SHAH ALAM 3 Julai – Sempena musim buah-buahan tahun ini satu pesta durian akan diadakan di tempat letak kereta Komples PKNS di sini yang menawarkan harga istimewa kepada semua peminat raja buah itu.
Pesta itu akan diadakan setiap hari Rabu sepanjang bulan ini bermula pada pukul 3 petang hingga 10 malam.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Rohizad Ridzwan berkata, pesta tersebut diadakan kerana durian adalah penyumbang utama pada setiap musim buah-buahan dan pada tahun ini sahaja jumlah pengeluaran buah tersebut dianggarkan sebanyak 2,500 tan.
Selain itu kata beliau, durian mempunyai ramai penggemar dan kesempatan ini boleh diambil oleh mereka untuk mendapatkan raja buah itu dengan harga yang istimewa.
“FAMA juga mengambil inisiatif ini untuk mengatasi lambakan buah-buahan bermusim kerana musimnya serentak di seluruh negara.
“Ini juga salah satu cara membantu mempromosikan buah-buahan tempatan agar setaraf dengan buah-buahan import,” katanya ketika ditemui di Pesta Jom Makan Buah anjuran FAMA di tempat letak kereta Kompleks PKNS hari ini.
Menurut beliau, peminat durian dan pelbagai jenis buah-buahan tempatan bagaimanapun masih boleh ke Kompleks PKNS pada hari biasa kerana jualan di sana diadakan setiap hari.
Beliau memberitahu, bagi menggalakkan generasi muda kini makan buah-buahan tempatan, FAMA akan mengadakan kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan dan Pesta Makan Durian di sekolah-sekolah yang terpilih bermula bulan ini hingga September.
“Mana-mana sekolah yang berminat untuk menyertai kempen buah-buahan boleh menghubungi Mohamed Zharaubi Kafi di talian 019-572 6032.
“Kempen dan pesta durian ini juga dibuka kepada mana-mana syarikat yang berminat,” katanya lagi.
Selain itu kata Rohizad, FAMA juga akan mengadakan Karnival Jualan Industri Kecil dan Sederhana juga melibatkan jualan buah-buahan tempatan bermula 24 Julai sehingga 2 Ogos.