Tanam tebu raih pendapatan mewah

MUNGKIN tidak ramai yang tahu tanaman tebu boleh menjanjikan pendapatan lumayan kepada seorang peladang dengan keuntungan antara RM5,000 dan RM8,000 bagi keluasan tanah hanya 0.4 hektar.

Keuntungan peladang akan berlipat ganda menjelang bulan Ramadan apabila permintaan yang meningkat menyebabkan harga sebatang tebu melonjak dari RM1.20 sebatang kepada RM2.50 menjadikan keuntungan boleh mencecah sehingga RM20,000.

Seorang pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berkata sebaik-baiknya pemilik ladang mempunyai sekurang-kurangnya 1.6 hektar tanah yang membolehkan sebanyak 8,000 batang tebu ditanam. Ladang tebu itu akan mengeluarkan hasil selepas lapan bulan.

Selain untuk pasaran tempatan, Fama juga membantu peladang mencari pasaran luar negara kerana tebu kini mempunyai potensi tinggi untuk dieksport ke negara Asia Barat dan juga Singapura.

Air tebu dieksport

Pengarah Fama (Bijirin dan Herba) Abdul Rahman Abdul Rahim memberitahu Bernama bahawa Johor merupakan negeri yang aktif dengan aktiviti penanaman dan pemasaran produk yang berkaitan dengan tebu. “Di Batu Pahat sahaja kami ada 22.6 hektar dan Muar dengan keluasan 173 hektar ladang tebu. Peladang di sini ada yang inovatif dan berjaya menghasilkan minuman air tebu yang dibotolkan dan dieksport sehingga ke Singapura”, katanya.

Jumlah eksport tebu ke Singapura mencecah antara 200 dan 400 ikat sehari malahan pada tahun 2006, eksport tebu mencapai sehingga RM5.4 juta, kemudian meningkat kepada RM5.8 juta pada tahun 2007.

Fama juga telah membina sebuah Pusat Pengumpulan Tebu (PPT) yang berharga RM4.5 juta di Semerah, Batu Pahat untuk pasaran eksport ke Singapura kerana negara itu mempunyai syarat yang ketat berhubung soal kebersihan dan kualiti produk pertanian.

PPT adalah pusat eksport bagi tebu dengan fokusnya adalah kualiti produk pertanian itu. Ia juga bertindak sebagai agen pemangkin pertumbuhan dan pembangunan tanaman itu di negara ini.

Pusat ini yang dilengkapi dua bilik sejuk mempunyai kemudahan penyelidikan untuk meningkatkan lagi kualiti tebu untuk pasaran domestik dan luar negeri.

Pusat itu, yang pertama dibina di Malaysia, merupakan usaha Fama untuk membolehkan tebu Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan produk tebu yang berkualiti tinggi, kata Abdul Rahman.

Tebu dipotong dan dieksport

Bernama yang mengikuti rombongan Fama ke PPT tersebut mendapati syarikat Purecane Manufacturing Sdn Bhd mengeksport batang-batang tebu yang siap dipotong pendek ke dalam kotak untuk dihantar ke Singapura. Dalam satu perjanjian dengan Fama, Purecane bersetuju memasarkan tebu dari 79 peladang yang mengerjakan ladang kontrak di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Batang tebu yang telah dipotong pendek dimasukkan ke dalam kotak sebelum dihantar ke Singapura.

Menurut Abdul Rahman, 400 kotak yang mengandungi 5,000 batang tebu di eksport ke Singapura setiap hari. Nilainya adalah RM330,000 sebulan.

Dengan adanya PPT di Semerah, ia membolehkan peladang memproses tebu mereka untuk pasaran eksport secara sistematik dengan dipantau oleh agensi tersebut.

Kualiti diutamakan

Menurut Pengarah Pengurusan Purecane Manufacturing Sdn Bhd Loo Woe San, syarikatnya sudah pun menggunakan pusat itu sejak dibuka walaupun mempunyai kilang sendiri.

“Kami bagaimanapun yakin dengan wawasan Fama bahawa untuk mengeksport tebu, produk kita kena bersih dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dan Fama memastikan semua ini wujud di pusat ini”, katanya.

