Air timun, air limau nipis

ALOR GAJAH 6 Julai – Bagi masyarakat negara ini, timun dan limau nipis biasanya hanya dibuat ulam serta perencah sambal belacan.

Namun, kepelbagaian penggunaannya menyebabkan kerajaan negeri bercadang untuk mengkomersialkan timun dan limau nipis sebagai produk minuman rasmi bagi Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ketika ini Melaka telah mengeluarkan produk misai kucing, mangga Melaka Delite dan buah melaka sebagai minuman rasmi kerajaan negeri.

”Buah kelapa pandan merupakan produk minuman rasmi terbaru yang telah dikomersialkan kira-kira sebulan lalu.

”Kita bercadang menjadikan timun dan limau nipis pula sebagai minuman rasmi terbaru,” ujarnya selepas merasmikan sambutan Karnival Buah-buahan Tempatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di sini semalam.

Beliau berharap lebih ramai penduduk negeri ini menanam pokok buah-buahan yang dipilih oleh kerajaan negeri sebagai minuman rasmi kerana ia mudah ditanam.

”Pokok limau nipis misalnya tidak sukar untuk ditanam kerana ia boleh tumbuh dalam pasu kecil,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang berusaha memasarkan produk air rambutan dalam tin yang dikenali sebagai M Rambutan dalam usaha mempelbagaikan produk buah-buahan tempatan untuk tujuan komersial.

Sehubungan itu, Mohd. Ali menasihatkan rakyat negeri ini yang mempunyai dusun rambutan merebut peluang itu dengan membekalkannya kepada agensi berkaitan bagi merancakkan aktiviti pengeluaran produk M Rambutan.

Pada masa sama, beliau mahu Jabatan Pertanian negeri dan Syarikat Pemasaran Melaka menggerakkan promosi bagi memasarkan produk minuman rasmi kerajaan negeri dengan lebih berkesan untuk menarik minat masyarakat.

Ketua Menteri itu turut meminta agensi kerajaan terbabit memantau tanah-tanah terbiar di seluruh negeri bagi digantikan dengan projek penanaman buah-buahan.

”Usaha mempelbagaikan kegiatan pertanian perlu digerakkan secara aktif memandangkan negara kita terpaksa mengimport bahan makanan dengan perbelanjaan yang agak besar pada setiap tahun,” katanya

Oleh itu, beliau meminta penduduk khususnya mereka yang berpendapatan rendah agar bijak menggunakan peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana ia menjamin pendapatan lumayan.

Tanaman serai di tanah terbiar

wt_04.1

YUSAINI Anor Mat Amin membersihkan kawasan tanaman serai di tapak projek pertanian Kampung Tanjong Gahai, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 6 Julai – Melihat keadaan tanah terbiar yang dilitupi semak-samun di Kampung Tanjong Gahai di sini mencetuskan semangat seorang belia, Yusaini Anor Mat Amin, 40, untuk membabitkan diri dalam tanaman serai secara komersial.

Berkat usaha gigihnya, kini serai keluaran ladangnya semakin mendapat permintaan dari peniaga di sekitar bandar Lipis, Raub dan Pasar Borong Selayang di Selangor.

“Penglibatan saya dalam tanaman ini sebenarnya didorong oleh permintaan yang semakin meningkat terhadap serai di tempat lain.

Apabila melihat ada tanah terbiar, timbul keinginan untuk mengusahakan tanah itu dengan tanaman serai secara komersial.

“Saya menggunakan wang simpanan untuk menyewa tanah seluas enam hektar dari beberapa penduduk kampung antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Tanjong Gahai di sini baru-baru ini.

Menurut Yusaini, beliau juga mengeluarkan kos yang agak besar untuk menyewa jentera selama seminggu bagi kerja-kerja membersihkan semak-samun dan pokok-pokok besar di kawasan itu.

Jelasnya, hasil pelaburan kira-kira RM10,000 dan penat lelah selama beberapa bulan lalu, kini tanaman serainya hidup subur di bawah kelolaan beliau sendiri dengan dibantu tiga orang pekerja.

Tambahnya, melihat kepada kejayaan projek tersebut setakat ini, beliau yakin tanaman serai itu mampu memberi pulangan yang lumayan.

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, nyata projek ini berhasil dan kini sebanyak 21,600 rumpun serai hidup subur dan semakin matang, dan dijangka boleh dituai untuk pasaran pertengahan Ogos ini,” ujarnya.

Yusaini yang juga peserta Projek Agropolitan Tanjong Gahai berkata, setiap sehektar tanah boleh menghasilkan kira-kira 20,000 kilogram serai dengan harga pasaran kira-kira 80 sen sekilogram.

“Kesemua serai keluaran ladang saya ini akan dijual kepada Lembaga Perusahaan Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah perjanjian ladang kontrak,” ujarnya.

Beliau bersyukur melalui penjualan serai itu kelak mampu memberi pendapatan antara RM16,000 hingga RM18,000 dan wang itu akan digunakan sebagai modal pusingan.