Kelapa dara banyak rahsia

wj_01.1

MOHD. Tamrin Mohammad memperkenalkan produk minyak kelapa dara jenama Mega Alif di Johor Bahru, baru-baru ini – utusan/ishak rahmad


JOHOR BAHRU 18 Jun – Banyak rahsia dan khasiat minyak kelapa dara telah tersebar bukan sahaja di rantau Asia, malah ke seluruh dunia.

Kelapa dahulunya sering dikaitkan dengan kolestrol kerana dibayangi pelbagai persepsi buruk yang memudaratkan kesihatan tetapi sebenarnya buah ‘serbaguna’ ini mempunyai banyak khasiat.

Hakikatnya, kelapa mempunyai banyak kelebihan serta 1001 khasiat kepada orang ramai dan ia terbukti berkualiti untuk memperbaiki mutu kesihatan.

Mengetahui potensi minyak kelapa dara yang boleh berkembang lebih jauh, Mohd. Tamrin Mohammad, 45, mengambil inisiatif untuk mempelajari kaedah memproses sendiri minyak kelapa dara itu.

Beliau yang sebelum ini merupakan seorang pembekal kelapa nyata tertarik untuk memproses minyak kelapa dara selepas menghadiri satu pameran mengenai pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004.

Menurutnya, beliau pernah terdengar mengenai penghasilan minyak kelapa dara tetapi tidak tahu cara yang betul untuk menghasilkannya.

”Saya mengalami beberapa siri kegagalan eksperimen apabila santan yang diproses untuk menghasilkan minyak itu basi dan tiada sebarang minyak yang berjaya dihasilkan.

”Perkara itu terus berlanjutan sehingga menyebabkan saya kerugian ribuan ringgit kerana santan yang digunakan rosak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mohd. Tamrin yang merupakan pemilik Mega Alif Manufacturer berkata, beliau akhirnya berjaya menemui cara yang betul untuk menghasilkan minyak kelapa dara dengan menggunakan kaedah penyejukbekuan.

Katanya, santan segar yang sudah diperah tanpa menggunakan air perlu dibungkus dalam bekas plastik dan dibekukan sebelum dikeluarkan semula untuk direndam dalam air bagi menghasilkan minyak.

”Mungkin sesetengah pihak mengatakan mereka mampu untuk menghasilkan minyak kelapa dara dalam tempoh enam ke lapan jam tetapi saya mampu menghasilkannya dalam tempoh kurang daripada dua jam.

”Kaedah yang saya gunakan ini nyata berkesan dan ia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa,” jelasnya.

Mohd. Tamrin berkata, antara kelapa yang sesuai digunakan untuk penghasilan minyak kelapa dara daripada jenis kelapa kampung, mawar, pandan, matag dan Rina.

Katanya, bagi menghasilkan minyak kelapa dara yang berkualiti, pengusaha harus menggunakan kelapa yang betul-betul masak bagi memastikan hasilnya mencapai piawaian yang dikehendaki.

”Setiap hari saya menggunakan kira-kira 4,000 biji kelapa untuk dijadikan minyak kelapa dara dan dijual kepada orang ramai dan kadangkala jumlah itu tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan.

”Setakat ini, bekalan kelapa mencukupi dan kebanyakannya saya peroleh daripada para petani di sekitar Batu Pahat dan Kluang serta Jabatan Pertanian Negeri,” katanya.

Katanya, setiap proses penghasilan dan pembungkusan minyak kelapa dara dilakukannya sendiri dengan menggunakan mesin yang direka khas.

”Dengan menggunakan jenama Mega Alif, saya telah menghasilkan beberapa jenis produk berasaskan minyak kelapa dara antaranya minyak kelapa dara perisa oren, minyak angin dan sabun.

”Saya juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan kelapa dara dan antara yang sedang diusahakan ialah syampu, losyen badan dan produk kosmetik,” katanya.

