Chokanan dapat sambutan

wu_01.1

Kakitangan pusat pengumpulan mempelam, Aziizul Abidin, 23, menyusun buah yang baru dipetik di Ladang Mempelam Tobiar.


PENDANG 19 Jun – Meskipun lebih dikenali sebagai negeri jelapang padi, namun negeri ini kini boleh berbangga dengan tanaman mempelam jenis chokanan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Usaha untuk mengusahakan tanaman berkenaan secara komersial dimulakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tujuh tahun lalu selepas agensi berkenaan melihat potensi besar perniagaan buah berkenaan.

Ini lebih-lebih lagi apabila muka bumi negeri ini mempunyai tanah yang cukup subur dan sesuai untuk penanaman mempelam chokanan yang sekali gus mampu memberikan pulangan lumayan kepada para pengusahanya.

Sehubungan itu, MADA mengambil inisiatif dengan membuka ladang mempelam di kawasan yang pernah dijadikan sebagai padang ragut di Tobiar, di sini pada 2002.

Pegawai Pertanian MADA, Zulkifli Romzi berkata, pada awal pelaksanaan projek berkenaan, lembaga itu menanam sebanyak 7,236 pokok melibatkan tanah seluas 18 hektar di kawasan tersebut.

Memandangkan permintaan terhadap buah berkenaan semakin meningkat, katanya, MADA menanam sejumlah 10,223 lagi pokok pada fasa kedua dan fasa ketiga projek berkenaan setahun kemudian.

“Melihat kejayaan projek ini, MADA menambah 600 pokok pada fasa keempat dua tahun lalu dan sehingga kini keseluruhan 18,059 pokok mempelam telah ditanam dengan keluasan kawasan sejumlah 42 hektar di Tobiar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Zulkifli berkata, hasil mempelam berkenaan mula dituai pada 2004 dengan anggaran pengeluaran sebanyak lima tan.

Katanya, selepas hampir lapan tahun beroperasi, pihaknya menyasarkan pengeluaran pada tahun ini akan mencecah 150 tan dan dijangka meningkat kepada 200 tan pada tahun depan.

Menurutnya, bagi meningkatkan nilai produk, mempelam yang dikeluarkan di ladang kendalian MADA itu menggunakan jenama Tobiar Gold sempena nama tempat ia ditanam dan buah yang berwarna kuning keemasan.

“Mempelam Tobiar Gold bukan sahaja sedap dan berkhasiat, tetapi ia juga berbau harum serta setanding dengan buah yang dikeluarkan di tempat lain.

“Malah rasanya juga lebih manis dengan purata kandungan gula sejumlah 25 peratus,” katanya.

Zulkifli memberitahu, mempelam Tobiar Gold juga mempunyai akreditasi Sijil Amalan Baik Ladang Malaysia yang diterima pada Jun 2006 dan Sijil Malaysia’s Best pada Julai 2007.

Katanya, selain menjual buah yang masak, MADA juga menghasilkan produk hiliran berasaskan mempelam seperti kordial, sos mempelam dan jem.

“Buah mempelam Tobiar Gold yang mempunyai rasa lebih manis juga sekali gus menjadikannya amat sesuai untuk dijadikan sebagai jus,” ujarnya lagi.

Bagi meluaskan penanamam buah mempelam itu, MADA juga mengadakan program pengagihan benih melibatkan peladang-peladang di empat wilayah lembaga itu.

Sehingga tahun lalu, seramai 979 peladang terlibat menanam 61,436 pokok melibatkan keluasan keseluruhan kawasan 209.12 hektar.

Zulkifli berkata, sehingga kini permintaan pasaran terhadap mempelam Tobiar Gold amat memberangsangkan dan percaya MADA mampu pengeluar mempelam Tobiar Gold atau klon chok anan utama di negara ini.

Dalam pada itu, katanya, ladang mempelam berkenaan mempunyai berpontensi untuk dijadikan projek agro pelancongan di wilayah utara.

Ladang itu, menurutnya, bukan sekadar menghasilkan buah mempelam semata-mata, tetapi merupakan ladang nukleus yang berperanan sebagai pusat pemindahan teknologi tanaman buah tersebut.

“Ia juga menjadi pusat latihan amali tanaman mempelam dan pusat pengumpulan dan pemasaran buah,” ujarnya.

Bengkel Usahawan Bersama Mega akan diteruskan lagi

dn_17.1


Abdul Shukor Abdul Jabbar (tengah) bergambar bersama peserta seluruh negara yang menyertai Bengkel Usahawan Bersama Mega di Country Heights, Kajang baru-baru ini.KAJANG 22 Jun – Bengkel Usahawan Bersama Mega anjuran Utusan Malaysia dan Pusat Latihan AgroBank (Abadi) serta perunding pertanian tempatan, May Consult diteruskan lagi.

