Belia contoh usahawan tani

BIDANG pertanian kini semakin mendapat tempat di hati belia dan mereka mula menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dengan tekad untuk menjadi usahawan tani yang berjaya.

Ada antara mereka sanggup berhenti kerja kerana ingin berdikari tanpa makan gaji.

Ini membuktikan bahawa persepsi belia tehadap pertanian mula berubah dan minda mereka mula terbuka untuk menyahut seruan kerajaan agar menghijaukan kawasan sekitar dengan pelbagai tanaman sebagai persediaan menghadapi krisis makanan sekiranya ia berlaku.

Di daerah Batu Pahat misalnya, ramai belia yang menceburkan diri dalam pertanian dan penternakan berjaya menjadi usahawan belia dan ternak yang boleh dicontohi.

Ada antara mereka yang telah dianugerahkan belia dan wira tani bagi peringkat negeri dan kebangsaan Kesemua itu menjadi pemberi semangat kepada dua beradik Azman Saari, 25 dan Almizan Saari, 27 dari Kampung Parit Tengah, Sri Merlong, Rengit Batu Pahat bekerja keras dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar usahawan tani berjaya suatu hari nanti.

Lebih beruntung apabila hasrat mereka mendapat sokongan dan galakan daripada keluarga juga wakil rakyat Rengit, Ayub Jamil yang sentiasa memberi semangat juga meninjau projek pertanian yang mereka usahakan.

Seterusnya mereka dijadikan sebagai model bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit kepada

Gerakan Ekonomi Desa Baru yang diperkenalkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) DUN Rengit dengan menanam cili secara fertigasi.

Meskipun mereka tidak pernah mengikuti sebarang kursus penanaman tetapi minat yang mendalam serta pemantauan daripada JPMM DUN Rengit membantu dua beradik ini menjadi petani yang berjaya tanpa bekerja makan gaji.

Mereka bermula dengan menanam cili kampung menggunakan benih daripada pokok cili kampung yang ditanam ibu mereka di belakang rumah.

Bermula dari situ mereka berfikir mengapa tidak diusahakan secara komersial kerana harga cili kampung mahal di pasaran.

”Kami menyemai benih cili ke dalam polibeg lebih kurang 80 pokok dan dalam masa empat bulan buahnya sudah boleh dipetik,” kata Azman.

Azman yang pernah bekerja sebagai pekerja industri di daerah Batu Pahat berkata, dari situ mereka mula yakin untuk menanam cili taiwan hibrid secara fertigasi sebagaimana yang diusulkan oleh JPMM DUN Rengit dengan penggunaan bioteknologi.

Mereka bermula enam bulan lalu dengan modal RM6000 dan menanam 500 pokok cili taiwan hibrid di kawasan belakang rumah dengan keluasan 90 x 40 kaki dengan menggunakan teknik fertigasi.

Mereka menyemai benih cili di petak semaian selama 30 hari sebelum ia dipindahkan ke dalam polibeg di tapak semaian yang telah disediakan.

Cili taiwan dipilih kerana ia mampu mengeluarkan hasil dalam masa dua bulan.

Setakat ini menurut Azman dan Almizan, cili taiwan sudah dua musim berbuah, pada musim pertama mereka mendapat lebih 200 kilogram cili manakala pada minggu kedua musim kedua lebih 200 kilogram cili telah dipetik dan ini katanya membuktikan bahawa peningkatan hasil cili musim kedua melebihi pada musim pertama.

Almizan yang sebelum ini bekerja di Singapura, pulang ke Malaysia setelah kontraknya tamat merancang untuk terus bersama adiknya dalam mengusahakan projek penanaman cili ini kerana ia memberi kepuasan apabila tanaman mengeluarkan hasil dari titik peluh mereka sendiri.

Hasil usaha

Untuk meneruskan kerja di Singapura buat masa ini amatlah sukar sementelahan pula dalam keadaan kes influenza H1N1 yang semakin menular di negara jiran itu. Justeru dia amat berharap agar hasil usaha mereka mendapat pulangan yang memberangsangkan.

Walaupun mereka sedar bahawa harga cili sentiasa turun naik dan kini harga cili hanya RM8 hingga RM9 sekilogram tetapi semangat kedua beradik ini tidak pernah luntur malah mereka yakin harga cili tidak akan jatuh lebih rendah dari itu.

Untuk menambah pengetahuan dalam bidang pertanian mereka tidak jemu menimba pengalaman daripada mereka yang telah berjaya dan sentiasa mencari kelemahan serta bagaimana cara untuk mengatasinya.

”Kami masih baru lagi dan masih banyak yang perlu diketahui serta dipelajari agar apa yang kami usahakan tidak akan terbantut di tengah jalan,” jelas Azman.

Apa yang penting mereka sentiasa mencari apa yang terbaik untuk tanaman mereka agar kualiti tanaman sentiasa terjaga justeru Almizan dan Azman sering meminta pandangan daripada JPMM DUN Rengit yang menyediakan kursus kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Setakat ini mereka tidak menghadapi masalah dalam memasarkan hasil tanaman mereka.

Mereka memasarkan sendiri hasil tanaman di sekitar daerah Batu Pahat serpeti di pasar awam juga pasar raya besar dan permintaan amat memuaskan.

”Meskipun harga cili turun naik tetapi permintaan terhadap cili tidak pernah berkurangan,” ujar Azman yakin.

