![]() |
SITI HAWA AKOB (kiri) bersama rakannya di kawasan Projek Agropolitan Tanjong Gahai, Kuala Lipis, semalam. – utusan / Haris Fadilah Ahmad
|
KUALA LIPIS 11 Jun – Orang tua-tua pernah berkata, berbudi kepada tanah tidak akan rugi.
Berpegang kepada prinsip itulah, kira-kira 50 peserta Projek Agropolitan di Tanjung Gahai dekat sini, kini hampir pasti bergelar usahawan tani.
Meskipun projek tanaman nanas dianggap asing bagi peserta terbabit namun berkat kesungguhan dan keyakinan untuk bebas daripada kepompong kemiskinan, para peserta terbabit kini boleh menarik nafas lega dan menghitung nikmat rezeki yang bakal digenggam.
Mereka membuktikan bahawa jika mempunyai minat, hasrat untuk mengubah kehidupan yang lebih selesa pasti tercapai meskipun terpaksa bergelut dengan kesukaran pada peringkat awalnya.
Sejak dimulakan 15 bulan lalu, projek tanaman nanas (Ananas comocus) seluas 14 hektar itu kini mengeluarkan hasil dan peserta memperoleh pulangan berbaloi setelah produk berkenaan dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Nanas merupakan tanaman utama dalam Projek Agroplitan Gahai yang mencakupi kawasan seluas 222.58 hektar di bawah penyelenggaraan Kerajaan Pahang dan Risda.
Penyelia projek tanaman nanas itu, Yusaini Anor Mat Amin berkata, peserta tidak menyangka tanaman nanas secara komersial itu mampu memberi pulangan lumayan walaupun pada peringkat awalnya mereka tidak begitu yakin memandangkan ia projek perintis di bawah penyelenggaraan Risda.
”Sebanyak 2,500 buah nanas matang dapat dituai sebelum diserahkan kepada FAMA untuk dijual dengan harga 60 sen sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail melakukan lawatan kerja ke ladang tanaman nanas komersial di Projek Agropolitan Gahai baru-baru ini.
Hadir sama Pegawai Risda Lipis, Rooslan Gazali.
Menurut Yusaini, kini sebanyak 420,000 pokok nanas menanti masa untuk dituai serta dipasarkan manakala 80,000 anak benih (sulur) dalam proses untuk dipindahkan ke ladang bagi tanaman seterusnya.
Katanya, seramai 12 peserta projek mengikuti kursus teknikal nanas, pengurusan ladang, penggredan buah dan pasaran menerusi bimbingan Risda, Lembaga Nanas Malaysia (LNM) dan Agro Chemical Sdn. Bhd.
Sementara itu, seorang peserta projek, Siti Hawa Akob, 52, ketika ditemui gembira dan bersyukur kerana setelah bertungkus lumus mengurus tanaman nanas sejak ditempatkan di projek itu, ia membuahkan kejayaan.
”Saya terbabit dengan projek tanaman nanas tanpa sebarang kemahiran langsung. Bagaimanapun, setelah menjalani kursus anjuran Risda dan LNM banyak pengetahuan diperoleh serta memudahkan lagi mengurus tanaman ini,” katanya.
Siti Hawa memberitahu, kejayaan projek itu dapat meningkatkan pendapatan keluarganya sekali gus mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan sejajar dengan matlamat projek itu sendiri.
Rakannya, Sabariah Jalil, 38, berkata, mereka bekerja sehari suntuk untuk menjaga tanaman berkenaan termasuk merumput, membaja, mengawal ancaman tikus, membubuh hormon pada benih, memetik sehinggalah mengumpul nanas untuk pasaran.
”Kami begitu gembira dan penat pun hilang apabila melihat hasil dipetik dan dipasarkan,” katanya.
Ibu kepada dua orang anak itu seterusnya memberitahu, hasil jualan nanas itu akan diisi dalam satu dana manakala selebihnya akan diagihkan oleh Risda kepada seramai 50 peserta projek itu.
Seorang peserta, Sharipah Deraman, 34, menegaskan pembabitannya dalam projek tanaman nanas di Projek Agropolitan Gahai mengubah kehidupan keluarganya yang selama ini dibelenggu kemiskinan.
”Syukurlah, kehidupan kami beransur berubah berbanding tinggal di kampung dulu yang diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Beliau menambah, peranan aktif agensi Risda termasuk wakil rakyat memberi sinar baru kepada peserta Projek Agropolitan Tanjong Gahai untuk muncul sebagai usahawan tani pada masa akan datang.