![]() |
Pekerja Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi, Nadmah Saad, 23, (kanan) dan Rosliza Ramli, 28, sedang menyusun buah-buahan yang dihasilkan di taman itu untuk dijual kepada para pengunjung. – BERNAMA
|
LANGKAWI 12 Mei – Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi menjadi produk pelancongan yang baru di Langkawi bagi membolehkan pengunjung pulau bebas cukai itu menikmati hasil pertanian seperti buah-buahan, sayuran dan ulam-ulaman.
Pengurus taman itu, Hashim Mat berkata, selain memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian, taman seluas 27.39 hektar itu mempunyai lebih 20 jenis pokok buah-buahan bermusim seperti durian dan rambutan.
”Terdapat 3,750 pokok buah-buahan selain daripada tanaman sayur berbuah seperti melon dan cili serta tanaman hidroponik sayur yang berdaun dan ulam,” katanya di sini hari ini.
Taman di Lubuk Semilang, Ulu Melaka itu sebelum ini adalah sebuah stesen penyelidikan hortikultur yang dibuka pada tahun 1990 dan dibuka untuk perkhemahan awam.
Hashim berkata, sebanyak 23,995 pelawat telah berkunjung ke taman itu dan pihaknya menyasarkan 28,000 pelancong dari dalam dan luar negara akan mengunjungi taman itu tahun ini.
Menurut beliau, pelawat negara Eropah kebanyakannya berkunjung pada bulan Januari hingga Mei manakala negara Asia Barat mulai Jun hingga Ogos setiap tahun. – BERNAMA