Mereka memilih untuk menanam cili taiwan hibrid kerana penjagaannya tidak cerewet serta hasilnya boleh dipetik dalam masa dua bulan.

Bagaimanapun dalam musim cuaca yang tidak menentu kini seperti terlalu panas serta hujan yang tidak menentu boleh menyebabkan kualiti pokok cili terganggu justeru penjagaan rapi amat penting bagi menjaga agar buah yang dihasilkan berkualiti.

Ahli DUN Rengit, Ayub Jamil ketika ditemui melawat projek tanaman cili kedua beradik ini memberitahu tidak ramai anak-anak muda yang sanggup berhenti kerja dan menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana kurang yakin dengan pulangannya.

Bagaimanapun tambah Ayub, kegigihan dua beradik ini patut dicontohi oleh anak-anak muda lain khususnya di DUN Rengit kerana pertanian pada hari ini telah merupakan satu perniagaan yang mampu meraih pendapatan lumayan.

Bekas wartawan ternak keli

ag_02.1

Normahiran Yusoff boleh berbangga dengan usahanya sebagai usahawan tani yang kini telah membuahkan hasil.


Biarpun pernah menjawat jawatan wartawan selepas menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa, Normahiran Yusoff meninggalkan kerjaya berkenaan dan berhijrah ke dunia lebih glamor dengan terlibat dalam industri hiburan.

Ketika bertugas di syarikat rakaman, beliau dikelilingi oleh artis-artis tapi hatinya masih tidak dapat melupakan dunia perniagaan.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Pengurus Kanan sebuah syarikat rakaman, beliau menubuhkan syarikat sendiri dan seterusnya Normahiran mula melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Berpegang kepada moto ‘Pertanian Adalah Perniagaan,’ Normahiran mula berjinak-jinak mengikuti kursus pertanian terutama pembenihan dan ternakan ikan keli.

Beliau memulakan usahanya dengan membeli set ternakan ikan keli dalam kanvas daripada pengusaha di Negeri Sembilan.

“Setelah mengikuti kursus ternakan dan pembenihan ikan keli di Selangor, saya mula meninjau pasaran sebelum memulakan ternakan,” katanya semasa ditemui di kawasan ternakan keli di Dengkil, Selangor, baru-baru ini.

Setelah meninjau pasaran, Normahiran membuat pengiraan modal serta untung rugi. Setelah pasti dengan keuntungan, beliau memulakan projek.

Beliau membeli tiga buah tangki yang telah diubahsuai sebagai permulaan untuk menternak ikan keli.

Kemudian beliau membeli anak benih ikan bersaiz tiga inci. Kini Normahiran beralih kepada saiz lima inci kerana saiz yang lebih besar cepat membesar dan kadar kematiannya juga rendah.

Pada mulanya, beliau hanya memberikan ikan keli makan pelet tetapi kosnya yang tinggi menyebabkan Normahiran mencari alternatif lain.

“Bagi menggantikan bekalan protein, saya menggunakan kepala dan perut ikan bilis yang didapati di pasar malam yang saya masak dengan beras hancur selain sisa roti.

“Maklum balas yang saya daripada penternak lain mendapati perut dan kepala ikan bilis mempunyai protein yang tinggi dan sesuai menggantikan pelet,” katanya.

Sehingga kini ternakan kelinya telah mengeluarkan hasil dan beliau mendapat kontrak membekalkan ikan keli kepada sebuah syarikat mengeluarkan ikan keli salai.

Ikan keli salai, kata Normahiran memerlukan ikan keli yang memakan pelet dan bahan kaya protein tetapi kurang lemak bagi mendapatkan tekstur yang cantik.

“Biasanya saiz ikan keli yang sesuai untuk dibuat ikan salai adalah 160 gram (g) seekor atau enam hingga tujuh ekor bagi satu kilogram.

“Kini saya perlu membekalkan 200 kilogram (kg) ikan keli seminggu kepada ikan salai,” katanya.

Bagi mendapatkan kontrak membekalkan ikan keli bagi ikan keli salai, pengusaha ikan salai melawat ke kawasan ternakannya bagi memastikan makanan yang diberikan serta tahap kebersihan.

Buat masa ini Normahiran sedang berusaha membesarkan lagi projek ternakan ikan keli bagi memenuhi permintaan pengusaha ikan keli salai.

Kilang pelet pelepah sawit untuk ternakan

ag_03.1

Teknologi penghasilan pelet yang dimiliki MARDI, Serdang Selangor.


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengorak satu lagi langkah kejayaan apabila menghasilkan makanan ruminan ternakan berasaskan pelepah kelapa sawit.

Kilang seumpamanya yang pertama di dunia, mula beroperasi Julai tahun lalu, berjaya menghasilkan dua jenis makanan untuk ternakan iaitu pelet makanan lengkap dan pelet makanan seratus peratus pelepah segar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan ketika melawat kilang tersebut di Felda Bukit Sagu, dekat Kuantan, Pahang, baru-baru ini, berkata, kerajaan berharap kilang ini menjadi perintis kewujudan lebih banyak lagi kilang sedemikian pada masa depan.

Ini kerana pelet, yang dihasilkan menggunakan teknologi Jepun dan Jerman, mendapat permintaan tinggi di pasaran sekarang.

