80 ahli PPK Kerdau tanam nangka madu

BANDAR JENGKA: Seramai 80 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan ( PPK) Kerdau dari Kampung Gunung Senyum dekat sini mengusahakan 40 hektar tanah kosong terbiar dengan tanaman nangka madu bagi memenuhi permintaan tempatan dan luar negara.

Pengerusi Jemaah Pengurus PPK Kerdau Borhan Nordin Hamid berkata sejumlah 10,000 batang pokok nangka madu mula ditanam sejak setahun lalu dan dijangka mengeluarkan hasil tidak lama lagi.

Katanya, usaha penanaman nangka madu mendapat kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang ( LPP) berikutan agensi itu mengeluarkan bantuan sejumlah RM240,000 bagi memastikan projek pertanian PPK sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan ahlinya di samping menggalakkan mereka mengusahakan tanah kosong terbiar dengan kegiatan pertanian yang memberikan keuntungan.

“Nangka madu dijangka mampu mengeluarkan hasilnya selepas 18 bulan ditanam jika penjagaan dan pembajaannya dilakukan secara bersistematik serta mematuhi piawaiannya.

“Dijangkakan pekebun kecil mampu menikmati pendapatan bulanan sehingga RM2,000 sebulan setiap hektar berikutan harga buah nangka madu yang semakin tinggi di pasaran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Borhan berkata, nangka madu jenis Mastura adalah paling terkenal dan sesuai ditanam di kawasan berkenaan serta mampu mengeluarkan buah yang bermutu tinggi sehingga boleh dieksport ke luar negara.

Mengenai pemasaran nangka madu, beliau berkata pihaknya sudah mengadakan tinjauan awal dan mendapati permintaan nangka madu adalah tinggi di pasaran tempatan terutama kepada peniaga pekan sehari dan pasar raya.

Katanya, dengan adanya sumber pemasaran boleh membantu pekebun kecil memasarkan hasil pertanian mereka sekaligus memberikan pendapatan tetap kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman itu.

Beliau berkata, harga runcit buah nangka madu yang dijual peniaga tempatan boleh mencecah antara RM3 dan RM4 sekilogram berikutan kandungan vitaminnya sesuai untuk pertumbuhan badan.

Potensi kekabu

Permintaan tinggi tilam, bantal bolehkan peniaga raih pendapatan lumayan

JIKA diamati, tiada apa yang unik mengenai spesies pokok kekabu yang dikatakan semakin kurang dikenali kerana lebih banyak tumbuh di kampung berbanding bandar besar.

Namun, di sebalik peranan kekabu sekadar bahan ‘pengisi’ kusyen, bantal, tilam dan alas tangan pengantin, ia sebaliknya boleh disifatkan sebagai ‘permata’ yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Ini disebabkan hasil jualan kekabu di pasaran yang baik mampu memberikan pulangan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan. Ia berkait rapat dengan permintaannya yang sentiasa ada biarpun kebanyakan peniaga berdepan kesukaran mendapatkan bahan kekabu itu berikutan kekurangan pokok itu ketika ini.

Terbaru, ada kajian mendapati minyak biji kekabu berpotensi untuk menghasilkan diesel. Bagaimanapun, usaha untuk melihat ia dikembangkan agak sukar kerana kos penjagaan pokok kekabu dan tempoh matangnya yang lama menyebabkan sektor perladangan melihatnya sebagai tidak menguntungkan.

Namun, potensi besar kekabu dari segi jualan hasil tilam dan bantal, diakui sendiri peniaga yang mengusahakan syarikat Hajah Safeah Warisan Kekabu, Hairul Anuar Amat yang sudah menguruskan perniagaan keluarganya sejak 10 tahun lalu.

Gerai Hairul yang terletak di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor, itu juga sering dikunjungi ramai, termasuk kelompok pelanggan tetap. Malah, permintaan kekabu yang sentiasa ada turut menjadi antara faktor yang menyaksikan kedainya itu mampu bertahan sejak sedekad lalu.

“Dari segi harga, kekabu yang siap dijadikan bantal akan dijual dengan harga antara RM15 hingga RM25 setiap satu, bergantung kepada saiz dan berat isi kandungannya.

“Atas alasan inilah, jika diusahakan betul-betul dan mampu memenuhi permintaan yang amat besar, pengusahanya mampu meraih pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM15,000. Itu pun jika kita mampu mendapatkan bahan mentah kekabu yang sebenarnya berkurangan ketika ini,” katanya.

Hairul berkata, syarikatnya juga tidak putus-putus menerima kehadiran pelanggan yang menggemari kekabu.

