KANGAR 7 Mei – Penduduk di Perlis digalakkan menanam pokok mempelam harumanis di halaman rumah masing-masing bagi menambah pengeluaran ‘raja’ mempelam yang masih kurang di pasaran.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (gambar) berkata, setiap rumah digalakkan menanam sekurang-kurangnya 10 pokok harumanis yang kini mendapat permintaan luar biasa dalam dan luar negara.
Katanya, penanaman pokok harumanis di halaman rumah secara tidak langsung dapat memberikan pulangan lumayan kepada penduduk di samping penjagaannya yang lebih mudah kerana berada berdekatan rumah.
”Memang terdapat kekurangan pengeluaran dan bekalan harumanis ‘terputus’ buat sementara apabila raja buah ini mendapat permintaan yang menggalakkan daripada peminatnya di seluruh negara.
”Disebabkan Perlis satu-satunya negeri yang sesuai ditanam harumanis, masyarakat di sini perlu mengambil peluang yang ada ini untuk menambah pendapatan dengan menanamnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Mempromosikan harumanis dan mempelam sala bersama pelancong di Hotel Putra Palace di sini.
Harumanis dijual dengan harga RM8 bagi gred A, RM7 bagi gred B dan RM6 bagi gred C bagi setiap kilogram. Di pinggir-pinggir jalan ia dijual antara RM7 hingga RM12 sekilogram.
Md. Isa berkata, beliau sedih dengan perbuatan pihak tertentu yang sanggup mencemarkan produk harumanis Perlis apabila memasarkan buah yang kurang berkualiti kepada pelanggan.
”Tindakan ini bukan sahaja memalukan petani, Jabatan Pertanian tetapi turut mencemarkan nama negeri Perlis yang menjadi satu-satunya pengeluar harumanis di negara ini.
”Kita mendapat laporan ada pembeli harumanis yang berasa tertipu apabila buah yang dibeli daripada peniaga di tepi-tepi jalan dengan harga yang tinggi, rosak dan tidak berkualiti,” ujarnya.
Terima kasih. Baca juga laman ini
http://aburedza.wordpress.com/2009/05/04/harumanis-mahal/