“Malah, pengusaha ternakan dari Kanada dan Korea Selatan juga dilihat berminat dan menyatakan hasrat untuk membeli produk ini,” katanya.

Ahmad berkata, kewujudan kilang itu adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan jumlah ternakan negara bagi mencapai sasaran 28 peratus untuk pengeluaran daging dan 16 peratus bagi pengeluaran susu menjelang 2010.

”Justeru itu, bekalan makanan ternakan yang bermutu tinggi dan mampu dibekalkan sepanjang tahun dilihat sangat penting bagi memenuhi matlamat itu.

“Dan kita yakin kilang pelet pelepah sawit ini dapat membantu usaha giat kita menyuburkan lagi sektor penternakan negara ini,” katanya.

Pengurus Kilang Oil Palm Frond (OPF) Felda Bukit Sagu, Jamil Md. Yasin berkata, kilang yang didirikan di Felda Bukit Sagu 2 dibina di kawasan seluas 1.5 hektar melibatkan kos RM14.1 juta.

“Kilang ini menghasilkan pelet untuk ternakan lembu dan kambing, dan sasaran kami ialah menjadi pembekal utama makanan kepada ternakan negara,” katanya, baru-baru ini.

Menurut Jamil, formulasi makanan tersebut dicipta khusus berasaskan kepada keperluan nutrien seperti protein, serabut, lemak dan mineral bagi menjamin pertumbuhan, pembiakan, dan kesihatan ternakan.

“Harganya juga murah iaitu RM30 untuk 40 kilogram (kg) bagi pelet makanan lengkap, dan bagi pelet makanan 100 peratus pelepah sawit segar ialah RM17 untuk 40kg,” katanya.

Penternak juga tidak perlu bimbang mengenai had tamat tempoh pelet itu kerana pelet 100 peratus pelepah sawit segar boleh digunakan dalam tempoh dua tahun sementara bagi pelet makanan lengkap bertahan sehingga tiga bulan.

“Makanan lengkap ini dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan nutrien untuk pelbagai peringkat fisiologi dan pengeluaran ternakan, selain ia juga dikenalpasti bebas daripada toksin, faktor anti-pemakanan dan logam berat,” katanya.

Hasil kajian mendapati pengambilan pelet sebanyak 7 kilogram (kg) sehari dapat meningkatkan berat badan lembu daging antara 0.8 kg dan 1kg sehari.

Manakala pengambilan makanan sebanyak 14 kg sehari untuk lembu tenusu dapat menghasilkan pengeluaran susu sebanyak 21.8kg liter sehari.

Pertambahan berat melebihi 180 gram (g) sehari juga pernah dicapai pada kambing baka Boer.

“Perbezaan antara kedua-dua pelet itu adalah pelet makanan 100 peratus pelepah sawit segar ibarat seperti makan nasi tanpa lauk sementara pelet makanan lengkap adalah seperti makan nasi beserta dengan sayur dan lauk,” katanya.

“Kilang ini mampu mengeluarkan 1,200 tan pelet sebulan menerusi satu syif dan kita punyai tiga syif bekerja,” katanya.

Jamil berkata, kewujudan kilang itu juga dilihat dapat menambahkan lagi pendapatan peneroka kawasan terbabit.

“Peneroka dapat menjual pelepah kelapa sawit kepada kilang dan harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM65 untuk satu tan pelepah kelapa sawit.

“Sehingga kini kilang ini telah membelanjakan RM93,558 bagi membeli pelepah tersebut daripada peneroka,” katanya.

“Setakat ini, terdapat 13 pekerja dan majoriti ialah anak peneroka tempatan atau generasi kedua warga Felda,” katanya.

Jamil berkata, kilang tersebut juga tidak mengalami masalah kekurangan bekalan memandangkan terdapat 17,000 hektar kebun kelapa sawit di Felda Bukit Sagu 1, Bukit Sagu 2, Bukit Goh dan Bukit Kuantan, yang berpotensi menjadi pembekal pelepah sawit.

“Selain itu terdapat seluas 61,000 hektar ladang kelapa sawit di rancangan felda Wilayah Felda Kuantan, jadi kita tidak akan menghadapi masalah mendapatkan bekalan pelepah sawit,” katanya.

Keajaiban tumbuhan herba

kn_01.1

PINTU masuk Taman Konservatif Pertanian yang terletak di UPM, Serdang.


Ketika kecenderungan orang ramai sebagai pengguna mula terarah kepada produk semula jadi, mereka kini memilih untuk menjadikan tumbuhan sebagai bahan utama kegunaan harian.

Produk tersebut mungkin ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan berasaskan herba yang kini semakin popular.

Justeru, apabila semakin banyak pihak mula menyedari kecenderungan tersebut dan mengambil langkah proaktif menjalankan penyelidikan mengenai tumbuhan herba, ia boleh dianggap satu perkembangan positif.

Menjalankan penyelidikan mengenai khasiat herba tidak sahaja membantu mempromosikan tumbuhan tersebut secara langsung tetapi masyarakat juga kini mula menghargai bukti saintifik dan khasiatnya.

Lebih menarik, beberapa pihak sudah mengambil langkah lebih kehadapan yang akan menyokong industri ini pada masa akan datang menerusi pewujudan taman-taman herba dan seumpamanya.

Sebagai bukti, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan Taman Konservatif Pertanian yang menempatkan lebih 500 spesies tumbuhan ubat-ubatan.

