Usahawan digalak terokai bidang baru

MELAKA 30 April – Usahawan bumiputera perlu lebih kreatif dan mengelak daripada melakukan perniagaan yang sama sebaliknya menceburi bidang perniagaan yang jarang diterokai.

Golongan tersebut juga disaran supaya tidak terlalu bergantung dan mengharapkan kepada projek yang ditawarkan kerajaan semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usahawan perlu membuka minda mereka agar lebih kreatif bagi mewujudkan peluang lain yang mampu menjana pendapatan.

Menurut beliau, hari ini terdapat banyak bidang lain yang boleh diterokai antaranya dalam sektor pelancongan, pertanian dan industri pembuatan.

“Kita mahu usahawan-usahawan ini menerokai bidang baru di samping mempelbagaikan keupayaan mereka dalam bidang sedia ada.

“Kalau boleh, janganlah hanya mengharapkan peluang kerja-kerja kelas F semata-mata dan cubalah untuk mendapat lebih daripada itu,” katanya pada majlis perasmian Mahkota Guest House Melaka di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Mara negeri, Azhar Abdul Manaf dan Pengurus Besar Pusat Khidmat Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Lugiman Abu Seman.

Saranan Md. Yunos itu turut disampaikan kepada 42 usahawan Mara dalam pelbagai bidang termasuk penternak puyuh, pusat kecantikan dan restoran yang mengikuti program berkongsi kejayaan di rumah tumpangan tersebut.

Sementara itu, Pengasas Mahkota Guest House Melaka, Nur Sahar Osman, 30, berkata, rumah tumpangannya yang telah beroperasi hampir dua tahun itu menawarkan kemudahan sebanyak 45 buah bilik serta sebuah dewan seminar dan kafeteria.

“Alhamdullillah, berkat kesabaran selama ini, Mahkota Guest House Melaka yang sebelum ini dikenali sebagai Mahkota Guest House kini semakin dikenali di kalangan pelancong dari dalam dan luar negara,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau tempahan mengenai Mahkota Guest House Melaka boleh menghubungi Sahar di nombor 012-3395941 atau 06-2862735.

Ecer terus bergerak pantas

ek_021

ISSACE JOHN


TIDAK dinafikan Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias krisis ekonomi global. Menurut Bank Dunia, ekonomi negara akan menguncup 1.0 peratus ketika pertumbuhan ekonomi negara-negara di Asia Timur juga akan perlahan dengan berlakunya penurunan permintaan eksport negara-negara maju.

Tetapi, di sebalik kelembapan ekonomi global dan penguncupan ekonomi Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilihat terus rancak dengan pelaksanaan pelan pembangunannya.

Hakikat itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan ECER, Datuk Issace John kepada wartawan Utusan Malaysia, SARAH NADLIM ROHIM. Issace John bertanggungjawab memastikan wilayah berkenaan yang mewakili 51 peratus Semenanjung Malaysia dimajukan dengan lebih baik dan berkesan. Dalam wawancara itu, beliau memperkatakan tentang perkembangan ECER dan perancangannya untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan dalam keadaan ekonomi mencabar ini.

Negeri-negeri ECER adalah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor. ECER menyasarkan 227 projek termasuk pelancongan, pertanian, pembuatan, minyak dan gas serta pendidikan bagi tempoh 12 tahun akan datang dengan pelaburan bernilai RM112 bilion.

Berikut adalah temubual itu:

UTUSAN: Apakah perkembangan ECER sejak penubuhan Majlis Pembangunan ECER pada Jun tahun lalu?

ISSACE JOHN: Sejumlah 107 projek telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), 48 dimulakan pada 2008. Manakala 29 projek akan bermula pada pertengahan tahun ini, manakala 22 projek lagi akan bermula sebelum akhir tahun ini. Baki lapan projek terakhir akan dilaksanakan pada awal tahun depan. Apabila mula dilaksanakan menjelang 2020, projek- projek ini dijangka akan menjana 560,000 pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dalam ECER sebanyak RM7,650.

ECER telah memperuntukkan dana di bawah pelan rangsangan untuk menyediakan latihan semula kepada penganggur dan mereka yang dibuang kerja ekoran terkena kesan kelembapan ekonomi global. Ia akan dilaksanakan pada Mei tahun ini. Kami akan membangunkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenalpasti dan membantu perniagaan kecil yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

Apakah lagi usaha yang dilakukan?

Majlis Pembangunan ECER atau ECERDC telah menggerakkan pembangunan industri halal melalui perjanjian dengan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) untuk memulakan kesemua projek di bawah tiga Pusat Kecemerlangan UDM, termasuk Pusat Serantau bagi Produk Halal, Pusat Bioteknologi dan Produk Herba serta Pusat Kerjasama Industri dan Akademik.

