Musim harumanis tiba lagi

wu_0111

Ladang mempelam harumanis milik Jabatan Pertanian Perlis di Pusat Pertanian Bukit Bintang, Kangar merupakan ladang harumanis terbesar di Malaysia. – UTUSAN/Faizal Abu Hassan


KANGAR 3 Mei – Penggemar mempelam harumanis kini boleh menikmati kelazatan buah tersebut apabila ia mula dipetik di kebanyakan ladang di negeri ini termasuk di pusat penanaman utamanya di Pusat Pertanian Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat.

Produk kebanggaan Perlis itu, sering dinanti kerana kelazatannya mampu menyaingi buah mangga dari negara jiran.

Malah harumanis dari Perlis juga sudah berjaya menembusi pasaran di Jepun walaupun dijual dengan harga RM100 sekilogram.

Tahun ini, petugas Jabatan Pertanian di pusat tersebut dikerah ‘turun padang’ lebih awal kerana cuaca panas yang panjang telah merangsang pokok harumanis mengeluarkan hasil matang lebih awal berbanding lazimnya Mei hingga Jun.

Pengarah Pertanian Perlis, Abdul Razak Shafiai ketika ditemui baru-baru ini, kelihatan begitu gembira dengan produk harumanis yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Bukit Bintang itu.

Beliau gembira bukan kerana ladang jabatan tersebut mengeluarkan buah yang lebat, tetapi ladang persendirian di seluruh Perlis juga akan memberikan pulangan lumayan kepada para pemiliknya.

”Ladang tersebut dijangka mengeluarkan 120 tan harumanis bernilai RM720,000 pada tahun ini,” katanya.

Sehingga 20 April lalu, katanya, ladang berskala besar itu sudah mengeluarkan 17 tan buah harumanis atau kira-kira 50,000 biji buah yang sudah dituai.

”Kini kami menuai baki kira-kira 100 tan lagi, ini bermakna ladang berkenaan boleh mengeluarkan hasil 120 tan pada tahun ini.

”Kali ini ia melonjak tinggi berbanding cuma 60 tan pada tahun lalu,” ujarnya.

Jabatan itu kini memiliki ladang harumanis terbesar di Malaysia iaitu di atas kawasan seluas 64.6 hektar.

Di Pusat Pertanian Bukit Bintang itu, harumanis dijual RM8 sekilogram bagi gred A iaitu yang saiznya antara 450-650 gram sebiji, RM7 bagi gred B (350-450 gram) dan RM6 bagi gred C (bawah 350 gram).

Perluas ternakan secara sistematik

HULU TERENGGANU 3 Mei – Kerajaan Terengganu yakin ternakan ayam serama mampu menjadi salah satu industri ternakan baru di negeri ini sekiranya ia diusahakan secara sistematik.

Ini kerana serama boleh dijual dengan harga antara RM1,000 hingga RM80,000 seekor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya yakin usaha itu bakal menjadi kenyataan kerana bidang ternakan itu sudah diceburi oleh segelintir rakyat di negeri ini sejak 10 tahun lalu.

Katanya, menternak ayam serama mampu mengaut pendapatan lumayan kerana ada sesetengah kes seekor serama boleh dijual antara RM1,000 hingga RM80,000 seekor.

”Yang penting bidang ini seharusnya digalakkan secara lebih meluas dan penternakan pula secara sistematik,” katanya semasa berucap pada majlis penutup pertandingan Raja Serama Tasek Kenyir, di Pengkalan Gawi, Tasek Kenyir di sini baru-baru ini.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah dan Presiden Kelab Keluarga Ketengah, Mohd. Rosli Ngah.

Mengulas lanjut Rozi berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Ketengah bersetuju untuk menganjurkan pertandingan Ayam Serama peringkat negara-negara ASEAN di tasik tersebut pada 1 Mei tahun depan.

Katanya, pertandingan itu bukan sahaja menggalakkan industri pelancongan malah mempopularkan ayam serama sebagai satu industri asas tani negeri yang kian berkembang.

Ayam serama yang ingin dipopularkan itu dikatakan berasal dari Kelantan.

Ayam Serama itu adalah hasil daripada kacukan baka itu dengan beberapa ekor burung eksotik seperti burung hutan, bantam dan juga merpati dan ayam kerdil Thai.

Kecantikan fizikal ayam itu telah menawan pelbagai lapisan masyarakat.

Selain menghiburkan hati pemiliknya, ia juga sangat mudah dan murah untuk dipelihara. Sering dikatakan bahawa ayam serama tidak dapat dinilai dengan wang.

Ada kisah yang menceritakan bahawa terdapat seorang penggemar yang menolak tawaran untuk menjual ayam miliknya itu walaupun diberi cek kosong.

Anak ayam dari baka juara boleh dijual pada harga RM1,000 hingga RM2,000 seekor manakala anak ayam yang dewasa antara RM2,000 dan RM10,000.

Harga pasaran bagi ayam bergelar juara pula antara RM10,000 dan RM80,000.