Empangan jadi pusat ternak ikan

wb_01.1

ROHANI Abdul Karim tertarik melihat epal dari Ba’kelalan pada majlis perasmian Eskpo Industri Asas Tani 2009 di Tebingan Sungai Kuching, semalam. – utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


KUCHING 26 Jun – Tasik empangan hidro elektrik Batang Air di daerah Lubok Antu berpotensi dijadikan Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur khususnya projek penternakan ikan tilapia hitam yang mendapat permintaan tinggi di Eropah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, beliau telah memaklumkan syarikat Trapia Malaysia Sdn. Bhd., syarikat tunggal yang melaksanakan projek tersebut di Tasik Temenggor, Perak untuk melaksanakan projek yang sama di Tasik Batang Air.

Beliau berkata, Trapia Malaysia dijangka meminta petani atau nelayan tempatan berhampiran dengan Tasik Batang Air untuk menjalani kursus dengan syarikat terbabit selama enam bulan.

“Jika petani serta nelayan tadi telah lulus, mereka akan dilantik secara kontrak untuk bekerja dengan syarikat terbabit melaksanakan ternakan ikan tilapia hitam dengan setiap kali hasil tangkapan boleh mencecah sehingga RM5,000.

“Saya juga memaklumkan kepada syarikat terbabit untuk mencuba projek yang sama di Sabah dengan mereka mengawal selia benih, makanan serta penjagaan alam sekitar apabila melaksanakan projek seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas mewakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar merasmikan majlis Ekspo Industri Asas Tani 2009 di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Rohani berkata, projek ikan tilapia hitam akan menggunakan sebuah sangkar besar yang boleh memuatkan 40,000 ekor atau 50 tan metrik ikan tilapia hitam.

Katanya, 90 peratus hasil akan dieksport ke luar negara khususnya Eropah dan hanya 10 peratus dijual dalam pasaran negara.

Nikmati keenakan air nira Kuala Sanglang

ag_01.1

Khipli Sulaiman tidak mengenal penat lelah mengusahakan ladang niranya di Kuala Sanglang , Perlis.


KAMPUNG Tanah Timbul, sebuah kampung terpencil yang terletak di hutan paya nipah pinggir pantai Kuala Sanglang Perlis, sering dikunjungi tetamu yang sangat istimewa.

Tetamu tersebut tidak lain tidak bukan, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis yang tanpa ragu-ragu meniti batas-batas bendang yang menempatkan ladang Kiefly.

Baginda ke sini kira-kira lima kali setiap tahun semata-mata bagi menikmati keenakan air nira.

Ladang milik Khipli Sulaiman, 49, itu, menyediakan tempat minum air nira berkonsep pangkin santai terbuka termasuk buaian hammock di celah-celah ladangnya.

Selain menjadi pilihan amalan kesihatan tetamu diraja itu, Khilpi mengaku, seorang lagi personaliti terkenal iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga telah beberapa kali melawat sambil menikmati air nira yang dihasilkannya.

Beliau yakin kunjungan-kunjungan istimewa itu berpunca daripada khasiat kesihatan air nira yang terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung di sebalik keenakan rasa manis bak gabungan air laici dan rambutan ditambah madu asli.

Bercerita mengenai khasiat minuman itu, dipercayai antara kelebihan amalan meminum air nira ialah menyejukkan badan, membantu merawat demam dan dan membantu mengurangkan batuk sederhana.

Air nira juga didakwa boleh membantu memecahkan batu karang dan mencuci buah pinggang. Namun secara rendah diri beliau menyatakan semua testimoni itu bukan datang dari mulutnya tapi daripada para pelanggan.

”Saya cuma seorang petani, tidak begitu tahu dan tiada kemampuan untuk membuat kajian saintifik.

“Tetapi, ada pelanggan yang kerap mendapatkan nira ini kerana percaya ia membantu menstabilkan komposisi darah mereka yang sakit tenat,” kata Khipli.