“Kami sering menerima pelanggan yang lebih gemarkan bantal atau tilam kekabu, terutama ketika musim cuti sekolah dan kenduri kahwin. Ada ketikanya pelanggan terpaksa membuat tempahan lebih awal untuk mengelakkan kehabisan bekalan kekabu,” katanya.

Hairul berkata, bantal atau tilam yang menggunakan isian kekabu lebih mendapat perhatian kerana keunikan kekabu itu sendiri yang lembut serta selesa. Ia amat sesuai sebagai alas tidur untuk bayi mahupun golongan dewasa.

“Kekabu yang dijadikan tilam atau bantal mampu bertahan selama 20 tahun. Untuk mengembalikan keselesaan pengguna, bantal atau tilam perlu dijemur dan dipukul bagi menyingkirkan habuk kekabu,” katanya.

Isi buah kekabu menyamai kapas atau lebih dikenali sebagai kapuk. Ia gentian halus pelbagai guna mempunyai nilai komersial yang baik untuk diniagakan. Warna buahnya hijau seakan-akan pisang muda mula merekah dan bertukar warna perang kehitaman apabila masak.

Kebiasaannya buah kekabu menjadi matang ketika usia mencapai tiga bulan. Apabila buah kekabu sudah cukup matang, kekapas diasingkan daripada buah dan biji mengikut kualiti warna. Warna putih atau kekuningan dikatakan mempunyai nilai harga yang baik di pasaran, manakala warna keperangan atau kelabu dikategorikan sebagai kelas kedua.

“Pokok kekabu banyak di kawasan Perak terutama di Lenggong dan Grik. Kebanyakan penduduk di situ menjadikan isi kekabu sebagai hasil pendapatan sampingan untuk warga kota yang pulang ke kampung,” katanya.

Hairul berkata, ketika kerja-kerja pengasingan dilakukan, kekabu turut ditimbang bagi mendapatkan jumlah berat bersesuaian. Selepas memasukkan kekabu ke dalam sarung bantal atau tilam, seterusnya proses menjahit akan dilakukan oleh isterinya, Salmi Bidin yang turut sama mengusahakan perniagaan.

Salah seorang pelanggan, Shahrul Izman Mohd Sabry, 28, berkata bantal atau tilam yang dihasilkan daripada kekabu lebih selesa kerana tahan lama dan leher tidak sakit apabila menggunakan kekabu sebagai alas kepala.

“Kami sekeluarga lebih menggemari bantal berisi kekabu jika dibandingkan bantal biasa yang dijual di pasar raya. Ini kerana selain lembut, harganya juga berpatutan,” katanya.

Pakar kekabu yang juga saintis botani Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Prof Dr E Soepadmo, pula menyifatkan kekurangan nilai komersial kekabu berbanding pokok getah dan kelapa sawit menyebabkan tiada pihak seperti sektor korporat yang berminat melabur sejumlah modal bagi pelaksanaan projek penanaman pokok kekabu secara perladangan.

Kekurangan ketara bilangan pokok kekabu kampung berbanding 10 tahun lalu juga menyebabkan bekalan itu semakin berkurangan sehingga meresahkan peniaga yang mengusahakan jualan bantal dan tilam kekabu.

“Kekabu yang berasal daripada famili Bombacaceae, terbahagi kepada dua jenis iaitu kekabu kampung atau kapok (Ceiba pentandra) dan kekabu hutan (Bombax). Pokok kekabu bukan tumbuh semula jadi di negara ini kerana ia berasal dari Mexico dan bahagian tropika benua Amerika. Bagaimanapun, di dalam hutan Malaysia ada sejenis pokok kekabu yang tumbuh, dipanggil kekabu hutan.

“Bagaimanapun, jumlah serta lokasinya tidak jelas kerana ia adalah sejenis tumbuhan liar yang tidak tumbuh secara berkelompok malah kualiti isi kekabu hutan juga jauh lebih rendah berbanding kekabu kampung,” katanya.

Antara negara yang mengusahakan penanaman pokok kapok untuk tujuan industri bagi mendapatkan isi kekabu, hasil kayu dan pati minyak bijinya adalah Thailand, Indonesia dan India.

Indonesia adalah pengeluar utama kapok di dunia dengan hasil pengeluaran sebanyak 80,000 tan pada 1996 hingga 2000 manakala Thailand pula menghasilkan sebanyak 40,000 hingga 45,000 tan pada tahun sama.