Usaha tersebut yang digerakkan oleh Institut Biosains (IBS) UPM telah berjaya menarik para penyelidik tempatan dan luar negara untuk menjalankan kajian perubatan bagi mengatasi pelbagai penyakit.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, konsep taman tersebut sangat bersesuaian dengan UPM yang memberi fokus kepada penanaman tumbuhan untuk menghasilkan produk hiliran.

“Menerusi taman ini, para penyelidik dapat menjadikannya sebagai pusat tumpuan utama bagi sumber tumbuhan herba dalam kajian bioteknologi mereka.

“Malaysia merupakan negara bertuah kerana berada di tangga keempat selepas China, Indonesia dan India daripada 12 negara di dunia yang mempunyai lebih 1,500 spesies tumbuhan berstatus ubat-ubatan,” katanya ketika ditemui di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Sementara itu, koordinator taman berkenaan, Dr. Faridah Qamaruz Zaman memberitahu, taman itu diusahakan di kawasan seluas dua hektar yang dipenuhi dengan tumbuhan asli dan eksotik dari spesies tempatan.

“Keistimewaan yang diketengahkan adalah kesemua pokok diatur dalam susunan landskap yang cukup menarik serta dilengkapi dengan label memaparkan maklumat seperti nama asal, nama saintifik dan kegunaannya,” jelas beliau.

Dalam memastikan perkembangan industri herba, pihak IBS juga ada menjalankan kerjasama secara komersial dengan pihak industri seperti organisasi bukan kerajaan (NGO).

Sebagai contoh, sejak empat tahun lalu, IBS bersama Majlis Kanser Nasional (Makna) telah bekerjasama menjalankan penyelidikan makmal secara klinikal untuk mencari penawar kepada penyakit kanser.

Selain itu, kesemua tumbuhan herba yang ditanam juga akan di hantar ke beberapa fakulti seperti fakulti perubatan untuk tujuan penyelidikan dan kajian lanjut mengenai khasiatnya.

Ia biasanya melibatkan pelbagai spesies tumbuhan herba tidak kira daripada bahagian bunga, daun, batang atau akarnya. Antara contoh tumbuhan tersebut adalah seperti cekur, daun kaduk, daun kemangi, misai kucing dan sebagainya

Mungkin ramai yang tidak mengenali kumpulan tumbuhan ubatan jenis herba ini kerana penanamannya tidak dilaksanakan secara meluas.

Justeru bagi mendedahkan masyarakat kepada penggunaan, kaedah penanaman dan penjagaan tumbuhan jenis itu, UPM melalui IBS telah menganjurkan Bengkel Pengenalan Tumbuhan Ubatan.

Bengkel yang pertama kali diadakan itu adalah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan minat di kalangan peserta terhadap tumbuhan ubatan di samping mengenalpasti potensinya dalam industri.

Menurut Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff, disebabkan aplikasi perubatan tradisonal menggunakan tumbuhan herba hanya diamalkan oleh masyarakat di sesuatu tempat, maka ia perlu diperluaskan kepada umum.

“Penggunaan tumbuhan herba telah meluas, namun pengetahuan tentang khasiat sebenar dan cara penanaman yang betul tidak diamalkan sepenuhnya.

“Justeru, melalui bengkel seperti ini, para peserta dapat berkongsi maklumat dan seterusnya dapat menambah pengetahuan tentang tanaman ini dengan lebih mendalam,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, bengkel dua hari berkenaan memberi fokus kepada pengenalan sumber tumbuhan baru, mengenalpasti khasiat tumbuhan secara saintifik, pembiakan tumbuhan secara in-vitro, industri herba semasa, pemakanan berasaskan herba serta pelaksanaan kebun dapur.

Untuk memperolehi maklumat tumbuhan dengan lebih jelas, para peserta turut didedahkan dengan jenis dan nama tempatan serta nama saintifik. Mereka juga akan diberi penerangan tentang pembahagian tumbuhan yang boleh dikategorikan kepada tiga fungsi utama iaitu untuk tujuan aromaterapi, refleksi dan kesihatan.

Bagi mengelakkan masalah kepupusan di samping mengatasi masalah kekurangan bekalan sumber bahan mentah, para peserta juga akan diajar dengan teknik penanaman secara tisu kultur. Ini keran teknik berkenaan mempunyai kelebihan untuk menghasilkan anak pokok yang berkualiti serta mengalami pertumbuhan yang cepat.

Bukan setakat itu, pendidikan secara praktikal akan diberikan untuk menggalakkan mereka menanam pokok herba sebagai tumbuhan landskap di rumah seperti pokok ulam-ulaman agar hasilnya dapat dimakan secara terus.

Selain itu, IBS melalui unit bantuannya juga akan menyalurkan pertolongan seperti khidmat nasihat, jualan benih dan juga penerangan secara terperinci.

Kira-kira 50 orang peserta mengambil bahagian dalam bengkel tersebut terdiri daripada orang awam, para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan juga swasta.

Menurut salah seorang peserta, Abdul Razak Roslan, 41, bengkel tersebut memberi banyak manfaat kepadanya dari segi maklumat berkaitan khasiat setiap tumbuhan dan teknik tanaman yang betul.

