Hasil udang galah ditingkat

ws_01.1

Yunus Rahmat (kanan) bersama penternak menyaksikan hasil tuaian Projek Ternakan Udang Galah Kolam Kelompok, Kampung Gunung Pasir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini. – UTUSAN/ABD. RAZAK AID


KUALA PILAH 29 Jun – Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan pengeluaran udang galah sehingga 200 tan metrik pada hujung tahun ini dalam usaha memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat berkata, usaha itu selari dengan matlamat meningkatkan sehingga 20 peratus produktiviti bagi setiap sektor di negeri ini.

“Bagi meningkatkan hasil udang galah, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan merancang mewujudkan satu atau tiga pusat pembenihan udang galah bagi setiap daerah bagi memenuhi permintaan udang,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Projek Ternakan Udang Galah Kolam Kelompok, Kampung Gunung Pasir di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Perikanan negeri merekodkan kira-kira 150 tan metrik hasil udang galah.

“Tiga buah daerah utama iaitu Seremban, Jelebu dan Kuala Pilah merupakan kawasan yang mengeluarkan hasil udang yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport,” jelasnya.

Beliau memberitahu, bidang ternakan udang galah semakin mendapat perhatian di kalangan penduduk kampung termasuk golongan belia sebagai salah satu sumber pendapatan yang menjanjikan hasil lumayan.

“Harga pasaran udang galah pada masa kini ialah RM40 hingga RM50 satu kilogram.

”Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika penternak mampu meraih pendapatan yang lumayan daripadanya,” katanya.

Yunus berkata, bagi menarik minat penglibatan usahawan menjalankan ternakan udang galah, kerajaan memberi insentif RM1.58 setiap kilogram bagi satu tan metrik udang dikeluarkan.

“Ini bermakna setiap 1 tan metrik penternak mendapat intensif sebanyak RM1,580.

”Kerajaan menerusi Jabatan Perikanan negeri juga memberi khidmat nasihat, kemahiran dan kursus asas menternak undang bagi meningkatkan pengetahuan penternak untuk menternak dengan cara betul,” katanya.

Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim selama dua bulan

ws_05.1

Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati buah durian secara percuma pada Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim Negeri Sembilan 2009 di Seremban, semalam.


SEREMBAN 30 Jun – Musim buah-buahan tahun ini dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim Negeri Sembilan 2009 oleh FAMA negeri selama dua bulan mulai esok hingga 30 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, karnival itu inisiatif FAMA negeri untuk mengatasi masalah lambakan pada musim buah-buahan.

Menurut beliau, aktiviti jualan khas buah-buahan tempatan sempena karnival itu diadakan di pasar-pasar tani FAMA, pekarangan bangunan kerajaan dan ekspo-ekspo pertanian sekitar negeri ini.

“Di samping itu, orang ramai boleh mengunjungi beberapa lokasi lain seperti Pasar Raya Besar Giant di Senawang, Taman Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah dan Kompleks Perniagaan Tampin Square di Tampin,” jelasnya.

Yunus berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Karnival Jualan Buah-Buahan Bermusim Negeri Sembilan 2009 di Pasar Tani Mega Ampangan dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah FAMA negeri, Sokri Mohd Nor.

Dalam pada itu, Yunus memberitahu, nilai jualan buah-buahan tempatan bermusim dan tidak bermusim bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini di semua pusat jualan seliaan FAMA negeri ialah RM2.47 juta.

Jelasnya, ia diperoleh menerusi jualan di 13 gerai buah-buahan segar (RM1,411,259), 21 pasar tani (RM852,301.50) dan Pusat Operasi FAMA negeri (RM208,478.32) sekitar negeri ini.

“Buah-buahan tempatan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran termasuk durian, rambutan, manggis, nangka, limau, belimbing, mangga, betik, nenas, tembikai, pisang, jambu batu dan buah naga,” katanya.

Sementara itu, Yunus berkata, pemilik dusun buah-buahan yang telah diusahakan melebihi 20 tahun layak menerima bantuan baja daripada Jabatan Pertanian negeri.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi memastikan semua dusun buah-buahan seluas 709.8 hektar di sekitar negeri ini kembali subur berupaya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk pasaran tempatan serta eksport.

Sehubungan itu, kata Yunus, pemilik-pemilik dusun terbabit boleh menghubungi Jabatan Pertanian daerah masing-masing untuk pertanyaan serta maklumat lanjut.

Ternak cacing vernikompos

wu_01.1

CACING African Night Crawler yang diternak oleh Ismail Mohd. Rhouse di Kampung Santan, Kangar.


KANGAR 30 Jun – Baja merupakan komponen penting dalam pertanian selain penggunaan racun bagi memperoleh hasil pertanian yang maksimum.

