![]() |
CACING African Night Crawler yang diternak oleh Ismail Mohd. Rhouse di Kampung Santan, Kangar.
|
KANGAR 30 Jun – Baja merupakan komponen penting dalam pertanian selain penggunaan racun bagi memperoleh hasil pertanian yang maksimum.
Baja kimia merupakan bahan paling banyak digunakan masa kini untuk menyuburkan tanaman, tetapi ia memberikan kesan jangka panjang terhadap struktur tanah atau tumbuh-tumbuhan itu sendiri.
Oleh itu di kebanyakan negara, terutama negara maju, pelbagai kajian dibuat bagi menghasilkan baja serta racun alternatif.
Salah satu baja alternatif yang sesuai dan tidak mendatangkan mudarat kepada tanaman selain dapat menjana hasil pertanian yang segar ialah penggunaan baja organik atau baja kompos.
Menyedari pentingnya penggunaan baja kompos dalam bidang pertanian bagi memperoleh hasil yang lebih baik dan mesra alam, seorang bekas siswazah Universiti Malaya (UM), Ismail Mohd. Rhouse, 53, menjalankan ternakan cacing vernikompos bagi menghasilkan baja organik.
Menurut Ismail, cacing jenis African Night Crawler atau nama saintifiknya Eisenia hortensis digunakan bagi tujuan tersebut di Kampung Santan, di sini.
Katanya, ternakan cacing vernikompos itu dimulakan Julai tahun lalu menggunakan benih cacing sebanyak 50 kilogram (kg) dengan khidmat nasihat Jabatan Pertanian Perlis.
”Harga benih cacing jenis African Night Crawler ketika itu mencecah RM450 setiap kg tetapi kini lebih murah.
”Sekarang terdapat kira-kira 500kg cacing yang diternak sebagai ‘mesin’ bagi menghasilkan baja kompos di dalam bangsal seluas 12 meter X 300 meter,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ismail yang juga bekas pegawai bank berkata, dengan cacing sebanyak itu kira-kira empat tan baja kompos dapat diperoleh setiap bulan.
”Penggunaan baja organik ini sangat sesuai kerana ia bertindak sebagai ejen pemulih atau menyuburkan tanah selepas penggunaan baja kimia secara intensif.
”Penggunaan baja organik ini dapat memperbaiki struktur tanah kerana butirannya yang halus akan memperbaiki pengudaraan tanah dan menggalak pertumbuhan pokok,” katanya yang mempunyai Sarjana Muda Ekonomi dengan major bidang Pentadbiran Perniagaan dari UM.
Katanya, penggunaan baja organik didapati lebih selamat tetapi tidak ramai yang menyedari kebaikan baja jenis ini kerana telah biasa menggunakan baja kimia.
”Baja organik ini sesuai dengan semua jenis tanaman termasuk untuk padi.
”Contoh mengenai kandungan nutrien dalam baja kompos ini dilakukan oleh Jabatan Pertanian dan hasilnya mendapati ia memiliki pelbagai nutrien dan ia tinggi dengan bahan organik iaitu 86.5 peratus dan 12 jenis nutrien lain,” jelasnya.
Ismail memberitahu, bagi menternak cacing, seseorang itu perlu memahami tabiat cacing itu sendiri.
”Cacing sangat sensitif kerana jika tidak kena cara menternak, semua haiwan berkenaan akan keluar dari palung (tempat ternakan).
”Penternak juga perlu mengetahui cara siraman yang betul dan teknik pencahayaan bagi mengelak semua cacing yang diternak keluar dari palung,” jelasnya.
Ismail memberitahu, cacing juga perlu diawasi daripada pemangsa iaitu semut, anai-anai, tikus dan biawak.
”Palung khas dibina untuk menternak cacing kerana air dari siraman cacing ini boleh digunakan sebagai baja cecair yang kaya dengan nutrien.
”Baja organik cecair (vermitea) ini sesuai digunakan dengan cara semburan terus kepada pokok bagi kegunaan padi. Ia sesuai disembur ketika padi sedang bunting,” jelasnya.
Tambahnya, sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penghasilan atau penggunaan baja kompos, boleh melayari laman web www.worm-casting.com atau menghubunginya di talian 019-4817708.