Sawah terbiar dua tahun kini sumber rezeki lumayan

Petani Kampung Slow Teliar tanam tembikai susu, labu madu

PASIR MAS: Sawah terbiar sejak tujuh tahun lalu di Kampung Slow Teliar, dekat sini, kini menjadi punca rezeki lumayan kepada 19 penduduk yang mengusahakan tanaman tembikai susu dan labu madu di kawasan seluas 12 hektar sejak dua tahun lalu.

Projek hasil inisiatif penduduk kampung berkenaan kini menunjukkan kejayaan apabila labu madu yang diusahakan sudah mengeluarkan hasil melebihi 70 tan yang dipasarkan ke seluruh negara melalui Lembaga Pemasaran Pertanian dan Persekutuan (Fama).

Selain itu, tanaman tembikai susu yang diusahakan secara berselang dengan labu madu pula mengeluarkan hasil sehingga 200 tan.

Ketua Kelompok Projek berkenaan, Abdullah Yaacob, berkata sejak diusahakan dua tahun lalu, setiap penduduk mampu memperoleh sehingga tujuh tan hasil tembikai susu dari setiap 0.4 hektar kawasan dengan pendapatan sekitar RM6,000 semusim penanaman.

Berikutan itu, mereka kini semakin serius mengusahakan dua tanaman terbabit menerusi penanaman berskala besar membabitkan kawasan seluas 26 hektar di tanah sawah terbiar bagi memenuhi permintaan pasaran yang meningkat.

“Kami semakin serius mengusahakan tanaman ini selepas hasil yang diraih begitu menggalakkan.

“Ketika mula mengusahakan tanaman labu madu di kawasan bendang terbiar ini, penduduk memperoleh hasil di luar jangkaan sehingga memberi semangat kepada kami untuk mengusahakannya secara serius dan pada skala lebih besar.

“Berikutan itu, kami sepakat mengusahakan penanaman tembikai susu dan labu madu di kawasan lebih luas kerana mendapat permintaan tinggi selain mampu dijual dengan harga yang tinggi ekoran kurangnya bekalan dari negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ladang Kontrak Kelantan 2009 di sini. Hadir sama, Pengarah Fama Wilayah Timur, Mohd Zaimi Abdul Razak dan Pengarah Fama Kelantan, Mamat Yunos.

Abdullah berkata, penduduk kini tidak lagi berdepan kesukaran memajukan kawasan berkenaan sebagai pusat pengeluaran tembikai susu dan labu madu kerana mempunyai kemudahan saliran air yang disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Selain itu, penduduk juga tidak berdepan masalah pemasaran kerana Fama tampil membantu memasarkannya ke seluruh negara termasuk Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan hasil tanaman berkualiti dan mampu dijual oleh Fama, mereka sentiasa memastikan penggunaan baja mencukupi serta racun yang baik supaya bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.

Rakannya, Zahari Yaacob, 30, yang mengusahakan tanaman labu madu dan tembikai susu di kawasan seluas dua hektar, pula yakin mampu mencapai sasaran pengeluaran sebanyak 10 tan bagi setiap hektar.

“Sepanjang mengusahakan tanaman ini, saya tidak berdepan masalah besar kerana sentiasa mengamalkan amalan pertanian baik dan membuat pemantauan secara kerap bermula dari proses menanam anak benih,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana harga yang ditetapkan Fama bagi sekilogram tembikai susu adalah RM1.10 iaitu paling tinggi sejak dua tahun lalu.

“Kami berharap kerjasama dengan Fama akan berterusan kerana ia memudahkan kami tanpa perlu bersusah-payah mencari pembeli selain dapat mengelak berlakunya lambakan hasil,” katanya.

Pengarah Fama Wilayah Timur, Mohd Zaimi, berkata pihaknya mula menjalinkan kerjasama dengan penduduk Kampung Slow Teliar sejak dua tahun lalu selepas mendapat permintaan bagi memasarkan hasil tanaman mereka.

“Pada musim ini saja, pengeluaran tembikai susu di Kampung Slow Teliar saja mencecah 200 tan dan kami gembira melihat kerjasama petani yang berusaha meningkatkan hasil pertanian,” katanya.

Mengenai majlis menandatangani perjanjian jual beli berkenaan, beliau berkata, ia adalah langkah yang baik bagi kedua-dua pihak dalam usaha memastikan hasil tanaman sentiasa ada untuk dipasarkan ke seluruh negara.

300 sertai seminar fertigasi

KUALA LUMPUR 17 Mei – Seminar Usahawan Fertigasi anjuran sisipan Mega Utusan Malaysia dengan kerjasama Agro Bank dan Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult) menerima sambutan menggalakkan apabila 300 individu dari seluruh negara menyertainya.