“Dengan ilmu tersebut, selepas ini saya boleh menanam sendiri tumbuhan herba di rumah dan juga di tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Universiti Darul Iman Malaysia, Nor Haslinda Haron, 25 berpendapat, bengkel tersebut memberi peluang kepadanya mengenali beberapa individu yang mempunyai kepakaran dalam industri tersebut.

“Mereka tentunya dapat dijadikan sebagai sumber rujukan untuk saya mendapatkan maklumat mengenai fungsi herba dalam menyembuhkan penyakit.

“Ini kerana ketika ini saya sedang menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai kegunaan herba tradisional,” jelasnya.

Yahya pakar pembenihan keli

wu_01.1

Yahya Ismail menunjukkan seekor induk keli.


PADANG BESAR 10 Julai – Ternakan ikan keli merupakan salah satu bidang akuakultur yang dapat memberikan hasil lumayan sekiranya ia diternak secara komersial melalui teknik serta penjagaan yang baik.

Ikan keli adalah jenis ikan air tawar yang senang dijaga dan cepat membesar sama ada melalui ternakan dalam kolam, palung simen atau pun kanvas.

Tempoh kematangan ikan keli bergantung kepada cara pemakanan dan benih keli yang digunakan. Ada keli yang boleh dituai hanya dalam tempoh dua bulan sahaja.

Bagaimanapun, bagi penternak keli tidak ramai yang berkecimpung atau menghasilkan benih ikan keli sendiri.

Kebanyakan penternak hanya memperoleh benih ikan keli daripada pihak tertentu yang mempunyai kemahiran menghasilkan benih ikan keli dengan harga tertentu mengikut gred benih.

Berlainan dengan seorang penternak ikan keli, Yahya Ismail, 57, dari Kampung Batu Bertangkup, Chuping di sini, selain menternak ikan keli beliau juga menghasilkan benih ikan keli sendiri.

Apa yang menariknya, dalam mempelajari cara pembenihan ikan keli Yahya dan menantunya, Muhamad Suhil Sultan, 31, tidak mengikuti apa-apa kursus sebaliknya hanya mendapat panduan daripada rakan-rakannya yang terlibat dalam ternakan yang sama dan nasihat Jabatan Perikanan.

Melalui kaedah cuba dan membaiki kesalahan, Yahya kini boleh tersenyum lebar apabila beliau merupakan salah seorang penternak keli yang berjaya di Perlis.

Tidak hairan dengan kesungguhan yang ditunjukkan dalam bidang pertanian dan ternakan tanpa mengharap bantuan daripada kerajaan beliau mampu berjaya.

Menceritakan penglibatan awal dalam ternakan keli, usahawan itu berkata, bidang ternakan ikan keli diusahakan kira-kira tujuh tahun lalu dalam dua kolam berhampiran rumahnya.

Katanya, kaedah pembenihan keli hanya dipelajarinya dua tahun lalu apabila mendapati cara itu mampu menjimatkan kos di samping dapat memperolehi benih yang berkualiti.

”Saya gagal beberapa kali dalam mempelajari teknik pembenihan keli ini tetapi saya tidak pernah berputus asa dan menganggap itu adalah lumrah biasa dalam bidang pertanian dan ternakan.

”Sebelum ini melalui benih yang dibeli dari luar dianggarkan daripada 60,000 benih keli hanya separuh yang akan hidup dan membesar. Saya melihat ini sebagai satu kerugian yang besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sekarang dengan dibantu menantunya, Yahya yang dianugerahkan Penternak Jaya (keli) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Perlis 2009 mempunyai enam buah kolam yang berkeluasan 180×140 kaki setiap satu.

Beliau juga mempunyai lebih 1,000 benih induk keli jantan dan betina.

Selain itu, Yahya juga merupakan Pengerusi Projek Kelompok Tanaman Kontan yang diusahakan bersama dua rakannya di atas tanah seluas lapan hektar sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Melalui tanaman ini, beliau juga pernah dianugerahkan Petani Jaya (pertanian kontan) beberapa tahun lalu.

Sebagai salah seorang penternak yang berjaya, beliau kini menjadi salah seorang tempat rujukan terutama dalam kaedah pembenihan ikan keli yang turut disyorkan oleh Jabatan Perikanan Perlis.

Melalui pengalaman dalam pertanian melebihi 30 tahun dan ternakan lebih tujuh tahun, Yahya memberitahu beliau sanggup mencurahkan ilmu yang ada padanya jika ada sesiapa yang mahu menceburi bidang tersebut.

”Saya suka berkongsi pengalaman dan memberikan nasihat dalam bidang pertanian dan ternakan ikan keli jika ada pihak yang berminat terutama penduduk kampung serta golongan muda.

”Bagi saya ilmu yang saya ada ini akan lebih bermanfaat jika dapat disebarkan kepada orang ramai dan meningkatkan taraf hidup terutamanya penduduk luar bandar,” ujarnya.

Katanya, sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari teknik pembenihan ikan keli di rumahnya akan berpeluang melakukan secara praktikal.

”Saya akan memberikan benih keli yang saya ternak bagi membolehkan mereka mengetahui cara yang betul melakukan proses pembenihan secara percuma.

”Pembeli benih keli juga akan diberikan khidmat nasihat agar mereka dapat memajukan ternakan sehingga mampu menghasilkan benih sendiri,” jelasnya.