Perjanjian itu membantu ECER membentuk persaingan dalam industri halal melalui pembangunan pusat serantau untuk produk halal, bioteknologi dan produk herba.

ECER yang kaya dengan pelbagai hidupan (biodiversity) dan mempunyai perubatan herba tradisional yang berkualiti tinggi, disasar mengeluarkan 625,000 tan herba menjelang 2020, meningkat lima kali ganda berbanding pada tahun 2005.

Pelbagai aktiviti dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup lebih 22,500 nelayan, termasuk menaik taraf peralatan menangkap ikan dan sokongan infrastruktur serta pembangunan keusahawanan yang dijangka dilaksanakan pada bulan ini.

Bagi membantu golongan wanita, program Pejabat Kecil di Rumah (SOHO) akan menumpukan kepada wanita atau suri rumah yang tidak boleh keluar bekerja tetapi mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Pada tahun ini, kira-kira 100 peserta dijangka mendapat manfaat daripada program SOHO untuk meningkatkan pendapatan mereka sehingga RM1,500 sebulan. Projek ini juga akan disediakan dengan sokongan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kami juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk mengendalikan seminar dan latihan menyokong program kerajaan sedia ada bagi menggalakkan penyertaan bumiputera.

Inisiatif yang disediakan pada tahun ini termasuk kerjasama dengan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) untuk memperkenalkan program pembangunan francais terutama bagi kumpulan sasaran iaitu siswazah, belia dan wanita. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 200 francaisi dalam ECER menjelang 2010.

Setakat ini, berapa banyak pelaburan yang telah diterima ECER?

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

Pekasam Mohd. Ali istimewa

wu_011

IKAN-ikan air tawar dibersihkan dahulu sebelum diproses secara tradisional untuk dijadikan pekasam bagi menjamin keenakan rasanya.


SIK 1 Mei – Jika ke Kampung Jelutong, di sini, kunjungan anda mungkin tidak lengkap tanpa membawa pulang ‘buah tangan’ istimewa yang dihasilkan oleh penduduk- penduduknya.

Antara menarik perhatian ialah pekasam Mohd. Ali Ahmad yang dibuat secara tradisonal tetapi sedap untuk dimakan walaupun penghasilannya agak berbeza daripada pekasam-pekasam keluaran lain dengan menggunakan jenama Klasik.

Menurut pemilik Dalif Enterprise berusia 41 tahun itu, produknya dihasilkan mengikut resepi asal pekasam tanpa menokok tambah bahan-bahan lain bagi menjamin kualiti dan supaya ia kelihatan segar dan sedap.

”Saya cuma gunakan ikan air tawar, beras dan garam sebagaimana tertera pada pek pekasam keluaran saya…Itu sahaja,” katanya yang mengusahakan pekasam di sebuah bengkel di depan rumahnya di kampung berkenaan.

Menurutnya, pelbagai jenis ikan air tawar dijadikan pekasam olehnya tetapi yang sering mendapat perhatian ialah lampam, pucuk pisang dan terubo kerana lebih mudah didapati di pasaran.

Mohd. Ali menjelaskan, dia mendapat bekalan ikan air tawar daripada orang kampung termasuk pengusaha kolam ternakan ikan di kampung berkenaan dan kawasan berhampirannya.

”Penghasilan pekasam ini dijalankan secara sepenuh masa dengan bantuan daripada kaum keluarga terdekat.

”Pembuatan pekasam telah lama saya lakukan, pada tahun 2000 iaitu di rumah saya tetapi pada 2006 saya buat di premis khas yang dibina kerana ia agak selesa disebabkan mempunyai ruang lebih luas.

”Ia bermula dengan sedikit-sedikit, modal agak kecil dalam lingkungan RM1,000 bagi pembelian ikan dan pembinaan premis berkenaan,” katanya.

Kata Mohd. Ali, kejayaan diperolehnya adalah hasil bantuan agensi tertentu terutama Jabatan Perikanan yang memberi pinjaman RM30,000 selain mendapat kerjasama daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Menurut Mohd. Ali, dia menjual pekasam dengan harga RM3 bagi setiap pek mengandungi 220 gram ikan dan kini bukan sahaja dikenali di Kedah, malah di seluruh negara menerusi pengunjung yang pernah melawat di kampung berkenaan.

”Memang belum ada promosi tetapi kebetulan ramai orang luar berkunjung ke kampung ini iaitu salah sebuah kampung contoh di Kedah, jadi mereka singgah membeli pekasam saya untuk dibawa pulang dan dihebahkan kepada orang lain.

”Malah, pekasam saya pernah diletakkan di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang baru-baru ini,” katanya.

Mohd. Ali menjelaskan, dia kini merancang untuk membesarkan lagi perniagaannya termasuk menambah sebuah lagi bangunan berhampiran premis sedia ada.