Seminar tersebut yang diisi dengan beberapa sesi ceramah dan pameran pertanian fertigasi berlangsung di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini hari ini.

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid berkata, pertanian fertigasi merujuk kepada kaedah penanaman tanpa tanah.

“Tujuan asal kaedah ini untuk mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit bawaan tanah. Maka tiada tanah digunakan dan ia menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, tidak ramai usahawan yang mengetahui kekuatan dan kelemahan fertigasi sehingga menyebabkan mereka gagal mendapat hasil maksimum daripada kaedah itu.

“Ada juga usahawan yang ditipu oleh individu atau syarikat tidak bertanggungjawab yang mendakwa mereka mampu memberi bimbingan dan menjadi konsultan dengan mengenakan harga mahal sedangkan mereka sendiri tidak mengamalkan kaedah tersebut.

“Justeru, seminar ini membuka peluang kepada individu berminat untuk mewujudkan hubungan dengan pakar bagi mengelakkan masalah itu,” katanya selepas menyampaikan ceramah bertajuk Teknologi dan Industri Fertigasi.

Seminar itu dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) UPM, Prof. Dr. Azimi Hamzah dan turut dihadiri Pengarang Mega, Mohd. Redzuan Iman.

Roselle jadikan awet muda

wt_01.1

Seorang petugas melakukan kerja-kerja membungkus jus roselle keluaran Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad di Rhu Tapai, Setiu. – UTUSAN/ADNAN MOHAMAD


SETIU 17 Mei – Tahukah anda bahawa produk minuman atau makanan berasaskan roselle antara lain didapati berkhasiat sebagai bahan antipenuaan atau menjadikan awet muda kepada penggemarnya.

Justeru tanaman secara komersial roselle kini diperluaskan di seluruh negara kerana produk berasaskannya semakin mendapat sambutan di pasaran dalam dan luar negara.

Koperasi Tani (Koptani) Lembah Bidong Terengganu Berhad di sini adalah sebagai pembekal utama produk roselle di negeri ini sekali gus dapat membantu petani Projek Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rhu Tapai di sini menambah pendapatan.

Sebelum ini, penanaman roselle yang merupakan punca pendapatan sampingan bagi para petani di kawasan itu terpaksa dihentikan selama empat tahun akibat beberapa masalah yang menyebabkan kilang memproses roselle ditutup.

Bagaimanapun, apabila Koptani itu ditubuhkan awal April 2007 dengan modal berbayar RM100,000, ia dilihat dapat merealisasikan hasrat untuk membantu golongan pendapatan rendah.

Ia juga membantu membangunkan semula tanaman roselle yang kini jarang diusahakan oleh para petani lain.

Melalui Koptani itu, seramai 30 petani PPRT di Rhu Sepuluh yang mengusahakan tanaman roselle itu untuk dijual sebagai bahan mentah kepada kilang milik koperasi berkenaan.

Pengerusi Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad, Abdul Malik Muda berkata, sebelum penubuhan koperasi itu, pihaknya membuat kajian mendapati produk roselle yang dibuat kordial, jus, jem, sos dan halwa mendapat pasaran yang memuaskan dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, pokok roselle yang berasal dari Afrika Barat mengandungi pelbagai khasiat seperti mengurangkan tekanan darah tinggi, merendahkan suhu badan dan mengawal pertumbuhan barah.

Katanya, khasiat lain ialah antipenuaan atau awet muda, pencegahan penyakit kadiovaskular, deman panas dan resdung.

”Kami juga sentiasa bekerjasama serta mendapat bimbingan daripada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan beberapa agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

”Sekarang dengan berkat kerjasama serta sokongan ahli-ahli Koptani ini, kita mampu mengeluarkan lebih 30,000 unit pelbagai barangan dalam masa sebulan daripada hasil roselle itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Malik memberitahu, daripada 30,000 unit barangan tersebut termasuk 15,000 unit/cawan jus roselle dibekalkan kepada tiga buah koperasi di sekolah menengah di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menjadi pembekal tetap kepada tiga buah sekolah menengah setiap bulan dan minuman jus roselle dijual dengan harga RM1.

Sementara itu, selebihnya barangan produk tanaman itu dijual di pasaran tempatan khususnya di negeri ini dan ada kalangan mereka datang sendiri membeli di kilang itu.

”Setakat ini, sambutan terhadap produk ini amat menggalakkan di kalangan pengguna selain kami mendapat tempahan jus roselle dari beberapa buah sekolah lain di negeri ini.