Tambahnya, bagi sesiapa yang berminat untuk mempelajari cara pembenihan keli boleh datang ke rumahnya atau menghubunginya di talian 04-9441380.

Ladang harumanis di sawah

PADANG BESAR 12 Julai – Kerajaan akan membantu para petani mewujudkan ladang mempelam harumanis di sawah secara berperingkat-peringkat untuk menambah pendapatan kumpulan sasar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad memberitahu, tumpuan utama adalah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi di sini.

Mulai tahun ini, katanya, kerajaan menggalakkan petani di Titi Tinggi menanam harumanis di kawasan sawah bagi mendapatkan hasil pertanian jangka panjang.

“Para petani di Titi Tinggi bermasalah dengan sistem perairan sehingga bekalan air ke sawah terlalu sukar diperoleh kerana faktor tanah tinggi.

“Kerajaan mencadangkan kepada petani terlibat supaya menanam harumanis di atas batas sawah. Mereka cuma perlu membesarkan saiz batas tersebut,’ katanya ketika ditemui di sini.

Sabry memberitahu, cadangan berkenaan dibuat setelah kerajaan sedia maklum sawah di kawasan Titi Tinggi sukar untuk diusahakan tanaman padi sekali atau dua kali setahun sebagaimana kawasan lain kerana berdepan masalah bekalan air.

Berpandukan keadaan semasa, katanya, tanaman itu wajar ditumpukan ke Titi Tinggi kerana rekod semasa menunjukkan purata setiap pokok harumanis yang dijaga dengan baik boleh menyumbang hasil jualan RM1,000 setahun.

“Saya telah bertemu dengan sebahagian petani di Titi Tinggi dan mencadangkan peringkat awal mereka menanam 10 pokok harumanis sebagai projek percubaan.

“Salah satu pertemuan tersebut telah diadakan dengan petani serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini baru-baru ini,” katanya.

Sehubungan itu, Sabry meminta petani yang berminat menanam pokok tersebut di sawah supaya membuat pendaftaran berkelompok untuk memudahkan tindakan lanjut terutama oleh Jabatan Pertanian.

Menurutnya, kini harumanis dijual RM8 sekilogram bagi gred A (450-650 gram sebiji), RM7 bagi gred B (350-450 gram) dan RM6 bagi gred C (bawah 350 gram).

Kata beliau, harga itu adalah berdasarkan kadar jualan harumanis di Pusat Pertanian Bukit Bintang, Kangar milik Jabatan Pertanian Perlis.

“Harga berkenaan adalah mengikut jualan Jabatan Pertanian. Sebenarnya harumanis di luar pusat pertanian itu dijual dengan harga yang lebih tinggi iaitu sehingga RM12 sekilogram,” jelasnya.

Pakar pertanian UPM turun padang dekati masyarakat

ag_02.1

Peluang kepada pengusaha pertanian mendapatkan khidmat nasihat menerusi program pengembangan.


Ini peluang terbaik bagi pengusaha pertanian di Temerloh, Pahang dan sewajarnya mereka tidak melepaskan peluang bertemu 25 pakar pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada satu program khas selama dua hari bermula esok dan lusa.

Kunjungan kumpulan pelbagai pakar pertanian itu menerusi program Hari Terbuka Bersama Pakar Pertanian UPM di Temerloh yang akan di adakan di Kompleks Dewan Tun Abdul Razak bertemakan Dari Gedung Ilmu Ke Lapangan.

Program anjuran UPM di bawah urus setia Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) bersama Jabatan Pertanian dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh itu merupakan satu usaha pengembangan untuk mendekati masyarakat secara langsung.

Menurut Pengarah APEEC, Prof. Dr. Azimi Hamzah, program tersebut memberi khidmat nasihat dan rundingan dalam perkhidmatan pengembangan kepada kumpulan sasar di kawasan terpilih merangkumi bidang tanaman, penternakan, perikanan, industri asas tani serta teknologi dalam bidang berkaitan.

Beliau berkata, usaha seperti itu merupakan cabaran utama kepada penyelidik kerana sebelum ini konsep pemindahan teknologi (TOT) dilakukan tetapi ia belum mencukupi.

“Ini kerana konsep TOT tidak melibatkan kumpulan sasar secara langsung sebaliknya hasil penyelidikan diserahkan kepada mereka tanpa sebarang usaha penglibatan menyeluruh,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, baru-baru ini.

Justeru, konsep pengembangan lebih sesuai dan tepat yang mana penglibatan kumpulan sasar seperti petani secara menyeluruh dengan langkah awal memahami permasalahan mereka.

Perbincangan dilakukan dengan kumpulan tersebut sebelum mereka membuat keputusan untuk menentukan cara sesuai menyelesaikan masalah.

“Konsep (pakar) datang untuk menyelesaikan masalah semata-mata tidak mencukupi sebaliknya petani diberi peluang menyertai sendiri proses perbincangan dan penyelesaian masalah mereka dengan diberi bimbingan,” ujar beliau.

Katanya, lebih menarik turut diperkenalkan ialah Makmal Sosial atau Makmal Terbuka yang mana masalah diselesaikan ibarat membuat kajian dalam makmal.

Katanya, konsep pengembangan perlu diberi pendekatan baru supaya peranannya diiktiraf dan penting dalam memajukan sektor pertanian.

