Orkid hibrid baka terkini

fe_01.1

oRKID HASIL PENYELIDIKAN FadElAh Abdul Aziz TURUT MENDAPAT PERHATIAN KENAMAAN TERMASUK rAJA PEREMPUAN PERLIS, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.


Terletak di garisan Khatulistiwa menjadikan negara sebuah negara tropika yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.

Antaranya adalah bunga-bungaan yang boleh dikembangkan sebagai satu industri florikultur terutama orkid.

Tanaman orkid bukan saja boleh dijadikan suatu hobi tetapi boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan.

Bunga orkid bukan saja popular ditanam di pasu kecil bagi hiasan dalaman, bunga keratan di hotel, tanaman landskap, cenderahati celupan emas, pressed flower bagi bingkai gambar dan rantai kunci.

Bagaimanapun kekurangan varieti dan bahan tanaman merupakan salah satu masalah di kalangan pengusaha serta peminat orkid.

Bagi meningkatkan varieti dan bahan tanaman, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mula menjalankan kajian mengenai pembiakbakaan orkid sejak 1976.

Penyelidikan pembiakbakaan di MARDI telah dijalankan oleh pakar pembiakbaka, yang memulakan kajian dengan pengumpulan spesies-spesies yang diambil dari hutan kemudian ditanam, dipulihara dan digunakan di dalam penyelidikan pembiakbakaan.

Spesies-spesies orkid ini disimpan di dalam koleksi janaplasma MARDI.

Timbalan Pengarah merangkap Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Fadelah Abdul Aziz berkata, kini beberapa koleksi hibrid yang berpotensi dari luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Australia telah digunakan sebagai induk.

Hibrid induk yang berpotensi tadi ditanam dan dijaga dengan baik di MARDI sehingga berbunga dan dikacukkan dengan hibrid atau spesies terpilih.

”Di MARDI, kami memilih induk-induk yang cantik dan unik, tahan lama, kerap berbunga dan mempunyai tangkai panjang supaya dapat menghasilkan anak-anak yang berkualiti lebih baik.

”Ini penting bagi mendapatkan orkid yang sesuai dijadikan sama ada bunga keratan, bunga pasu atau untuk dijadikan landskap,” katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Proses kacukan bunga orkid Dendrobium mengambil masa lima hingga enam tahun manakala Aranda, Mokara dan Vanda pula lapan hingga sebelas tahun.

Kacukan bermula dengan pemilihan pokok induk jantan dan betina bagi menghasilkan buah dan biji benih sebelum dibiakkan menggunakan teknik kultur biji benih.

“Biasanya induk pertama yang ditulis menggambarkan betina dan yang kedua adalah jantan,” katanya.

Biji benih akan dicambah menggunakan medium khas dan disimpan di dalam makmal sebelum dipindahkan ke nurseri.

Anak benih ditanam di dalam pasu kecil secara individu atau sebuah pasu besar dalam kumpulan di bawah lindungan matahari sebanyak 80 peratus sebelum dialihkan ke pasu yang lebih besar di ladang bagi tujuan berbunga.

Biasanya pokok dan bunga yang dihasilkan melalui biji benih menunjukkan ciri-ciri yang berlainan di antara satu sama lain.

“Ketika itu penilaian dan pemilihan hibrid-hibrid yang berkualiti lebih baik akan dilakukan.

“Pemilihan akan dijalankan bagi memilih progeni atau sister line yang benar-benar menepati kriteria seperti warna yang menarik, tahan lama, susunan bunga cantik, kerap berbunga, tangkai panjang yang biasanya untuk bunga keratan,” katanya.

Selepas mendapatkan hibrid baru yang terbaik, barulah proses kultur tisu dijalankan bagi mendapatkan pokok yang seragam dalam kuantiti yang banyak.

Kemudian pemilihan nama dilakukan dan didaftarkan di bawah International Registration Authority of Orchid Hybrids, England yang beribu pejabat di United Kingdom.

didaftarkan

“Sebelum dihantar untuk didaftarkan, perlu dipastikan kacukan induk belum pernah digunakan oleh sesiapa serta nama yang diberikan juga belum lagi didaftarkan.

”Jika dulu pendaftaran nama mengambil masa sebulan tetapi dengan Internet hanya mengambil masa paling lama dua hingga tiga hari,” katanya.