Stevia potensi ganti gula

KUALA LUMPUR 18 Jun – Masih belum boleh dikomersial sebelum kajian mendalam selesai dilaksanakan.

Itulah status terkini tanaman Stevia – sejenis pokok yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada penggunaan gula.

Hasil kajian awal mendapati ia tidak mengandungi kalori serta amat sesuai untuk pesakit diabetes walaupun rasa manisnya sehingga 300 kali ganda berbanding gula biasa.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) awal oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenainya telah memasuki peringkat akhir dan bakal diumumkan menjelang hujung tahun ini.

Antara fokus R&D awal itu adalah bagi mengkaji kesesuaiannya dari segi agronomi, teknologi kejuruteraan, pengurusan dan kos tanaman.

“Kami hendak pastikan hasil kajian itu kelak akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar sebelum boleh dikomersialkan.

“Untuk makluman dua bahan ekstrak stevia iaitu Steviosit dan Revadiosit A sudah berada di negara ini.

”Ia digunakan oleh sebuah syarikat tempatan sebagai pemanis bagi menggantikan gula yang diimport dari China,” katanya menjawab soalan Dr. Che Rosli Che Mat (Pas – Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Rohani, antara masalah utama yang dihadapi dalam penanaman stevia yang berasal dari Rusia adalah tanaman itu memerlukan waktu siang lebih panjang iaitu sehingga 13 jam dan keadaan ini tidak terdapat di Malaysia yang mana waktu siangnya singkat.

“Jadi kita terpaksa mencari kaedah terbaik, mungkin memasang lampu bagi memberi keperluan cahaya sepatutnya untuk stevia.

”Bentuk fizikalnya juga seperti pokok teh yang memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi menuai daunnya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat tiga ladang yang mengusahakan tanaman stevia secara persendirian iaitu di Muazzam Shah, Pahang; Ladang Kubu Padang Terap, Kedah dan Muar, di Johor.

Menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas – Kuala Krai) yang bertanyakan mengenai kesan sampingan pengambilan stevia, Rohani berkata, sekiranya diambil berterusan ia boleh menyebabkan masalah kekurangan gula dalam darah (hypoglycemia).

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat telah mengklasifikasikan tanaman itu sebagai selamat.

Taman herba di tengah bandar

wu_01.1

Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun serta Raja Nazrin Shah melawat sekitar taman herba selepas majlis perasmian Taman Herba Negeri Perak di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak, baru-baru ini. – UTUSAN/HANAFI KHAMIS


IPOH 18 Jun – Dari sebuah kawasan bekas lombong terbiar, tanah seluas 22 hektar di Jalan Simpang Pulai-Gopeng kini menjadi Taman Herba Negeri Perak dan bakal menjadi Muzium Herba Negara.

Pada mulanya kawasan tersebut dibangunkan sebagai pusat pemerhati tanaman sayur dan tanaman singkat masa sejak tahun 1987.

Bagaimanapun pada tahun 2002, atas kehendak Menteri Besar Perak pada masa itu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, kawasan itu ditukarkan fungsinya sebagai Taman Herba Negeri Perak.

Sejak itu, taman herba tersebut melalui proses transformasi dengan penambahan pelbagai spesies herba dari semasa ke semasa.

Sehingga kini, koleksi pokok herba yang ditanam di kawasan tersebut mencecah 525 spesies yang terdiri daripada spesies tempatan dan luar negara.

Spesies popular yang boleh didapati di Taman Herba Negeri Perak ialah misai kucing, kunyit bonglai, kacip fatimah dan tutup bumi rimba.

Selain itu spesies seperti emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi, bebuas lagundi, panah durjana, kucing galak, kayu manis, kulim pala, lengkuas, pala dan bunga cengkih juga ditanam di kawasan tersebut.

Semua tanaman tersebut ditanam di atas kawasan tanah bekas lombong bijih timah seluas lapan hektar.

