![]() |
Zainun Ahmad bersama isterinya, Mashyitah Arshad memetik pucuk gajus untuk dipasarkan di sekitar kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang.
|
POKOK SENA 15 Jun – Bagi sesetengah orang, hidangan makanan mereka dirasakan seolah-olah tidak akan lengkap jika tidak disertakan dengan ulam-ulaman.
Pelbagai jenis ulam menjadi pembuka selera yang digemari bukan sahaja oleh penduduk kampung, tetapi warga kota yang sanggup mencarinya di merata-rata tempat terutama untuk dinikmati bersama nasi.
Antara jenis ulam yang paling digemari oleh masyarakat di negara ini ialah pucuk gajus.
Pucuk gajus yang juga dikenali sebagai ‘jambu golok’ ini mempunyai rasa yang sedikit kelat tetapi sedap dimakan terutama apabila dicicah dengan budu atau sambal belacan.
Melihat kepada potensi perniagaan yang boleh diusahakan daripada pokok gajus yang berasal dari Brazil itu, seorang peniaga sayur, Zainun Ahmad, 44, mengusahakan tanaman berkenaan di belakang rumahnya di Kampung Bukit Lada di sini.
Zainun memberitahu, dia menanam sebanyak 600 pokok gajus di atas tanah seluas 0.4 hektar sejak beberapa tahun lalu bagi mengambil pucuk untuk dijadikan ulam.
Menurutnya, dia memilih untuk menanam pokok yang hampir pupus itu kerana ia mudah dijaga selain mempunyai permintaan pasaran yang tinggi.
“Pengusaha tanaman ini juga tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan hasil kerana pokok gajus cepat berpucuk.
“Ia biasanya boleh mula dikutip dalam masa lapan bulan atau sembilan bulan sahaja selepas ditanam,” katanya di sini baru-baru ini.
Zainun memberitahu, pucuk gajus yang dijual pada harga 50 sen seikat kepada pemborong begitu laris sehingga dia hanya mampu memenuhi permintaan di sekitar kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang, dekat sini sahaja.
“Kebiasaannya saya memetik pucuk gajus dalam masa dua atau tiga hari sekali. Setiap kali dipetik, saya dapat menjual hingga 500 ikat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, dia menyarankan orang ramai yang meminati bidang perniagaan pertanian supaya memilih penanaman pokok gajus yang mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.
Orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang itu atau ingin maklumat lanjut mengenainya daripada Zainun boleh menghubungi talian 017-4622496 atau 017-4620971.
saya nampak projek ini memang boleh buat duit. adakah pokok gajus yang terpilih sahaja untuk dijadikan ulam.. atau pokok gajus yang biasa boleh dibuat ulam.. saya ada semaian anak benih gajus 50 pokok utuk permulaan. apakah yg perlu saya buat. tolong beri sedikit nasihat.
ismail
simpang empat kerpan
012-426 5300