ALOR SETAR 1 Mei – Agensi-agensi pertanian diminta supaya membantu penduduk meningkatkan hasil penanaman mangga masing-masing dan memasarkannya berikutan permintaan yang tinggi terhadap hasil pertanian dari negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, hasil pertanian khususnya daripada penanaman mangga dan ternakan ikan dari Kedah kini mendapat sambutan menggalakkan di luar negara terutama di Asia Barat.
”Saya minta Jabatan Pertanian Negeri Kedah dan Kedah Agro Sdn. Bhd. supaya memberi perhatian serius untuk membantu penduduk terutama dalam penjagaan tanaman masing-masing,” kata beliau.
Beliau berkata dalam sidang media selepas melancarkan Klon Mangga Sala di Pusat Pengumpulan Mangga Sala, Kota Sarang Semut, di sini, semalam. Turut bersama di majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Ismail Salleh.
Menurut Azizan, antara langkah diambil ialah meluaskan tapak semaian mangga bagi membantu Jabatan Pertanian Negeri Kedah mengeluarkan lebih banyak produk pertanian.
”Dua tiga tempat dikenalpasti untuk tujuan ini, antaranya di Kuala Muda tetapi kerajaan negeri sedia membantu jabatan berkenaan di mana sahaja asalkan matlamat tercapai.
”Langkah tersebut juga bagi membantu hasrat menjadikan Kedah sebagai ‘Belanda Timur’ tercapai,” tambah beliau.
Azizan menjelaskan, ramai penduduk di Kedah terlibat dalam bidang pertanian, antaranya mempunyai tanaman mangga di setiap rumah tetapi masih memerlukan khidmat nasihat daripada agensi terlibat terutama Jabatan Pertanian.
”Kerajaan negeri berharap jabatan berkenaan memberikan khidmat nasihat kepada penduduk mengenai teknik penjagaan atau pemuliharaan pokok mangga dan kaedah untuk memasarkannya,” kata beliau.
Selain itu, kata beliau, hasil penanaman mangga boleh dijadikan produk lain seperti penghasilan kerepek supaya ia dapat dipelbagaikan.
”Ini kerana mangga tidak boleh disimpan terlalu lama, ia cepat ranum dan daripada terbuang, kita boleh cari kaedah lain untuk menghasilkan sesuatu daripadanya,” kata beliau.