10 Ciri Usahawan Berjaya

Jika ditanya siapa ingin berjaya dan tentunya semua orang inginkan kejayaan. Apakah itu kejayaan? Memiliki rumah dan kereta yang mewah? Mempunyai simpanan yang banyak? Atau mempunyai anak yang ramai?

Mungkin ada yang berkata bila sudah tamat belajar di universiti dan mendapat pekerjaan yang baik, sudah dianggapnya sebagai kejayaan. Ada juga yang sudah mempunyai segalanyanya tetapi masih menganggap belum mencapai kejayaan. Kenapa pula? Kerana kejayaan bergantung kepada matlamat seseorang. Kejayaan adalah pencapaian didalam sesuatu matlamat atau objektif seseorang.

Untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan dan memperolehi kejayaan , anda memerlukan daya minda seorang jutawan. Mnda jutawan adalah minda usahawan berjaya. Disini saya kongsikan 10 ciri yang boleh anda diterapkan untuk menjadi usahawan berjaya;

1. Suka bertanya soalan yang membina – Dalam mengatur langkah menuju kejayaan, kita perlu selalu bertanya kepada mentor atau guru anda sekiranya ada perkara yang tidak faham atau tidak pasti. Dengan bertanya, sifat menganggap sentiasa betul akan lupus. Anda akan dapat yang terbaik!

2. Fokus kepada apa yang mereka inginkan – Untuk berjaya dalam perniagaan, anda perlu fokus kepada perkara-perkara yang pelanggan anda inginkan. Fokus kepada permintaan bukan pengeluaran.

3. Tindakan yang berkesan/mantap (massive action) – Bersungguh-sungguh ketika melakukan sesuatu perniagaan dengan tindakan yang mantap bukan sambil lewa atau melakukan dengan bersahaja.

4. Keinginan yang memuncak – Sentiasa melakukan sesuatu aktiviti dengan penuh semangat dan harapan yang kental tanpa mudah mengalah dengan perasaan jemu.

5. Enjoy dalam segala aktiviti anda – Lakukan aktiviti anda dengan tanpa tekanan dan gangguan emosi. Pastikan anda minat dan enjoy dengan apa yang lakukan tanpa paksaan.

6. Imej profesional – Jadi seorang yang pakar didalam bidang anda dan sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.

7. Bertanggungjawab – Anda harus mempunyai sikap tanggungjawab yang tinngi didalam segala urusan perniagaan anda. Terutama kepada para pelanggan anda.

8. Sentiasa ingin belajar – Walau siapa anda sekali pun anda harus terus belajar samaada mendalami bidang yang sedang diceburi atau bidang yang lain. Anda harus memiliki sikap ini.. ini sikap jutawan!

9. Bertutur dari hati – Lagi satu sikap yang anda perlu untuk berjaya. Setiap pertuturan anda harus lah ikhlas dan jujur. Cakap dengan hati bukan cakap dalam hati ok.

10. Tunjukkan standard anda – Untuk pencapaian yang berterusan dan sentiasa maju kehadapan, anda harus kawal imej dan tatatertib anda dengan kesemua pelanggan anda.

Teknologi simpan sperma kekalkan khazanah ikan

KUALA KLAWANG: Spesies ikan air tawar tempatan seperti temoleh dan kelah yang hampir pupus kini dapat diselamatkan hasil kejayaan Pusat Perikanan Air Tawar di Glami Lemi dekat sini, yang memajukan teknologi menyimpan sperma ikan untuk tempoh jangka panjang.

Teknologi yang dinamakan pengkrioawetan sperma membolehkan sperma ikan disimpan di bawah suhu lampau sejuk dalam cecair nitrogen (-196 Celsius) dan sel sperma terpelihara walaupun didedahkan kepada suhu melebihi 0 Celsius.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd Karim, berkata kejayaan itu memastikan khazanah ikan negara seperti temoleh yang kini sukar didapati bukan saja diselamatkan, tetapi dibiak semula secara besar-besaran dalam tempoh antara satu hingga dua tahun lagi.

Katanya, sebanyak 10,000 benih temoleh hasil penyelidikan institut itu akan diedarkan ke seluruh negara untuk dibiak secara besar-besaran.

“Penemuan teknologi ini adalah kejayaan besar kerana memastikan khazanah ikan air tawar yang amat berharga terpelihara kerana membolehkan sperma spesies ikan yang disimpan bertahan hingga bila-bila.