Beliau berkata, UPM antara universiti yang memainkan peranan meningkatkan usaha memperkasa program pengembangan dan sering dijadikan rujukan oleh agensi kerajaan yang mahu mendapatkan khidmat dalam program terbabit.

Malah, satu ketika sebelum penubuhan APEEC, UPM mempunyai Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL) yang memainkan peranan tersebut bagi menyalurkan hasil penyelidikan pertanian ke serata negara.

Namun dengan penubuhan APEEC, konsep tersebut diperhebatkan dengan merangkumkan sekali usaha-usaha TOT, keusahawanan dan pemajuan profesional dalam mana-mana program pengembangan.

Beliau berkata, usaha seumpamanya akan terus dilaksanakan dengan sasaran antara dua atau tiga tempat dalam setahun mengikut permintaan dan aktiviti pertanian di kawasan terbabit.

Menurut Azimi, pihaknya menjangka 2,000 peserta akan hadiri pada program tersebut yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Antara acara penting termasuk dua forum iaitu Potensi Pembangunan dan Pengkomersialan Sektor Pertanian Terkini dan Peluang Pengajian dan Kerjaya Lepasan UPM.

Program lain termasuk klinik pengembangan dan demonstrasi ternakan, akuakultur, tanaman, industri kecil dan sederhana, penanaman cendawan tiram kelabu, fertigasi, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pensijilan halal.

Turut diadakan ialah bengkel pemprosesan bebola ikan patin, memproses jem buah serta pameran.

Program di Temerloh itu merupakan program yang keempat dilaksanakan selepas Batu Pahat pada 4 September 2007, Jeli (8 Jun 2008) dan Pekan, Pahang (25 hingga 25 November 2008.

Objektif Program

lMembuka peluang kepada kumpulan sasar untuk mengemukakan masalah dan pendapat kepada kumpulan pakar UPM secara langsung, terbuka dan telus.

lMembolehkan UPM menyumbang kepakaran terus ke lapangan, bekerjasama dengan agensi pertanian membangunkan sektor pertanian setempat melalui diagnosis masalah pertanian secara bersama.

lMewujudkan hubungan kerjasama dua hala antara pihak ketiga iaitu UPM, agensi pembanguan setempat serta kumpulan sasar.

lMembuka peluang kepada pakar UPM meneliti masalah pertanian, seterusnya menjadikannya sebagai tumpuan penyelidikan.

lMembolehkan UPM memperkenalkan penyelidikan dan menambah nilai penyelidikan dan teknologi sedia ada kepada petani dan usahawan tani.

lMenjadi salah satu wadah untuk memperkenalkan program pengajian dan peluang kerjaya lepasan UPM.

Kursus cendawan tiram dapat sambutan

MUAR 16 Julai – Program kursus tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan Wira Jaya Marketing sejak tahun lalu terus menerima sambutan menggalakkan dengan penglibatan seramai 200 peserta dari seluruh negara.

Pengurus Wira Jaya Marketing, Rashid Elias berkata, pertanian cendawan tiram sememangnya mempunyai prospek yang besar dalam pasaran dan kerana itu pihaknya yakin program kursus anjurannya akan terus mendapat permintaan.

Katanya, program yang diadakan di Ladang Ternakan Kambing Boer dan Tanaman Cendawan Tiram Kelabu Wira Jaya di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini itu memberi pendedahan terbaik khususnya kepada anak desa untuk mendapat pendapatan tambahan.

“Kami mengadakan kursus ini dari semasa ke semasa dari Julai tahun lalu dan saya pernah mendapat peserta yang datang sejauh dari Kelantan semata-mata untuk mempelajari teknik tanaman cendawan ini.

“Bagi saya, program pertanian cendawan ini amat bersesuaian untuk warga desa kerana daripada tanah terbiar tidak diusahakan, lebih baik ia dijayakan untuk mendapat pendapatan sampingan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis lawatan Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani di ladang miliknya di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini semalam.

Lawatan Mislan yang turut diiringi pegawai-pegawai jabatan kerajaan di daerah Muar itu meninjau perkembangan terkini ladang berkenaan yang memberi sumbangan besar kepada kegiatan pertanian dan penternakan di daerah ini.

Menurut Rashid, kegiatan tanaman cendawan tiram kelabu tidak memerlukan modal yang terlalu besar dan hasilnya boleh dirancang oleh pengusaha.

“Bagi pembinaan bangsal untuk tanaman cendawan mungkin akan mencecah sehingga RM15,000 namun ada juga peserta saya yang telah menggunakan hasil kayu semula jadi untuk membinanya.

“Para pengusaha tidak perlu bimbang mengenai masalah pasaran kerana permintaan untuk cendawan tiram kelabu ini sememangnya tidak mencukupi dan berterusan,” katanya.

Jelas beliau, bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai kursus tanaman cendawan tiram anjuran Wira Jaya Marketing, bolehlah menghubungi pihaknya di talian 09-9556300 ata menerusi email di wjm_tt@yahoo.com.

Hasil lumayan industri cacing

wu_01.1

Abu Bakar Moh bersama pekerja melihat cacing yang diternak di Puncak Jelapang, Ipoh.


IPOH 16 Julai – Industri ternakan cacing di negara ini diyakini mempunyai potensi cerah berikutan permintaan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Hakikatnya, ternakan cacing menghasilkan pendapatan lumayan selain memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang masih menganggur akibat kesan kegawatan ekonomi global.

