Sala jadi Perlisunshine

wu_01.1


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad (dua dari kanan) cuba mengupas Perlisunshine di Kangar, baru-baru ini.KANGAR 3 Julai – Pada 27 Jun lalu, kerajaan Perlis mengumumkan nama baru bagi mempelam sala iaitu Perlisunshine.

Pengumuman itu dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu menerusi program penjenamaan semula mempelam tersebut setelah ia bertapak di Perlis hampir 20 tahun.

Ia diumumkan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Perlis 2009 di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini.

Nama yang lebih menarik itu dipilih sesuai dengan sunshine yang bermaksud matahari.

Nama itu diharapkan akan memberi masa depan yang cerah kepada pasaran buah tersebut sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa.

Pada awal 1990-an, mempelam sala yang berasal dari daerah Sala di Kedah diperkenalkan secara tidak langsung kepada para petani di Perlis.

Selepas itu, Jabatan Pertanian mengisytiharkan sala sebagai tanaman pilihan selain mempelam harumanis dengan keluasan tanaman 300 hektar.

Menteri Besar memberitahu, penjenamaan semula dibuat untuk disesuaikan dengan permintaan pasaran terkini terhadap buah tersebut.

“Penjenamaan semula penting seperti yang dilakukan terhadap buah gooseberry di New Zealand yang kemudian diberi nama buah kiwi.

”Sebelum itu gooseberry yang berlambak di negara tersebut cuma menjadi makanan ternakan itik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, New Zealand berjaya menaikkan taraf gooseberry setelah diberi nama baru iaitu kiwi.

Hasilnya, buah berkenaan popular serata dunia. Bukan setakat popular tetapi mahal.

“Jika buah kiwi boleh mendapat pasaran hebat di seluruh dunia, begitu juga yang kita tumpukan terhadap Perlisunshine,” katanya.

Md. Isa berkata, sehingga kini Perlis mempunyai 170 petani yang mengusahakan 118.8 hektar ladang sala secara sepenuh masa untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Ladang itu mampu mengeluarkan hasil 965.82 tan yang bernilai RM739,355 setahun.

”Antara negara pembeli ialah Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Katanya, 170 petani itu adalah sebahagian daripada lebih 370 penanam sala di Perlis manakala bakinya memiliki saiz kebun dalam jumlah yang kecil setiap seorang.

Beliau percaya, hasil ladang sala yang biasanya mengeluarkan buah sehingga 50 tan sehektar, akan bertambah berikutan usaha pelbagai pihak untuk menambah pengeluaran ladang.

Kata Md. Isa lagi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut merangka jualan 36,417 tan Perlisunshine ke Singapura dengan harga pasaran yang selari dengan nilai komersial buah itu dalam masa terdekat.

“FAMA menjuruskan pasaran ke Singapura kerana pengguna di republik itu lebih menggemari mempelam jenis itu kerana isinya 75 peratus lebih banyak dan rasanya pula tidak begitu manis.

“Salah satu faktor sala mendapat pasaran yang baik di Singapura adalah kerana faktor isinya yang kurang manis, baik untuk kesihatan,” katanya.

Menteri Besar memberitahu, selain pasaran segar, Perlisunshine mendapat permintaan tinggi kerana ia boleh diproses untuk menghasilkan kordial dan jeruk.

“Disebabkan buah itu boleh menyumbang untuk menghasilkan pelbagai produk industri hiliran bagi minuman dan makanan, sebab itulah ia tidak bermasalah di pasaran,” jelasnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s