Idea mendirikan pondok rehat dan ruang santai itu hanya dilakukan sejak dua tahun yang lalu walaupun beliau telah menanam pokok nira secara kecil-kecilan sejak 10 tahun lepas.

Katanya, ilham itu lahir selepas beliau menyedari memandangkan bumi sekarang sangat panas, tetapi orang kampung sepertinya bernasib baik kerana masih mempunyai persekitaran semula jadi yang nyaman untuk berehat.

Oleh itu, beliau ingin menarik lebih ramai orang terutama dari bandar untuk datang berehat ke kampung.

Ini sekali gus menjadi strategi yang baik mengkomersialkan kehidupan hutan nipah, seterusnya membaiki taraf hidup orang kampung terutama keluarganya sendiri.

Bermula dengan hanya sebatang cangkul, Khipli telah menanam pokok-pokok nipah di sepanjang satu relung kawasan hutan lebat yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dia juga merancang terlebih dahulu jarak penanaman dan lokasi pokok bagi memastikan setiap pokok mendapat air yang cukup dari tiga sumber air iaitu sungai dan laut serta takungan air hujan.

Meskipun telah meluaskan ladangnya menjadi 3.5 relung iaitu kira-kira satu hektar, hanya 30 peratus sahaja yang boleh dituai hasilnya.

Selebihnya kira-kira 70 peratus lagi masih menunggu tempoh matang yang dianggarkan membuahkan hasil maksimum sekitar setahun lagi.

Berkat usaha dan kesabaran, beliau berjaya mengubah nasib keluarganya yang dulu merupakan penerima bantuan Projek Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kini, ladangnya mula membuahkan hasil, walaupun tidak sentiasa lumayan, beliau mampu menjana pendapatan di antara RM1,000 hingga RM 3,000 sebulan.

“Pada bulan-bulan yang baik, terutama musim sejuk, saya pernah berjaya mendapat sehingga melebihi RM4,000 sebulan,” ujar Khipli.

Harapan beliau, pada masa depan, ladang hutan niranya dapat terus diperluaskan serta dapat mempelbagaikan lagi produk ladang.

Buat masa ini, Khipli turut menternak ketam nipah dan ikan air tawar di terusan ladangnya serta menghasilkan cuka nipah.

“Cuka nipah adalah ramuan penting amalan perubatan tradisional Melayu, ini termasuk melegakan sakit-sakit akibat lumpuh,” jelasnya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Beliau kini sedang merancang untuk menyediakan khidmat-khidmat perubatan alternatif mudah termasuk urutan kaki dan rawatan mata.

Selain itu, beliau juga berhajat membuka gerai makan dan menjadikan ladangnya tapak laluan joging sekali gus menjadi lokasi rehat dan rawat pilihan keluarga.

Justeru, tidak salah jika dikatakan pengalaman Khipli adalah satu kisah teladan yang patut diketengahkan memandangkan dia kian meniti tangga kejayaan dengan titik peluh sendiri.

Lebih bermakna, beliau berjaya mengubah hutan paya terbiar itu menjadi hutan paya nipah terancang yang bukan sahaja tetap sihat untuk alam semulajadi malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan agro negeri itu.

Namun, ketidaktentuan penghasilan air nira adakalanya menimbulkan masalah kepadanya. Ini kerana ada ketikanya air nira tidak mencukupi apabila terdapat rombongan tetamu datang apatah lagi sekiranya tidak menempah terlebih dahulu.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak yang berusia di antara 21 tahun dan 10 bulan itu tetap berusaha memenuhi para tetamu sedaya upayanya.

Justeru beliau berharap agar orang ramai yang berhajat untuk berehat sambil menikmati air nira dapat membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi beliau di talian 017-4306245.

Memanfaat baja kompos untuk pertanian

ag_02.1

pertanian organik dapat berkembang sekiranya industri baja kompos dapat terus berkembang.