Di bawah Plant Variety Protection Act atau Akta Perlindungan Varieti Tanaman, pelindung bagi varieti tanaman yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi mahu pun individu, boleh diperolehi dari Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

”Dengan itu mereka yang terlibat dalam menghasilkan varieti akan mendapat faedah dari segi royalti,” katanya yang juga menjadi ahli dalam akta berkenaan.

Kini kata Fadelah, MARDI sedang menjalankan kajian pembiakbakaan ke atas orkid genus Cattelya yang merupakan orkid yang biasanya ditanam di negara empat musim.

Hibrid orkid Cattleya yang sesuai ditanam di dalam pasu ini telah dikacuk dan kini sedang mula dinilai serta dipilih di MARDI bagi menghasilkan hibrid orkid baru yang tahan lama, kerap berbunga dan berbau harum.

Fadelah berkata, MARDI dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia menjalankan kajian menghasilkan orkid mutan.

Projek yang bermula dalam Rancangan Malaysia ke 7 (RMK-7) telah menggunakan orkid Mokara Chark Kuan ‘Pink’ telah digunakan sebagai hibrid orkid kawalan.

Bahagian protokorm yang dihasilkan semasa proses kultur tisu diberikan radiasi gamma antara 10 hingga 40 Gy.

Protokorm yang telah menjalani teknik radiasi menjalankan proses kultur tisu seperti biasa sehingga menghasilkan hibrid orkid Mokara mutan.

Hibrid mutan yang terbaik telah dipilih dari segi ciri-ciri bunganya yang menarik seperti saiz, warna dan panjang tangkai.

“Orkid Mokara mutan yang diberikan radiasi sebanyak 40 Gy telah menghasilkan bunga bersaiz lebih besar, warna pink yang lebih terang berbanding hibrid asal.

“Mutan ini sesuai bagi industri bunga keratan atau bagi landskap,” katanya.

Kajian yang dijalankan dapat mengurangkan penggantungan pengusaha terhadap bahan tanaman luar negara seperti Thailand.

Fadelah menambah, banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan industri florikultur dengan adanya pelbagai agensi kerajaan dan swasta bagi tujuan mengkomersialkan hibrid-hibrid baru.

Setakat ini terdapat 20 hibrid orkid yang dihasilkan oleh MARDI.

1. Mokara Tengku Anis

2. Cattleytonia Datin Zuraidah

3. Dendrobium Sultanah Kalsom

4. Dendrodium Datin Seri Jeanne

5. Dendrobium Abdullah Badawi

6. Kagawara Tuanku Syed Sirajuddin

7. Mokara Puan Seri Norainee

8. Mokara Datin Seri Endon

9. Ascocenda Puan Sri Suslita

10. Dendrobium Datin Zakiyah

11. Aranda Doctor Siti Hasmah

12. Mokara Tuanku Siti Aishah

13. Dendrobium Tuanku Fauziah

14. Dendrobium Doctor Sharif

15. Dendrobium Tuanku Najihah

16. Trichovanda MARDI

17. (Cattleya intermedia) x

(Cattleya Bow Bellsvar. Sri Sanusi)

18. Dendrobium Chogm

19. Dendrobium Nila Inangda

20. Kagawara Queen Elizabeth

Daun pokok nilam boleh dikomersialkan

ALOR GAJAH 17 Jun – Daun pokok nilam berpotensi besar dikomersialkan sebagai bahan asas bagi menghasilkan pelbagai produk kecantikan, perubatan dan minyak wangi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, daun pokok itu yang telah melalui proses penyulingan menghasilkan minyak pati dan mempunyai permintaan tinggi di kalangan negara-negara Eropah.

Menurut beliau, nilai permintaan tempatan untuk produk berasaskan minyak pati bagi kosmetik dan penjagaan diri pula dianggarkan bernilai RM500 juta setahun.

‘‘Permintaan minyak pati terutama dari Switzerland begitu tinggi dan negara itu memerlukan sekurang-kurangnya lima tan minyak pati dari negara kita untuk kegunaan industri kosmetik negara itu.

“Harga yang ditawarkan pula ialah RM352 bagi setiap kilogram minyak pati,” katanya selepas Majlis Perasmian Inkubator Minyak Pati dan penutupan Bulan Teknologi Pertanian di Stesen Institut penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini hari ini.

