Bengkel Usahawan Bersama Mega anjuran Utusan Malaysia diteruskan

dn_111

ABDUL Shukor Abdul Jabbar (duduk empat dari kiri) bergambar bersama peserta pada Majlis Pengenalan dan Perasmian Bengkel Usahawan Fertigasi Bersama Mega, Utusan Malaysia dan Agro Bank Siri Ke-5 di Institut Pembangunan, Agro Bank, Bangi, Selangor, semalam.


KUALA LUMPUR 19 April – Siri Bengkel Usahawan Bersama Mega anjuran Utusan Malaysia melibatkan penanaman cendawan, ternakan ikan keli dan kambing akan diteruskan tahun ini bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Utusan Melayu (M) Berhad, Yusnita Moslin berkata, mulai tahun ini juga bengkel berkenaan menawarkan teknologi fertigasi untuk pokok cili.

”Teknologi ini menggunakan sistem pengairan baja dan air serentak untuk pokok cili.

”Beberapa siri bengkel tersebut telah diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Yusnita, bengkel anjuran Utusan Malaysia itu mendapat penajaan Agro Bank selain kerjasama strategik dengan perunding pertanian tempatan iaitu May Consult.

Utusan Malaysia juga mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Usahawan Kambing dari 24 hingga 27 April ini di Ladang Syamille Farm Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak.

”Sementara itu, Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar (ketutu/haruan) akan diadakan dari 25 hingga 27 April 2009 di Hotel Sri Malaysia, Sungai Petani dan latihan amali akan diadakan di Kampung Bukit Kecil, Sungai Petani, Kedah,” katanya.

Jelas Yusnita, peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM150 termasuk penginapan, makan dan minum.

Utusan Malaysia juga mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan kepada semua yang ingin menyertai bengkel fertigasi melalui penganjuran Seminar Sehari Usahawan Fertigasi yang dijangka akan diadakan pada 2 Mei 2009 di Serdang Selangor.

”Peserta akan didedahkan dengan pelbagai informasi dan teori-teori asas berkaitan fertigasi dengan bayaran penyertaan sebanyak RM100 termasuk makan dan minum sepanjang bengkel berlangsung,” kata beliau.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh dibuat dengan menghubungi urus setia bengkel di talian 03-89259042/43/44/45 (Sarah/ Sharifah) atau 013-5101901 (Abdul Hamid) atau 012-3558510 (Dino) atau 03-92877777 sambungan 259 (Lieya).

Bengkel fertigasi dapat sambutan

BANGI 19 April – Bengkel Usahawan Fertigasi Mega-Utusan Malaysia yang berakhir semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan usahawan.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Agro Bank dan May Consult itu memberi pendedahan kepada para usahawan untuk menceburi bidang pertanian.

Pengurus Pusat Latihan Agro Bank (Abadi), Abdul Shukor Abdul Jabbar berkata, menerusi bengkel itu, pelbagai maklumat dapat diperoleh oleh para peserta berkaitan fertigasi.

“Ramai yang berminat untuk menceburi bidang ini tetapi tidak tahu selok-belok. Menerusi bengkel ini mereka berpeluang mengetahui teknik untuk bergelar usahawan fertigasi,” katanya.

Beliau ditemui semasa Bengkel Usahawan Fertigasi Mega-Utusan Malaysia di Institut Pembangunan (Abadi) Agro Bank di sini.

Bengkel selama tiga hari itu membincangkan antaranya pengenalan teknologi fertigasi, sistem pengairan fertigasi, penanaman secara fertigasi, kawalan musuh tanaman dan latihan perniagaan.

Tambah Abdul Shukor, selain teori, para peserta berpeluang menjalani latihan praktikal yang disediakan pada hari terakhir bengkel.

“Mereka turut didedahkan dengan latihan amali di tapak projek, Batu 9, Kampung Medan, Sijangkang, Klang, Selangor,” jelasnya.

Seramai 30 peserta menyertai bengkel itu dan dikenakan bayaran RM150 meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan di tapak amali dan sijil penyertaan.

Tambah beliau, pihaknya bersama Mega-Utusan Malaysia akan mengadakan beberapa lagi siri bengkel seumpama itu kerana penyertaan yang diterima amat memberangsangkan.

Keterangan lanjut mengenai bengkel berkenaan boleh diperoleh melalui wakil Agro Bank, Maisarah Teeman di talian 012-3682263 atau 03-89259044.

Kaedah 'beku sperma' dikaji elak terubuk Sarawak pupus

MELUDAM (SARAWAK) 19 April – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia untuk membuat kajian ke atas sperma ikan terubuk Sarawak ataupun nama saintifiknya, Tenualosa Toli yang kini dilaporkan semakin diancam kepupusan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Karim berkata, selepas kejayaan penyelidikan ke atas sperma ikan air tawar seperti kelah di Sungai Pahang dan temoleh di Sungai Perak, kini tumpuan akan diberikan kepada ikan terubuk di Batang Lupar, Sarawak.

”Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar di Negeri Sembilan baru-baru ini telah berjaya membuat satu penemuan baru dalam kajian mereka iaitu berjaya membekukan sperma ikan kelah dan temoleh yang mungkin mampu disimpan untuk tempoh beratus tahun,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Meludam 2009 di sini semalam.

Rohani berkata, ketika ini spesies ikan terubuk di negeri ini dikatakan semakin pupus akibat aktiviti penangkapan ikan terubuk yang tidak terkawal dan kaedah tradisional.

Katanya, harga ikan terubuk dan telurnya yang tinggi di pasaran telah menarik minat ramai nelayan untuk menangkap ikan tersebut walaupun ketika ia sedang bertelur.

Tambahnya, sebelum ini Jabatan Pertanian Sarawak telah mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan ikan terubuk Sarawak tidak pupus, antaranya melarang nelayan menangkap ikan terubuk ketika musim ia bertelur.

”Ikan terubuk hanya mampu membiak dalam persekitaran liar dan bukannya dalam kolam,” katanya.

Ikan terubuk Sarawak terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk negeri ini malah juga mendapat permintaan yang tinggi di Semenanjung dengan harga sekitar RM15 hingga RM30 sekilogram untuk yang masih mentah manakala terubuk masin pula dijual sekitar RM10 hingga RM20 seekor bergantung kepada saiz.

Sementara itu, Rohani yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau akan memberi tumpuan terhadap pembangunan nelayan dengan Menterinya, Datuk Seri Mohd. Noh Omar menumpukan kepada pembangunan petani manakala pembangunan penternak dikendalikan seorang lagi timbalan menteri, Datuk Johari Baharom. – BERNAMA

Kaedah ‘beku sperma’ dikaji elak terubuk Sarawak pupus

MELUDAM (SARAWAK) 19 April – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia untuk membuat kajian ke atas sperma ikan terubuk Sarawak ataupun nama saintifiknya, Tenualosa Toli yang kini dilaporkan semakin diancam kepupusan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Karim berkata, selepas kejayaan penyelidikan ke atas sperma ikan air tawar seperti kelah di Sungai Pahang dan temoleh di Sungai Perak, kini tumpuan akan diberikan kepada ikan terubuk di Batang Lupar, Sarawak.

”Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar di Negeri Sembilan baru-baru ini telah berjaya membuat satu penemuan baru dalam kajian mereka iaitu berjaya membekukan sperma ikan kelah dan temoleh yang mungkin mampu disimpan untuk tempoh beratus tahun,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Meludam 2009 di sini semalam.

Rohani berkata, ketika ini spesies ikan terubuk di negeri ini dikatakan semakin pupus akibat aktiviti penangkapan ikan terubuk yang tidak terkawal dan kaedah tradisional.

Katanya, harga ikan terubuk dan telurnya yang tinggi di pasaran telah menarik minat ramai nelayan untuk menangkap ikan tersebut walaupun ketika ia sedang bertelur.

Tambahnya, sebelum ini Jabatan Pertanian Sarawak telah mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan ikan terubuk Sarawak tidak pupus, antaranya melarang nelayan menangkap ikan terubuk ketika musim ia bertelur.

”Ikan terubuk hanya mampu membiak dalam persekitaran liar dan bukannya dalam kolam,” katanya.

Ikan terubuk Sarawak terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk negeri ini malah juga mendapat permintaan yang tinggi di Semenanjung dengan harga sekitar RM15 hingga RM30 sekilogram untuk yang masih mentah manakala terubuk masin pula dijual sekitar RM10 hingga RM20 seekor bergantung kepada saiz.

Sementara itu, Rohani yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau akan memberi tumpuan terhadap pembangunan nelayan dengan Menterinya, Datuk Seri Mohd. Noh Omar menumpukan kepada pembangunan petani manakala pembangunan penternak dikendalikan seorang lagi timbalan menteri, Datuk Johari Baharom. – BERNAMA

Serai wangi tambah pendapatan

wu_0111

SEBAHAGIAN peserta saling bekerjasama menanam serai di Kampung Kubang Perun, Arau, Perlis.


ARAU 19 April – Dalam usaha membantu golongan asnaf fakir dan miskin, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dan badan bertanggungjawab bagi mengeluarkan golongan tersebut daripada kepompong kemiskinan.

Usaha membasmi kemiskinan tegar penting dalam merealisasikan hasrat negara bebas daripada miskin tegar dan melahirkan modal insan yang berkualiti untuk pembangunan negara.