Baja kimia merupakan bahan paling banyak digunakan masa kini untuk menyuburkan tanaman, tetapi ia memberikan kesan jangka panjang terhadap struktur tanah atau tumbuh-tumbuhan itu sendiri.

Oleh itu di kebanyakan negara, terutama negara maju, pelbagai kajian dibuat bagi menghasilkan baja serta racun alternatif.

Salah satu baja alternatif yang sesuai dan tidak mendatangkan mudarat kepada tanaman selain dapat menjana hasil pertanian yang segar ialah penggunaan baja organik atau baja kompos.

Menyedari pentingnya penggunaan baja kompos dalam bidang pertanian bagi memperoleh hasil yang lebih baik dan mesra alam, seorang bekas siswazah Universiti Malaya (UM), Ismail Mohd. Rhouse, 53, menjalankan ternakan cacing vernikompos bagi menghasilkan baja organik.

Menurut Ismail, cacing jenis African Night Crawler atau nama saintifiknya Eisenia hortensis digunakan bagi tujuan tersebut di Kampung Santan, di sini.

Katanya, ternakan cacing vernikompos itu dimulakan Julai tahun lalu menggunakan benih cacing sebanyak 50 kilogram (kg) dengan khidmat nasihat Jabatan Pertanian Perlis.

”Harga benih cacing jenis African Night Crawler ketika itu mencecah RM450 setiap kg tetapi kini lebih murah.

”Sekarang terdapat kira-kira 500kg cacing yang diternak sebagai ‘mesin’ bagi menghasilkan baja kompos di dalam bangsal seluas 12 meter X 300 meter,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ismail yang juga bekas pegawai bank berkata, dengan cacing sebanyak itu kira-kira empat tan baja kompos dapat diperoleh setiap bulan.

”Penggunaan baja organik ini sangat sesuai kerana ia bertindak sebagai ejen pemulih atau menyuburkan tanah selepas penggunaan baja kimia secara intensif.

”Penggunaan baja organik ini dapat memperbaiki struktur tanah kerana butirannya yang halus akan memperbaiki pengudaraan tanah dan menggalak pertumbuhan pokok,” katanya yang mempunyai Sarjana Muda Ekonomi dengan major bidang Pentadbiran Perniagaan dari UM.

Katanya, penggunaan baja organik didapati lebih selamat tetapi tidak ramai yang menyedari kebaikan baja jenis ini kerana telah biasa menggunakan baja kimia.

”Baja organik ini sesuai dengan semua jenis tanaman termasuk untuk padi.

”Contoh mengenai kandungan nutrien dalam baja kompos ini dilakukan oleh Jabatan Pertanian dan hasilnya mendapati ia memiliki pelbagai nutrien dan ia tinggi dengan bahan organik iaitu 86.5 peratus dan 12 jenis nutrien lain,” jelasnya.

Ismail memberitahu, bagi menternak cacing, seseorang itu perlu memahami tabiat cacing itu sendiri.

”Cacing sangat sensitif kerana jika tidak kena cara menternak, semua haiwan berkenaan akan keluar dari palung (tempat ternakan).

”Penternak juga perlu mengetahui cara siraman yang betul dan teknik pencahayaan bagi mengelak semua cacing yang diternak keluar dari palung,” jelasnya.

Ismail memberitahu, cacing juga perlu diawasi daripada pemangsa iaitu semut, anai-anai, tikus dan biawak.

”Palung khas dibina untuk menternak cacing kerana air dari siraman cacing ini boleh digunakan sebagai baja cecair yang kaya dengan nutrien.

”Baja organik cecair (vermitea) ini sesuai digunakan dengan cara semburan terus kepada pokok bagi kegunaan padi. Ia sesuai disembur ketika padi sedang bunting,” jelasnya.

Tambahnya, sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penghasilan atau penggunaan baja kompos, boleh melayari laman web www.worm-casting.com atau menghubunginya di talian 019-4817708.

Durian Hibrid MARDI diperkenal

BUKIT KAYU HITAM 30 Jun – Musim durian atau nama saintifiknya, Durio kutejensis sememangnya paling ditunggu-tunggu oleh penggemar ‘raja buah’ itu.

Jika dahulu hanya buah durian kampung boleh didapati di pasaran, kini dengan teknologi terkini pelbagai jenis buah kacukan atau hibrid dapat dihasilkan.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bukit Tangga di sini mengambil inisiatif untuk memperkenalkan sejenis durian hibrid melalui siri kacukan terbaru.

Pegawai Penyelidik MARDI, Bahari Mohd. Masaruddin berkata, durian hibrid mempunyai rasa yang setanding dengan durian D24.

“Projek ini dibangunkan sejak 1989 dan kami telah mengenal pasti ada 421 jenis durian hibrid.

