Keistimewaan rebung madu

wj_01.1

Yusof Tan menunjukkan buluh madu yang telah dipotong untuk mendapatkan rebungnya di kebunnya, Felda Tenggaroh 3, Mersing baru-baru ini.


MERSING 29 Julai – Rebung merupakan salah satu sayur tradisional yang cukup sinonim di kalangan masyarakat Melayu kerana keenakan rasanya.

Mungkin bagi masyarakat di kawasan bandar, ia jarang diperoleh dan boleh dianggap ‘eksotik’, namun bagi penduduk kampung rimbunan pokok buluh sentiasa menjadi tumpuan untuk mendapatkan rebungnya.

Menyedari potensi besar masakan berasaskan rebung, seorang pekebun, Yusof Tan, 64, memberanikan diri mengusahakan tanaman buluh madu di tanah seluas 0.4 hektar di Felda Tenggaroh 3, dekat sini untuk tujuan komersial.

Pekebun gigih ini memberitahu, dia kini menanam kira-kira 200 rumpun buluh madu dan setelah setahun diusahakan, tanaman berkenaan berjaya mengeluarkan rebung yang banyak.

”Saya berminat untuk mengusahakan buluh madu setelah mendapat galakan dan dorongan kuat daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tenggaroh 3, Madun Hamid.

”Madun mengenali buluh madu hasil lawatannya ke sebuah kawasan di Chuping, Perlis apabila para petani di sana mengusahakan buluh madu secara komersial untuk mendapatkan rebungnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak ini memberitahu, dia telah mengusahakan tanah terbiar seluas 0.4 hektar yang dikurniakan oleh Pengurus Felda Tenggaroh Tiga, Mispar Salim kepadanya.

”Pada permulaannya saya telah membeli 200 benih buluh madu dengan harga RM6.60 setiap pokok.

”Apa yang menyeronokkan dalam tempoh lapan bulan, kita dah boleh tuai rebung dan kini dijual dengan harga RM6 sekilogram untuk pasaran tempatan,” katanya.

Yusof memberitahu, berikutan sambutan menggalakkan dia bercadang memperluaskan tanaman tersebut bagi memenuhi keperluan bukan sahaja di sekitar bandar Mersing, malah ke Johor Bahru yang mempunyai permintaan tinggi.

Mengenai kelebihan dan keistimewaan rebung buluh madu berbanding buluh biasa, Yusof yang memang gemar berbudi kepada tanah berkata: “Pertamanya buluh dan rebung jenis itu tiada miang dan memudahkan pengguna untuk mengambil dan menyiangnya.

”Satu lagi kelebihannya, kadar pembesaran dan pertumbuhan rebung agak pantas iaitu dalam masa 24 jam boleh tumbuh sehingga enam inci,” katanya.

Beliau berkata, buluh madu juga mudah dijaga iaitu hanya memerlukan baja untuk mempercepatkan tumbesarannya.

Sehubungan ini, Yusof turut menggalakkan mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman buluh madu dan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian berhampiran kerana tanaman tersebut menjanjikan pulangan lumayan.

Projek membawa sinar kepada peserta

ag_02.1

sEBAHAGIAN PESERTA oRANG ASLI YANG BAKAL MENJADI NADI PEMBANGUNAN PROJEK AGROPOLITAN PEKAN.


Ada nada kegembiraan, harapan dan dan keyakinan yang diluahkan oleh peserta terpilih menyertai projek Agropolitan Pekan, Pahang.

Projek agropolitan itu dilaksanakan dengan matlamat untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar mencapai taraf hidup setanding dengan lain-lain kawasan di negara ini.

Keluarga miskin yang menyertai program penempatan semula menikmati banyak faedah dan nikmati terutamanya bekalan asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

Selain itu, kawasan penempatan semula juga akan disediakan kemudahan-kemudahan sosial seperti dewan masyarakat, masjid, perpustakaan, taman permainan dan pusat perniagaan.

Pada masa sama, setiap peneroka akan disediakan rumah dan tanah untuk tujuan pengkomersialan seperti penternakan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan akuakultur.

Projek tersebut melibatkan dua golongan termasuk 750 peserta Orang Asli yang mana projek dilaksanakan berdasarkan konsep in-situ atau di kawasan realiti kampung mereka.

ag_02.2

RUMAH UNTUK PENEMPATAN SEMULA PESERTA KALANGAN BUKAN oRANG ASLI.


Mereka tidak perlu meninggalkan kawasan kampung untuk menyertai projek yang dianjurkan, manakala baki golongan miskin tegar kedua melibatkan orang Melayu di Pusat Penempatan Tanjung Batu di Batu 8 yang bakal menghuni perumahan baru.

Rumah tiga bilik tersebut dibina dengan nilai RM35, 000 dan kini 100 unit sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar yang akan turut menempatkan kemudahan lain seperti pusat latihan , penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan lain-lain.

Menurut Ketua Bahagian Pertanian dan Sosial, KLL Projects Sdn. Bhd., Rosemadi Hussain, pihaknya sebagai pembangun prasarana projek sedang bertungkus lumus menyiapkan semua yang dirancangkan termasuk kandang atau APU dan rumah penempatan di Batu 8 melibatkan kos RM6.8 juta.

“Setiap kandang biri-biri sebagai contoh, berkeluasan 9 meter x 18 meter daripada besi tahan karat dan direka bentuk untuk memuatkan maksimum 150 ekor kambing biri-biri,” katanya.

Kemudahan lain termasuk sistem tangki air mengikut keperluan ternakan dan prasarana asas kawasan APU.

