Mengkomersial inang-inang

ws_01.1

Ab. Rahman Saleh (kanan) bersama pekerja membungkus kuih inang-inang keluaran syarikatnya untuk dipasarkan sekitar Melaka.


JASIN 14 Mei – Bermula dengan sekadar menolong ibunya membuat sejenis kuih tradisional berasaskan pulut sejak berusia 12 tahun, Ab. Rahman Saleh, 51, tidak menyangka, kini kuih inang-inang buatannya itu berjaya dikomersialkan.

Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Tembakau di sini berkata, dia tidak menyangka, perniagaan yang dimulakan arwah ibunya, Halimah Salleh secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu berjaya diwarisinya sehingga kini.

Menurut Ab. Rahman, selepas 10 tahun menjalankan perniagaan kuih inang-inang, beliau kini boleh berbangga kerana kuih tradisional itu mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran tempatan.

Selain Melaka, kuih inang-inang buatannya yang dinamakan Inang-inang Bukit Tembakau turut dipasarkan di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Selain itu, ia turut dipasarkan di beberapa pasar raya besar seperti Tesco dan Jaya Jusco.

Menceritakan detik bagaimana beliau mula-mula menceburkan diri dalam bidang itu, pesara kerajaan ini berkata, semuanya kerana ingin memastikan kuih tradisional itu terus dinikmati dan diwarisi generasi masa depan.

”Sejak membantu arwah emak lagi, saya mula berfikir cara bagaimana untuk melebarkan lagi perniagaan kuih ini supaya ia terus dikenali dan digemari.

”Apatah lagi Melaka sebagai negeri pelancongan, tentu sekali akan memudahkan lagi usaha mempromosikan kuih inang-inang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, beliau bersyukur apabila usahanya itu membuahkan kejayaan setelah 10 tahun menceburi bidang perusahaan makanan tradisional itu.

”Saya beryukur apabila kini mampu menghasilkan sebanyak 150 bungkus inang-inang sehari berbanding dahulu sebanyak 30 bungkus sahaja.

”Dalam sebulan, iaitu selama 20 hari bekerja, saya mampu menghasilkan 3,000 bungkus inang-inang dan jumlah ini akan bertambah berdasarkan permintaan,” katanya.

Menurut Ab. Rahman, inang-inang buatannya itu dihasilkan dalam lima perasa berlainan iaitu perasa asli, udang, pulut hitam, bawang putih dan sagu.

”Setiap bungkus inang-inang pula dijual pada harga RM1.50 kepada pemborong yang kemudian menjual pada harga RM2.50 di pasaran,” katanya.

Tambah Ab. Rahman, selain memberi pendapatan, perniagaannya itu juga secara tidak langsung telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan di kalangan penduduk sekitar.

”Alhamdulillah, semakin hari, bilangan pekerja saya semakin bertambah,” katanya sambil menambah menggunakan khidmat sebanyak 10 orang pekerja ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pekerja yang lebih ramai diperlukan apabila mendapat permintaan tinggi seperti menjelang Hari Raya Aidilfitri, musim kenduri kahwin ataupun majlis-majlis keraian yang lain.

Bapa kepada 13 orang anak ini menambah, perusahaannya itu juga semakin berkembang apabila mendapat suntikan semangat dan modal daripada Jabatan Pertanian negeri.

”Empat tahun setelah memulakan perusahaan ini, pihak Jabatan Pertanian telah memberi peruntukan bernilai RM30,000 dengan membina sebuah tempat memproses bersebelahan rumah saya.

”Selain itu, mereka juga memantau perkembangan perniagaan saya termasuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar,” katanya.

Mengenai proses membuat inang-inang, Ab. Rahman berkata, pulut akan di basuh terlebih dahulu dan kemudian direndam semalaman.

”Pulut berkenaan kemudiannya dikukus dan kemudian diperap dengan bekas khas seterusnya dijemur selama seharian,” jelas beliau.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang ingin membuat tempahan kuih Inang-inang Bukit Tembakau untuk sebarang majlis boleh menghubungi Ab. Rahman di talian 06-2618810.