MUNGKIN tidak ramai menyedari bahawa pada bulan lepas, Minggu Kesedaran Kompos Antarabangsa disambut bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya isu kompos ketika ini.

Setiap kali kita membuang sisa makanan yang berlebihan pernahkah terfikir bahawa kita sebenarnya telah membazirkan satu lagi sumber yang boleh memastikan bumi ini terus subur?

Ada kemungkinan semasa membersihkan halaman rumah daripada daun-daun dan ranting kayu , pernahkah kita terfikir sejenak bukankan lebih baik diolah menjadi sesuatu yang boleh dipulangkan semula kepada alam.

Atau semasa kita membelek sayur-sayuran yang hendak dibeli dipasar pernahkah kita terfikir yang kita sebenarnya boleh menanam sendiri sayur-sayuran tanpa menggunakan baja kimia dan racun serangga yang boleh memudaratkan kesihatan?

Mungkin itulah antara perkara-perkara yang kita lalui setiap hari namun kita tidak berfikir sejenak untuk memutuskan sama ada aktiviti harian tersebut merupakan satu lagi sumbangan kita kepada kemusnahan bumi ini

Ada baiknya kita mengambil keputusan untuk memulakan kitar semula menjadikannya kompos sebagai usaha kecil untuk menyelamatkan bumi.

Secara umumnya, aktiviti kompos di Malaysia boleh dikatakan masih baru. Ini boleh dilihat dari sedikitnya bilangan mereka yang menceburi aktiviti ini dan kurangnya kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum tentang kompos itu sendiri.

Kebanyakan masyarakat kita lebih merelakan sisa-sisa makanan dibuang dan diangkut oleh kontraktor sisa pepejal dan kemudiannya ditimbun di pusat pembuangan sampah daripada mengolahkannya kembali menjadi kompos dan digunakan untuk aktiviti landskap dan taman-taman di kediaman.

Banyak pihak sering mengutarakan rungutan dan bantahan tentang masalah pembuangan sampah namun kita sendiri lupa bahawa kita sendiri sebenarnya adalah penyumbang kepada masalah tersebut.

Bukankah lebih baik masyarakat kita sama-sama memainkan peranan untuk mengitar semula sisa-sisa organik yang ada dirumah untuk dijadikan kompos.

Proses menghasilkan kompos sendiri di rumah bukanlah suatu proses yang rumit. Ia boleh dilaksanakan semudah mengasingkan sisa makanan ke dalam satu bekas yang bertapis untuk dibuang lebihan airnya dan kemudian boleh dicampurkan dengan daun-daun dan ranting-ranting kayu yang bertaburan di halaman dan dimasukkan ke dalam bekas tertutup dan dibiarkan selama dua ke tiga minggu.

Dalam tempoh tersebut, apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka dan membalik-balikkan sampah tersebut supaya aliran udara dapat masuk dan mempercepatkan proses kompos.

Kompos yang terhasil nanti sudah cukup untuk kegunaan sendiri didalam aktiviti pertanian di rumah.

Ia lebih bermanfaat kepada tanaman daripada menggunakan baja kimia yang bukan sahaja mahal, bahkan tidak baik untuk kesihatan.

Manakala dalam aktiviti pertanian pula, aktiviti kompos masih lagi dipandang remeh.

Dalam ketika banyak pihak baik di peringkat kerajaan dan masyarakat petani sendiri mengeluh berikutan kenaikan baja pertanian yang berasaskan kimia yang berlipat kali ganda mahalnya, masih belum timbul kesedaran bahawa inilah masanya semua pihak memikirkan kaedah lain untuk mengurangkan kos baja pertanian.

Masyarakat pertanian di Malaysia masih melihat baja kimia sebagai penyelesaian dalam aktiviti pertanian mereka.

Malah, bagi menjayakan projek-projek pertanian itu sendiri, sudah disediakan senarai baja-baja kimia yang perlu disediakan untuk memastikan supaya tanaman yang dihasilkan akan memberikan pulangan hasil yang lumayan.