“Namun hanya 14 daripadanya berpotensi untuk dikomersialkan untuk pasaran tempatan,” ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Bahari, durian hibrid tersebut dikacuk daripada dua jenis durian iaitu hibrid 11-11 dan 15-3.

“Daripada 14 jenis durian hibrid yang ada, kami memilih durian ini kerana rasanya setanding dengan D24.

“Ia mempunyai rasa manis, lemak dan sedikit pahit dan rasa begini amat digemari,” katanya.

Menurutnya, buah hibrid ini juga tahan penyakit iaitu penyakit ‘kanker’ atau ‘cerana’ yang boleh menyebabkan durian terkena jangkitan pada batang pokok, bunga dan buah.

“Kami memang ingin menghasilkan buah durian hibrid yang tahan lasak serta tidak mudah terkena jangkitan penyakit.

“Durian hibrid ini amat sesuai ditanam oleh pengusaha yang ingin menjalankan perniagaan buah durian secara komersial,” jelasnya.

Jelasnya, buah hibrid itu masih dalam proses pembangunan dan dijangka dapat dikomersialkan dalam masa terdekat.

“Saya pasti penggemar buah durian tidak akan hampa apabila merasai durian hibrid MARDI ini,” katanya.

Kerjasama tenusu jadikan Melaka pengeluar utama

MELAKA 1 Julai – Kerajaan negeri bercadang mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar susu lembu di Johor bagi mengembalikan kedudukan negeri ini sebagai pengeluar susu utama di negara ini pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau yakin usaha itu dapat dicapai melalui perkongsian idea dengan syarikat tersebut, White Heron Dairy Farm.

Menurut Mohd. Ali, ketika ini, Melaka menjadi negeri ketiga terbesar sebagai pengeluar susu negara selepas Sabah dan Johor.

“Selepas menjadi pengeluar telur ayam terbesar negara dengan kapasiti dua juta telur sehari, saya percaya usaha menjadi pengeluar susu utama negara juga boleh dicapai,” katanya.

Mohd. Ali berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Ladang White Heron Dairy Farm di KM 35, Kluang-Jemaluang, Mersing kelmarin.

Turut serta dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan.

Lawatan juga disertai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Rohaya Mohd Ali dan Pengarah Ladang White Heron Dairy Farm, Md. Abdah Selamat.

Menurut Mohd. Ali, walaupun Melaka tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membuka ladang tenusu baru, masih ada mekanisme lain yang boleh dilakukan.

“Mungkin kita boleh cari syarikat-syarikat di Melaka yang berminat untuk melabur dalam industri ini atau libatkan para belia bagi mempelajari kaedah ternakan lembu tenusu.

“Saya juga akan cuba cadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengeluarkan sejumlah peruntukan kepada belia-belia yang berminat menceburi bidang ini,” katanya.

Tambah Mohd. Ali, usaha itu juga dilihat dapat melahirkan usahawan ternakan yang berjaya di kalangan belia.

“Ia juga mampu mengurangkan import makanan yang mencecah hampir RM13 bilion setahun termasuk import daging dan susu,” katanya.

Sementara itu, menurut Md. Abdah, Ladang White Heron Diary Farm mampu mengeluarkan sebanyak 1,300 liter susu segar sehari mulai September depan.

Tambahnya, beliau juga menyasarkan peningkatan pengeluaran susu sebanyak 10,000 liter sehari dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kita akan menggunakan teknologi yang moden untuk memproses susu segar dan produk susu lain bagi menampung keperluan pasaran tempatan.

“Malaysia hanya mengeluarkan susu segar sebanyak 25 juta liter setahun iaitu hanya enam peratus dari keperluan 416 juta liter,” tambahnya.

Menurut beliau, Ladang White Heron Diary Farm seluas 1,000 ekar kini menempatkan 180 ekor baka lembu Jersey dan Hersey-Friesien dari Australia.

Jumlah tersebut dijangka akan meningkat hingga 600 ekor dalam tempoh tiga tahun lagi.

Taman Dapur di laman rumah

wj_01.1

Kasmuri Kosmat bersama isteri, Jainah Mohd. Salleh melihat kobis yang ditanam di dalam pasu di halaman rumah mereka di Felda Semenchu, Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 3 Julai – Ketidakstabilan harga komoditi getah dan kelapa sawit sejak kebelakangan ini mendorong golongan peneroka melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pertanian yang boleh menambah pendapatan.

Antara aktiviti yang dilakukan ialah projek Edible Garden atau Taman Dapur.

Projek itu menggalakkan peneroka Felda menanam sayur-sayuran di halaman rumah sebagai sumber tambahan pendapatan keluarga.

Ketua Kampung Felda Semenchu, Omar Dean, 58, berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menggalakkan para penduduk di kampung tersebut untuk hidup aktif dengan mengerjakan tanah-tanah di sekeliling rumah mereka.

