Pikat anak muda bersawah

wu_01.1

WaNITA terpaksa membanting tulang mengerjakan sawah padi di kawasan MADA, Kedah kerana anak-anak muda tidak berminat lagi. – UTUSAN/hiasan


KEDAH diibaratkan nadi kepada penghasilan beras negara dengan menyumbang hampir 40 peratus kepada pengeluaran bahan makanan utama penduduk negara pada masa ini.Kawasan tanaman padi yang dipecahkan kepada empat wilayah di dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga kini dianggarkan seluas 96,558 hektar.

Bagaimanapun, majoriti daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam industri penanaman padi di negeri itu berusia 60 tahun ke atas.

Justeru, timbul pertanyaan apa yang akan terjadi kepada industri berkenaan jika ‘pak tani’ yang aktif tidak lagi mampu mengerjakan bendang mereka kerana faktor usia.

Ini kerana penyertaan golongan muda masih rendah sedangkan tenaga mereka amat dperlukan bagi memastikan kesinambungan pengeluaran padi negara.

Malah MADA sendiri mengakui masalah itu dan meletakkannya sebagai salah satu perkara utama yang perlu diatasi dalam rangka perancangan masa panjang lembaga tersebut.

Sedar atau tidak, usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara boleh terbantut jika masalah kekurangan golongan muda dalam industri tersebut dipandang ringan.

Ini kerana di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran beras negara, dianggarkan sekitar lima peratus sahaja golongan berkenaan terbabit dalam industri itu.

Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, Ahmad Radin berkata, berdasarkan statistik semasa, dianggarkan 70 peratus daripada kira-kira 48,700 peladang yang berdaftar dengan pertubuhan berkenaan di negeri ini berusia 60 tahun ke atas.

Kumpulan ini, katanya, mula mengusahakan sawah sebagai punca pendapatan sebelum MADA ditubuhkan lagi.

“Apabila MADA ditubuhkan pada 1970, kebanyakan mereka yang pada masa itu berusia dalam lingkungan 30-an kemudian menjadi petani tersebut dan kekal sehingga sekarang.

“Bagaimanapun kebanyakan anak-anak mereka tidak mewarisi pekerjaan tersebut menyebabkan mereka masih menjadi kumpulan majoriti mengusahakan sawah di dalam MADA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad berkata, selain petani yang berusia 60 tahun dan ke atas, dianggarkan sebanyak 25 peratus daripada mereka yang terlibat dalam industri padi di dalam MADA berusia antara 40 dan 60 tahun manakala selebihnya berusia 40 tahun ke bawah.

Golongan muda itu pula, kata beliau, bukan kesemuanya terlibat secara langsung mengusahakan sawah tetapi kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja seperti membawa jentera pembajak dan jentuai.

“Jika kita masih bergantung kepada tenaga pesawah yang telah lanjut usia, mungkin usaha untuk meningkatkan hasil padi negara sukar dicapai kerana mereka bakal berhenti menjadi pesawah suatu hari nanti.

“Justeru diharapkan lebih ramai golongan muda menyertai industri ini seperti menjadi anggota Kumpulan Peladang Muda (KPM) PPK selain mengharapkan transformasi pertanian dapat mengatasi masalah kebergantungan kepada penggunaan tenaga kerja yang ramai,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s