Selain daripada batang tebu, pengusaha menghasilkan produk tebu seperti minuman air tebu yang dijual dalam botol berharga RM1.10.

Katanya produk ini tidak dijual di tempat lain kerana masalah kesegaran air tebu yang hanya bertahan paling lama seminggu.

Beliau sendiri mengakui syarikatnya tidak mendapat bekalan tebu yang cukup dan terpaksa mendapatkan bekalan dari ladang-ladang tebu di negeri lain.

“Permintaan antarabangsa sangat tinggi. Ini disebabkan tebu Malaysia mempunyai kualiti yang sangat baik dan airnya lebih sedap”, katanya. BERNAMA

Petani disaran tanam halia, limau bali

KOTA KINABALU 11 Mei – Golongan petani di negeri ini digesa mengusahakan tanaman halia dan limau bali bagi memenuhi permintaan yang tinggi terhadap produk berkenaan di pasaran antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Yahya Hussin berkata, pengeluaran sedia ada tidak mampu menampung permintaan eksport dari Semenanjung, Brunei, Indonesia dan Belanda.

Katanya, adalah merugikan jika peluang besar untuk meningkatkan produktiviti itu tidak dimanfaatkan oleh petani negeri ini.

”Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan seperti insentif, baja, subsidi dan semua yang diperlukan khususnya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

”Jangan risau tentang pasaran kerana FAMA memberi jaminan tentang perkara ini. Apa yang perlu dilakukan ialah membangunkan tanaman tersebut dan menjaga kualitiinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kursus Induksi Modul Khusus dan Umum Kakitangan Baru FAMA Sabah dan Sarawak di Kampus Intan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz dan Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmood.

Yahya berkata, pada ketika ini, pengusaha tanaman halia kebanyakannya menanam tanaman tersebut di Tambunan manakala limau bali pula di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain tanaman tersebut, kulit kayu manis dan rumpai laut juga berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Mohamed Shariff memberitahu, Pusat Sehenti FAMA kini sedang dalam fasa akhir pembinaan berdekatan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), dekat sini.

Menurutnya, pusat tersebut dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini dan akan beroperasi sebagai tempat pembungkusan dan pemasaran produk FAMA dari negeri ini.

Jus tebu telur ke Singapura

RAMLI Ahmad memikul seikat tebu telur yang baru ditebang di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian, Jelebu, baru-baru ini.


JELEBU 11 Mei – Mungkin ramai yang tidak tahu tanaman tebu telur yang diusahakan di sekitar kawasan Simpang Durian dekat sini menjadi pilihan utama sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor untuk dibotol serta dipasarkan sebagai jus di Singapura.

Kadar kemanisan tinggi, warna hijau keemasan serta aroma harum air yang dihasilkan merupakan antara faktor utama tebu telur dari kawasan tersebut mendapat permintaan tinggi.

Faktor persekitaran yang sangat sesuai seperti iklim panas berpanjangan serta tanah liat berpasir di kawasan itu menyumbang kepada kualiti tinggi jus tebu telur yang dihasilkan.

Seorang pengusaha tanaman tersebut, Ramli Ahmad, 38, berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri banyak memberi bantuan dari segi memasarkan air tebu telur keluaran ladangnya untuk dieksport ke Singapura.

Katanya, permintaan tinggi terhadap air tebu telur dari Simpang Durian di negara jiran itu sememangnya satu kejayaan yang boleh dibanggakan.

”Saya sangat gembira bila mengetahui FAMA negeri membekalkan tebu telur yang diusahakan di ladang saya kepada pengilang jus tebu untuk dieksport ke Singapura,” ujar Ramli ketika ditemui di ladangnya di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru-baru ini.

Beliau menambah, ladang yang diusahakan dengan bantuan dua pekerja itu mengeluarkan 500 ikat tebu telur sebulan khusus untuk dibekalkan kepada FAMA.