“Setakat ini, tumpuan program itu adalah terhadap spesies ikan air tawar terancam seperti temoleh dan kelah,” katanya selepas mewakili Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, merasmikan Bank Sperma Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, di sini, baru-baru ini.

Rohani mencadangkan program itu diperluaskan kepada spesies ikan laut seperti terubuk yang suatu ketika dulu boleh didapati di Semenanjung Malaysia, tetapi kini pupus sepenuhnya.

Penyelidikan teknologi pengkrioawetan sperma dijalankan oleh pegawai penyelidik pusat itu, Zulkafli Abd Rashid dan Chew Poh Ching mulai Januari 2007. Menjelang Disember tahun itu, kadar pembenihan sperma hanya kira-kira lima peratus dan kemudian meningkat kepada 33 peratus akhir tahun lalu.

Bunga putih jadi buruan

mainpix11
Tangkai bunga berbentuk nanas dan bunga putih nampak eksotik.

Setawar Putih dianggap hiasan wajib laman konsep nusantara

SEKALI pandang, rupa pokok ini sama seperti spesies Zingirber yang kini menjadi pilihan ramai dalam seni hiasan laman.

Namun, Costus Speciosus atau lebih dikenali sebagai Setawar Putih adalah dalam sub famili costoideae dan sejak kebelakangan ini mendapat perhatian dan diburu ramai sebagai pokok hias laman kerana mempunyai bunga yang cantik.

Uniknya, jika tidak berbunga pun, pokok ini nampak seperti berbunga kerana tangkai bunganya (bract ) berwarna merah dan cantik. Ada yang menggelarkan tangkai bunganya seperti bentuk buah nanas. Selepas bunganya layu, tangkai bunga itu akan kekal di tempatnya untuk beberapa minggu. Bunga Setawar Putih berwarna putih dan biasanya pokoknya boleh mencapai ketinggian antara satu hingga tiga meter. Pokok ini biasa dijumpai di dalam hutan kerana ia dikategori sebagai tumbuhan liar.

Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, banyak nurseri menjualnya kerana permintaan daripada orang ramai. Dipercayai bunganya yang cantik memikat pencinta alam memilihnya menghiasi laman kediaman masing-masing.

Satu yang menarik mengenai Setawar Putih ia mempunyai rizom yang menyerupai rizom halia. Cara pembiakannya juga sama dengan tumbuhan lain dalam famili halia iaitu biji benih dan pecahan rizom.

mainpix22

Apa yang menarik mengenai tumbuhan ini ialah daunnya yang tersusun dalam bentuk spiral manakala bunganya berwarna putih dan kelihatan seolah-olah kertas crepe yang biasa digunakan untuk dijadikan bunga. Maka, ramai yang menggelarkan tumbuhan ini sebagai crepe ginger.

Batang Costus lembut dan ada ruas seperti buluh dan biasanya batang itu boleh membentuk lingkaran bertingkat-tingkat. Pokok ini sesuai ditanam di sebelah tiang pegola atau pancang kayu kerana ia nampak lebih cantik apabila ia mula melingkari.

Terkini, pokok ini seakan menjadi hiasan wajib bagi laman berkonsepkan nusantara dan tropika. Malah, dalam laman berkonsep Bali, tumbuhan ini juga menjadi pelengkap landskap lembut.

Pokok ini sangat mudah tumbuh, namun memerlukan cahaya matahari yang sederhana sesuai dengan tempat asalnya kawasan tropika. Bererti tanah yang sedikit lembap memudahkan tumbesarannya.

mainpix31
Daun hijau muda costus sesuai untuk landskap lembut.

Selain seni hias landskap, Costus sangat berguna dalam perubatan yang mana rizom setawar putih dijadikan penawar untuk penyakit seperti kusta, kecacingan, penyakit kulit, demam, asma, bronkitis, anaemia dan sembelit.

Ia juga dijadikan ubat untuk merawat luka terbakar, malah dijadikan ubat menghilangkan rasa loya, pening dan muntah. Malah, masyarakat Sunda di Indonesia percaya Setawar putih dapat meningkatkan tenaga batin lelaki.