Kursus buat makanan sejuk beku

SEREMBAN 14 Mei – Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan (PPWNS) akan mengadakan kursus percuma membuat makanan sejuk beku di Kompleks Pertanian, Rembau bagi suri rumah berpendapatan rendah hujung bulan ini.

Pengarah PPWNS, Norhafiza Halim Faisal berkata, ia bertujuan memberi kemahiran kepada mereka mengenai penghasilan produk tersebut sekali gus membuka ruang untuk meningkatkan sumber pendapatan keluarga.

“Mereka diberi latihan tentang teknik membuat makanan sejuk beku seperti kuih-muih. Mereka juga dibekalkan mesin khas agar dapat mengusahakan perniagaan tersebut di rumah.

“Bukan itu saja dengan bantuan Jabatan Pertanian, kita juga akan memasarkan produk tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau menambah, pelbagai program lain turut dirancang dalam usaha membantu golongan tersebut meningkatkan pendapatan keluarga terutama ketika menghadapi ekonomi yang merudum hari ini.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya boleh menghubungi PPWNS di talian, 06-7632859.

Herba untuk masalah obesiti

Peneraju dan pengasas penggunaan sains moden dalam pembangunan produk herba, Himalaya Herbal Healthcare melancarkan inisiatif kesedaran kesihatan masyarakat.

Inisiatif Kempen Kesedaran Kesihatan Ayurslim bertujuan membantu menangani masalah kesihatan yang mengancam kebanyakan masyarakat seperti obesiti dan lebih berat badan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih satu bilion manusia seluruh dunia mengalami masalah berat badan dan jika ini berterusan kadar obesiti akan meningkat sehingga 1.5 bilion menjelang 2015.

Perkara yang sama berlaku di negara ini berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan.

Dalam tempoh tujuh tahun lalu, bilangan obesiti di negara ini meningkat dari 20 ke 39 peratus dan satu daripada setiap lima orang dewasa ditakrif sebagai obes dengan 7.9 peratus wanita manakala 4.7 peratus lelaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Embun Elit Sdn. Bhd., Pengedar Himalaya Herbal Healthcare, Marcel Gan berkata, obesiti telah mencapai tiga kali ganda dan jika tidak ditangani, ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain pula.

“Kami akan mengedarkan sebotol sampel Himalaya AyurSlim iaitu formula tradisional herba ayurvedic yang bertujuan membantu mengurangkan masalah berat badan pengguna,” katanya.

AyurSlim terdiri daripada kandungan herbal mengandungi lima bahan aktif untuk membantu mengurangkan masalah berat badan iaitu Garcinia Cambogia, Commiphora Wightii, Gymnema Sylvestre, Terminalia Chebula dan Trigonella Foenum-Graecum.

Marcel berkata untuk mendapatkan berat badan ideal, mereka juga perlu mengubah gaya hidup.

“Kempen Himalaya Ayurslim menyediakan maklumat kesihatan yang ringkas dan padat bagi memberikan kesan optimum,” katanya.

Marcel menambah, setiap individu perlu merenung kembali gaya hidup dan paras kesihatan masing-masing.

Gaya hidup dunia masa kini menjadikan manusia semakin sukar untuk hidup sihat.

“Kami berharap kempen ini akan memberikan sinar baru bagi mereka yang obes, berat badan berlebihan atau bentuk badan tidak sesuai untuk mula berubah ke arah lebih sihat,” katanya.

Kempen Kesedaran Kesihatan AyurSlim telah mula disiarkan di media cetak, elektronik, pameran perdagangan dan promosi.

Kempen berkenaan bermula di Pulau Pinang pada Januari lalu diikuti Sabah, Melaka dan Johor.

Ayurslim boleh didapati pada harga runcit RM44.90 sebotol 60 kapsul.

Bagi maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Himalaya customer care line di 03-79567012 atau layari www.himalayahealthcare.com

Teknik fertigasi semakin popular

Walaupun teknik tanaman secara fertigasi telah agak lama diketahui tetapi masih ramai petani yang belum lagi mencubanya dalam skala komersial.