Pengunjung taman ini juga boleh meninjau lokasi taman herba dengan menaiki trem persiaran yang bergerak menggunakan traktor untuk mengelilingi kawasan taman.

Di samping lawatan ke taman-taman herba pelbagai kategori, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti memancing ikan dan berkayak di tiga kolam bekas lombong berkeluasan 14 hektar di taman ini.

Keindahan kawasan ini dengan haruman herbanya sudah tentu mendamaikan jiwa sehingga mampu menyuntik ketenangan rohani dan jasmani.

Menurut Pengarah Pertanian Perak, Arifin Abdul Latif, dengan potensi yang ada, taman herba ini mampu berkembang menjadi muzium herba yang unik di negara ini.

Kata beliau, lebih menarik ialah taman herba ini ibarat hutan herba dalam bandar kerana kedudukannya berdekatan dengan Bandar Raya Ipoh dan bandar Kampar.

”Sebagai hutan herba dalam bandar, orang ramai boleh mempelajari mengenai pokok herba tanpa perlu mengembara jauh ke hutan belantara,” katanya.

Arifin berkata, dengan adanya taman herba ini, diharap ia dapat menarik minat penduduk negeri ini untuk terlibat dalam tanaman herba yang kini mempunyai banyak permintaan ekoran perkembangan industri spa dan mengurut.

Taman Herba Negeri Perak dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam satu majlis penuh meriah, baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim.

Teknologi mesin bantu usahawan IKS

Hasmin Hakim Hasbullah menunjukkan mesin kuih karas rekaannya yang telah dikomersialkan.


Pertumbuhan industri kecil dan kecil dan sederhana (IKS) terutama pemprosesan makanan amat bergantung kepada automasi atau mesin bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Bilangan IKS dijangka meningkat menjelang 2010 selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan 10,000 usahawan baru.

Industri pemprosesan makanan merupakan salah satu industri utama yang diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Industri pemprosesan makanan merupakan penyumbang ke lapan terbesar eksport negara yang mewakili 2.6 peratus daripada jumlah eksport negara bagi sektor pembuatan.

Banyak agensi kerajaan misalnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terlibat secara aktif dalam menghasilkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman, khususnya bagi produk tradisional yang memerlukan teknologi pembuatan yang unik dan proses mekanisasi yang rumit di mana kerja penyelidikan dan pembangunan perlu dijalankan secara bersepadu.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

“Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

“Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan usahawan IKS,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak citrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

“Mesin yang pada mulanya direka untuk kuih karas didapati sesuai bagi menghasilkan maruku, roti jala dan putu mayam.

“Ini secara tidak langsung boleh memberikan pilihan kepada usahawan kecil menghasilkan kuih tradisional mengikut permintaan tanpa menggunakan mesin yang banyak,” katanya.

Mesin ini telah mula digunakan oleh sebuah IKS bagi menghasilkan kuih karas.

Pegawai penyelidik dari pusat yang sama dan mencipta mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasingkan biji benih cili, Masniza Sairi berkata, mesin berkenaan pada mulanya direka untuk menghasilkan jus dokong.

“Bagaimanapun dokong adalah buah-buahan bermusim jadi saya memikirkan untuk mempelbagaikan kegunaannya bagi mengekstrak jus limau dan mengasingkan biji benih cili,” katanya.

Menurut Masniza, mesin berkenaan berupaya menghasilkan jus sitrus tanpa memecahkan biji yang menyebabkan jus berasa pahit.

Bagi mengasingkan biji benih cili, getah penggelek akan digantikan mengikut kesesuaian.

“Mesin ini dapat mengurangkan kos, menjimatkan masa dan tidak rumit jika dibandingkan proses secara manual.

“Jika sebelum ini ramai pekerja yang diperlukan, bau yang tidak menyenangkan, tugas yang rumit untuk proses mengasingkan biji benih cili,” katanya.