Mungkin kita kurang peka yang setiap sisa pertanian yang dihasilkan boleh diproses semula menjadi kompos dan digunakan semula untuk aktiviti pertanian tersebut.

Kaedah ini telah digunakan secara meluas di pelosok dunia terutama di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah telah menggunakan kompos semenjak awal tahun 1950-an lagi melalui organisasi seperti Institut Rodale, Biocycle dan lain-lain.

Kalangan kita masih meletakkan harapan kepada baja kima dan sebagainya sedangkan tanpa kita sedari aktiviti pertanian merupakan penyumbang kedua terbesar kepada penyebaran gas rumah hijau.

Menurut kajian Stern Review pada 2006, bumi hanya mampu menyerap sekitar lima billion tan metrik karbon dioksida setahun sedangkan aktiviti pertanian sahaja menyumbang sebanyak 5.6 billion tan karbon dioksida melalui aktiviti penggunaan input kimia secara berleluasa.

Mungkin masyarakat petani tidak ambil peduli tentang hal ini kerana merasakan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memikirkannya.

Mereka menganggap diri mereka selamat dari dilanda bencana alam.

Namun dewasa ini, kesan langsung telah mula dirasai oleh semua pihak tanpa mengambil kira bangsa, status, politik dan ekonomi.

Kejadian banjir dikawasan yang tidak pernah berlaku, kemarau yang berpanjangan, penyusutan produktiviti, serangan serangga dan makhluk perosak yang semakin kebal, semua itu merupakan petunjuk bahawa alam sudah tidak mampu menanggung beban pencemaran dan memulangkannya semula kepada umat manusia untuk sama-sama merasakan penderitaannya.

Aktiviti kompos boleh dilaksanakan seawal pendidikan sekolah rendah. Banyak negara maju seperti di Amerika dan Eropah telah mewujudkan sistem kompos disekolah dimana sisa-sisa makanan di kantin pelajar dan juga landskap sekolah telah diasingkan dan dikitar semula untuk dijadikan kompos.

Kaedah vermicompost atau penggunaan cacing juga digunakan untuk menghasilkan kompos.

Baja kompos yang dihasilkan akan digunakan untuk aktiviti landskap dan projek pertanian di sekolah. Usaha yang dijalankan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat di samping mendidik kesedaran ‘hijau’ semenjak dari peringkat sekolah lagi.

Kempen yang sama juga telah diperkembangkan di peringkat pengajian tinggi dimana usaha-usaha menggalakkan aktiviti kompos telah diperkukuhkan.

Penglibatan pihak pengurusan universiti menyalurkan sisa organik dan landskap di pusat kitar semula yang diwujudkan di dalam kampus untuk menghasilkan kompos telah membuahkan hasil.

Kompos juga telah digunakan kembali untuk aktiviti landskap universiti dan ini sekali gus membantu mengurangkan kos pihak universiti untuk membeli baja kimia untuk kegunaan landskap dan taman di universiti.

Mahasiswa telah didedahkan dengan kesedaran tersebut yang kemudiannya turun kepada masyarakat melalui aktiviti sukarela dan kempen-kempen yang dijalankan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Aktiviti kompos boleh membantu memperkembangkan lagi usaha-usaha mewujudkan jaminan sumber makanan (food security) dalam kalangan masyarakat.

Ia dapat dilihat bilamana sumber input pertanian boleh dihasilkan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pembelian baja.

Tambahan pula aktiviti pertanian yang dihasilkan menggunakan kompos lebih ‘organik’ dan sihat. Inilah antara rahsia kejayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Cuba semenjak sekian lama dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika namun rakyatnya menjadi semakin sihat dan hidup dengan sejahtera.

Setiap lapisan masyarakat telah menghasilkan kompos sendiri dari sisa makanan dan digunakan untuk aktiviti pertanian bandar (urban farming) di kediaman masing-masing yang mana hasilnya bukan sahaja untuk kegunaan makan sendiri, malahan boleh dijual sebagai pendapatan tambahan.

