Projek kelapa matag komersial di Kuala Krau

TEMERLOH 20 Mei – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Kerdau akan melaksanakan projek tanaman kelapa matag secara komersial di kawasan seluas 70 hektar di kawasan Parlimen Kuala Krau tidak lama lagi.

Pengurus Besar PPK Seri Kerdau, Abdul Razak Kassim berkata, Jabatan Pertanian bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM966,835 bagi melaksanakan projek tersebut.

Bagi fasa pertama projek itu, katanya, sebanyak RM545,620 akan dibelanjakan membabitkan kawasan seluas 40 hektar di Kampung Pulau Raya di sini yang bakal disertai 80 peserta.

”Baki RM421,215 akan dibelanjakan bagi memajukan tanah seluas 30 hektar di Kampung Terenging di sini yang akan disertai 28 peserta.

”Tanaman tersebut boleh mengeluarkan hasil sehingga RM20,000 sehektar dan jika diusahakan secara komersial akan dapat memberikan pulangan lumayan kepada peserta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPK Seri Kerdau ke-27 di sini hari ini.

Menurut Abdul Razak, pihaknya menjangkakan tanaman kelapa matag itu dapat mengeluarkan hasil pertama dalam tempoh tiga tahun lagi.

Selain kelapa matag, jelasnya, kawasan itu ditanam dengan tanaman selingan seperti pisang dan nanas untuk memberikan pendapatan sampingan kepada peserta.

Projek tersebut, katanya, sekali gus dapat mewujudkan industri hiliran dan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan kadar kemiskinan tegar penduduk di luar bandar.

Jika berjaya, Abdul Razak memberitahu, projek tersebut akan diperluaskan ke kawasan lain dalam Parlimen Kuala Krau.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk yang mempunyai tanah terbiar dapat mengusahakan projek tanaman kelapa matag bagi menambahkan pendapatan mereka.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak meminta penduduk luar bandar mengusahakan ternakan ayam dan itik kerana ia boleh memberi pendapatan sampingan selain menjadi sumber makanan penduduk setempat.

”Ternakan itu sentiasa mendapat pasaran kerana harganya murah dan berpatutan iaitu di bawah paras RM10 sekilogram berbanding ikan yang melebihi RM10 sekilogram di pasaran,” jelasnya.

Bimbing usahawan tani

KANGAR 20 Mei – Usahawan tani bumiputera terutama peserta pasar tani perlu diberi bimbingan untuk membolehkan mereka menembusi pasaran hypermarket tanpa khidmat orang tengah.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, bimbingan berjadual wajar diberi selaras dengan usaha melonjakkan pendapatan kumpulan sasar.

Katanya, usahawan tani itu sebenarnya mampu untuk membekalkan hasil pertanian ke hypermarket seperti Tesco, Giant, Cold Storage, Jusco dan Carrefour.

“Usahawan tani bumiputera wajar didedahkan seluas-luasnya berkaitan pemasaran produk bagi menembusi pasaran seperti ke Giant dan Carrefour tanpa orang tengah.

“Strategi pemasaran yang dibentuk oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) jelas memperlihatkan usahawan tani perlu lebih bersedia dan mampu memenuhi kehendak pasaran,” katanya ketika merasmikan Malam Usahawan Pasar Tani Negeri Perlis di Hotel Putra Palace di sini malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad.

Menteri Besar Perlis itu turut mengingatkan usahawan tani bumiputera agar lebih proaktif untuk menjadi pembekal hasil pertanian kepada hypermarket.

Selain itu, beliau berkata, peranan pasar tani tidak boleh dipandang remeh kerana ia merupakan rangkaian pemasaran di sektor pertanian negara.

“Pasar Tani yang aktif seluruh negara membuktikan bahawa peranannya sebagai satu rangkaian pemasaran di sektor pertanian yang benar-benar berkesan dan berupaya melahirkan jutawan suatu masa nanti.

“Saya difahamkan terdapat pasar ala pasar tani di luar negara. Antaranya di Australia, Belanda, United Kingdom dan di Wisconsin dan Miami, Amerika Syarikat,” ujarnya.

Selain itu, Md. Isa turut mengingatkan usahawan bumiputera supaya tidak meminggirkan penjenamaan produk.

“Hari ini, ramai usahawan bumiputera tidak mengendahkan aspek penjenamaan. Penjenamaan produk penting untuk membolehkan produk kita mempunyai kekuatan menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Usaha kerajaan mewujudkan jenama seperti Malaysia Best, Agromas dan Olemas perlu dicontohi,” tegasnya.

Md. Isa juga memuji pelbagai agensi kerajaan yang berfungsi di tahap maksimum untuk memajukan industri pertanian negara terutama di Perlis.

Agensi pertanian yang dimaksudkan oleh Menteri Besar itu termasuklah FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian.

Musim pengambilan pelatih Skill-Tech rancak

Seperti lazimnya, bulan Mei hingga Julai setiap tahun adalah musim kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi atau pusat latihan kemahiran seluruh negara.

Mereka akan memilih pelbagai kursus mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.

Institut Skill-Tech juga tidak terkecuali membuka tawaran kepada golongan belia untuk mengikuti latihan pertanian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Lebih-lebih lagi, mulai tahun ini, pakej skim kluster latihan kemahiran sumber manusia membolehkan Skill-Tech membuat pengambilan secara besar-besaran.

Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, inilah masa yang sesuai untuk generasi muda menyertai Skill-Tech kerana masa depan industri pertanian sangat cerah.

“Keyakinan masyarakat kian terbukti kerana semakin ramai yang memohon ke pusat latihan kami,” katanya.

Pada masa ini, Skill-Tech satu-satunya pusat latihan kemahiran swasta yang menawarkan kursus berasaskan pertanian sepenuhnya.

Setiap pelatih juga tidak perlu memikirkan soal pembiayaan dan sara diri kerana semua pelatih skill-tech yang mengikuti program SKM tahap 1 dan 2 dibiayai sepenuhnya secara percuma selama setahun.

Ini termasuklah soal makan dan minum mereka.

Tambah Nordin lagi, peluang keemasan seumpama ini perlu direbut segera kerana peruntukan yang disediakan masih ada.

Sementelahan peluang masih ada mereka hendaklah mengambil peluang mengikuti kursus yang diminati.

Seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini, Skill-Tech turut menyediakan pakej niaga sebaik tamat latihan dengan pemantauan penuh Institut Keusahawanan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Semua graduan digalakkan memilih perniagaan sebagai pilihan utama.

Selain itu, mereka yang berkeupayaan menyambung peringkat tinggi pula boleh mengikuti Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang pertanian. Pembiayaan peringkat diploma akan diaturkan.

Kelebihan DKM kepada pelatih membolehkan mereka menjadi tenaga kerja pertanian professional pada masa depan. Difahamkan pada masa ini lulusan DKM pertanian sangat sedikit dan hanya dijalankan secara terhad di pusat latihan pertanian kerajaan.

Skill-Tech dijangka akan memulakan DKM pada penghujung tahun ini sebagai perintis melahirkan tenaga mahir bertaraf diploma di Malaysia.

Memandangkan SKM dan DKM Skill-Tech menggunakan modul Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, taraf dan standard latihan adalah setara dengan pusat latihan kerajaan.

Oleh itu, peluang keemasan yang disediakan kerajaan di Institut Skill-Tech hendaklah direbut segera sebagai pembinaan masa depan yang cemerlang sebagai petanih terlatih, moden dan jutawan hingga peringkat antarabangsa.