Menurut Rohani, minyak pati itu juga amat sesuai digunakan dalam industri pengeluaran bahan kawalan serangga, antiseptik, antikulat dan pelbagai aplikasi untuk industri perubatan.

Beliau berkata, minyak pati dari daun pokok nilam juga boleh digunakan dalam industri makanan sebagai bahan perisa dan bauan seperti minyak pudina di dalam gula-gula, minyak cengkih dan kayu manis dalam minuman ringan.

Rohani berkata, kira-kira 300 hektar tanah diperlukan untuk ditanam pokok nilam bagi menghasilkan lima tan minyak pati sebulan.

Perlis keluar mempelam Perlishunshine

KANGAR 28 Jun — Mempelam sala keluaran Perlis kini dikenali sebagai “Perlisunshine” sejajar dengan usaha mengkormesilkan komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata penjenamaan sala Perlis sejajar dengan perkembangan terkini komoditi itu yang kini memasuki pasaran Singapura dan Indonesia selain mendapat permintaan tempatan yang tinggi.

Mengikut rekod jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), 36,417 tan metrik mempelam itu dipasarkan ke Singapura musim lalu manakala pasaran ke Indonesia masih di tahap berskala kecil.

Sejak awal tahun ini, FAMA memasarkan 293,250 kilogram mempelam keluaran Perlis yang bernilai RM343,412 ke negeri-negeri Johor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Terengganu, Perak, Negri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Menteri Besar yang ditemui di tapak ekspo pertanian, penternak dan nelayan Perlis di sini hari ini berkata beliau berharap penjenamaan mempelam itu akan dapat meletakkan komoditi itu pada tahap yang baik.

Mempelam itu yang banyak ditanam di seluruh Perlis ditanam secara komersil di beberapa kawasan termasuk Chuping dan Bilai Udoh.

Sebelum ini mempelam itu dianggap tidak berharga malah ada penanam yang pernah membuangnya ke dalam perigi buta setelah gagal mendapat pasaran memuaskan akibat lambakan buah-buahan itu dalam pasaran.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu, banyak pengusaha mempelam itu memperolehi pendapatan lumayan selepas hasil keluaran mereka dibeli oleh FAMA.

Sementara itu, tinjauan rambang mendapati kebanyakan pengusaha tanaman itu bersetuju dengan nama baru itu, namun ada antara mereka mengakui sukar buat mereka untuk menyebut nama baru itu dengan betul.

“Buat masa ini biarlah kami menyebutnya dengan nama sala tapi untuk maksud perdagangan, ia boleh dikenali dengan nama baru,” kata Abdul Wahab Ahmad, 72, yang juga seorang penanam mempelam itu semasa ditemui di tapak ekspo di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini.

Ekspo Industri Asas Tani, 3-5 Julai

SEREMBAN 28 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri akan menganjurkan Ekspo Industri Asas Tani 2009 (EIAT NS) dalam usaha mempromosikan produk pertanian negeri, di Dataran Senawang, di sini bermula 3 hingga 5 Julai ini.

Pengarah FAMA negeri, Abdul Rahman Sulaiman berkata, program itu juga bertujuan memberi peluang kepada para usahawan industri asas tani khususnya yang kecil dan sederhana untuk memasarkan produk mereka.

“Penganjuran ekspo ini juga diharapkan mampu meningkatkan sokongan terhadap kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia di samping merangsang aktiviti ekonomi setempat,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, selain jualan pelbagai produk asas tani, buah-buahan dan landskap, pelbagai aktiviti menarik turut diatur bagi memeriahkan program terbabit.

“Sebanyak 64 buah gerai jualan diwujudkan yang melibatkan 61 usahawan dan syarikat. Selain itu acara lain yang menanti pengunjung adalah cabutan nombor bertuah, senamrobik, persembahan artis, pameran auto dan pelbagai pertandingan.

“Turut disediakan kaunter khidmat pelanggan oleh jabatan dan agensi kerajaan untuk orang ramai mendapatkan informasi berkaitan perkhidmatan yang diberikan atau mengemukakan sebarang aduan,” katanya.

Program tersebut dijadual akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum pada pukul 4 petang, 3 Julai ini.