Banyak lagi usaha-usaha yang boleh dijalankan di peringkat kerajaan dan NGO untuk menggalakkan masyarakat Malaysia supaya sama-sama mengitar semula sisa organik untuk menghasilkan kompos.

Aktiviti memberi kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat perlu dipergiatkan sebagai permulaan kearah usaha ini.

Melalui kaedah ini , kita masyarakat Malaysia sama-sama membantu mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pembuangan sampah.

Dengan itu, jangka hayat tapak pembuangan sampah dapat dipanjangkan dan usaha-usaha membuka tapak pembuangan sampah yang baru dapat dikurangkan.

Penyertaan masyarakat melalui penghasilan kompos ini sahaja pun sudah cukup membantu mengurangkan pencemaran alam, pembakaran terbuka dan membantu menghidupkan kembali tanah yang sudah mati akibat penggunaan baja dan racun kimia semenjak sekian lama.

l Penulis Pengarah Eksekutif Detik Aturan Sdn. Bhd. dan ahli Malaysian Society of Waste Management Expert.

Keli salai penambat selera

ag_03.1


SELEPAS berhenti daripada jawatan sebagai pengurus perhubungan awam dengan sebuah syarikat penerbangan beberapa tahun lepas, Shaharuddin Md. Yusof, 60, merealisasikan minat dalam perniagaan dengan menternak ikan keli dalam tangki simen.

Pada permulaan, beliau menjual ikan keli hasil ternakannya itu kepada penjual di pasar malam dan pasar tani yang terletak berhampiran.

Shaharuddin bersama saudara lelakinya menubuhkan Newtech Aquaculture Sdn. Bhd. pada Januari 2007, dan kemudian mendaftarkan syarikat berkenaan di bawah Skim Anak Angkat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), untuk mempelajari lebih mendalam mengenai industri akuakultur ikan keli.

Sejak Disember tahun lalu , perniagaan itu, kini dikenali sebagai One Newtech, kini dimiliki sepenuhnya oleh Shaharuddin.

Dengan semangat untuk melebarkan perniagaannya, Shaharuddin mula mencari peluang untuk mempelbagai produk dengan menghasilkan produk yang diminta oleh pelanggan selain daripada ikan keli hidup.

Sebelum adanya peti sejuk, penyalaian adalah satu bentuk pengawetan dan penyimpanan yang popular.

Bahan kimia yang terhasil daripada kayu yang digunakan dalam proses penyalaian membantu memperlahankan pertumbuhan mikroorganisme dan mengurangkan jumlah kelembapan bagi pembiakan bakteria.

Rasa dan tekstur produk ikan keli organik yang disalai banyak bergantung kepada beberapa faktor termasuk kualiti ikan, jenis kayu yang digunakan untuk menyalai dan cara penyalaian.

Ikan yang disalai secara betul akan dapat mengekalkan nilai khasiat ikan segar berkenaan.

”Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk menghasilkan ikan keli salai dan melayari Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai peralatan, teknik dan proses bagi menghasilkan ikan keli salai.

”Saya akhirnya mendapat apa yang saya mahukan di laman web di Jerman”, kata Shaharuddin kepada Bernama semasa ditemubual di premis perniagaannya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor baru-baru ini.

Beliau terbang ke Jerman untuk bertemu dengan pengeluar mesin berkenaan tetapi mendapati harganya agak terlalu tinggi.

“Walaupun tidak dijual, mereka amat menghargai usaha saya dan memberi saya skema teknologi mesin penyalai berkenaan”, katanya.

Dengan rangka tindakan dalam tangan, Shaharuddin mendapatkan sebuah mesin penyalai yang dipasang siap di sini pada kos RM80,000.