Ramai yang mendakwa fertigasi memerlukan kos yang besar dan memerlukan penjagaan yang optimum.

Justeru Mega Utusan Malaysia dengan kerjasama Agro Bank dan Mayconsult akan mengadakan Seminar Sehari Usahawan Fertigasi pada 17 Mei ini.

Bengkel sehari akan diadakan di Auditorium Jurutera, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penceramahnya yang juga Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mahamud Shahid telah menjalankan penyelidikan mengenai sistem fertigasi iaitu pengeluaran tanaman tanpa tanah yang menggabungkan pengairan dan baja dalam satu sistem.

Biasanya sistem fertigasi diletakkan di bawah struktur pelindung tanaman bagi menjamin pengeluaran hasil tinggi dan berkualiti serta menjadi alternatif terhadap sistem konvensional.

Biasanya hanya beberapa jenis sayur-sayuran dan buah yang mempunyai nilai pasaran tinggi seperti cili merah, tomato, timun, zukini, terung, melon dan strawberi.

Tujuan asal fertigasi adalah untuk mengelakkan tanaman daripada jangkitan penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya bawaan tanah.

Walaupun ramai yang mengatakan kaedah fertigasi melibatkan kos yang tinggi tetapi sebenarnya kos permulaan dapat diatasi selepas satu musim selain mengurangkan penggunaan air dan baja.

Sementara itu penggunaan tenaga kerja yang minimum dengan penggunaan alat pengatur masa automatik mengurangkan kos.

Biasanya selepas satu pusingan, medium akan dirawat racun kulat sebelum digunakan semula pada pusingan akan datang.

Sehingga kini sejak fertigasi dimulakan terdapat ramai petani yang menggunakan teknik tersebut dalam tanaman mereka.

Fertigasi jika dilakukan dengan teliti dapat menjana pendapatan lumayan kepada petani.

Sejak akhir-akhir ini kajian yang dijalankan mendapati halia sesuai ditanam secara fertigasi kerana boleh ditanam di tempat yang sama tanpa risiko dijangkiti dengan penyakit akar.

Kini ramai pengusaha fertigasi semakin berjaya seperti Ammar Abdul Aziz dan Harun Ismail yang mengusahakan tanaman cili merah dan cili padi.

Walaupun berbeza latar belakang Ammar yang mempunyai ijazah sarjana dalam bidang ekonomi manakala Harun hanya pekerja kampung tetapi matlamat mereka sama untuk membangunkan pertanian.

Kini usaha mereka telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Minyak kelapa dara Sungai Besar

ag_03.1

Natharuddin berbangga dengan minyak kelapa dara yang dihasilkan sendiri.


Khasiat minyak kelapa dara sememangnya telah tersebar bukan saja di kawasan Asia tetapi ke seluruh dunia.

Kelapa dulunya sering dikaitkan dengan kolestrol kerana dibayangi pelbagai keburukan yang memudaratkan kesihatan.

Kini minyak kelapa dara menjadi rebutan kerana khasiatnya yang telah diiktiraf secara saintifik.

Meninjau potensi minyak kelapa dara yang boleh berkembang lebih jauh, Natharuddin Jamaluddin, 51, mengambil inisiatif mempelajari kaedah memproses minyak kelapa dara.

Beliau mula meminati minyak kelapa dara selepas melawat beberapa pameran pertanian berhampiran Sungai Besar, Selangor.

“Selepas itu saya mula mengikuti kursus kaedah menghasilkan minyak kelapa dara yang diadakan oleh Pusat Latihan Pertanian di Serdang, Selangor,” katanya semasa ditemui di Pusat Pemprosesan Minyak Kelapa Dara, Pejabat Pertanian Batu 39, Sungai Besar, Selangor.

Sementelah itu harga kelapa adalah rendah dan boleh didapati dengan banyak, menyebabkan beliau menjalankan usaha menghasilkan minyak kelapa dara sepenuh masa.

Bagaimanapun, perniagaan yang dijalankan sebaik tamat habis kursus itu menyebabkan Natharuddin mengalami kerugian.