FAKTA: Setawar Putih

  • Dipercayai dijumpai di Pulau Sunda, Indonesia,
  • Costus juga dijumpai di pulau-pulau di Kepulauan Pasifik seperti Fiji, Tonga, Kepulauan Islands dan Hawaii.
  • Salah satu spesies Costus dikenali sebagai Costus spectabilis menjadi bunga rasmi Nigeria
  • Nama lain bagi Costus adalah isebsab (Palauan), keukand (Hindi), pakarmula (Gujarati), pushkarmula (Marathi and Sanskrit), and kostam (Tamil).
  • Nama Tempatan: Setawar Putih
  • Nama Saintifik: Costus speciosus
  • Nama Lain: White costus, lemba batu,spiral ginger,white spiral ginger,kok hing, crepe gingerFamili: zingerberaceae.
  • Lokasi dijumpai: Liar dan ditanam sebagai tumbuhan hiasan di taman.
  • Perintis ladang kontrak

    wu_0113

    MOHD. Mokhtar Ismail (dua kanan) bersama pegawainya melawat ladang di Taman Kekal Pengeluaran Pertanian Makanan (TKPM) Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.


    TASEK GELUGOR 21 April – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini muncul sebagai perintis program ladang kontrak yang bakal menyaksikan kapasiti pengeluaran hasil taninya mencecah 18,000 tan sebulan.

    Program hasil kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu bakal melonjakkan potensi taman itu sebagai antara penyumbang hasil tani terutamanya di utara Semenanjung.

    Perkembangan itu dilihat sebagai pencetus revolusi baru dalam sektor pertanian di Pulau Pinang walaupun Pulau Mutiara dikenali antara negeri yang mempunyai keluasan tanah pertanian yang cukup terhad.

    Ia adalah sejajar dengan tumpuan kerajaan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh membantu menjadikan sektor pertanian sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi negara.

    Malah, sejak mula beroperasi pada tahun 2006, TKPM Ara Kuda berjaya menyediakan asas kukuh dalam melahirkan generasi petani muda yang mempunyai kesungguhan tinggi dengan menjadikan pertanian sebagai pekerjaan.

    Justeru, program ladang kontrak yang bakal dilaksanakan di taman itu menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan pendapatan petani melalui pengeluaran hasil tani secara berkala dan bersistematik.

    Pengarah Pertanian negeri, Abdul Nasir Hassan berkata, melalui program itu, sembilan peserta TKPM Ara Kuda akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 600 kilogram hasil tani sayur-sayuran setiap hari.

    ”Ini adalah sebahagian daripada strategi FAMA untuk melebarkan peluang pasaran petani bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di seluruh negara.

    “Dengan cara ini, peserta bukan sahaja mendapat jaminan pasaran tetapi pada masa sama mengukuhkan hubungan dengan entiti pasaran mereka,” katanya pada majlis lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail ke TKPM Ara Kuda baru-baru ini.

    Turut sama dalam lawatan itu, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Roseley Khalid.

    Abdul Nasir berkata, buat permulaan, hanya sembilan peserta dipilih untuk menyertai program tersebut dan jumlah itu akan ditambah jika permintaan pasaran meningkat pada masa depan.

    Program ladang kontrak itu menumpukan kepada tiga tanaman iaitu kangkung, sawi serta bayam dan para peserta bertanggungjawab untuk menghasilkan jumlah hasil tani yang dipersetujui dalam perjanjian itu.

    ”Dengan kapasiti (pengeluaran) yang tinggi ini, keluasan tanah di TKPM akan dimanfaatkan sepenuhnya dan kita harap variasi tanaman dapat ditingkatkan pada masa depan,” jelasnya.

    Sementara itu, Pengurus TKPM Ara Kuda, Zamri Ahmad berkata, para peserta yang menyertai program itu memikul tanggungjawab besar bagi memastikan mereka mematuhi peraturan kontrak.

    ”Jadi, mereka perlu sentiasa bekerja keras bukan sahaja untuk pastikan mereka berjaya menghasilkan kuantiti yang ditetapkan, tetapi hasilnya juga mesti berkualiti,” katanya.

    Harumanis boleh ditempah melalui telefon

    Penggemar mangga harumanis di seluruh negara kini boleh menikmati keenakan buah itu kerana mereka boleh membuat tempahan melalui telefon daripada Jabatan Pertanian Perlis.

    Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Sabry Ahmad berkata, cara itu diwujudkan bagi membolehkan penggemar harumanis yang datang dari luar membelinya pada masa ditetapkan tanpa perlu menunggu lama.

