![]() |
Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati buah durian secara percuma pada Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim Negeri Sembilan 2009 di Seremban, semalam.
|
SEREMBAN 30 Jun – Musim buah-buahan tahun ini dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim Negeri Sembilan 2009 oleh FAMA negeri selama dua bulan mulai esok hingga 30 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, karnival itu inisiatif FAMA negeri untuk mengatasi masalah lambakan pada musim buah-buahan.
Menurut beliau, aktiviti jualan khas buah-buahan tempatan sempena karnival itu diadakan di pasar-pasar tani FAMA, pekarangan bangunan kerajaan dan ekspo-ekspo pertanian sekitar negeri ini.
“Di samping itu, orang ramai boleh mengunjungi beberapa lokasi lain seperti Pasar Raya Besar Giant di Senawang, Taman Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah dan Kompleks Perniagaan Tampin Square di Tampin,” jelasnya.
Yunus berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim Negeri Sembilan 2009 di Pasar Tani Mega Ampangan dekat sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah FAMA negeri, Sokri Mohd Nor.
Dalam pada itu, Yunus memberitahu, nilai jualan buah-buahan tempatan bermusim dan tidak bermusim bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini di semua pusat jualan seliaan FAMA negeri ialah RM2.47 juta.
Jelasnya, ia diperoleh menerusi jualan di 13 gerai buah-buahan segar (RM1,411,259), 21 pasar tani (RM852,301.50) dan Pusat Operasi FAMA negeri (RM208,478.32) sekitar negeri ini.
“Buah-buahan tempatan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran termasuk durian, rambutan, manggis, nangka, limau, belimbing, mangga, betik, nenas, tembikai, pisang, jambu batu dan buah naga,” katanya.
Sementara itu, Yunus berkata, pemilik dusun buah-buahan yang telah diusahakan melebihi 20 tahun layak menerima bantuan baja daripada Jabatan Pertanian negeri.
Menurutnya, langkah itu perlu bagi memastikan semua dusun buah-buahan seluas 709.8 hektar di sekitar negeri ini kembali subur berupaya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk pasaran tempatan serta eksport.
Sehubungan itu, kata Yunus, pemilik-pemilik dusun terbabit boleh menghubungi Jabatan Pertanian daerah masing-masing untuk pertanyaan serta maklumat lanjut.