Bagi memajukan dan mengenengahkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman kepada golongan sasar seperti IKS makanan, pengeluar dan pengedar mesin, pengeksport dan individu yang ingin menceburkan diri dalam industri makanan, MARDI dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan profesional akan menganjurkan persidangan mekanisasi pertanian dan makanan peringkat kebangsaan.

Persidangan berkenaan akan diadakan pada 22 hingga 25 Jun di Hotel Renaissance, Melaka.

Sepanjang persidangan pelbagai teknologi dan mesin bagi pemprosesan makanan dan pertanian akan dibincangkan menerusi pembentangan kertas kerja dan pameran bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk meninjau lebih dekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI di talian 03-8941 8070, faksimile 03-8941-3512 atau: ncafm@mardi.gov.my.

UPM perkenal mesin pasteur cekap dan murah

ag_02.1

NURUL Faizah Jamaludin menunjukkan alat pempasteur kompak mudah alih.


PEMPASTEURAN merupakan salah satu proses penting dalam pembangunan industri makanan atau minuman bagi menjamin produk yang dihasilkan benar-benar bersih dan selamat.

Aktiviti itu sebenarnya telah mula diperkenalkan di Perancis sejak tahun 1917 bagi tujuan mempasteur produk makanan berasid rendah.

Bagaimanapun di Malaysia, usaha mengkomersialkan teknologi tersebut masih belum dilaksanakan secara meluas.

Namun sejak kebelakangan ini, penyertaan menggalakkan masyarakat dalam industri makanan telah menarik minat ramai pengusaha untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan.

Ini kerana berbanding pemanas konvensional seperti dandang atau stim, teknik pempasteuran adalah lebih cekap. Menerusinya, hampir kesemua tenaga dapat diserap ke dalam makanan secara seragam untuk mempercepatkan peningkatan suhu dan sekali gus menjimatkan kos.

Cara itu juga dapat mengurangkan aktiviti mikro organisma yang boleh merosakkan makanan agar ia dapat disimpan lebih lama dalam suhu yang rendah.

Melihat kepada kepelbagaian manfaat teknologi pempasteuran berkenaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan alat pempasteuran kompak mudah alih.

Dikenali sebagai Pempasteuran Haba Ohmik, mesin tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti sel pemanas ohmik, sistem pengurusan bendalir dan juga sistem kawalan pemanasan.

Menurut penyelidiknya, Prof. Ir. Dr. Norman Mariun, mesin itu sesuai digunakan untuk proses mempasteur produk makanan dalam bentuk cecair seperti jus minuman, sos, kicap, susu dan sebagainya.

menjimatkan

”Secara praktikalnya, mesin yang menggunakan tenaga elektrik termaju ini mempunyai dua tiub pengepam masuk dan keluar bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

”Bagi sel pemanasan pula, ia berfungsi untuk mengawal capaian suhu sama ada cepat atau lambat bergantung kepada produk yang ingin dipasteur,” katanya selepas majlis pembentangan hasil penyelidikannya di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang baru-baru ini.

Beliau yang membangunkan teknologi tersebut bersama tiga orang lagi penyelidik memberitahu, proses rekaan produk itu telah mula dijalankan sejak tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Antara kelebihan mesin tersebut adalah penggunaannya mengekalkan kualiti makanan, bersih, menjimatkan tenaga sehingga 50 peratus, tiada kebocoran tenaga dan selamat.

”Kapasiti penggunaan dan rekaan mesin ini boleh diselaraskan mengikut keperluan serta permintaan sesebuah industri,” jelasnya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Melihat kepada potensi mesin tersebut, ia sesuai digunakan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Untuk menjalankan operasinya, pengguna hanya perlu menentukan kelajuan pam serta menetapkan suhu di bahagian sel pemanasan ohmik mengikut bahan yang hendak dipasteur.