“Ketika itu saya banyak membuat eksperimen dan belum lagi mahir dalam kaedah pemprosesan yang betul.

“Walaupun telah menjalani kursus, membuat sendiri memerlukan keazaman yang kuat untuk berjaya,” katanya.

Natharuddin berkata, bagi menghasilkan minyak kelapa dara memerlukan kelapa yang betul-betul tua atau telah gugur.

Menurutnya, apa saja jenis kelapa boleh digunakan asalkan sudah cukup matang atau tua.

Bagi menghasilkan satu liter minyak kelapa dara, Natharuddin memerlukan 10 hingga 20 biji kelapa.

Kelapa yang telah siap diparut akan diperah untuk diambil santannya dan ditambah air paip dengan nisbah 1:1.

Santan tadi akan ditambah dengan lapisan minyak kelapa dara dan disimpan selama lapan hingga 15 jam pada suhu bilik.

“Minyak kelapa dara yang diletakkan di atas lapisan santan tadi bertindak sebagai ‘umpan’ atau pemangkin dalam penghasilan minyak kelapa dara,” katanya.

Selepas 15 jam akan terdapat tiga lapisan dengan lapisan minyak kelapa dara di tengah-tengah.

Lapisan minyak tadi akan diasingkan dan ditapis menggunakan kertas turas atau tisu dengan kapas.

Selepas itu hasil turasan akan dibekukan bagi mengasingkan getah kelapa yang menyebabkan bau tengik.

Selepas minyak tadi cair, ia akan dituras dua kali lagi dengan menggunakan lapisan kapas lebih ketat yang mengambil masa lebih kurang lima hari.

“Biasanya proses menghasilkan minyak kelapa dara mengambil masa lebih kurang seminggu,” katanya.

Natharuddin berkata, secara purata beliau boleh memproses sehingga 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan 10 liter minyak kelapa dara bergantung kepada permintaan.

Mengenai pasaran, beliau menjalankan pemasaran secara kecil-kecilan dan menerusi ekspo dan pameran.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan minyak kelapa dara Natharuddin boleh menghubunginya di 019-2991347.

Kolej Komuniti Selayang tawar kursus pertanian

Program mengatasi kemiskinan melalui latihan kemahiran merupakan aspek penting dalam usaha penyusunan semula masyarakat.

Tanpa kemahiran yang cukup, kejayaan yang diperoleh jarang mencapai tahap maksimum dan tidak berdaya saing.

Menyedari hakikat berkenaan, Kolej Komuniti Selayang (KKS) akan mengadakan Kursus Keusahawanan Agro Komersial dan Projek Sara Diri bagi memberi peluang kepada bakal usahawan meneroka bidang pertanian dan akuakultur secara komersial mahupun skala kecil.

Pengarah KKS, Nik Zaleha Nik Manap berkata, latihan secara teori dan praktikal akan dijalankan secara berperingkat sepanjang Mei hingga Ogos 2009 dengan kerjasama syarikat penggerak aktiviti pertanian dan akuakultur, Prestasi Agro Farm.

“Pihak kami pernah menjalankan aktiviti sama tahun lalu dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan KKS mengambil keputusan untuk menganjurkan kursus yang sama tahun ini,” katanya.

Antara kursus yang ditawarkan adalah Teknik Pembenihan Ikan Keli secara Aruhan, Penanaman Cendawan Tiram, Tanaman Sayuran Kaedah Fertigasi, Penternakan Cacing dan Penanaman Serai Komersial.

Bidang kursus pertanian yang dipilih merupakan projek komersial yang mampu diusahakan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.

Nik Zaleha berkata, menternak ikan keli secara komersial lebih menguntungkan jika bakal penternak mahir melakukannya sendiri.

“Semasa kursus pembenihan ikan keli peserta bukan saja diajar mengenai teknik pembenihan aruhan tetapi diajar bagaimana menghasilkan makanan ikan dan kaedah ternakan tidak bergantung kepada palet,” katanya.

Bengkel latihan bagi Penanaman Cendawan dan Sayuran Fertigasi pula, kata Nik Zaleha amat sesuai diceburi oleh golongan wanita.