    Katanya, sebelum ini ada pembeli yang datang dari luar terpaksa pulang dengan tangan kosong atau menunggu lama apabila stok buah mempelam yang dipetik tidak mencukupi pada hari berkenaan.

    ”Melalui cara ini penggemar ‘raja mempelam’ itu hanya perlu memberikan tarikh pengambilan dan pihak Jabatan Pertanian negeri akan menyimpan stok sehingga pembeli datang mengikut masa yang dipersetujui.

    ”Disebabkan harumanis mendapat permintaan yang tinggi dalam dan luar negara, ia perlu ditempah lebih awal untuk menggelak kehabisan stok,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Jualan Mempelam Harumanis 2009 di Pusat Pertanian Bukit Bintang di sini.

    Sabry memberitahu, pihak Jabatan Pertanian Perlis mungkin akan membuat penghantaran sekiranya pembeli menempah dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa.

    ”Harganya masih dikekalkan seperti tahun sebelumnya iaitu bagi gred A, RM8 bagi setiap kilogram (kg), gred RM7 setiap kg dan gred C dijual dengan harga RM6 setiap kg.

    ”Tiga kotak khas disediakan bagi pilihan pembeli iaitu kotak seberat tiga kg, enam kg dan 10 kg,” katanya.

    Beliau memberitahu, tempahan atau pertanyaan boleh dilakukan melalui Jabatan Pertanian Perlis di talian 04-9768901.

    Noor Aini usahawan roti

    wu_0112

    ANTARA roti dan kek beraneka jenis yang diusahakan oleh Noor Aini Abdullah di sekitar Pekan Sik Kedah.


    SIK 23 April – Mungkin ramai tidak sanggup melepaskan jawatan bergaji tetap, apatah lagi ketika berada di kampung halaman sendiri semata-mata untuk menjalankan perniagaan khususnya pada zaman kemelesetan ekonomi.

    Perkara ini bagaimanapun berbeza dengan seorang bekas lepasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Noor Aini Abdullah, 28, dari Kampung Sungai Semiar, Jeneri, di sini, yang sanggup meninggalkan jawatan berstatus pengurus untuk menghadapi cabaran lebih besar iaitu membuka kedai roti dan kek.

    Pemegang Ijazah Bio-Teknologi itu berkata, sebelum ini, dia pernah memegang jawatan pengurus akaun di sebuah koperasi di bandar ini sebelum menyertai sebuah yayasan sebagai pengurus projek tetapi kemudiannya beralih ke bidang perniagaan pada 2007.

    Menurut Noor Aini, dia tidak menyesal meninggalkan jawatan berkedudukan tinggi itu kerana selain menyahut seruan kerajaan untuk menambah jumlah usahawan di kalangan bumiputera, bidang perniagaan diceburinya ternyata membuahkan hasil cukup memberangsangkan.

    Menyewa sebuah kedai kecil di Stesen Bas Sik, Noor Aini menjalankan operasi kedai roti dan kek atas jenama Srikanis yang ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

    ”Saya memulakan perniagaan dengan modal RM15,000 termasuk membeli ketuhar, mesin pengadun dan sebagainya dengan mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).

    ”Saya belajar membuat roti dan kek daripada rakan-rakan sewaktu di Unimas dan mengikuti kursus di Kolej Komuniti di sini, ditambah dengan kreativiti sendiri untuk mencuba sesuatu resepi,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

    Dengan dibantu dua pekerja, Noor Aini memberitahu, dia bukan sekadar menjual produk keluarannya itu di gerai tersebut, malah menjadi pembekal tetap roti daging dan pizza di sekolah-sekolah sekitar daerah Sik, Baling dan Sungai Petani dan Yan.

    ”Syukur kerana setakat ini saya menerima tempahan roti daging dan pizza untuk sekolah-sekolah sebanyak 1,000 biji sehari.

    ”Produk keluaran saya khususnya roti daging cukup disukai tetapi bagi menjaga kualiti, saya mengeluarkannya mengikut tempahan kerana ia tidak boleh disimpan lama,” tambahnya yang mendapat galakan daripada suami, Noor Azman Othman.

    Selain itu, kata Noor Aini, dia menjual biskut dan kuih tradisional seperti baulu dan sebagainya.

    ”Sambutan baik, selain roti daging dan pizza, biskut, kuih tradisonal dan kek menarik minat ramai mengikut musim.