Secara purata, beliau memperoleh kira-kira RM10,000 setiap musim hasil jualan tebu telur keluaran ladang seluas 4.8 hektar yang disewa daripada penduduk setempat sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, dia merancang untuk menambah keluasan ladang tebu sebanyak 2.4 hektar lagi menjelang pertengahan tahun ini bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

”Bagi memastikan kualiti tebu terjamin, saya mengambil langkah-langkah kawalan penyakit seperti semburan racun makhluk perosak mengikut jadual yang ditetapkan.

”Di samping itu, Pejabat Pertanian Simpang Durian banyak memberi khidmat nasihat berhubung kaedah-kaedah penanaman serta penjagaan tanaman,” katanya.

Menurut Ramli lagi, kegiatan menanam tebu telur merupakan sumber pendapatan utama kepada keluarganya menjangkaui dua generasi.

Beliau memberitahu, bapanya, Ahmad Bidin, banyak memberi tunjuk ajar tentang ilmu yang diperlukan bagi menghasilkan tebu telur berkualiti tinggi.

”Kini, anak sulung saya, Mohd. Firdaus, 5, rajin menemani saya ke ladang. Dia turut membantu sekadar yang terdaya mengikut kemampuannya sebagai seorang kanak-kanak.

”Saya berharap Mohd. Firdaus akan mewarisi ilmu menanam tebu dan mengambil alih pengurusan serta memajukan ladang tebu telur yang sedang diusahakan ini apabila dia dewasa,” ujarnya.

Sementara itu, Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki, 32, berkata, Ramli merupakan salah seorang daripada 20 pengusaha ladang kontrak di kawasan berkenaan yang menghasilkan tebu telur khusus untuk dipasarkan oleh FAMA.

Katanya, secara keseluruhan, keluasan ladang kontrak tanaman tebu telur di sekitar kawasan tersebut adalah sebanyak 50 hektar dan FAMA Simpang Durian berhasrat menambah hingga 10 lagi pengusaha baru menjelang penghujung tahun ini.

Jelebu pengeluar utama tebu telur

JELEBU 11 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengenal pasti daerah ini sebagai pusat pengeluaran utama tebu telur di negeri ini.

Timbalan Pengarahnya, Sokri Mohd. Nor, berkata, secara keseluruhannya nilai jualan tebu telur yang dipasarkan FAMA negeri adalah sebanyak RM475,000 setiap tahun.

Katanya, kira-kira 90 peratus hasil tebu telur yang dipasarkan FAMA negeri ditanam di sekitar daerah ini.

”Kualiti tinggi tebu telur yang ditanam di daerah ini menyebabkan ia menjadi pilihan sebuah syarikat pengilang air tebu di Johor yang mengeksport produk keluarannya ke Singapura,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang tanaman tebu telur Ramli Ahmad di Kampung Sungai Buluh, Simpang Durian dekat sini baru- baru ini.

Hadir sama Pegawai Pengembangan Cawangan Kualiti dan Standard FAMA, Abdul Rahim Abdul Ghani dan Pembantu Ehwal Ekonomi FAMA Simpang Durian, Nor Effindi Liki.

”Selain pasaran dalam negara dan Singapura, FAMA berhasrat memperluas pasaran jus tebu telur ke negara-negara lain terutamanya di rantau Timur Tengah.

”Kuantiti tebu telur yang diperlukan oleh pengilang akan meningkat sebaik sahaja pasaran-pasaran baru dibuka,” jelas beliau.

Sehubungan itu, ujarnya, FAMA negeri memerlukan lebih ramai pengusaha ladang kontrak khusus untuk membekalkan tebu telur berkualiti tinggi.

Sokri berkata, keutamaan akan diberi kepada pengusaha-pengusaha tanaman berkenaan yang beroperasi di sekitar daerah ini dan mereka boleh menghubungi FAMA negeri di talian 06-7635797 atau 06-7638959 serta laman web http://www.fama.gov.my untuk maklumat lanjut.

Pikat anak muda bersawah

wu_01.1

WaNITA terpaksa membanting tulang mengerjakan sawah padi di kawasan MADA, Kedah kerana anak-anak muda tidak berminat lagi. – UTUSAN/hiasan


KEDAH diibaratkan nadi kepada penghasilan beras negara dengan menyumbang hampir 40 peratus kepada pengeluaran bahan makanan utama penduduk negara pada masa ini.Kawasan tanaman padi yang dipecahkan kepada empat wilayah di dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga kini dianggarkan seluas 96,558 hektar.

