk membesarkan perusahaannya termasuk mendirikan bangunan kilang di Felda berkenaan.

”Felda menghulurkan bantan sebanyak RM10,000 untuk membeli sebuah mesin, dan Jabatan Pertanian pula memberikan bantuan sebanyak RM25,000 untuk membina kilang,” katanya.

Menurutnya, perusahannnya dibantu oleh tujuh orang kakitangan termasuk anaknya yang bekerja 26 hari sebulan.

Mengenai tauhu, beliau berkata, sebanyak 2,000 keping tauhu dihasilkan pihaknya setiap hari dan turut diedarkan di beberapa kawasan di daerah Kluang.

Menurut beliau, selain itu, beliau turut menghasilkan air tauhu terutama setiap bulan Ramadan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

”Saya berharap dapat mengembangkan lagi pasaran mi dan tauhu ini hingga ke Johor Bahru dan beberapa daerah berhampiran,” katanya.

Kasmin turut berhasrat untuk mengeluarkan pula tauhu kering untuk memenuhi prmintaan umat Islam yang mengutamakan kebersihan dan kesucian makanan.

”Buat masa ini memang begitu kurang umat Islam yang mengusahakan mi dan produk berasaskan tauhu sedangkan permintaannya sangat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Kasmin mengalu-alukan hasrat pengurusan Felda Ulu Belitong untuk menjadikan mi dan tauhu keluarannya sebagai identiti Felda Gedung Makanan Negara peringkat Ulu Belitong.

”Alhamdulillah kerana ini akan dapat membantu meningkatkan lagi pasaran makanan yang dihasilkan kami,” katanya.

Pak Latif tauke jeruk Melayu

wt_01.1

Isteri Pak Latif, Hindun Husin (kanan) bersama dua anaknya, Abu Amar dan Sarah di tapak jualan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kelantan 2009 di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 28 Julai – Jika ke Pulau Pinang, antara ole-ole yang dicari pelawat untuk dibawa pulang sudah semestinya jeruk buah pala sebagai tanda sudah menjejaki negeri ‘anak mami’ tersebut.

Namakan apa sahaja jenis jeruk buah sekalipun, daripada mangga kepada buah ceri, daripada kedondong kepada kelubi, pengusaha dari negeri itu sedia membekalnya kepada pasaran.

Namun hampir seratus peratus yang mengeluarkan produk makanan ini adalah dari kaum lain walaupun majoriti yang meminatinya adalah orang Melayu.

Melihat situasi tersebut, bekas pekerja bawahan tauke jeruk, Abdul Latif Hashim, 52, dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang berusaha menjadi Melayu pertama mempelopori perusahaan ini 18 tahun lalu.

”Peminat jeruk buah boleh dikatakan 85 peratus orang Melayu tapi nak mencari pengusaha Melayu seorang pun susah,” kata pengurus Jeruk Pak Latif Enterprise itu kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui ketika turut serta dalam program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan 2009 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV baru-baru ini.

Abdul Latif yang hanya berkelulusan setakat sekolah rendah dan bekerja di kilang besi pada peringkat awal berkata, keazamannya timbul kerana tidak mahu lagi menjadi kuli dan hanya mendapat upah bulanan yang tidak setimpal dengan keringat yang dicurahkan.

”Semasa makan gaji, sayalah tukang pilih dan beli buah di pasar dan saya juga yang terlibat dalam proses menjeruk dan memasarkannya. Selepas dua tahun saya menimba pengalaman antara 1989 dan 1991, saya terfikir sudah tiba masa mengubah nasib diri dan berusaha sendiri,” katanya.

Menurut Abdul Latif, untuk memantapkan lagi ilmunya, dia mengambil kursus dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengenal pasti bahan kimia dan kuantitinya yang sesuai digunakan dalam proses menjeruk.

Jelasnya, menjeruk buah melibatkan proses ‘menggaram’ dan ‘menggula’ yang memakan masa antara 2 minggu hingga 3 bulan bergantung kepada kehendak dan keperluan pasaran pengusaha.

Bermula dengan perusahaan di rumah, dia kini mempunyai kilang, dewan dan bengkel yang berjaya didirikan hasil bantuan dan kerjasama dari pihak Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Persatuan Peladang Kawasan (Peladang) dan juga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri itu.

”Mereka menyediakan saya dewan dan bengkel tersebut untuk membolehkan saya mengadakan kursus bagi orang lain yang berminat mengusahakan jeruk buah,” katanya.

Jelasnya, hasil dari kursus yang diadakannya sejak Januari tahun ini telah berjaya melahirkan tujuh orang pengusaha jeruk buah Melayu yang aktif di Pulau Pinang dan Perak.

”Ada antara ‘bekas murid’ saya itu kini menjalankan perniagaan dengan modal pusingan RM100,000,” katanya bangga.

Dari gaji RM400 sebulan semasa bekerja kilang dulu, Abdul Latif bersyukur kerana hasil jualan jeruk buahnya yang diedar kepada pemborong mencapai angka lebih RM12,000 sebulan dan dapat mengambil pekerja seramai 7 orang termasuk dua orang anaknya.

Anak perempuannya, Sarah, 25, berkhidmat sebagai pengurus akaun manakala Abu Amar, 24, bertanggungjawab dengan pemasaran jeruk buahnya di luar Pulau Pinang.