    ”Contohnya, pada musim cuti sekolah, saya menerima banyak tempahan kek untuk majlis-majlis perkahwinan yang diadakan pada ketika itu,” katanya.

    Noor Aini berkata, keluaran kedainya itu dijual pada harga berpatutan mengikut jenis iaitu dari serendah 80 sen hingga RM1.50 untuk roti dan RM15 hingga RM70 untuk kek.

    ”Cadangan saya tentulah untuk membesarkan perniagaan dan saya akan tingkatkan lagi usaha bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.

    Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghubungi Noor Aini menerusi talian 019-5932049.

    Pakar bidang IT terjun ke kolam ternakan

    ag_0114

    Ikan keli yang diternak oleh syarikat Dimensi Rebana sentiasa mendapat permintaan.


    Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

    Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

    ”Saya sudah bosan,” katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

    Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

    Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

    Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

    Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

    Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

    Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

    Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

    Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

    Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

    ”Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, ” katanya.

    Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

    Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

    Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

    Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

    Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

    Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

    Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

    Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

    Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

    Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

    Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

    Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

    Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

    Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

    Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

    Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

    Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

    Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

    ”Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,”ujarnya.

    Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

    Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

    Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

    ”Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan,” ujar Hanafiah.

    Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

    Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

    Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan.

    Syarikat tersebut boleh dihubungi di talian 03- 77833111 ( pejabat jualan di 53, PJS 1/48, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya) atau emel : puntius@streamyx.com atau layari http://dimensirebana.blogspot.com atau http://oxymarmoratus.blogspot.com. Mereka juga boleh datang terus ke pusat pembenihan di Kg. Bukit Kecil, Jalan Sg Pasir-Batu LIntang, Sg Petani Selatan.

    Teknologi pemakanan untuk ternakan keli

    ag_0212

    ikan keli diberikan makanan tambahan seperti lebihan roti dan nasi yang telah ditambah dengan probiotik bagi meningkatkan tumbesaran.


    Bidang pertanian kini semakin menarik perhatian golongan profesional yang mendapati pertanian boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan.

    Seorang pengamal undang-undang, Mohammad Hifdzi Hamzah yang mempunyai firma guamannya sendiri telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu.

    “Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam,” katanya semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.

    Sebagai seorang peguam, beliau sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian bagi meningkatkan lagi bidang pertanian.

    Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.

    Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian.

    Walaupun sibuk dengan kerjaya dan pertanian, Mohammad Hifdzi berkata, dalam dunia yang canggih, seseorang memerlukan beberapa kemahiran dan boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa.

    “Itulah yang saya amalkan selama ini,” katanya. Justeru pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan pro asli.

    Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu

    lKos makanan palet yang terlalu tinggi dan membebankan

    lTumbesaran ikan keli yang lambat dan tak sekata

    lKualiti ikan keli tidak asli

    Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau pro asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.

    Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.

    Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.

    Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.

    “Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali,” katanya.

    Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.

    Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian.

    “Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari,” katanya.

    Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.

    Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.

    “Penternak hanya perlu memantau kolam ternakannya seminggu sekali dan pengredan hanya dilakukan pada peringkat awal.

    “Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE,” katanya.

    Mohammad Hifdzi berkata, produk yang diciptanya bagi memberikan peluang kepada penternak mendapatkan keuntungan maksimum walaupun harga ikan tidak meningkat.

    Produk ini juga bakal memberikan nafas baru kepada usahawan tani atau penternak yang telah putus asa disebabkan kos makanan terlalu tinggi.

    “Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan.

    “Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri,” katanya.

    Justeru, Mohammad Hifdzi berkata, pihaknya percaya magic grow merupakan salah satu projek dalam konsep Bumi Hijau yang boleh dijalankan oleh sesiapa saja.

    Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga.

    Buat masa ini jelas Hifdzi berkata, konsep ini lebih berpusat di Lembah Kelang tetapi beliau bercadang untuk memperkenalkan magic grow ke seluruh negara.

    “Saya percaya program ini dapat menambah unsur positif kepada penternak selain menambah pendapatan.

    “Ini merupakan suatu peluang yang baik lebih-lebih lagi semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya. Hifdzi menambah, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat Perintis Dagang Sdn. Bhd. untuk memasarkan Pro-Asli atau Kit Pro-Asli.

    Pro Asli disasarkan bagi penternak baru manakala Kit Pro Asli pula bagi penternak sedia ada.