Bagaimanapun, majoriti daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam industri penanaman padi di negeri itu berusia 60 tahun ke atas.

Justeru, timbul pertanyaan apa yang akan terjadi kepada industri berkenaan jika ‘pak tani’ yang aktif tidak lagi mampu mengerjakan bendang mereka kerana faktor usia.

Ini kerana penyertaan golongan muda masih rendah sedangkan tenaga mereka amat dperlukan bagi memastikan kesinambungan pengeluaran padi negara.

Malah MADA sendiri mengakui masalah itu dan meletakkannya sebagai salah satu perkara utama yang perlu diatasi dalam rangka perancangan masa panjang lembaga tersebut.

Sedar atau tidak, usaha untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara boleh terbantut jika masalah kekurangan golongan muda dalam industri tersebut dipandang ringan.

Ini kerana di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang menjadi penyumbang besar kepada pengeluaran beras negara, dianggarkan sekitar lima peratus sahaja golongan berkenaan terbabit dalam industri itu.

Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA, Ahmad Radin berkata, berdasarkan statistik semasa, dianggarkan 70 peratus daripada kira-kira 48,700 peladang yang berdaftar dengan pertubuhan berkenaan di negeri ini berusia 60 tahun ke atas.

Kumpulan ini, katanya, mula mengusahakan sawah sebagai punca pendapatan sebelum MADA ditubuhkan lagi.

“Apabila MADA ditubuhkan pada 1970, kebanyakan mereka yang pada masa itu berusia dalam lingkungan 30-an kemudian menjadi petani tersebut dan kekal sehingga sekarang.

“Bagaimanapun kebanyakan anak-anak mereka tidak mewarisi pekerjaan tersebut menyebabkan mereka masih menjadi kumpulan majoriti mengusahakan sawah di dalam MADA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad berkata, selain petani yang berusia 60 tahun dan ke atas, dianggarkan sebanyak 25 peratus daripada mereka yang terlibat dalam industri padi di dalam MADA berusia antara 40 dan 60 tahun manakala selebihnya berusia 40 tahun ke bawah.

Golongan muda itu pula, kata beliau, bukan kesemuanya terlibat secara langsung mengusahakan sawah tetapi kepada bahagian-bahagian tertentu sahaja seperti membawa jentera pembajak dan jentuai.

“Jika kita masih bergantung kepada tenaga pesawah yang telah lanjut usia, mungkin usaha untuk meningkatkan hasil padi negara sukar dicapai kerana mereka bakal berhenti menjadi pesawah suatu hari nanti.

“Justeru diharapkan lebih ramai golongan muda menyertai industri ini seperti menjadi anggota Kumpulan Peladang Muda (KPM) PPK selain mengharapkan transformasi pertanian dapat mengatasi masalah kebergantungan kepada penggunaan tenaga kerja yang ramai,” katanya.

Fertigasi bawa keuntungan

ag_01.1

Sebahagian daripada kebun Harun Ismail yang menggunakan teknik fertigasi.


Hari ini sektor penanaman menjadi semakin penting kerana ia menjadi penyumbang kepada bekalan makanan. Oleh itu, sektor tanaman seperti sayur-sayuran perlu diberi wajah baru dengan suntikan teknologi untuk meningkatkan hasil, lebih selamat dan meminimumkan penggunaan tenaga buruh,.

Satu daripda teknologi terbaru yang dibawa masuk ke negara ini ialah fertigasi yang ramai makin mengetahuinya sebagai gabungan sistem pengairan dan pembajaan secara serentak tanpa menggunakan tanah.

Fertigasi diperkenalkan dari negara Jepun dan kini semakin popular di Malaysia, menggunakan struktur pelindung dan digunakan di kebanyakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Selain dilaksanakan oleh usahawan atau syarikat, individu juga semakin tertarik untuk memanfaatkan sistem atau teknologi ini untuk pelbagai jenis tanaman sayuran buah seperti timun, cili dan rock melon.