Siri terbaru bengkel khusus untuk pembaca Utusan Malaysia itu diadakan pada Jumaat hingga Ahad lalu di Country Height di sini.

Sebanyak 30 peserta dari seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk mengetahui kaedah terbaik penggunaan sistem pengairan baja dan air secara serentak khususnya untuk pokok cili.

Antara topik yang dibincangkan ialah Pengenalan Teknologi Fertigasi, Sistem Pengairan Fertigasi, Penanaman Secara Fertigasi, Kawalan Musuh Tanaman dan Latihan Perniagaan.

Menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, pihaknya akan meneruskan bengkel itu berikutan disebabkan permintaan yang amat menggalakkan.

“Sungguhpun peserta dihadkan kepada jumlah yang kecil, kita akan memastikan orang ramai tidak terlepas peluang mengikutinya.

“Harapan beliau ialah semua peserta yang telah mengikuti bengkel ini dapat memulakan projek fertigasi ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Bagi peserta yang sudah memulakan projek, May Consult akan memberi perkhidmatan nasihat dan pemantauan dari semasa ke semasa.

Selepas ini, pihaknya akan menganjurkan Bengkel Usahawan Kambing dari 26 hingga 29 Jun ini di Ladang Syamille Farm Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak.

Bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada setiap peserta meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan di tapak amali dan sijil penyertaan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dibuat dengan menghubungi urus setia bengkel di talian 012-3682263 (Sarah)

Hijaukan sekeliling rumah

emailjohor@utusan.com.my

wj_01.1

Almizan Saari mengusahakan tanaman cili Taiwan di ladangnya di Rengit, Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 22 Jun – Jawatankuasa Penyelaras Mukim- Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit memperkenalkan Gerakan Ekonomi Baru Desa bagi mengubah persepsi masyarakat agar memaksimumkan penggunaan tanah di sekitar kediaman masing- masing.

Ia juga bagi menggalakkan setiap ahli keluarga saling bekerjasama dalam meningkatkan taraf ekonomi dengan bertani atau menternak di kawasan tanah yang terhad seperti di tepi rumah atau di kebun kelapa sawit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil berkata, dalam Gerakan Ekonomi Baru Desa itu penggunaan bioteknologi akan diperkenalkan kerana dengan cara itu dapat meningkatkan kualiti tanaman atau ternakan yang diusahakan.

“Apa yang penting adalah penyertaan seluruh ahli keluarga dengan memaksimumkan bahan-bahan yang ada dan masih boleh digunakan seperti kayu atau zink terpakai untuk membina reban ayam,” katanya.

Pada masa ini, katanya, JPMM mahu mewujudkan model-model bagi pertanian dan penternakan itu dahulu agar menjadi contoh kepada orang lain untuk mengusahakan pelbagai bentuk pertanian dan penternakan dengan modal yang sedikit.

Ayub berkata, model-model itu nanti bakal menjadi tempat rujukan kepada mereka yang berminat untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga tanpa modal yang banyak.

Bagaimanapun, katanya, seseorang itu harus kreatif dalam merealisasikan apa yang diimpikan sama ada dalam bidang pertanian atau penternakan.

Selain itu, JPMM DUN Rengit juga akan mengadakan kursus bagi memberi pengenalan dan pendedahan tentang pertanian dan penternakan dengan penggunaan teknologi terkini.

“Seperti isu bahan makanan ternakan yang didakwa mahal, sebenarnya jika seseorang itu kreatif dalam apa yang diusahakan, isu itu boleh diatasi,” katanya.

Persepsi orang kampung, katanya, perlu diubah agar sentiasa kreatif dan peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Tambahnya, mereka boleh menanam sayur-sayuran, menternak ayam, itik, kambing dan lembu hanya di dalam kebun kelapa sawit dan ia akan mendatangkan pendapatan sampingan sementara menunggu sawit boleh dipetik.

Misalnya di tanah gambut, walaupun ada yang mendakwa sukar untuk bercucuk tanam tetapi dengan teknologi terkini, mereka boleh menanam cili atau sayur-sayuran di dalam beg plastik.

Ayub berkata, DUN Rengit kini mempunyai dua model yang boleh dijadikan rujukan iaitu dalam penternakan ayam kampung dan tanaman cili secara fertigasi dan setakat ini kedua-dua model itu berjaya dalam usaha mereka.

Bermula dengan modal RM50

wu_01.1

Rohani Madzlan dan suaminya, Mat Isa Tasit bersama produk kerepek yang dihasilkan mereka di Kampung Tualang Tujuh Kampong Kepayang, Simpang Pulai, Perak. – utusan / HANAFI KHAMIS


IPOH 22 Jun – ”Kakak mula berniaga dengan modal RM50 sahaja pada 1998. Kini perniagaan makanan ringan yang kakak usahakan makin maju dan memberi pendapatan bersih RM3,000 sebulan.”