Menurut para pegawai LKIM, mesin penyalai yang dimiliki oleh Shaaruddin adalah satu-satunya mesin penyalai yang menggunakan teknologi terkini dalam proses menyalai, di mana penyalaian (dan haba) dihasilkan di bahagian berasingan dan kemudian disalurkan ke bahagian lain di mana ikan yang diproses digantungkan.

“Cara ini, daging ikan akan masak secara perlahan dan kekal lembut dan enak”, kata Shaharuddin.

Dalam usahanya untuk mencapai kesempurnaan, Shaharuddin menghabiskan masa selama tiga bulan mencuba pelbagai teknik penyalaian untuk mengenalpasti proses penyalaian dan ramuan yang tepat.

Pemilihan kayu yang betul adalah suatu yang sukar. Hanya kayu pain yang mengandungi damar akan menjadikan ikan terasa pahit dan ini digemari ramai.

Beliau mendapati walaupun kayu dari pokok jambu tempatan memberikan hasil yang terbaik, mendapatkan bekalan untuknya bukanlah satu yang mudah. Beliau terpaksa mencari yang lain.

Habuk kayu oak

“Akhirnya, saya menjumpai habuk gergaji kayu oak menghasilkan asap yang bersih dan tidak tebal yang meningkatkan rasa enak ikan; menjadikan isi ikan warna yang menarik tanpa menjejaskan nilai khasiatnya”, jelas beliau.

Pada 1 Januari 2008, produk mula dikeluar dan dipasarkan secara komersial dengan jenama “Newtech” setelah ia berjaya menghasilkan ikan salai yang bermutu.

Dengan taglinenya berbunyi: Aromanya Membuka Selera Anda keli organik salai “Newtech” kini dipasarkan melalui pasar tani, pasar malam, pasar segar dan di kedai makan serta runcit di Bangi, Kajang dan Putrajaya.

Sebagai Presiden Persatuan Anak Angkat Jabatan Perikanan Selangor, Shaharuddin juga mewujudkan satu rangkaian pengedar untuk produk berkenaan.

Syarikat berkenaan turut aktif menyertai pameran dan ekspo yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pengguna yang menitik berat akan kesihatan menyambut baik hasil produk Shaharuddin lebih-lebih lagi ia menerima sijil “halal” daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Hasil pengeluaran harian mencatatkan pertambahan sekali ganda pada suku tahun kedua dan sekali ganda lagi pada suku tahun ketiga dan keempat.

Pada peringkat awal, pengeluaran produk adalah cuma kira-kira 20 kilogran (kg) sehari pada Januari dan meningkat kepada 40 kg pada Mac, 60 kg pada Jun, 80kg pada September; mencecah 100 kg sehari atau 2.5 tan metrik sebulan pada Disember 2008.

Permintaan kian bertambah hingga melebihi tawaran. Syarikat berkenaan kini terpaksa mendapatkan bekalan ikan daripada pemilik akuakultur, tetapi dengan syarat ikan keli diberi makan pelet.

“Kami menawarkan RM3.80 setiap kilogram ikan daripada penternak ikan keli, yang saiznya telah ditetapkan termasuk penghantaran”, kata Shaharuddin.

Tidak seperti ikan sejenis yang hidup dalam lumpur di sungai, ikan ternakan di kolam milik One Newtech diberi makan pelet menjadikan isi ikan terasa manis, kenyal tetapi lembut.

Penyelidikan yang dikendalikan oleh Institut Ikan Keli Amerika Syarikat mendapati bahawa ikan keli yang diternak dan diberi makan dengan pelet mempunyai sumber protein yang baik.

Kaya dalam protein dan lemak asid Omega-3 serta rendah kolestrol dan lemak tepu; ia adalah ideal untuk diet kesihatan.

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Persatuan Perubatan Amerika, tahap sederhana lemak politepu dan asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, sistem peredaran dalam badan.

Laporan itu juga menyebut bahawa pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli seumpama dalam seminggu boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung.