”Jeruk buah saya yang terjamin halal dan bersih dipasarkan bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan juga di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Melaka dan Kuala Lumpur. Insya-Allah, pada pertengahan 2010 syarikat saya akan menembusi pasaran Singapura dan Brunei,” katanya.

Baru-baru ini, produk beliau yang dibungkus dengan jenama ‘Jeruk Mutiara’ mula masuk ke pasar raya besar Tesco di Kuala Lumpur.

Abdul Latif amat berterima kasih dengan isterinya, Hindun Husin, 46, yang menjadi pendokong utama beliau dalam perniagaannya itu.

”Hindunlah yang membantu saya mengurus setiap kali saya terpaksa keluar kerana menghadiri kursus dan mengembangkan perniagaan, saya terhutang budi padanya,” katanya.

Katanya, mereka yang berminat menceburi perniagaan ini boleh memulakan langkah dengan menghubungi urus setia kursus jeruk buah yang diadakan dengan kerjasama FAMA, Peladang dan Jabatan Pertanian melalui talian telefon 019 444 7105.

”Kursus selama tiga hari yang mengajar peserta seramai 20 orang setiap sesi cara-cara menjeruk buah secara amali dari awal hingga akhir termasuk kaedah pemasaran dan bahan kimia yang akan dibekalkan sebagai latihan apabila mereka pulang ke tempat masing-masing,” katanya.

Abdul Latif yang sudah mengadakan kursus kepada lebih 75 peserta bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Perak dan Kelantan.

Potensi air nira nipah

Peserta bengkel air nira nipah melihat seorang peserta menuang campuran bahan nira ke dalam acuan untuk dibuat gula-gula nipah di Universiti Malaysia Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 26 Julai – Sebut sahaja air nira, pasti ramai yang terliur apatah lagi bulan Ramadan semakin menghampiri.

Menjadi kebiasaan, pada Ramadan air nira menjadi hidangan minuman wajib bagi sesetengah penggemar minuman ini.

Air nira yang kebiasaannya dijadikan minuman ialah daripada nipah (Nypa Fruticans) merupakan sejenis pokok palma yang kebanyakan tumbuh di kawasan hutan bakau.

Bagaimanapun, memandangkan penghasilannya amat terhad tidak ramai pengusaha yang mahu mencuba menghasilkan produk berasaskan air nira selain minuman dan cuka sahaja.

Ini ada relevannya memandangkan bukan mudah untuk mendapatkan air nira.

Bayangkan anda terpaksa meredah hutan belukar hanya semata-mata untuk mendapatkan air itu.

Jika mengikut cara dahulu, bagi mendapatkan air nira nipah yang berkualiti, tandan bunga nipah perlu diurut selama 44 hari selain dipukul dengan menggunakan pengetuk kayu sebelum dilumurkan dengan lumpur bagi mengelakkan ia kering.

Kemudian barulah dahannya ditoreh dan dibiarkan seketika airnya menitis sebelum ditadah ke dalam ‘tukey’ (sejenis takungan yang diperbuat daripada buluh) untuk memperoleh air nira yang benar-benar sedap.

Rasanya yang amat manis dan sedikit masam menjadikan minuman tersebut amat enak diminum ketika sejuk.

Namun, selain boleh diminum begitu sahaja, ramai yang tidak tahu air nira juga boleh dibuat kek, kuih, ais krim dan jem.

Baru-baru ini, wartawan Utusan Malaysia berpeluang mengikuti satu bengkel anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diadakan selama dua hari di UMT bersama 22 peserta lain dari negeri Kedah dan Perlis.

Bengkel tersebut memberi pendedahan kepada peserta tersebut mengenai produk air nira nipah selain memberi penerangan tentang kepentingan pengurusan produk tersebut secara sistematik.

Dalam bengkel tersebut, beberapa produk berasaskan air nira telah diperkenalkan antaranya ialah ais krim nira, cream puff‘ inti nira, sorbet nira, gula-gula gelung nira, kek lapis nira dan jeli nira.

Ketua Jabatan Sains Makanan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Dr. Ammir Izzwan Zamri berkata, produk berasaskan nira mampu berkembang luas jika diperkenalkan.

Katanya, sejak 2004, UMT telah menjalankan kajian terhadap potensi air nira untuk dipelbagaikan hasilnya.

“Pada tahun lalu, produk ais krim nira telah dipertandingkan di pertandingan British Invention Show 2008 di Britain dan telah memenangi anugerah khas, mengalahkan 300 produk dari negara lain.

“Jelas sekali produk berasaskan air nira bakal mendapat sambutan daripada pengguna sekiranya ia diperluaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di UMT di sini.

Bagaimanapun menurut Ammir Izzwan, produk berasaskan nira itu masih belum dikomersialkan oleh universiti berkenaan.

Disebabkan itu, UMT bersedia membantu mana-mana pengusaha untuk mengkomersialkan produk berkenaan ke pasaran luar.

Jelasnya, penghasilan kepelbagaian produk nira itu dapat mengurangkan risiko kerosakan cairan tersebut selain memudahkan ia diperoleh di mana jua.

“Air nira asli sukar didapati dan ia juga mudah rosak dalam masa beberapa hari sahaja.

“Bagi mengatasi masalah tersebut ia perlu dijadikan produk tahan lama seperti kek, jeli atau manisan.

“Inisiatif ini mampu menjana pendapatan pengusaha-pengusaha air nira yang selama ini hanya bergantung kepada produk air nira dan cuka sahaja,” jelasnya.