Begitulah kata-kata pembuka bicara, Rohani Madzlan, 52, ketika ditanya bagaimana dia memulakan perniagaan makanan ringan di Kampung Tualang 7, Kampung Kepayang, Simpang Pulai dekat sini.

Menurutnya, perniagaan tersebut dimulakan secara kecil-kecilan kerana menyedari pendapatan RM15 sehari sebagai pekerja kilang tidak mencukupi pada zaman yang makin mencabar sekarang.

Apatah lagi katanya, dia terpaksa menanggung kehidupan 15 orang adiknya yang masih kecil, lima orang anak dan menjaga ibunya yang telah lanjut usia.

”Masa mula-mula berniaga dulu, kakak guna modal RM50 jual kerepek pisang masin ke sekolah-sekolah dan kedai-kedai runcit di kampung berhampiran.

”Kakak goreng kerepek di bawah pokok manggis berhampiran rumah dan memotong pisang dengan tangan setiap hari. Selepas itu, kakak jual kerepek pisang dengan mengayuh basikal buruk pemberian arwah ayah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selepas enam tahun mengayuh basikal menjual kerepek, akhirnya kehidupan Rohani sekeluarga mula berubah dan mampu membeli sebuah motosikal untuk mengedarkan makanan ringan hasil keluarannya.

Katanya, pada masa itu, kerepek pisangnya juga sudah dipelbagaikan dengan perisa manis dan pedas yang mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

Jelasnya, pada tahun 2006, kesungguhannya berniaga kerepek pisang telah mendapat perhatian pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang memberikan bantuan mesin pemotong pisang, kuali dan penapis minyak.

”Selama lapan tahun kakak memotong pisang dengan tangan untuk buat kerepek, selepas dapat bantuan Kemas itu kakak amat bersyukur kerana kerja jadi bertambah mudah.

”Selepas itu, Jabatan Pertanian Perak pula tampil dan menghulurkan bantuan menyediakan bengkel ini yang lengkap dengan peralatan menghasilkan kerepek.

”Kemudian, pada tahun lepas, pihak Peladang Negeri Perak membekalkan bantuan plastik bungkusan, mesin dodol dan rak simpanan bagi memajukan lagi perniagaan kakak,” katanya.

Hasil bantuan yang diterimanya itu, syarikatnya kini sudah mampu mengeluarkan 13 jenis makanan ringan seperti kerepek ubi, kuih bahulu, kuih bakar, kuih tiram, kuih buah rotan, agar-agar kering, dodol, kek, jejari udang, maruku, kuih sepit dan kuih loyang.

”Buat masa ini, boleh dikatakan pasaran produk kakak sudah berada di separuh negeri Perak. Selain itu sudah ada pemborong tetap dari Kelantan, Kedah dan Kuala Lumpur.

”Sekarang kakak sudah beli sebuah kereta untuk menghantar produk-produk tetapi nampaknya ia tidak memadai, kakak terpaksa beli sebuah lori atau van supaya dapat memasarkan produk secara lebih meluas,” katanya yang bersyukur kerana kerja kerasnya selama 11 tahun membuahkan hasil malah adik-beradiknya dan semua anak-anak berjaya dalam pelajaran hasil titik peluhnya itu.

Rohani menambah, sasarannya kini juga semakin tinggi dan berharap dapat mencapai pendapatan bersih sebanyak RM10,000 sebulan.

”Pendapatan bersih RM10,000 sebulan biasanya kakak dapat semasa musim perayaan tetapi kalau pemasaran dan sistem penghantaran bagus, pendapatan itu boleh dicapai setiap bulan,” katanya penuh yakin.

Sementara itu, suaminya, Mat Isa Tasit, 51, berkata, dia terpaksa berhenti kerja pada tahun lepas apabila mendapati isterinya tidak mampu mengendalikan perusahaan itu seorang diri.

”Saya tengok isteri saya cukup sibuk dan tak boleh selesaikan banyak kerja seorang diri, jadi saya ambil keputusan berhenti kerja kalau tidak perniagaan ini tidak boleh berkembang.

”Sekarang tugas utama saya adalah untuk memastikan bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi.

”Kami memerlukan sekurang-kurangnya satu tan metrik pisang sehari jadi kalau bekalan itu tidak ada sudah pasti banyak permintaan tidak dapat dipenuhi,” katanya.

Katanya lagi, orang ramai yang ingin membuat tempahan makanan ringan itu boleh melayari laman web yang disediakan di bawah Kemas selain boleh terus menghubungi talian 012-5983871 atau 019-4046828.

Fasa tiga hasilkan 30 tan ikan

HULU TERENGGANU 24 Jun – Projek ternakan ikan dalam sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir di sini dijangka mampu mengeluarkan lebih 30 tan hasil ternakan apabila fasa ketiga projek itu siap dibina.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, pembinaan fasa ketiga yang kini sedang berjalan itu akan menyaksikan penambahan kira-kira 4,000 sangkar ternakan ikan.