Mesin tersebut kemudian akan menghasilkan haba dari rentasan elektrik dan seterusnya menyerap ke dalam makanan untuk menjadikannya panas dengan pantas dan sekata.

Kebiasaannya, makanan yang telah dipasteur perlu disejukkan dengan segera ke dalam alat pendingin selepas pendedahan kepada haba.

Menarik mengenai mesin itu, ia hanya akan menjana haba mengikut keperluan pempasteuran dan kelebihan itu pastinya akan dapat mengurangkan pembaziran tenaga.

Di samping itu, pengguna juga tidak perlu menunggu lama untuk memastikan mesin tersebut panas kerana suhunya boleh dikawal secara terus menerusi paparan skrin yang disediakan.

Dari segi kos analisis pula, penggunaan alat pempasteuran ohmik ini hanya melibatkan nilai 1.5 sen seliter berbanding sistem lain seperti suntikan stim (lima sen seliter), piring pemanas boleh laras (tiga sen seliter) dan suntikan stim dengan pemulihan haba (2.4 sen seliter).

Bukan itu sahaja, kekuatan peralatan yang digunakan juga mampu memberi ketahanan kepada mesin tersebut untuk berfungsi dalam jangka masa yang panjang.

Pihak UPM kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak konsultan dan syarikat teknologi tempatan bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.

Produk teknologi yang sedang dalam proses mendapatkan hak paten itu sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah kecemerlangan seperti pingat emas di pertandingan Idea Penemuan Produk Baru (IENA) 2008 di Jerman dan juga Anugerah Produk Inovatif Malaysia 2008.

Untuk perancangan masa hadapan, UPM bercadang mempertingkatkan keupayaan mesin itu menerusi tawaran fungsi yang lebih baik seperti menggunakan tenaga elektrik berfrekuensi tinggi.

Perintis Agrotech tawar formula ProAsli untuk ternakan keli

Isu keli yang memakan sisa najis khinzir di Perak baru-baru ini bukan sahaja menggemparkan masyarakat bahkan mencalar imej penternak keli dan mengakibatkan permintaan ikan keli di pasar borong menurun empat kali ganda.

Namun ada kesan positif daripada isu tersebut, pembeli telah mula berhati-hati memilih keli yang benar-benar diyakini bersih dan halal sebelum dibeli.

Dari perspektif penternak, sekiranya sumber makanan keli hanya bergantung kepada pelet semata-mata pasti semua penternak akan mengeluh mengenangkan kos makanan yang begitu tinggi dan membebankan.

Pelbagai pihak cuba mencari formula untuk mengurangkan kos makanan bagi membantu mengembalikan keuntungan kepada penternak. Ramai penternak yang telah gulung tikar dan putus asa dengan penternakan yang dijalankan.

Perintis Agrotech Centre tampil memberikan kaedah alternatif kepada penternak. Salah satu kaedah terkini yang mendapat sambutan ialah kaedah Pro-Asli.

Ia bukanlah teknik pemakanan lengkap tetapi satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan kebergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Produk Pro-Asli

‘Pro’ berasal dari istilah probiotik yang membabitkan agen-agen biologi akan bertindak membantu tumbesaran ikan dengan memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

‘Asli’ pula adalah makanan semulajadi dan asal ikan yang dibentuk di dalam air untuk menjimatkan kos makanan. Kedua-dua kaedah ini merupakan gabungan teknologi dari Jepun dan Thailand.

Dua matlamat utama ProAsli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak. Terdapat tiga bahan utama di dalam kaedah ini iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protein tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio-Mineral

Formula khas untuk membentuk makanan semulajadi di dalam air. Ia merupakan pati sumber mineral, protein, lumut, garam galian dan plankton yang diaktifkan menjadi sumber makanan asli di dalam kolam ternakan.

Fungsi utama adalah untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio-Mineral hanya diaktifkan di peringkat awal sahaja di mana air ternakan bukan sahaja untuk ikan hidup tetapi sebagai sumber makanan kepada ikan. Makanan semulajadi yang dibentuk dapat mengurangkan kekerapan dan kadar pemberian makanan kepada ikan.