    Ditanya mengenai perbezaan antara makanan organik, keli makan tanah, protein keli dan Pro Asli, Hifdzi berkata, Pro Asli merupakan satu kaedah makanan baru di negara ini tetapi telah lama digunakan di negara jiran, Thailand.

    “Di sana mereka memberikan campuran tanah liat, tahi lembu kering, tanah hitam dan baja cacing sebelum ditambah ke dalam air.

    “Ini dapat memastikan ikan mendapat makanan dan terus hidup tanpa makanan lain dan tidak mengambil kira jangka masa tuaian komersial 75 hingga 100 hari,” katanya.

    Bagaimanapun magic grow telah melangkah lebih jauh kerana bukan saja membuat makanan asli tetapi mengambil kira faktor tumbesaran yang menepati standard komersial.

    Selain itu pengurusan kualiti air dan najis ikan, vitamin untuk tumbesaran dan antibodi, memperbaiki kualiti dan mutu ikan ke arah standard super organik iaitu 100 peratus makanan asli, bersih dan berteknologi tinggi pada harga yang rendah.

    Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi.

    Selain magic grow, Hifdzi telah menghasilkan empat produk lain:

    lSistem akuakultur kitar semula (RAS) dan gabungan tujuh unsur alam.

    lRawatan kolam takungan dan pelupusan sampah menggunakan rawatan 100 peratus organik dan mesra alam.

    lRawatan sisa makanan menjadi baja organik.

    lTernakan cacing bioteknologi.

    Ternakan cacing hasilkan baja

    Kegawatan ekonomi menyebabkan kebanyakan kos input pertanian seperti baja dan racun serangga semakin meningkat.

    Sudah tentu ini memberikan kesan kepada usahawan tani yang amat memerlukannya bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian masing-masing.

    Justeru seorang usahawan tani, Mohd. Nasir Zainudin, 50, mencari alternatif lain bagi menghasilkan baja sendiri.

    Beliau yang mempunyai ladang kelapa sawit dan pisang di Sabak Bernam dan Bagan Datoh, Perak memerlukan sekurang-kurangnya 50 tan baja semusim untuk ladangnya.

    “Saya melihat ternakan cacing sesuai kerana boleh menghasilkan baja menggunakan bahan sisa pertanian,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Jalan Haji Karim, Kampung Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

    Baru memulakan ternakan cacing selama beberapa bulan, Mohd. Nasir membeli cacing daripada pembekal di tempatnya.

    Bermula dengan 30 petak dengan saiz 6 kaki x 5 kaki dan belum lagi menuai hasil, Mohd. Nasir telah menambah 10 lagi petak menjadikannya 40 petak.

    “Buat masa ini saya baru menggunakan baja cacing untuk ladang kelapa sawit tetapi masih belum melihat hasilnya.

    “Bagaimanapun dengan menghasilkan sendiri baja saya boleh mengurangkan kos,” katanya yang akan menggunakan baja untuk kegunaan sendiri.

    Ujarnya, satu petak ternakan memerlukan kira-kira 2,000 ekor cacing.

    Bagaimanapun selepas tiga hingga empat bulan setiap petak akan mempunyai antara 8,000 hingga 10,000 ekor cacing.

    “Cacing ini perlu perlu dialihkan ke petak-petak lain untuk memproses baja,” katanya.

    Di dalam petak berkenaan, usahawan ini meletakkan tahi kambing dan sabut kelapa sebagai media.

    “Menternak cacing agak mudah kerana selepas meletakkan media, kita hanya perlu menyembur air seminggu sekali.

    “Ini bagi memastikan kawasan petak tidak kering dan boleh mengakibatkan cacing mati,” katanya.

    Beliau juga mengumpulkan air cacing yang terhasil daripada proses penghasilan baja untuk dijadikan baja.

    Bagi menghasilkan baja beliau membeli tahi kambing dan sabut kelapa daripada pengusaha di Perak dan Selangor.

    Bagaimanapun tahi kambing yang dibeli perlu dikuarantin atau diperam dan disiram dengan air selama lebih kurang seminggu sebelum diletakkan pada petak cacing.

    Ini bagi mengurangkan bau dan memberikan persekitaran yang selesa bagi cacing.

    Mohd. Nasir berkata, jika eksperimennya berjaya, beliau tidak akan teragak-agak menggunakan baja cacing untuk semua tanaman di ladangnya.