Test Bed bantu usahawan

KOTA KINABALU 28 Mei – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri Sabah hari ini melancarkan perkhidmatan sokongan terbaru bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana memulakan perniagaan dalam bidang masing-masing.

Perkhidmatan sokongan dikenali sebagai Test Bed itu membolehkan usahawan dilatih di dalam sebuah makmal yang dilengkapi mesin, peralatan dan kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Majlis pelancaran perkhidmatan sokongan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata, di bawah program Test Bed itu, usahawan akan dilatih secara terus dalam aspek pembangunan produk, sistem pengeluaran, susun atur kilang dan teknologi pemprosesan.

”Selain itu soal kebersihan dan sanitasi serta peningkatan kualiti produk dan kapasiti pengeluaran juga akan ditunjukkan sepanjang tempoh latihan,” katanya di sini.

Beliau menambah, melalui Test Bed, usahawan berpeluang menggunakan mesin dan kemudahan pengeluaran lain sehingga dapat menghasilkan produk yang telah dikenal pasti, sebelum diteruskan dengan melakukan ujian pasaran.

Katanya, keputusan ujian pasaran itu akan membantu usahawan membuat keputusan sama ada hendak meneruskan pelaburan dalam pengilangan produk tersebut ataupun sebaliknya.

Menurut beliau lagi, di peringkat awal kemudahan Test Bed di sini hanya untuk pengeluaran produk berasaskan ikan seperti surimi dan keropok.

Teknologi beku sel sperma ikan

st_01.1

sPERMA SEJUK BEKU DIKELUARKAN DARIPADA BEKAS NITROGEN CECAIR.


Bidang akuakultur menjanjikan suatu yang lumayan bagi mereka yang berminat menceburinya dengan syarat mempunyai kemampuan modal, pengetahuan dan mengetahui strategi untuk menakluk pasaran.

Tambahan pula bidang tersebut yang dahulunya popular sebagai ternak air sudah menjadi aktiviti ekonomi sejak sekian lama di negara ini.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010), akuakultur disenaraikan dalam Projek Berimpak Besar (HIP) menerusi Zon Industri Akuakultur (ZIA) dengan komoditi utamanya seperti udang, ikan, udang laut, kerang-kerangan dan rumpai laut.

Daripada segi penyumbang berasaskan komoditi, ikan air tawar merupakan yang kedua terpenting selepas kerang-kerangan.

Pada tahun lalu kira-kira 96,000 tan metrik ikan air tawar bernilai RM485.6 juta dihasilkan oleh kira-kira 23,926 penternak membabitkan 17,000 hektar kawasan ternakan.

Jumlah tersebut merupakan 23 peratus daripada pengeluaran akuakultur atau enam peratus daripada keseluruhan 1.545 juta tan metrik dan spesies utama yang diternak ialah tilapia, keli, patin, kap cina.

Dengan peningkatan perkapita akuakultur meningkat daripada 3.3 kilogram (kg) pada 1985 kepada 7.9 kg pada 2005, angka tersebut sepatutnya menjadi satu khabar gembira kerana secara tidak langsung, industri tersebut menunjukkan sedang bergerak ke arah yang lebih positif.

Namun di sebalik beberapa kejayaan industri akuakultur khususnya spesies ikan air tawar, masih banyak kekangan untuk menjadikannya benar-benar berdaya maju.

Satu daripada masalah utama ialah kekurangan benih ikan air tawar terutama spesies-spesies yang popular di kalangan penternak.

Ini dapat diketahui daripada keluhan penternak berhubung masalah tersebut.

Sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan bidang akuakultur, Jabatan Perikanan telah mengambil beberapa langkah sebagai respons kepada rungutan pengusaha yang kekurangan benih ikan dan satu daripadanya ialah memanfaatkan teknologi pembiakbakaan.

Sebagai contoh, teknologi pengkrioawetan sperma yang berupaya menyimpan sel sperma untuk jangka masa panjang adalah wajar dikembangkan dalam sektor perikanan.

Pengkrioawetan sperma iaitu teknologi penyimpanan sperma dalam suhu lampau sejuk dalam cecair nitrogen (-196 darjah Celsius).

Menerusi teknologi ini, kemandirian sel sperma masih dapat dipelihara untuk jangka masa panjang, dengan penyelenggaraan yang betul dan mantap.

Teknologi pengkrioawetan bukan sesuatu yang baru dalam sektor pertanian dan penternakan khususnya haiwan ruminan, tetapi ia adalah sesuatu yang baru dalam perikanan di Malaysia.