Salah seorang pengusaha yang tidak mahu ketinggalan mencuba sistem tersebut ialah Harun Ismail. Selepas melihat salah seorang rakannya berjaya menanam cili menggunakan kaedah fertigasi, Harun Ismail, 52, mula menunjukkan minat berjinak-jinak dengan teknologi berkenaan.

Kata orang menyaksikan sendiri sesuatu projek berjaya memudahkan kita mempercayainya, yang membawa Harun berjinak-jinak dengan sistem tersebut.

Atas nasihat kawannya, Harun mula mencari dan mengumpulkan bahan-bahan mentah untuk menghasilkan media bagi tanaman cilinya.

“Di sini bahan mentah untuk media tanaman mudah didapati seperti sabut kelapa dan sekam padi,” katanya semasa ditemui di kebun cilinya di Jalan Ibrahim, Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Selangor.

Mengambil masa dua bulan beliau mendalami ilmu teknologi tanaman cili secara fertigasi daripada sahabatnya sebelum memulakan usahanya sendiri.

“Kawan saya banyak memberikan galakan dan menjadi mentor selama saya menjalankan tanaman fertigasi,” katanya yang mendapatkan bekalan benih di pekan Sungai Besar.

Menyangkal pendapat sesetengah golongan yang mendakwa kos menjalankan tanaman fertigasi adalah tinggi, kata Harun, kosnya tidaklah tinggi jika kita tahu di mana mendapatkan bahan mentah untuk media.

Bagi menambahkan sumber pendapatan seharian, selain mengusahakan tanaman fertigasi, Harun juga menjalankan usaha menjual polibeg media tanaman bagi pengusaha yang baru memulakan aktiviti fertigasi.

Walaupun baru dua bulan bergiat cergas dalam aktiviti fertigasi, Harun sudah boleh mengeluarkan 1,000 polibeg lengkap sebulan.

“Buat masa ini permintaan bagi polibeg media tanaman fertigasi amat menggalakkan daripada pengusaha yang baru memulakan aktiviti pertanian,” katanya.

Kini kawasannya seluas 150 kaki x 120 kaki menempatkan 1,000 buah polibeg dan dijangka mengeluarkan hasil dalam masa sebulan lagi.

“Tanaman cili secara fertigasi lebih mudah kerana saya masih boleh menguruskan kebun pisang dan menjalankan kerja lain,” katanya.

Melihat kepada teknik fertigasi yang mudah diselenggarakan, Harun bercadang untuk membesarkan lagi keluasan kebun cilinya.

Taman agro teknologi jadi produk pelancongan baru Langkawi

wu_05.1

Pekerja Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi, Nadmah Saad, 23, (kanan) dan Rosliza Ramli, 28, sedang menyusun buah-buahan yang dihasilkan di taman itu untuk dijual kepada para pengunjung. – BERNAMA


LANGKAWI 12 Mei – Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi menjadi produk pelancongan yang baru di Langkawi bagi membolehkan pengunjung pulau bebas cukai itu menikmati hasil pertanian seperti buah-buahan, sayuran dan ulam-ulaman.

Pengurus taman itu, Hashim Mat berkata, selain memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian, taman seluas 27.39 hektar itu mempunyai lebih 20 jenis pokok buah-buahan bermusim seperti durian dan rambutan.

”Terdapat 3,750 pokok buah-buahan selain daripada tanaman sayur berbuah seperti melon dan cili serta tanaman hidroponik sayur yang berdaun dan ulam,” katanya di sini hari ini.

Taman di Lubuk Semilang, Ulu Melaka itu sebelum ini adalah sebuah stesen penyelidikan hortikultur yang dibuka pada tahun 1990 dan dibuka untuk perkhemahan awam.

Hashim berkata, sebanyak 23,995 pelawat telah berkunjung ke taman itu dan pihaknya menyasarkan 28,000 pelancong dari dalam dan luar negara akan mengunjungi taman itu tahun ini.

Menurut beliau, pelawat negara Eropah kebanyakannya berkunjung pada bulan Januari hingga Mei manakala negara Asia Barat mulai Jun hingga Ogos setiap tahun. – BERNAMA