Mulanya tanam suka-suka, kini menguntungkan

ag_03.1

Khadijah Mustapa


Menerima pelawaan membuat liputan mengenai tanaman malberi menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pokok yang menjadi santapan ulat sutera ini.

Bertemu dengan mantan guru, Khadijah Mustapa, 58, merungkai segala persoalan yang terbuku sejak seminggu.

Memulakan bicara, Khadijah bercerita, sebatang ranting malberi yang dibawa oleh seorang ahli keluarga sekembali dari United Kingdom (UK) mengubah kehidupannya sekeluarga.

Katanya, pokok malberi tumbuh subur di UK bagaikan kawasan semak dan buahnya yang masam-manis enak dimakan terutama bagi pelajar negara ini.

“Dengan sebatang dahan, suami saya, Abdul Jalil Nong menanamnya secara suka-suka kerana kami sekeluarga memang gemar bertani,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rasa Tambahan, Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Apabila pokok malberi yang ditanam mula mengeluarkan hasil, Khadijah membuat jem serta jus dan memberikannya kepada guru sekolah di tempatnya mengajar.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai yang ingin membeli produk baru ini,” katanya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai malberi melalui Internet.

Mendapati pokok dan buah malberi mempunyai banyak kegunaan, Khadijah mula menghasilkan jus, jem, teh dan dadih bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun rakan serta keluarga yang berkunjung ke rumah dan merasai produk malberi hasilan tangan Khadijah menggalakkan beliau mengkomersialkannya.

Bermula dengan menjual pada rakan dan sahabat di sekolah serta jiran berhampiran, Khadijah mula terfikir mengkomersialkannya.

Setelah lima tahun mengusahakan jem malberi secara kecil-kecilan, setelah bersara Khadijah mula mengambil langkah membesarkan perniagaannya.

Menerima nasihat rakannya Zainon Ariffin, Khadijah meminta khidmat nasihat Jabatan Pertanian bagi meningkatkan mutu produk jem buatannya selain menghasilkan produk lain seperti jus, teh dan topping dadih.

“Jabatan Pertanian membantu memberikan khidmat nasihat mengenai pembuatan jem, teh, jus dan dadih.

“Saya juga menggunakan kemudahan di Jabatan Pertanian Rasa bagi menghasilkan produk,” katanya yang menghasilkan dan mengeluarkan produk di bawah syarikat DMJ Enterprise.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Khadijah yang sekarang mengusahakan tanaman malberi di tanah seluas suku ekar kini mula menanamnya di kawasan seluas kira-kira empat hektar (11 ekar) di Batang Kali, Selangor.

Khadijah menanam pokok malberi secara berperingkat bagi membolehkan hasil dituai secara berterusan.

Ditanya mengenai pengurusan tanaman malberi, beliau berkata, malberi mudah ditanam dan dijaga tetapi tanaman ini menarik ulat beluncas dan burung.

“Pokok malberi, pokok renek seakan-akan semak mengambil masa tiga bulan untuk berbuah dan biasanya buah yang pertama kali tidak digunakan.

“Kami menggunakan buah yang terhasil pada kali ke dua dan seterusnya bagi memastikan mutu,” katanya yang mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Mara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.

ag_03.2

Buah malberi yang unik tetapi mempunyai keistimewaan untuk menghasilkan banyak produk hiliran.



ulat sutera

Memandangkan daun malberi adalah makanan ulat sutera, musuh semulajadinya adalah ulat beluncas.

Bagi menghalang ulat beluncas, Khadijah tidak menggunakan racun serangga sebaliknya hanya hanya membuang serangga yang ada.

Mengenai ancaman burung pula, Khadijah tidak menggunakan malberi sisa makanan burung dan hanya buah yang sempurna.

Mencari maklumat mengenai pokok malberi, Khadijah mendapat tahu, buah malberi masak boleh dimakan mentah.

Selain itu, buah malberi juga boleh digunakan dalam masakan seperti pai, tart dan minuman kordial.

Buah malberi hitam yang biasa terdapat di barat daya Asia, manakala malberi merah yang ditemui di Amerika Utara mempunyai rasa yang kuat.

Malberi hitam, merah dan putih terdapat dengan banyaknya di India, Azerbaijan, Syria, Armenia, Pakistan, Iran dan Afghanistan dipanggil malberi unggul.

Buah malberi hitam pula diimport ke Britain dalam abad ke-17, atas alasan membantu industri ulat sutera.

Bagaimanapun malberi banyak digunakan dalam perubatan tradisional terutama untuk merawat kurap.

Pokok malberi dibawa ke negara ini oleh pedagang Cina sebagai makanan ulat sutera dan sebagai ramuan ubatan tradisional.

Malahan tumbuhan ini mempunyai pelbagai khasiat dalam perubatan tradisional cina sejak 1800 tahun lalu.

Keseluruhan pokok boleh dimanfaatkan, di mana buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat jem, daunnya dijadikan teh dan batang serta akar boleh direbus untuk diminum.

Khasiatnya paling popular dalam formulasi tradisional bagi mengelakkan kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merendahkan paras kolestrol dalam darah.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk malberi boleh menghubungi Khadijah Mustapa di 012-9026676 atau 03-60579197.

Info pokok malberi

Malberi atau morus merupakan 10 hingga 16 jenis spesies pokok daun luruh yang biasa terdapat di kawasan temperat panas dan subtropikal di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika dengan majoritinya di Asia.

lBerkait rapat dengan genus Broussonetia juga dikenali dengan malberi atau Paper mulberry, Broussonetia papyrifera.

Klasifikasi saintifik

Alam: Plantae

Filum: Magnoliophyta

Kelas: Magnoliopsida

Order: Rosales

Famili: Moraceae

Kumpulan: Moreae

Genus: Morus