Menurut beliau, ketika ini, sebanyak 2,200 sangkar ikan digunakan untuk menternak ikan tilapia merah, siakap dan patin.

Katanya, fasa ketiga projek itu dijangka siap dalam tempoh terdekat ini.

”Dengan siapnya fasa ketiga projek ini, kita akan mampu mengeksport ikan ke pasaran luar negara terutama di negara Eropah.

”Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. (TADC) akan menguruskan pemasaran dan pelabelan untuk pasaran dalam bentuk ikan segar, hirisan dan nugget,” katanya.

Beliau menambah, apabila sangkar itu siap nanti, 200 sangkar akan dijadikan sebagai tempat nurseri benih ikan manakala selebihnya akan menjadi tempat penternakan.

”Penambahan sangkar itu juga akan menyaksikan pembiakan lebih sejuta benih ikan di Sungai Como,” tambahnya.

Rozi memberitahu, di bawah fasa ketiga itu juga akan menyaksikan penambahan beberapa infrastruktur asas di tapak projek di Sungai Como.

”Antara infrastruktur yang akan dibina ialah surau dan tandas di sebuah pulau kecil seluas satu hektar.

”Tempat tinggal peserta juga akan ditambah yang sejajar peningkatan jumlah peserta ekoran penambahan jumlah sangkar,” jelasnya.

FAMA sediakan pelan pemasaran buah tempatan

PULAU PINANG 24 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melaksanakan langkah di bawah pelan pemasaran buah-buahan bermusim bagi mengatasi masalah lambakan di samping menambah peluang pasaran baru dalam industri tersebut.

Pengarah FAMA Wilayah Utara, Ariffin Awang berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai program dan aktiviti berkaitan buah-buahan tempatan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan hadapan sehingga September ini.

“Walaupun saya menjangkakan lambakan ini tidak berlaku tetapi saya tidak menolak kemungkinan akan ada sedikit lebihan.

“Sehubungan itu, FAMA telah menggariskan beberapa rancangan di bawah pelan pemasaran kami sebagai persiapan awal sekali gus memastikan buah-buahan tempatan mendapat tempat di hati masyarakat,” katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar pada Majlis Sepetang Bersama Media, Menikmati Buah-Buahan Tempatan anjuran FAMA di Anjung Indah, Balik Pulau di sini semalam.

Menurut Ariffin, antara program yang bakal dijalankan ialah jualan buah-buahan bermusim oleh pekerja industri yang diberhentikan kerja.

Katanya, penawaran kepada golongan tersebut merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang tidak mempunyai kerja atau diberhentikan.

“Ia juga secara tidak langsung mampu menyelesaikan masalah lambakan buah-buahan jika ada di samping melahirkan seberapa ramai usahawan dalam industri ini.

“Program ini bermula 1 Julai sehingga 20 Ogos ini dan dibuka kepada 50 orang peserta di negeri ini sahaja. Jika berminat, mereka boleh menghubungi Pusat Operasi FAMA di Perai,” jelasnya.

Selain itu, di bawah pelan tersebut, beliau turut memaklumkan pihak FAMA negeri akan mengelolakan jualan buah-buahan dalam bentuk pakej menarik menerusi program ‘Parti Durian.’

Ujarnya, program tersebut bermula 1 Julai ini sehingga musim buah-buahan selesai dan semua pihak boleh membuat pesanan sehari awal dengan menghubungi pejabat FAMA di talian 04-3907222.

“Kami menawarkan tiga pakej hebat iaitu Pakej A pada harga RM180 (untuk 10 orang), Pakej B, RM450 (30 orang) dan Pakej C, RM650 (50 orang).

“Buah-buahan yang disediakan untuk pakej-pakej tersebut ialah durian, rambutan, manggis, dokong dan cempedak. Apa yang lebih menarik, kami sediakan air mineral 500 mililiter, pulut dan santan serta pinggan kertas secara percuma,” ujarnya.

Komersialkan buah longan

wu_01.1

Buah longan atau mata kucing mampu mencapai 30 kilogram sepokok di MARDI Bukit Tangga Bukit Kayu Hitam, Kedah – UTUSAN/ismail kamadin


BUKIT KAYU HITAM 25 Jun – Buah longan atau lebih dikenali sebagai buah mata kucing adalah antara buah- buahan bermusim yang menjadi kegemaran ramai.

Berbanding buah durian atau rambutan yang mudah ditanam, buah longan kurang mendapat sambutan kerana kesukaran pokoknya untuk berbunga, sekali gus menghasilkan buah apabila cukup matang.

Setiap kali tiba musim buah tersebut, kita hanya dapat membeli buah longan yang diimport dari Thailand.