”Tetapi Koptani terpaksa menolak tawaran itu kerana kami tidak mampu membekalkan minuman itu kepada mereka disebabkan kilang kami masih lagi menggunakan mesin yang hanya mampu mengeluarkan 5,000 unit sehari,” ujarnya.

Abdul Malik berkata, dengan kemudahan yang sedia ada serta peralatan mesin yang tidak mencukupi menyebabkan juga koperasi itu hanya dapat memasarkan barangan mereka di pasaran tempatan sahaja.

Beliau memberitahu, untuk pasaran ke negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Selangor, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya kilang itu dapat memproses barangan tersebut 5,000 unit sehari.

”Tetapi disebabkan kekurangan modal, mesin dan peralatan menyebabkan usaha koperasi ini untuk memasarkan barangan roselle secara meluas sama ada dalam negeri dan luar negara beliau tercapai,” katanya.

Dengan masalah itu, ujarnya, Koptani yang mempunyai keahlian 100 orang itu sentiasa mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat supaya koperasi yang menjadi pemangkin kepada para petani di kawasan itu berdaya maju.

Sekiranya kerajaan menyumbang bantuan yang diperlukan itu menjadikan ia setanding dengan produk minuman serta makanan lain di negara ini selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak ahli koperasi di situ.

”Hasil tanaman roselle mempunyai pelbagai manfaat yang tersendiri dan ada juga barangan keluaran itu seperti Kordial Organik tanpa bahan pengawet yang pasti mendapat sambutan yang memuaskan para pengguna,” kata Abdul Malik.

Izwan penternak berjaya

wj_01.1

Mohd. Izwan Samani lebih rela bergelumang dengan kambing daripada kerja makan gaji. – UTUSAN/ NORZAINURA ABDUL MAJID


BATU PAHAT 19 Mei – Minat yang mendalam dalam bidang penternakan dan pertanian mengubah kehidupan Mohd. Izwan Samani, 27, apabila kini menjadi penternak dan petani yang berjaya.

Disebabkan minat itu, beliau sanggup menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Kaji Ukur ketika berada di tahun dua untuk ‘terjun’ dalam bidang pertanian.

Katanya, bidang tersebut menjanjikan kepuasan dan pendapatan lumayan serta bertepatan dengan sikapnya yang tidak mahu bekerja makan gaji atau berada di bawah pengawasan orang lain.

Pengorbanannya itu ternyata tidak sia-sia dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga yang banyak membantu serta memberinya semangat untuk berjaya.

Bahkan kini, Mohd. Izwan boleh berbangga kerana dianggap berjaya dalam bidang tersebut dan merupakan salah seorang belia tani contoh bagi masyarakat setempatnya.

Katanya, beliau bermula menternak lembu dengan modal RM28,000 sejak enam tahun lalu melibatkan sebanyak 32 ekor dengan bantuan dan sokongan keluarga juga adik-beradiknya.

“Saya memang minat dalam bidang penternakan dan pertanian, saya terfikir bila saya habis belajar saya dapat diploma dan saya akan bekerja di bawah pengawasan orang lain.

“Itu yang membuatkan saya nekad untuk berhenti dan teruskan dengan minat saya,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kemudian, katanya, beliau pulang ke kampungnya di Parit 4, Sri Dayong Mukim 18, Sri Medan di sini untuk memulakan bidang penternakan di tanah milik keluarga berkeluasan 2.4 hektar.

Daripada 32 ekor lembu beliau berjaya membiakkannya menjadi 80 ekor dua tahun kemudian, katanya.

Namun, menurutnya, disebabkan ternakan lembu memerlukan kawasan yang luas maka kesemua lembu itu dijual dan hasil jualan itu digunakan untuk membeli kambing biri-biri bulu halus.

“Untuk memelihara kambing, saya telah mengeluarkan modal sebanyak RM45,000 untuk kandang kambing dan kira-kira RM70,000 untuk membeli baka kambing sebanyak 80 ekor,” katanya.

Di samping menternak kambing, Izwan juga menternak 80 ekor ayam kampung dan mengusahakan tanaman kontan seperti 120,000 pokok ubi, 13,000 keladi dan keledek juga 700 pokok pisang di tanah seluas 5.6 hektar.

Selain pengalamannya, dia turut menimba ilmu dengan mengikuti kursus menternak di Institut Haiwan Ayer Hitam sebelum memulakan projek ternakannya.

“Selain itu, saya sentiasa mencari pengalaman dan belajar dari mereka yang telah berjaya,” katanya.