Teknologi ini amat berguna dalam pembangunan repositori germplasma (bank sperma) bagi spesies terancam dan juga untuk pembangunan akuakultur secara lestari.

Teknologi tersebut telah dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) Glami Lemi, di Jelebu Negeri Sembilan sejak 2006 dengan kerjasama Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Pahang.

Kajian tersebut dimulakan oleh Pegawai Penyelidik PPPAT Glami Lemi, Chew Poh Chiang dan Zulkafli Abd. Rashid dari pusat tersebut.

Menurut Poh Chiang, pengkarioawetan sperma merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan di bawah program penyelidikan RMK-9 pusat tersebut.

Penyelidikan telah dilakukan dalam ikan temoleh dan kelah pada 2007 dengan berjaya membiakkan kedua-dua spesies daripada sperma yang telah disimpan secara krioawet selama lima bulan.

“Kejayaan ini cukup memberangsangkan dan juga menandakan selangkah lagi Jabatan menuju ke arah untuk mewujudkan bank sperma krioawet dalam konteks pemuliharaan spesies terancam kepupusan secara ex-situ,’‘ katanya ketika ditmui pada majlis perasmian PPAT Glami Lemi di Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Rohani Abd. Karim. Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub.

Sehingga ke hari ini, percubaan pembiakan ikan dengan sperma krioawet telah dilaksanakan enam kali dan empat kali masing-masing bagi temoleh dan kelah sejak November 2007.

Kini hasil kajian masih mendapati keupayaan persenyawaan telur oleh sperma krioawet bagi kedua-dua spesies adalah lebih rendah berbanding menggunakan sperma segar. Begitu juga dengan peratus penetasan telur.

Namun begitu, peratus persenyawaan dan penetasan telur oleh sperma krioawet telah meningkat sebanyak sepuluh kali ganda berbanding hasil kajian awal pada 2007.

Oleh itu, keupayaan sperma krioawet menghasilkan benih temoleh dan kelah merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.

Walaupun dengan peratus persenyawaan telur dan penetasan yang lebih rendah, benih yang dihasilkan oleh sperma krioawet adalah sihat dan menunjukkan perkembangan dan tahap keaktifan yang tiada bezanya dengan benih yang terhasil daripada sperma segar.

Dengan kejayaan tersebut, pusat tersebut lebih yakin dalam usaha pembangunan dan aplikasi teknologi pengkrioawetan sperma ikan untuk pemuliharaan spesies ikan terancam dan juga kemajuan industri akuakultur.

Sebagai gambaran awal, kajian tersebut mempunyai prospek cerah dan kajian akan diteruskan dan difokuskan dalam mempertingkatkan peratus persenyawaan dan penetasan telur menggunakan sperma krioawet sehingga mencapai yang setanding dengan penggunaan sperma segar.

Ikan kelah dan temoleh merupakan spesies ikan yang dikaji oleh PPPAT buat masa ini. Spesies yang akan dikaji pada masa hadapan ialah patin buah, tengalan dan kerai.

Sementara itu menurut Zulkafli, setakat ini peratus kejayaan ialah 36 peratus dan apabila mencapai 45 peratus, pihaknya boleh menawarkan sperma tersebut kepada penternak.

“Penternak perlu berkursus dengan kami dulu bagaimana menggunakan sperma ikan ini,” katanya.

Suri rumah cari rezeki buat kuih segera

wt_04.1

SARINA Jaafar (kanan) dan anaknya, Nurul Hafizah Abdullah menunjukkan kuih akok segera di kedainya di Kampung Air Asahan, Jeli, Kelantan, baru-baru ini.


JELI 29 Mei – Penglibatan Sarina Ja’afar 43, dari Kampung Gual Jedok di sini membuat kuih segera, bermula apabila punca pendapatan keluarga terputus selepas suaminya Abdullah Isa, 45, seorang buruh kilang papan, diserang sakit jantung.

Dengan keadaan suami yang terlantar, awalnya dia bagaikan kehilangan arah kerana sebelum itu hanya merupakan suri rumah sepenuh masa sedang keadaan hidup menuntut dia mengambil alih tanggungjawab mencari rezeki.

‘‘Dugaan sedemikian datang ketika anak-anak pula masih kecil dan saya tidak punyai sebarang kemahiran untuk mencari rezeki sendiri tetapi akhirnya saya nekad untuk mencuba,” ujarnya menyingkap kisah kehidupannya 10 tahun lalu.