Selain itu, penggunaan bahan kimia terlarang bagi meningkatkan ketahanan dan kesegaran buah oleh petani asing, menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai.

Kini, bagi yang menggemari buah longan, mereka boleh menikmati buah tersebut sepanjang tahun dengan kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Bukit Tangga yang telah menghasilkan teknologi bagi mengatasi masalah pendebungaan.

Pengurus Stesennya, Khadzir Darus berkata, antara masalah yang sebelum ini selalu menghantui pengusaha adalah masalah pendebungaan dan ia dapat diatasi dengan teknik penyiraman dan pembajaan menggunakan potasium klorat.

“Buah mata kucing adalah sejenis tanaman yang bergantung kepada faktor cuaca yang sejuk serta kering dan ini menyebabkan ramai pengusaha tempatan tidak berminat untuk menanam pokok ini secara komersial.

“Sebenarnya buah longan ini merupakan antara tanaman yang mudah diurus dan tahap serangan makhluk perosak adalah rendah,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Khadzir, melalui teknik penyiraman dan pembajaan menggunakan potasium klorat, pihaknya berharap ia dapat dikomersialkan oleh pengusaha tempatan.

“Pokok longan sangat responsif terhadap penggunaan potasium klorat sebagai penggalak ia berbunga.

“Pengeluaran buah juga lebat dan pasti tidak akan mengecewakan pengusaha kerana mata kucing jenis berlian dan E-daw amat manis ditambah dengan penggunaan racun yang amat minimum,” jelasnya.

Katanya, pihak Mardi menggunakan tiga kaedah untuk merangsang pertumbuhan pokok longan iaitu kaedah penyiraman, tabur dan semburan daun.

“Ketiga-tiga kaedah memberikan tindak balas yang serupa dan tindak balas ia berbunga terjadi selepas 25 hingga 28 hari rangsangan.

“Namun, peratus pembungaan pokok longan bergantung kepada kadar potassium klorat yang digunakan, saiz kanopi dan tahap kematangan pucuk,” jelasnya.

Kata Khadzir, sekiranya pengusaha mengikut prosedur yang betul penjagaannya, mereka akan dapat hasilnya dalam masa lima hingga tujuh bulan sahaja selepas ia berbunga.

“Pada peringkat empat tahun tanaman pokok mata kucing, pengusaha berupaya mengeluarkan hasil sehingga 30 kilogram sepokok dan ia begitu memberangsangkan,” katanya.

Empangan jadi pusat ternak ikan

wb_01.1

ROHANI Abdul Karim tertarik melihat epal dari Ba’kelalan pada majlis perasmian Eskpo Industri Asas Tani 2009 di Tebingan Sungai Kuching, semalam. – utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


KUCHING 26 Jun – Tasik empangan hidro elektrik Batang Air di daerah Lubok Antu berpotensi dijadikan Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur khususnya projek penternakan ikan tilapia hitam yang mendapat permintaan tinggi di Eropah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, beliau telah memaklumkan syarikat Trapia Malaysia Sdn. Bhd., syarikat tunggal yang melaksanakan projek tersebut di Tasik Temenggor, Perak untuk melaksanakan projek yang sama di Tasik Batang Air.

Beliau berkata, Trapia Malaysia dijangka meminta petani atau nelayan tempatan berhampiran dengan Tasik Batang Air untuk menjalani kursus dengan syarikat terbabit selama enam bulan.

“Jika petani serta nelayan tadi telah lulus, mereka akan dilantik secara kontrak untuk bekerja dengan syarikat terbabit melaksanakan ternakan ikan tilapia hitam dengan setiap kali hasil tangkapan boleh mencecah sehingga RM5,000.

“Saya juga memaklumkan kepada syarikat terbabit untuk mencuba projek yang sama di Sabah dengan mereka mengawal selia benih, makanan serta penjagaan alam sekitar apabila melaksanakan projek seumpama itu,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas mewakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar merasmikan majlis Ekspo Industri Asas Tani 2009 di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Rohani berkata, projek ikan tilapia hitam akan menggunakan sebuah sangkar besar yang boleh memuatkan 40,000 ekor atau 50 tan metrik ikan tilapia hitam.

Katanya, 90 peratus hasil akan dieksport ke luar negara khususnya Eropah dan hanya 10 peratus dijual dalam pasaran negara.

Nikmati keenakan air nira Kuala Sanglang

ag_01.1

Khipli Sulaiman tidak mengenal penat lelah mengusahakan ladang niranya di Kuala Sanglang , Perlis.


KAMPUNG Tanah Timbul, sebuah kampung terpencil yang terletak di hutan paya nipah pinggir pantai Kuala Sanglang Perlis, sering dikunjungi tetamu yang sangat istimewa.

Tetamu tersebut tidak lain tidak bukan, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis yang tanpa ragu-ragu meniti batas-batas bendang yang menempatkan ladang Kiefly.