Beliau berkata, pada peringkat awal projek tersebut, penduduk hanya mengusahakan tanaman itu di bahagian belakang rumah dan ia dilihat tidak begitu memberangsangkan kerana kawasan yang diperuntukkan adalah sangat terhad.

“Setelah dikaji, saya rasa projek ini harus dipindahkan ke kawasan halaman rumah kerana ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan perbelanjaan untuk barangan dapur tetapi dapat membantu mencantikkan halaman rumah.

“Saya berpendapat dengan menggantikan pokok bunga dengan sayur-sayuran adalah sesuatu yang baik kerana kita dapat melihat keunikan seni hiasan landskap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Semenchu, baru-baru ini.

Pelbagai tanaman diusahakan para penduduk kampung itu, antaranya terung, bendi, peria, petola, kailan, bayam, kobis, cili merah, kacang panjang, serai dan cili.

Selain itu, ada juga penduduk yang mengusahakan kolam ternakan ikan keli secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri.

Omar berkata, Taman Dapur bukan sesuatu yang baru, sebaliknya ia sudah mula diusahakan sejak beberapa tahun lalu tetapi masih belum diperluaskan ke seluruh kawasan Felda Semenchu.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan hanya segelintir sahaja yang mahu mengusahakan taman tersebut tetapi sejak kebelakangan ini ia semakin mendapat sambutan daripada penduduk.

“Sebagai Ketua Kampung, saya menggalakkan penduduk di sini untuk mengusahakan taman ini kerana ia bukan sahaja boleh meringankan perbelanjaan harian tetapi dapat membantu menjaga kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kawasan tanah di situ sangat subur dan rugi jika dibiarkan kosong tanpa diusahakan.

“Ada antara para peneroka di sini sudah berjaya menikmati hasil tanaman mereka dan selepas itu semakin teruja untuk meneruskan projek tersebut,” katanya.

Katanya, terdapat juga penduduk yang mengusahakan tanaman mereka dengan menggunakan beg plastik seperti yang disyorkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mengoptimumkan hasil tanaman.

Omar berkata, kebanyakan mereka menggunakan beg plastik bagi memudahkan mereka mengalihkan tanaman yang diusahakan kerana ia kecil dan ringan berbanding pasu.

“Pada peringkat permulaan, mereka mengusahakan tanaman tersebut di dalam pasu, tetapi setelah mendapatkan khidmat nasihat daripada FAMA, mereka giat menggunakan beg plastik kerana mudah untuk dialihkan dan murah.

“Kami akan meneruskan usaha ini sehingga menjadi trend kepada para penduduk di Felda Semenchu dan mahu menjadikan ia sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan pada masa akan datang,” katanya.

Tanaman sayuran jadi hiasan, beri pulangan

wj_02.1

Tanaman sayur-sayuran juga dilakukan di halaman belakang rumah di Felda Semenchu, Kota Tinggi.


KOTA TINGGI 3 Julai – Penduduk Felda Semenchu, di sini beranggapan konsep Edible Garden atau Taman Dapur yang diusahakan merupakan aktiviti yang menarik dan memberi manfaat kepada mereka.

Meski pun hanya diusahakan secara kecil-kecilan, ia dapat membantu para peneroka di sini untuk menjimatkan perbelanjaan di samping menjadikan pertanian sebagai aktiviti harian.

Seorang penduduk, Jamak Rahmat, 57, berkata, projek berkenaan merupakan satu aktiviti yang menarik kerana ia bukan sahaja dapat memberi hasil tetapi membantu mencantikkan landskap kediaman masing-masing.

Menurutnya, sayur-sayuran yang ditanam juga mampu menjadi sebahagian daripada perhiasan halaman kerana ia memiliki kecantikan tersendiri dan setanding dengan pokok bunga hiasan.

“Sudah hampir lima tahun saya mengusahakan Taman Dapur ini dan halaman rumah saya nampak lebih ceria ketika kesemua tanaman yang diusahakan sedang masak ranum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, di Felda Semenchu di sini baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Subari Radio, 60, berkata, projek itu secara tidak langsung dapat menggalakkan para peneroka mengusahakan tanah-tanah terbiar di sekeliling kawasan rumah.

“Daripada kita biarkan kawasan tanah kosong dipenuhi semak samun, baik kita usahakannya, dapat juga kita menikmati hasilnya pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, terdapat pelancong yang datang, melahirkan rasa kagum kerana mereka tidak pernah melihat pokok sayur-sayuran dijadikan pokok hiasan.

Justeru, Subari berharap, penduduk di kawasan itu menyahut seruan Felda untuk mewujudkan Taman Dapur di kediaman masing-masing bagi menjadikan landskapnya lebih menarik.

“Jika setiap rumah di sini memiliki taman itu, tidak mustahil Felda Semenchu mampu menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong di negeri ini,” katanya.