Dengan hanya bermodalkan RM50, dia membeli beberapa tandan pisang muda jirannya dan memberanikan diri untuk membuat kerepek dan menjualnya di sekitar kampung untuk mendapatkan pendapatan seharian.

‘‘Saya hanya mencuba dan berdasarkan pemerhatian juga saya membuat ‘kuih basah’ termasuk roti canai, donat, kuih bom dan roti goreng dan menjaja dengan menggunakan motosikal,” katanya ketika ditemui Utusan Malayasia baru-baru ini.

Lima tahun kemudiannya dia mula terdedah dengan lebih banyak kemahiran dan pengalaman dalam penyediaan produk, pengeluaran dan juga pemasaran dengan penglibatan dalam kursus kendalian jabatan dan agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian.

Dia kemudiannya mendapat bantuan untuk membeli kelengkapan sebanyak RM5,000 oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di samping bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk membiayai pembinaan bengkel dan modal pusingan.

Dia bersyukur kerana apa yang dimulakannya dalam keadaan ‘bertatih’ 10 tahun lalu mampu bertahan hingga kini dengan tidak mensia-siakan bantuan yang diterima dan peluang yang diberikan.

Sekarang Sarina menghasilkan lebih 10 jenis kuih segera termasuk roti canai, apam, karipap, karipap gulung, donat dan mahsuri dan memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Evolusi industri perikanan

ag_01.1

Penyelidikan dalam pembiakbakaan ikan secara aruhan menjadi trend yang membantu melonjakkan industri akuakultur.


Akitiviti Perikanan negara bermula sejak sekian lama dan Jabatan Perikanan yang diasaskan pada 1894 menjadi peneraju kepada aktiviti tersebut sehinggalah sekarang.

Dengan jumlah nelayan kira-kira 89,000 dan 20, 000 penternak akuakultur, aktiviti perikanan rancak berkembang dan sebahagiannya didorong oleh adanya teknologi yang mula diperkenalkan dengan hebat di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (1991-2010)

Berikut beberapa perkembangan sejarah aktiviti perikanan sehinggalah kepada pembabitan tenaga pakar dalam penyelidikan perikanan termasuk yang terbaru iaitu teknologi pembekuan sperma ikan.

l1894-Aktiviti Perikanan diusahakan secara kecil-kecilan sebagai sara diri bagi mereka yang mendiami kawasan pantai dan sungai

l1920-an : Ternakan ikan kap cina dan sepat siam diperkenalkan

l1930-an : Ternakan udang laut diperkenalkan menggunakan trapping point

l1940-an : Ternakan keran digiatkan

l1950-an : Ternakan ikan hiasan, tilapia, lampam jawa, kap india dan udang galah diperkenalkan.

l1960-an: Ternakan udang galah (Macrobrachium rosenbergii ) dimulakan selepas kejayaan membiakkannya dicapai.

l1978 : Ternakan rumpai laut (Euchema cottoni) diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Sabah.

l1979: Ternakan siput sudu diperkenalkan

l1980-an : Pembangunan projek komersial bermula dengan adanya spesies seperti udang laut, tilapia merah dan pengenalan teknologi pembenihan ikan, makanan ternakan dan pengurusan ladang akuakultur.

l1986 : Institut Penyelidikan Perikanan menjalankan kajian pemindahan benih kupang bagi meningkatkan pengeluaran.

l1986 : Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau, Gelang patah berjaya membaiki sistem asuhan benih ikan siakap dengan menggunakan sistem palung Raceway GP300 iaitu sistem air secara mengalir terus yang dapat mengawal suhu dan kualiti air yang lebih baik berbanding sistem tertutup.

l1986 : Institut Penyelidikan Perikanan berjaya menjalankan kajian untuk mereka bentuk sistem pembersihan kerang sebelum dipasarkan.

l1987 : Ternakan kupang menggunakan sistem para diperkenalkan bagi kawasan yang terdedah kepada ombak di mana tidak sesuai untuk sistem rakit.

l1988 : Jabatan perikanan bersama bantuan teknikal dari Program BOBP (Bay of Bengal Programme) berjaya menjalankan kajian ternakan tiram spesies Crassostrea iredalei, C. belcheri dan Ostrea folium.

l1989 : Ternakan rumpai laut (Euchema cottoni) mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha di Semporna, Sabah.

l1991 : Bawal Emas (Trachinotus blochii) diperkenalkan.