Baginda ke sini kira-kira lima kali setiap tahun semata-mata bagi menikmati keenakan air nira.

Ladang milik Khipli Sulaiman, 49, itu, menyediakan tempat minum air nira berkonsep pangkin santai terbuka termasuk buaian hammock di celah-celah ladangnya.

Selain menjadi pilihan amalan kesihatan tetamu diraja itu, Khilpi mengaku, seorang lagi personaliti terkenal iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga telah beberapa kali melawat sambil menikmati air nira yang dihasilkannya.

Beliau yakin kunjungan-kunjungan istimewa itu berpunca daripada khasiat kesihatan air nira yang terkenal di negeri-negeri utara Semenanjung di sebalik keenakan rasa manis bak gabungan air laici dan rambutan ditambah madu asli.

Bercerita mengenai khasiat minuman itu, dipercayai antara kelebihan amalan meminum air nira ialah menyejukkan badan, membantu merawat demam dan dan membantu mengurangkan batuk sederhana.

Air nira juga didakwa boleh membantu memecahkan batu karang dan mencuci buah pinggang. Namun secara rendah diri beliau menyatakan semua testimoni itu bukan datang dari mulutnya tapi daripada para pelanggan.

”Saya cuma seorang petani, tidak begitu tahu dan tiada kemampuan untuk membuat kajian saintifik.

“Tetapi, ada pelanggan yang kerap mendapatkan nira ini kerana percaya ia membantu menstabilkan komposisi darah mereka yang sakit tenat,” kata Khipli.

Idea mendirikan pondok rehat dan ruang santai itu hanya dilakukan sejak dua tahun yang lalu walaupun beliau telah menanam pokok nira secara kecil-kecilan sejak 10 tahun lepas.

Katanya, ilham itu lahir selepas beliau menyedari memandangkan bumi sekarang sangat panas, tetapi orang kampung sepertinya bernasib baik kerana masih mempunyai persekitaran semula jadi yang nyaman untuk berehat.

Oleh itu, beliau ingin menarik lebih ramai orang terutama dari bandar untuk datang berehat ke kampung.

Ini sekali gus menjadi strategi yang baik mengkomersialkan kehidupan hutan nipah, seterusnya membaiki taraf hidup orang kampung terutama keluarganya sendiri.

Bermula dengan hanya sebatang cangkul, Khipli telah menanam pokok-pokok nipah di sepanjang satu relung kawasan hutan lebat yang disediakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dia juga merancang terlebih dahulu jarak penanaman dan lokasi pokok bagi memastikan setiap pokok mendapat air yang cukup dari tiga sumber air iaitu sungai dan laut serta takungan air hujan.

Meskipun telah meluaskan ladangnya menjadi 3.5 relung iaitu kira-kira satu hektar, hanya 30 peratus sahaja yang boleh dituai hasilnya.

Selebihnya kira-kira 70 peratus lagi masih menunggu tempoh matang yang dianggarkan membuahkan hasil maksimum sekitar setahun lagi.

Berkat usaha dan kesabaran, beliau berjaya mengubah nasib keluarganya yang dulu merupakan penerima bantuan Projek Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kini, ladangnya mula membuahkan hasil, walaupun tidak sentiasa lumayan, beliau mampu menjana pendapatan di antara RM1,000 hingga RM 3,000 sebulan.

“Pada bulan-bulan yang baik, terutama musim sejuk, saya pernah berjaya mendapat sehingga melebihi RM4,000 sebulan,” ujar Khipli.

Harapan beliau, pada masa depan, ladang hutan niranya dapat terus diperluaskan serta dapat mempelbagaikan lagi produk ladang.

Buat masa ini, Khipli turut menternak ketam nipah dan ikan air tawar di terusan ladangnya serta menghasilkan cuka nipah.

“Cuka nipah adalah ramuan penting amalan perubatan tradisional Melayu, ini termasuk melegakan sakit-sakit akibat lumpuh,” jelasnya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Beliau kini sedang merancang untuk menyediakan khidmat-khidmat perubatan alternatif mudah termasuk urutan kaki dan rawatan mata.

Selain itu, beliau juga berhajat membuka gerai makan dan menjadikan ladangnya tapak laluan joging sekali gus menjadi lokasi rehat dan rawat pilihan keluarga.

Justeru, tidak salah jika dikatakan pengalaman Khipli adalah satu kisah teladan yang patut diketengahkan memandangkan dia kian meniti tangga kejayaan dengan titik peluh sendiri.

Lebih bermakna, beliau berjaya mengubah hutan paya terbiar itu menjadi hutan paya nipah terancang yang bukan sahaja tetap sihat untuk alam semulajadi malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan agro negeri itu.