One Newtech akan memulakan satu program pengembangan bertujuan agar produk syarikat boleh diperoleh di pasar raya seperti Carrefour, Giant dan Tesco.

Shaharuddin menjangka tahap pengeluaran harian akan meningkat lagi sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, syarikat merancang menambah ketuhar penyalai selain meningkatkan kebersihan premis bagi mematuhi Prosidur Pengendalian Standard Kebersihan (SSOP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dalam usaha mempelbagaikan produk, One Newtech baru-baru ini telah menambah daging salai dalam tawaran produknya. Turut tersenarai dalam produk barunya ialah ikan tilapia dan ikan patin salai.

“Akhirnya, kami berharap dapat memperoleh sijil HACCP (Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal) “, kata Shaharuddin.

HACCP ialah satu proses standard yang menentukan sistem pengurusan dan pengawasan yang ketat dilaksanakan dalam pengeluaran makanan.

Pensijilan ini adalah satu proses yang ditetapkan untuk jualan produk makanan yang siap proses dalam pasaran di Eropah dan Amerika Syarikat

Hasilkan mesin bantu petani

MELAKA 23 Jun – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disaran memberi tumpuan dalam menghasilkan mesin berteknologi tinggi bagi membantu golongan petani di negara ini meningkatkan pendapatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, agensi itu juga perlu memastikan mesin yang dikeluarkan mampu dijual pada harga berpatutan serta mengurangkan kos pengeluaran.

“Kita mahu lebih ramai penyelidik MARDI menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan jentera atau mesin yang boleh membantu petani meningkatkan hasil pertanian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mekanisme Pertanian dan Makanan Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini, MARDI berjaya mereka cipta sebanyak 110 mesin dan peralatan berteknologi moden untuk kemudahan petani.

Ujarnya, usaha itu penting untuk membolehkan golongan terbabit meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan makanan sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan ke atas import makanan dari luar negara.

“Atas usaha itu juga, kita berjaya menghasilkan satu teknologi baru yang mana kesemuanya dikumpulkan dalam pangkalan data berbentuk cakera padat (CD) dan direktori.

“Teknologi tersebut dinamakan Ag-Food Machinery Dir bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai mesin pertanian, pemprosesan makanan dan bukan makanan,” kata beliau.

Filet tilapia ke pasaran AS

ag_01.1

ROHANI Abd. Karim (empat dari kiri) memberi makanan kepada ikan tilapia hitam dalam satu sangkar Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakulter di Tasik Temengor, baru-baru ini.


GERIK 23 Jun – Produk filet (isi ikan) tilapia keluaran Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia) akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) mulai Ogos ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim berkata, ia merupakan kejayaan hasil misi perdagangan disertai syarikat berkenaan di Pameran Makanan Laut Boston, AS pada Mac lalu.

“Kejayaan memasuki pasaran AS yang merupakan pengimport filet tilapia terbesar dunia berikutan misi perdagangan yang disertai Trapia Malaysia dan Jabatan Perikanan dalam pameran di Boston Mac lalu.

“Nilai dagangan yang termeterai dianggarkan RM30 juta setahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek tersebut di Tasik Temenggor dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Datuk Abdul Karim Osman.

Menurut Rohani, buat masa ini projek itu mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 tan metrik filet tilapia setahun dan dijangka meningkat sehingga 40,000 tan metrik pada 2013.

Sementara itu, Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping berkata, projek penternakan ikan tilapia hitam memberi impak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta ringgit setahun.

“Sebagai tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak,” katanya sambil mengakui hanya mengambil penduduk tempatan sebagai pekerja.

Dalam masa sama, menurut Sead Ping, pihaknya berhasrat membantu anak-anak tempatan yang berminat, menceburi bidang ternakan ikan tilapia.

Buat permulaan, katanya, Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis di kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak.

Jelas beliau, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik.

“Kami akan memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih terbabit tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam.

“Saya difahamkan borang permohonan untuk memohon skim berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.