Cendawan dan sayuran organik yang menggunakan teknik fertigasi bukan saja berkhasiat tetapi mendapat permintaan tinggi sekitar Lembah Kelang.

Bagi tanaman cendawan, para peserta berpeluang mengetahui bagaimana penyediaan beg media, penyuntikan benih, penjagaan rumah cendawan, kawalan penyakit dan teknik pembungkusan tepat.

Selain itu peserta juga akan didedahkan dengan tanaman serai secara pertanian kontrak bagi tujuan komersial untuk tujuan perubatan dan farmaseutikal.

Siri latihan yang ditawarkan memberikan maklumat mengenai harga pasaran bagi sayuran yang mendapatkan sambutan di pasaran misalnya serai, cili dan kunyit.

Tenaga pengajar terdiri daripada usahawan berjaya dan pegawai dari agensi kerajaan yang berkaitan.

Bagi sesi latihan praktikal, peserta akan dibawa meninjau tapak pertanian dan penternakan sekitar Lembah Kelang dan Selangor.

Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai kursus yang dianjurkan boleh menghubungi Kolej Komuniti Selayang 03-61201267 atau 016-6606471 (Zarini) atau 019-3310855/016-3094950 (Azizi) atau layari www.kkSelayang.edu.my

Belia tani semakin ramai di Skill-Tech

BERTEPATAN dengan tema Hari Belia tahun ini iaitu Satu Malaysia: Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan, penglibatan generasi muda sebagai penyubur pembangunan pertanian negara merupakan sesuatu yang perlu disokong dan dikembangkan sepenuhnya.

Langkah-langkah dan dasar kerajaan kebelakangan ini sudah berjaya membuka dimensi baru generasi muda terhadap bidang pertanian.

Bersesuaian dengan tema Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan, kemasukan beramai-ramai golongan belia ke Institut Skill-Tech membuktikan bahawa mereka mempunyai wawasan yang jelas untuk menggerakkan sektor pertanian negara.

Sambutan yang tinggi adalah petanda bahawa belia sudah mengubah persepsi pertanian yang selama ini dianggap seolah-olah bidang yang tiada masa depan.

Lebih membanggakan, rata-rata pelatih menjadikan kerjaya usahawan tani sebagai pilihan utama sebaik sahaja tamat latihan.

Malah mereka mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa perniagaan pertanian dan industri asas tani adalah lubuk emas pada masa depan.

Pada hari ini, sudah ada ikon-ikon muda sebagai jutawan tani yang menyuntik semangat mereka.

Sebilangan pelatih juga penuh yakin bahawa mereka perlu menjadi tenaga kerja sektor pertanian yang terlatih.

Bagi merealisasikan harapan itu, sebahagian mereka berazam untuk meneruskan latihan peringkat tinggi dalam Diploma Kemahiran Malaysia (pertanian) yang akan diperkenalkan penghujung tahun ini.

Memang tidak dinafikan bahawa kejayaan sektor pertanian di Malaysia sangat bergantung kepada penglibatan generasi muda.

Merekalah penggerak kejayaan sektor pertanian negara. Pun begitu, kunci kejayaan hasrat tersebut bukan hanya berteraskan wawasan semata-mata tetapi perlu mengambil kira tahap kemahiran, keusahawanan dan kebijaksanaan berdepan dengan cabaran dan halangan.

Pada masa ini, kebetulan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar adalah juga pemimpin pertubuhan belia yang semestinya memahami kehendak belia untuk menyertai sektor pertanian.

Malah semasa menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi hingga April lalu, beliau telah menggalakkan penyertaan belia dalam pertanian melalui Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS Bumiputera.

Skim ini telah memberi peluang ramai belia menyertai kursus pertanian di Skill-Tech.

Penglibatan ramai belia di Skill-Tech memang dialu-alukan kerajaan Negeri Melaka. Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam yang sering menwar-warkan Melaka sebagai Negeri Belia sentiasa menyokong Skill-Tech dalam pelbagai aktiviti negeri terutama pembangunan belia.