KUALA LUMPUR 4 Jun – Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar anjuran Mega Utusan Malaysia akan diadakan lagi setelah program sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan.
Bengkel kali ini akan diadakan di Kompleks Teknologi Pertanian, Ladang Buah-Buahan Tropika Melaka (MTFF), Sungai Udang dari 13 hingga 15 Jun ini.
Pengurus Pusat Latihan Tani Agro Bank, Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, program itu diadakan lagi atas permintaan para usahawan petani dan penternak di Melaka yang menyifatkan bengkel itu memberi manfaat kepada mereka.
Katanya, atas permintaan itu, bengkel tersebut diadakan lagi selama tiga hari bermula Sabtu minggu depan bagi membantu para usahawan yang terdiri daripada petani dan penternak mengetahui lebih mendalam penggunaan teknik bertani dan menternak secara lebih moden.
“Sambutan terhadap bengkel pertama di MTFF yang lalu cukup menggalakkan malah ramai lagi yang tidak dapat turut serta.
“Atas permintaan itu kami mengambil keputusan menganjurkan lagi bengkel ini di tempat yang sama dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengambil bahagian,” katanya.
Bengkel yang lalu disertai seramai 30 orang. Ia dianjurkan bersama Agro Bank dan May Consult.
Sehubungan itu, Shukor berkata, orang ramai dipelawa menyertai bengkel itu dengan yuran RM150 dikenakan bagi setiap peserta dan ia dihadkan hanya kepada 30 peserta pertama yang mendaftar.
Bayaran itu, katanya, termasuk makan, minum dan tempat penginapan dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 012-688 8145 (Din).
“‘Ia bertujuan mendedahkan peserta terhadap peluang serta kemudahan terkini yang ditawarkan oleh pelbagai agensi pertanian yang terlibat.
“Penganjuran bengkel ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kita dalam menyokong komitmen dan rancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melahirkan 10,000 usahawan tani setiap tahun,” katanya.
Menurutnya, Agro Bank lebih berperanan menyediakan peluang latihan dan bengkel kursus kepada mereka yang berminat melibatkan diri dalam bidang ternakan dan tanaman tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan atau profesion peserta.
Tambahnya, dalam bengkel itu, peserta akan diberikan pengkhususan kepada tiga bentuk kursus dan latihan pertanian iaitu penternakan, perikanan, tanaman dan terbaru memperkenalkan kursus ikan kei, puyu dan talapia.