l1990 : Pusat Pengeluaran Dan penyelidikan Benih Udang Kebangsaan, Pulau Sayak mula menjalankan kajian pembenihan ketam nipah.

l1990 : Pusat Pengeluaran Dan penyelidikan Ikan Laut, Tg. Demong berjaya membiakkan ikan jenahak (kejayaan pertama di Malaysia) dalam makmal dengan bantuan pakar perunding Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

l1992 : Percubaan pertama di Malaysia ternakan ikan dalam sangkar di laut terbuka jenis Flexfloat di Teluk Dalam, Pulau Perhentian yang dikendalikan oleh Pusat Pengeluaran Dan Penyelidikan Ikan Laut, Besut, Terengganu. Ia diperbuat dari bahan high density polyethylene (HDPE), tahan angin dan ombak serta dapat mengoptimumkan penggunaan perairan laut.

l1992 : Jabatan memperkenalkan peralatan menggred kerang.

l1998 : Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar Di Laut Terbuka dimulakan di Langkawi, Kedah untuk tujuan meningkatkan pengeluaran ikan negara yang menggunakan teknologi Norway.

l2000 : Pusat Pengembangan Akuakultur, Jerantut, Pahang berjaya menjalankan kajian pembiakan kelah.

l2001 : Kejayaan pertama Institut Penyelidikan Perikanan dalam kajian pengeluaran benih abalone dalam makmal.

l2005 : Ternakan udang putih eksotik (Litopenaeus vannamei) dibenarkan sebagai alternatif kepada ternakan udang harimau yang menghadapi masalah penyakit.

l2006 : Pameran Antarabangsa Aquafair yang pertama di Malaysia untuk meneroka pasaran terus antarabangsa bagi ikan hiasan. Program berkenaan merintis jalan kepada kepada pengusaha untuk mengukuhkan pasaran eksport dan meletakkan Malaysia sebagai pembekal utama ikan hiasan dunia.

l2006 : Pusat Pengembangan Akuakultur, Jerantut dan Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, Jelebu berjaya menghasilkan benih ikan kelah.

Pujuk pokok kabung keluarkan nira

ag_02.1

Nurdin Baddusa membersihkan tandan buah nira sebelum dikutip niranya di Ladang Sungai Balung, Tawau, Sabah.


Pokok kabung, sejenis pokok palma berasal dari Indonesia yang dikenali juga sebagai pokok Enau atau nama botaninya, Arenga pinnata, mungkin agak pelik berbanding dengan pokok daripada spesies palma yang lain.

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah, dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah, menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, yang mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula merah dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan ‘pujukan’ yang diberikan.

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh ‘dipujuk’ untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja ‘memujuk’ mengikut istilah yang digunakan pemungut nira di Ladang Sungai Balung, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

”Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya.

“Selepas itu, ia perlu ‘dipujuk’ dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

”Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan. Kalau tidak dibuat begini air nira tidak akan keluar”, kata Nurdin Baddusa, 49, yang telah menjalankan kerja mengutip air nira sejak tujuh tahun lepas.

Menurut Nurdin, ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan.

“Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar langsung,” kata Nurdin ketika ditemui di Ladang Sungai Balung, kira-kira 60km dari sini.

Beliau adalah seorang daripada kira-kira 20 pekerja pemungut air nira di ladang berkenaan. Menurut Nurdin amalan berkenaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan berterusan sehingga bunga pada tandan pokok Kabung kembang.

”Apabila bunga pada tandan berkenaan sudah kembang, tandan berkenaan bolehlah dicantas dan jika aliran air niranya sudah agak deras ia boleh ditadah dengan bekas yang direka khas.

“Jika belum deras, bahagian hujung tandan yang dicantas itu perlu dihiris sebaiknya sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang sehingga aliran niranya deras”, katanya.

Nurdin berkata, nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 10 liter nira sehari.

Katanya, nira yang siap dikutip kemudian dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak dalam ladang berkenaan untuk diproses menjadi sirap nira kabung (Arenga Pinnata Syrup).

“Kami memproses kira-kira 700 kg nira kabung sehari,” kata Masriani Mansor, ahli teknologi makanan di kilang pemerosesen sirap nira kabung berkenaan.

Sementara itu Pengurus Besar Kebun Rimau Sdn Bhd K.Arunagirinathan yakin sirap nira kabung atau gula kabung suatu hari nanti akan menjadi satu daripada sumber gula utama di negara ini.

