Suri rumah cari rezeki buat kuih segera

wt_04.1

SARINA Jaafar (kanan) dan anaknya, Nurul Hafizah Abdullah menunjukkan kuih akok segera di kedainya di Kampung Air Asahan, Jeli, Kelantan, baru-baru ini.


JELI 29 Mei – Penglibatan Sarina Ja’afar 43, dari Kampung Gual Jedok di sini membuat kuih segera, bermula apabila punca pendapatan keluarga terputus selepas suaminya Abdullah Isa, 45, seorang buruh kilang papan, diserang sakit jantung.

Dengan keadaan suami yang terlantar, awalnya dia bagaikan kehilangan arah kerana sebelum itu hanya merupakan suri rumah sepenuh masa sedang keadaan hidup menuntut dia mengambil alih tanggungjawab mencari rezeki.

‘‘Dugaan sedemikian datang ketika anak-anak pula masih kecil dan saya tidak punyai sebarang kemahiran untuk mencari rezeki sendiri tetapi akhirnya saya nekad untuk mencuba,” ujarnya menyingkap kisah kehidupannya 10 tahun lalu.

Dengan hanya bermodalkan RM50, dia membeli beberapa tandan pisang muda jirannya dan memberanikan diri untuk membuat kerepek dan menjualnya di sekitar kampung untuk mendapatkan pendapatan seharian.

‘‘Saya hanya mencuba dan berdasarkan pemerhatian juga saya membuat ‘kuih basah’ termasuk roti canai, donat, kuih bom dan roti goreng dan menjaja dengan menggunakan motosikal,” katanya ketika ditemui Utusan Malayasia baru-baru ini.

Lima tahun kemudiannya dia mula terdedah dengan lebih banyak kemahiran dan pengalaman dalam penyediaan produk, pengeluaran dan juga pemasaran dengan penglibatan dalam kursus kendalian jabatan dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian.

Dia kemudiannya mendapat bantuan untuk membeli kelengkapan sebanyak RM5,000 oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di samping bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk membiayai pembinaan bengkel dan modal pusingan.

Dia bersyukur kerana apa yang dimulakannya dalam keadaan ‘bertatih’ 10 tahun lalu mampu bertahan hingga kini dengan tidak mensia-siakan bantuan yang diterima dan peluang yang diberikan.

Sekarang Sarina menghasilkan lebih 10 jenis kuih segera termasuk roti canai, apam, karipap, karipap gulung, donat dan mahsuri dan memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s