Namun, ketidaktentuan penghasilan air nira adakalanya menimbulkan masalah kepadanya. Ini kerana ada ketikanya air nira tidak mencukupi apabila terdapat rombongan tetamu datang apatah lagi sekiranya tidak menempah terlebih dahulu.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak yang berusia di antara 21 tahun dan 10 bulan itu tetap berusaha memenuhi para tetamu sedaya upayanya.

Justeru beliau berharap agar orang ramai yang berhajat untuk berehat sambil menikmati air nira dapat membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi beliau di talian 017-4306245.

Memanfaat baja kompos untuk pertanian

ag_02.1

pertanian organik dapat berkembang sekiranya industri baja kompos dapat terus berkembang.


MUNGKIN tidak ramai menyedari bahawa pada bulan lepas, Minggu Kesedaran Kompos Antarabangsa disambut bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya isu kompos ketika ini.

Setiap kali kita membuang sisa makanan yang berlebihan pernahkah terfikir bahawa kita sebenarnya telah membazirkan satu lagi sumber yang boleh memastikan bumi ini terus subur?

Ada kemungkinan semasa membersihkan halaman rumah daripada daun-daun dan ranting kayu , pernahkah kita terfikir sejenak bukankan lebih baik diolah menjadi sesuatu yang boleh dipulangkan semula kepada alam.

Atau semasa kita membelek sayur-sayuran yang hendak dibeli dipasar pernahkah kita terfikir yang kita sebenarnya boleh menanam sendiri sayur-sayuran tanpa menggunakan baja kimia dan racun serangga yang boleh memudaratkan kesihatan?

Mungkin itulah antara perkara-perkara yang kita lalui setiap hari namun kita tidak berfikir sejenak untuk memutuskan sama ada aktiviti harian tersebut merupakan satu lagi sumbangan kita kepada kemusnahan bumi ini

Ada baiknya kita mengambil keputusan untuk memulakan kitar semula menjadikannya kompos sebagai usaha kecil untuk menyelamatkan bumi.

Secara umumnya, aktiviti kompos di Malaysia boleh dikatakan masih baru. Ini boleh dilihat dari sedikitnya bilangan mereka yang menceburi aktiviti ini dan kurangnya kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum tentang kompos itu sendiri.

Kebanyakan masyarakat kita lebih merelakan sisa-sisa makanan dibuang dan diangkut oleh kontraktor sisa pepejal dan kemudiannya ditimbun di pusat pembuangan sampah daripada mengolahkannya kembali menjadi kompos dan digunakan untuk aktiviti landskap dan taman-taman di kediaman.

Banyak pihak sering mengutarakan rungutan dan bantahan tentang masalah pembuangan sampah namun kita sendiri lupa bahawa kita sendiri sebenarnya adalah penyumbang kepada masalah tersebut.

Bukankah lebih baik masyarakat kita sama-sama memainkan peranan untuk mengitar semula sisa-sisa organik yang ada dirumah untuk dijadikan kompos.

Proses menghasilkan kompos sendiri di rumah bukanlah suatu proses yang rumit. Ia boleh dilaksanakan semudah mengasingkan sisa makanan ke dalam satu bekas yang bertapis untuk dibuang lebihan airnya dan kemudian boleh dicampurkan dengan daun-daun dan ranting-ranting kayu yang bertaburan di halaman dan dimasukkan ke dalam bekas tertutup dan dibiarkan selama dua ke tiga minggu.

Dalam tempoh tersebut, apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka dan membalik-balikkan sampah tersebut supaya aliran udara dapat masuk dan mempercepatkan proses kompos.

Kompos yang terhasil nanti sudah cukup untuk kegunaan sendiri didalam aktiviti pertanian di rumah.

Ia lebih bermanfaat kepada tanaman daripada menggunakan baja kimia yang bukan sahaja mahal, bahkan tidak baik untuk kesihatan.

Manakala dalam aktiviti pertanian pula, aktiviti kompos masih lagi dipandang remeh.

Dalam ketika banyak pihak baik di peringkat kerajaan dan masyarakat petani sendiri mengeluh berikutan kenaikan baja pertanian yang berasaskan kimia yang berlipat kali ganda mahalnya, masih belum timbul kesedaran bahawa inilah masanya semua pihak memikirkan kaedah lain untuk mengurangkan kos baja pertanian.

Masyarakat pertanian di Malaysia masih melihat baja kimia sebagai penyelesaian dalam aktiviti pertanian mereka.

Malah, bagi menjayakan projek-projek pertanian itu sendiri, sudah disediakan senarai baja-baja kimia yang perlu disediakan untuk memastikan supaya tanaman yang dihasilkan akan memberikan pulangan hasil yang lumayan.

Mungkin kita kurang peka yang setiap sisa pertanian yang dihasilkan boleh diproses semula menjadi kompos dan digunakan semula untuk aktiviti pertanian tersebut.