Menurutnya, gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

”Kami sudah menanam kira-kira lebih 5,000 pokok kabung daripada jenis benih bermutu tinggi meliputi kawasan seluas kira-kira 809 hektar di Ladang Sungai Balung.

”Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang mungkin kami perlu membina kilang memproses sirap nira kabung atau gula merah yang lebih besar.

”Saya juga yakin suatu hari nanti sirap nira kabung ini akan menjadi sumber gula utama di negara ini malah mungkin juga menjadi pilihan utama penduduk dunia kerana kebaikannya dari segi kesihatan”, katanya.

Arunagirinathan berkata, sirap nira kabung yang dikeluarkan syarikat berkenaan yang kini sudah berada dalam pasaran tidak mengandungi bahan kimia atau pewarna atau perasa tiruan sebaliknya keasliannya dikekalkan.

Katanya, idea penanaman pokok kabung berkenaan secara besar-besaran bermula sembilan tahun lepas apabila pengerusi syarikat berkenaan Datuk Harris Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah membawa benih pokok berkenaan dari Indonesia.

Menurutnya, sirap nira kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

Antara makanan yang popular dengan campuran gula atau nira kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol.

Sirap nira kabung juga boleh digunakan sebagai pemanis dalam pembuatan kek serta pastri, makanan bijirin dan jus buah-buahan- Bernama

Ruminan lubuk emas pelatih Skill-Tech

ag_03.1

NOrdin Abd. Malek ingin berkongsi keseronokan dengan peserta supaya melibatkan diri dalam ternakan ruminan.


RUMINAN adalah penternakan haiwan seperti kambing, lembu, unta dan kerbau. Bagi penternakan haiwan berkenaan, hasil ternakan yang pelbagai dan memberi nilai komersial yang tinggi disebut sebagai nilai emas.

Emas yang diumpamakan bukanlah perhiasan wanita tetapi hasil produk ternakan iaitu apa yang disebut emas putih yang merujuk kepada susu.

Manakala emas hitam pula merujuk kepada najis yang boleh dibuat baja serta emas merah pula yang merujuk kepada daging.

Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, menyedari nilai komersial yang tinggi terhadap penternakan kambing, Skill-Tech memperkenalkan kursus baru yang dikenali sebagai kursus kemahiran ruminan.

Ternyata permintaan yang tinggi menggembirakan beliau.

”Ambilan pertama baru-baru ini membuktikan generasi muda mampu menjadi tenaga kerja dan usahawan ruminan secara terlatih dan profesional,” kata Nordin.

Sepanjang tempoh setahun, semua pelatih ruminan, setiap pelatih akan mempelajari aspek-aspek berikut:

1. Kebersihan dan Penyelenggaraan Ternakan

2. Pengasingan dan Kekangan

3. Pemberian Makanan

4. Pemerahan Susu

5. Penjagaan Anak Ruminan

6. Pengesanan Biang

7. Penyediaan Peralatan dan Penjagaan Kesihatan

8. Pengurusan Pastur, Proses Rumput dan Makanan

9. Pemagaran dan Makhluk Perosak

10. Pengendalian Baja Organik

11. Pelupusan Bangkai

12. Penyelenggaraan Stor.

Selain syarat wajib pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)di atas, Skill-Tech menekankan aspek pemasaran dan pengeluaran ternakan makanan halal.

Bagi memastikan kemahiran yang mencukupi, semua pelatih akan ditempatkan di pusat penternakan komersial setiap semester. Peringkat pertama Latihan Industri (LI) akan menumpukan kepada proses penternakan manakala kemahiran kedua LI menumpukan kepada pemasaran dan perniagaan.

Tidak ketinggalan juga, satu bisnes baru sebagai sumber hiliran ruminan ialah pelancongan pertanian.

Memandangkan Skill-Tech adalah pusat latihan pertanian berintegrasi, sudah ramai pelancong yang berminat berkongsi pengetahuan dan pengalaman ruminan.

Oleh itu penternakan ruminan telah dijadikan sebahagian produk pelancongan di Skill-Tech.

Setelah tamat latihan, Skill-Tech merancang untuk meletakkan mereka dalam skim inkubator yang sudah dikenalpasti mentor terbabit. Antaranya, Skill-tech akan bekerjasama dengan beberapa buah syarikat yang berpengalaman terutama sebuah syarikat penternakan kambing terbesar di Marang, Terengganu.

Justeru, golongan muda yang berusia 16 hingga 35 tahun adalah dipelawa mengisi kekosongan terhad yang masih ada dengan menghubungi 06-5531416/18.