PASIR PUTEH 3 Jun – Pembuatan keropok tradisional selalunya dikaitkan dengan perusahaan ‘belakang rumah’ yang banyak melibatkan penduduk terutama di pinggir pantai dengan penghasilan secara kecilan dan pasaran yang terhad.
Mohd. Kamil Salleh, 44, di Kampung Dalam Ru, dekat sini awalnya, merupakan salah seorang daripada mereka apabila dia mula melibatkan diri 19 tahun lalu ketika berusia 25 tahun kerana meminati bidang perniagaan.
”Keropok mudah diusahakan, semua orang mungkin boleh melakukannya terutama yang tinggal berdekatan dengan sumber bekalan ikan seperti di sini berhampiran dengan Pantai Bisikan Bayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sekian lama beliau menghasilkan keropok dengan kaedah memasak cara konvensional dan penggunaan mesin yang terbatas menyukarkannya untuk meningkatkan pengeluaran dan memperluaskan pasaran.
Bagi meneroka pendekatan lebih komersil, beliau berusaha mengumpul modal agar perniagaannya lebih berkembang dan keluar daripada kepompong gelaran peniaga kecil.
Menurutnya, modal yang dikumpulkan hasil jualan pelbagai jenis keropok akhirnya membolehkan beliau mendirikan kilang pemerosesan di halaman rumahnya yang sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada jiran-jirannya yang berdekatan.
Keropok keluarannya ternyata mempunyai kelebihan dengan menggunakan resepi sendiri bagi mengadun bahan-bahan seperti isi ikan, pati sagu, kanji, gula dan garam.
Katanya, walaupun mudah menghasilkan keropok tetapi sukar untuk menjamin kualiti berterusan dan keupayaan memenuhi permintaan bagi mencari pasaran tetap untuk bertapak kukuh, dikenali ramai pemborong dan pembeli.
Mohd. Kamil berkata, keropok keluarannya mengekalkan jenama berdaftar Keropok Ikan Cap Ikan Parang Empat Bintang Dari Kelantan yang sudah diedarkan ke seluruh negara, di samping turut diedarkan di Singapura dan di Selatan Thailand.
Menurutnya, ekoran permintaan yang semakin memberangsangkan mendorongnya membina sebuah kilang yang lebih moden menggunakan teknologi pemerosesan terkini dan tersusun di satu lot tanah berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru.
Katanya, kilang itu dibangunkan di kawasan seluas 0.4 hektar adalah mengikut piawaian pembinaan kilang IKS yang menekankan peningkatan kapasiti pengeluaran dan kebersihan.
”Saya bersyukur kerana usaha saya ini disokong oleh Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (IADA) Kemasin Semerak yang menyenaraikan sebagai pengusaha Industri Asas Tani (IAT) dengan menyalurkan bantuan untuk mengembangkan perniagaan.
Mohd. Kamil berkata, selain peralatan mesin memotong keropok, mesin menguli, pengisar ikan, IADA melengkapkan keperluan dengan meja keluli, kukusan untuk 36 dulang, mesin penongkolan, tong fiber 800 liter dan tempat ampaian 260 acak untuk mengeringkan keropok.
Beliau berkata, bagi melengkapkan kilang IAT bengkel basah bernilai RM31,000 bagi kerja menguli, menongkol, memotong dan sebagainya dibina dan dilengkapi dengan bengkel kering bernilai RM80,000 bagi kerja pembungkusan dan penyimpanan produk siap diwujudkan.
”Kilang ini turut dilengkapi tandas dan surau bagi kemudahan 15 pekerja tetap yang berkerja enam hari dalam seminggu,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, kilangnya berjaya menghasilkan sebanyak 500 kilogram (kg) sehari dengan nilai harga RM3,500 berasaskan harga jualan RM7 bagi setiap kg.
Sementara itu, Pengarah IADA Kemasin Semerak Shamsuddin Mat Saat berkata, pejabatnya bersedia membantu usahawan kecil meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka tetapi bergantung kepada kaji selidik potensi kejayaan pengusaha dan bajet kewangan yang diperuntukkan kerajaan persekutuan.
Katanya, keutamaan diberikan kepada pengusaha yang menghasilkan produk berdaya maju dan memiliki premis sendiri untuk memproseskan bahan akan diberi bantuan mesin pemerosesan, kepakaran dan khidmat bimbingan serta pemantauan yang berterusan.
”Setiap usahawan yang dipilih sebagai peserta akan dihantar mengikuti pelbagai kursus yang bersesuaian dengan harapan mereka memperoleh ilmu dan teknologi baru berkaitan bidang keusahawan yang diceburi mereka,” katanya.
Shamsuddin berkata, pada tahun lalu seramai 35 usahawan yang dibimbing oleh IADA Kemasin Semerak berjaya menghasilkan produk masing-masing dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM3.3 juta dan purata pendapatan setiap peserta mencapai RM3,200.
”Pada tahun ini IADA berharap peningkatan pendapatan usahawan yang dibimbing terus meningkat sekurang-kurangnya menghampiri RM4,000 untuk setiap bulan,” katanya.