Bio-Vita

Formula khas untuk meningkatkan dan memaksimumkan daya serapan protin dan nutrisi terhadap makanan yang dimakan. Serapan nutrisi yang maksimum akan dapat mengurangkan kadar pemberian pelet.

Fungsi utama membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya.

Ada juga di kalangan penternak yang masih ingin menggunakan pelet sepenuhnya hanya menggunakan Bio-Vita untuk mempercepatkan tumbesaran dan meningkatkan kualiti tekstur ikan.

Bio-Vita perlu digaul bersama pelet pada kadar antara lima dan lapan peratus daripada berat pelet selama tiga kali seminggu. In kerana Bio-Vita berkesan untuk merawat dan memulihkan sistem mikroflora ikan sehingga 48 jam.

Bio-Aqua

Formula khas untuk merawat air dari berbau dan berpenyakit serta memperkayakan sumber mineral di dalam air ternakan. Fungsi utama adalah untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan.

Penggunaan Bio-Aqua juga dapat membantu penternak ikan air tawar yang sering berhadapan dengan kadar kematian yang tinggi akibat dari serangan penyakit di dalam kolam serta masalah bau air dari kolam ternakan.

Bio-Aqua dituang 2 minggu sekali ke dalam kolam ternakan sebagai rawatan kepada air bagi mengurangkan kadar ammonia serta rawatan penyakit bagi ikan.

Harga Produk

Satu set ProAsli yang mengandungi 10 liter Bio-Mineral, lima liter Bio-Aqua dan lima kilogram (kg) Bio-Vita sesuai untuk 3,000 ekor keli sehingga sedia dituai.

Harga produk tersebut amat munasabah di mana satu set Pro-Asli sesuai untuk ternakan 3000 ekor ikan. Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 – RM1.50 berbanding RM4.00 – RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet.

Kelebihan

Sambutan dari penternak keli amat luar biasa terutamanya di kalangan penternak yang telah merasai keperitan menternak menggunakan pelet.

Ramai juga penternak baru telah mencuba kaedah ini dan memberikan respons yang positif selain membantu penternak menjimatkan kos makanan dan meningkatkan keuntungan.

Kaedah ProAsli juga meningkatkan tekstur daging ikan lebih pejal, ikan lambat rosak, tidak hanyir dan berkualiti tinggi. Berdasarkan respon pengguna, produk tersebut amat berkesan kerana dapat mengurangkan kadar pemberian pelet dan penukaran air ternakan.

Tempoh Tuaian

Dari segi tumbesaran ikan, tempoh tuaian dilihat masih menepati standard ternakan komersial iaitu antara 100 dan 120 hari walaupun mungkin sedikit lewat berbanding pemakanan 100 peratus pelet.

Pasaran

Perintis telah merangka gerak promosi ke seluruh Negara bermula pada awal bulan Mei yang lepas. Sehingga kini, pasaran telah berkembang pesat ke seluruh Semenanjung dan merancang untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak pada Julai ini. Kebanyakan pemasaran dijalankan oleh penternak yang menjadi pengedar berdaftar kepada Perintis. Sekurang-kurangnya pendapatan hasil jualan dapat memberikan ‘wang saku’ kepada mereka sementara menunggu hasil tuaian. Ramai yang telah mendaftar sebagai pengedar untuk kegunaan sendiri atau untuk pasaran setempat.

Dengan margin keuntungan dari 20 peratus ke 87.5 peratus, Perintis mempelawa lebih ramai lagi para penggiat pertanian menyertai program pengedar yang dijangka akan mendapat sambutan yang hebat berikutan dari siri promosi yang dilakukan oleh pihak Perintis.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau ingin menjadi pengedar untuk produk tersebut, bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527.