Kaedah ini telah digunakan secara meluas di pelosok dunia terutama di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah telah menggunakan kompos semenjak awal tahun 1950-an lagi melalui organisasi seperti Institut Rodale, Biocycle dan lain-lain.

Kalangan kita masih meletakkan harapan kepada baja kima dan sebagainya sedangkan tanpa kita sedari aktiviti pertanian merupakan penyumbang kedua terbesar kepada penyebaran gas rumah hijau.

Menurut kajian Stern Review pada 2006, bumi hanya mampu menyerap sekitar lima billion tan metrik karbon dioksida setahun sedangkan aktiviti pertanian sahaja menyumbang sebanyak 5.6 billion tan karbon dioksida melalui aktiviti penggunaan input kimia secara berleluasa.

Mungkin masyarakat petani tidak ambil peduli tentang hal ini kerana merasakan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk memikirkannya.

Mereka menganggap diri mereka selamat dari dilanda bencana alam.

Namun dewasa ini, kesan langsung telah mula dirasai oleh semua pihak tanpa mengambil kira bangsa, status, politik dan ekonomi.

Kejadian banjir dikawasan yang tidak pernah berlaku, kemarau yang berpanjangan, penyusutan produktiviti, serangan serangga dan makhluk perosak yang semakin kebal, semua itu merupakan petunjuk bahawa alam sudah tidak mampu menanggung beban pencemaran dan memulangkannya semula kepada umat manusia untuk sama-sama merasakan penderitaannya.

Aktiviti kompos boleh dilaksanakan seawal pendidikan sekolah rendah. Banyak negara maju seperti di Amerika dan Eropah telah mewujudkan sistem kompos disekolah dimana sisa-sisa makanan di kantin pelajar dan juga landskap sekolah telah diasingkan dan dikitar semula untuk dijadikan kompos.

Kaedah vermicompost atau penggunaan cacing juga digunakan untuk menghasilkan kompos.

Baja kompos yang dihasilkan akan digunakan untuk aktiviti landskap dan projek pertanian di sekolah. Usaha yang dijalankan ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat di samping mendidik kesedaran ‘hijau’ semenjak dari peringkat sekolah lagi.

Kempen yang sama juga telah diperkembangkan di peringkat pengajian tinggi dimana usaha-usaha menggalakkan aktiviti kompos telah diperkukuhkan.

Penglibatan pihak pengurusan universiti menyalurkan sisa organik dan landskap di pusat kitar semula yang diwujudkan di dalam kampus untuk menghasilkan kompos telah membuahkan hasil.

Kompos juga telah digunakan kembali untuk aktiviti landskap universiti dan ini sekali gus membantu mengurangkan kos pihak universiti untuk membeli baja kimia untuk kegunaan landskap dan taman di universiti.

Mahasiswa telah didedahkan dengan kesedaran tersebut yang kemudiannya turun kepada masyarakat melalui aktiviti sukarela dan kempen-kempen yang dijalankan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Aktiviti kompos boleh membantu memperkembangkan lagi usaha-usaha mewujudkan jaminan sumber makanan (food security) dalam kalangan masyarakat.

Ia dapat dilihat bilamana sumber input pertanian boleh dihasilkan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pembelian baja.

Tambahan pula aktiviti pertanian yang dihasilkan menggunakan kompos lebih ‘organik’ dan sihat. Inilah antara rahsia kejayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Cuba semenjak sekian lama dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika namun rakyatnya menjadi semakin sihat dan hidup dengan sejahtera.

Setiap lapisan masyarakat telah menghasilkan kompos sendiri dari sisa makanan dan digunakan untuk aktiviti pertanian bandar (urban farming) di kediaman masing-masing yang mana hasilnya bukan sahaja untuk kegunaan makan sendiri, malahan boleh dijual sebagai pendapatan tambahan.

Banyak lagi usaha-usaha yang boleh dijalankan di peringkat kerajaan dan NGO untuk menggalakkan masyarakat Malaysia supaya sama-sama mengitar semula sisa organik untuk menghasilkan kompos.

Aktiviti memberi kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat perlu dipergiatkan sebagai permulaan kearah usaha ini.

Melalui kaedah ini , kita masyarakat Malaysia sama-sama membantu mengurangkan jumlah sisa yang masuk ke tapak pembuangan sampah.

Dengan itu, jangka hayat tapak pembuangan sampah dapat dipanjangkan dan usaha-usaha membuka tapak pembuangan sampah yang baru dapat dikurangkan.

Penyertaan masyarakat melalui penghasilan kompos ini sahaja pun sudah cukup membantu mengurangkan pencemaran alam, pembakaran terbuka dan membantu menghidupkan kembali tanah yang sudah mati akibat penggunaan baja dan racun kimia semenjak sekian lama.

l Penulis Pengarah Eksekutif Detik Aturan Sdn. Bhd. dan ahli Malaysian Society of Waste Management Expert.