”Sekarang cuma ada premis ‘kering’ serta sebuah premis ‘basah’ akan dibina khusus untuk kerja-kerja memproses ikan sebelum ia dipek dan sudah tentu pekasam dapat dikeluarkan dalam kuantiti lebih banyak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menempah pekasam Mohd. Ali atau menjalankan urus niaga, boleh menghubunginya menerusi talian 019-5028134.

Bantu tingkatkan tanaman mangga

ALOR SETAR 1 Mei – Agensi-agensi pertanian diminta supaya membantu penduduk meningkatkan hasil penanaman mangga masing-masing dan memasarkannya berikutan permintaan yang tinggi terhadap hasil pertanian dari negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, hasil pertanian khususnya daripada penanaman mangga dan ternakan ikan dari Kedah kini mendapat sambutan menggalakkan di luar negara terutama di Asia Barat.

”Saya minta Jabatan Pertanian Negeri Kedah dan Kedah Agro Sdn. Bhd. supaya memberi perhatian serius untuk membantu penduduk terutama dalam penjagaan tanaman masing-masing,” kata beliau.

Beliau berkata dalam sidang media selepas melancarkan Klon Mangga Sala di Pusat Pengumpulan Mangga Sala, Kota Sarang Semut, di sini, semalam. Turut bersama di majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Ismail Salleh.

Menurut Azizan, antara langkah diambil ialah meluaskan tapak semaian mangga bagi membantu Jabatan Pertanian Negeri Kedah mengeluarkan lebih banyak produk pertanian.

”Dua tiga tempat dikenalpasti untuk tujuan ini, antaranya di Kuala Muda tetapi kerajaan negeri sedia membantu jabatan berkenaan di mana sahaja asalkan matlamat tercapai.

”Langkah tersebut juga bagi membantu hasrat menjadikan Kedah sebagai ‘Belanda Timur’ tercapai,” tambah beliau.

Azizan menjelaskan, ramai penduduk di Kedah terlibat dalam bidang pertanian, antaranya mempunyai tanaman mangga di setiap rumah tetapi masih memerlukan khidmat nasihat daripada agensi terlibat terutama Jabatan Pertanian.

”Kerajaan negeri berharap jabatan berkenaan memberikan khidmat nasihat kepada penduduk mengenai teknik penjagaan atau pemuliharaan pokok mangga dan kaedah untuk memasarkannya,” kata beliau.

Selain itu, kata beliau, hasil penanaman mangga boleh dijadikan produk lain seperti penghasilan kerepek supaya ia dapat dipelbagaikan.

”Ini kerana mangga tidak boleh disimpan terlalu lama, ia cepat ranum dan daripada terbuang, kita boleh cari kaedah lain untuk menghasilkan sesuatu daripadanya,” kata beliau.

Guna kaedah EM

wu_031

DR. Wan Kamil Wan Nik (dua kiri) dan Law Choo Kiang (dua kanan) melawat sebuah kandang pemeliharaan khinzir di Perkampungan Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.


NIBONG TEBAL 1 Mei – Semua penternak babi di Pulau Pinang digesa menggunakan Effective Microorganism (EM) bagi membantu meningkatkan tahap kebersihan di ladang ternakan mereka.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang, Dr. Wan Kamil Wan Nik berkata, kaedah itu yang melibatkan penggunaan gabungan mikro organisma dalam penternakan terbukti berjaya mewujudkan sistem saliran yang bersih selain meningkatkan daya tahan ternakan daripada serangan penyakit.

“Kaedah EM terbukti berkesan dalam usaha meningkatkan kebersihan ladang haiwan ternakan, bukan sahaja babi tetapi juga haiwan-haiwan lain seperti ayam, lembu dan kambing.

“Dalam aspek pengurusan ladang babi, kita harap lebih banyak penggunaan kaedah EM dibuat bagi menangani serangan penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang ke sebuah ladang ternakan babi di Perkampungan Valdor di sini semalam.

Sementara itu, Choo Kiang memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 pada tahun ini dalam usaha menggalakkan pengusaha ladang ternakan haiwan termasuk babi, ayam, lembu dan kambing menggunakan kaedah EM di ladang ternakan mereka.

Menurutnya, sejak Januari hingga April lalu, terdapat kira-kira 40 penternak telah dibantu terutamanya daripada aspek penyediaan peralatan dan bahan-bahan untuk melaksanakan kaedah EM.

“Kita telah menyediakan bantuan RM1,000 bagi setiap penternak haiwan iaitu penyediaan tong plastik dan bahan-bahan bagi menghasilkan EM termasuklah gula merah.”

“Penggunaan EM ini bukan sahaja dapat meningkatkan kebersihan ladang ternakan, tetapi juga menghilangkan bau busuk kandang selain tidak mengotorkan sistem saliran air dari ladang,” katanya.