Menurut Pengarah CMT Agro Resources Sdn. Bhd., Norhisham Jamaludin, 27, permintaan terhadap cacing amat menggalakkan terutama bagi tujuan perubatan, makanan, kosmetik dan baja organik.

Katanya, berdasarkan keperluan dan permintaan itu pihaknya bersedia membantu mereka yang berminat menternak cacing untuk memajukan bidang itu secara komersial.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan tiga sistem iaitu sistem pawah, ladang kontrak dan peladang bagi tujuan tersebut.

“Melalui sistem pawah setiap ahli (peserta) dikenakan RM350 untuk menyertai seminar dan diberi lot mengandungi sekurang-kurangnya 300 kilogram cacing.

“Sistem ini memberi faedah kepada ahli kerana tidak perlu menternak dan menjaga cacing, boleh melawat ladang, jaminan pendapatan setiap bulan, tiada risiko perladangan dan boleh menamatkan pawahan bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Norhisham berkata, melalui ladang kontrak pula, ahli dikenakan yuran RM350 untuk belian lot (300 kilogram cacing), faedah penjualan baja dan hasil jualan cacing.

“Sistem ini memberi kelebihan kerana pendapatan tiada had (bergantung kepada hasil pengeluaran baja dan cacing), tidak perlu menyediakan ladang dan cacing yang dibeli adalah hak sendiri,” katanya.

Tambah Norhisham, ladang kontrak ini boleh dilakukan di kawasan yang mudah seperti di pekarangan rumah, garaj dan sebagainya.

Melalui sistem peladang, beliau berkata, ia memberi faedah yang lebih besar kerana penternak akan memiliki ladang sendiri, menerima latihan, pendapatan tanpa had dan berpeluang memperluaskan perniagaan itu dari semasa ke semasa.

Kata Norhisham, syarikatnya akan membekalkan benih cacing, baja dan beberapa kemudahan lain kepada penternak.

“Syarikat kami mengimport cacing merah dari Afrika Selatan kerana benih cacing tempatan tidak mempunyai pasaran.

“Harga cacing sekarang sekitar RM550 sekilogram iaitu mengandungi 2,200 ekor,” jelasnya.

Norhisham berkata, ternakan cacing mengambil masa tiga bulan untuk memberikan hasil manakala tahi cacing boleh dijadikan baja organik bagi kegunaan di sektor pertanian.

Menurut beliau, baja organik yang diproses itu dijual pada harga RM4 bagi sekilogram manakala cacing boleh dijadikan makanan untuk ternakan ikan keli.

Sehubungan itu, penternak tidak perlu bimbang dengan soal pasaran kerana CMT bertanggungjawab untuk menjual cacing yang dihasilkan.

Jelas Norhisham, tahi cacing yang diperoleh dari ladang itu akan diproses dengan pelbagai campuran sebelum ia dipasarkan.

Katanya, permintaan terhadap cacing sehingga kini tidak mencukupi menyebabkan pihak syarikat bercadang mewujudkan lebih banyak ladang dalam usaha memperluaskan pasaran cacing terutama ke luar negara.

Menurutnya, pihaknya memerlukan antara 60,000 hingga 100,000 tan metrik cacing sebulan untuk tujuan pasaran.

Norhisham berkata, 20 ladang cacing diusahakan syarikatnya di Perak.

“Sebanyak 20 lagi ladang akan diwujudkan di Kedah dan Pulau Pinang tahun ini,” katanya.

CMT beroperasi di Pusat Komersial, Taman Meru 2C di sini sejak empat tahun lalu.

Sesiapa yang berminat untuk menjadi peserta boleh menghubungi Norhisham di talian 012-4393552 atau 05-5276546 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, seorang pesara bank di sini sanggup melabur RM30,000 untuk mengusahakan ternakan cacing kerana yakin ia mampu mendatangkan pendapatan lumayan.

Abu Bakar Moh, 57, berkata, beliau melaburkan wang itu untuk menyewa sebuah rumah kedai di Puncak Jelapang di sini dengan sewa RM500 sebulan sejak bulan lalu.

“Pada mulanya saya ragu-ragu tetapi kemudian mendapati perniagaan ini menjanjikan sumber pendapatan paling lumayan menyebabkan saya memberi tumpuan penuh mengusahakan ternakan ini,” katanya ketika di temui di Puncak Jelapang di sini baru-baru ini.

Berbekalkan minat dan bersedia menghadapi risiko perniagaan, beliau mengambil keputusan menternak cacing sejak bulan Jun lalu.

Abu Bakar yang dibantu oleh tiga pekerja, menggunakan bahan mentah seperti najis lembu atau kambing, habuk sekam dan tanah sebagai makanan ternakan cacing.

Walaupun baru mengusahakan perniagaan tersebut, kata beliau, hasil dan keuntungan akan diperoleh dalam tempoh tiga bulan akan datang.

“Menternak cacing ini mudah kerana dalam masa tiga bulan selepas menetaskan telur, cacing ini sudah matang dan boleh dijual,” katanya.

Abu Bakar berkata, di samping menternak cacing, baja organik juga dapat dihasilkan melalui ternakan cacing ini.

“Baja yang dihasilkan boleh dijual di pasaran bagi kegunaan di sektor pertanian,” katanya yang tinggal di Taman Meru 3C.