Masalah kemiskinan yang berlaku bukan sahaja boleh memberi masalah kepada golongan tua tetapi ia boleh menyebabkan anak-anak mereka yang sepatutnya belajar terabai.

Peredaran masa memerlukan pendekatan baru diambil bagi menyelesaikan masalah itu untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti.

Menyedari masalah itu, Baitulmal Perlis mengambil pendekatan baru untuk membantu golongan tersebut keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bantuan bulanan masih diberikan oleh Baitulmal negeri kepada golongan itu tetapi ia dilihat tidak lagi efisien.

Sebaliknya golongan asnaf fakir dan miskin perlu diberikan ‘pancing’ bagi membolehkan mereka keluar daripada kemiskinan tegar.

Pengerusi Baitulmal Perlis, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, pendekatan baru itu ialah dengan memberikan golongan tersebut bantuan berupa bantuan modal dan bimbingan secara berkelompok untuk mereka menjalankan sesuatu perniagaan atau pertanian.

Katanya, salah satu sektor pertanian yang diceburi oleh Baitulmal Perlis ialah bidang penanaman serai wangi paha ayam atau nama saintifiknya Cymbopogon citratus di kawasan seluas 7.5 hektar di Kubang Perun, di sini.

“Serai wangi ini merupakan produk penting untuk menghasilkan bahan untuk membuat kosmetik dan mempunyai nilai perubatan.

“Projek ini disertai 25 penduduk miskin sekitar kampung Kubang Perun di atas tanah yang disewa oleh Baitulmal seluas kira-kira tujuh hektar,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Abu Bakar berkata, modal sebanyak RM230,000 diperuntukkan untuk projek itu yang mengambil masa kira-kira enam bulan untuk matang dan sesuai dituai.

“Secara kasar melalui projek ini setiap peserta bakal memperoleh RM7,000 setiap seorang selepas enam bulan ditanam.

“Hasil tuaian pertama dijangka dapat dibuat pada Jun ini apabila serai yang ditanam tumbuh subur,” jelasnya.

Menurutnya, projek itu merupakan ilham Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

“Baginda Tuanku Raja Muda mahu Baitulmal melaksanakan projek ini bagi membantu meningkatkan pendapat golongan miskin yang menyertainya selain mereka boleh mendapat pendapatan daripada kerja-kerja lain yang diusahakan.

“Tuanku Raja Muda Perlis amat prihatin dalam usaha membantu golongan miskin untuk mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan dan membantu kerajaan negeri mencapai sasaran miskin tegar 2015,” katanya.

Projek itu dijalankan dengan sebuah syarikat swasta, ByNet Marketing Sdn. Bhd. yang bersedia membeli hasil tuaian serai itu melalui kontrak perladangan yang dimeterai.

Melalui projek itu peserta diberi gaji bulanan sebanyak RM20 sehari dan hasil kira-kira RM7,000 seorang akan dipotong daripada jualan tersebut.

Abu bakar memberitahu, selain tanaman serai, Baitulmal Perlis juga menjalankan projek melibatkan asnaf fakir dan miskin termasuk peliharaan ayam kampung dan pertanian lain.

“Kita juga dalam proses untuk membantu golongan ini melalui projek ternakan cacing baja kompos yang mana kita lihat ia sangat berpotensi.

“Projek ini masih dalam proses perancangan dan jika tiada masalah ia akan dilaksanakan secepat mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ByNet Marketing, Ahmad Fauzi Osman berkata, serai jenis tersebut mendapat permintaan tinggi di negara ini dan negara jiran.

“Syarikat ByNet Marketing kini membeli serai yang dikeluarkan di Perlis dan Kedah untuk dijadikan benih, minyak dan serbuk.

“Ladang di sini merupakan ladang serai yang terbaik di antara beberapa ladang kerana penjagaan yang dilakukan amat baik sekali,” jelasnya.

PUGM lahirkan usahawan

wj_011

Kiri: muzamir melihat buah mata naga yang ditanam di ladang milik PUGM di Ayer Hitam, Kluang.


BATU PAHAT 20 April – Setelah berjaya melahirkan graduan tani, Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) terus mendidik golongan siswazah di bawah bimbingannya untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Bagi menyahut seruan kerajaan menjadikan sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi ketiga negara, PUGM menyahut cabaran itu tiga tahun lalu dengan mengusahakan tanah seluas 28 hektar yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Projek Pertanian Moden, Ayer Hitam, Kluang.

Pengerusi PUGM, Muzamir Mustafa berkata, tanah tersebut telah diusahakan dengan tanaman buah mata naga dan rock melon dengan seramai 17 siswazah dipilih menyertainya.

”Pada 2007, tanaman tersebut telah pun mengeluarkan hasil dan sebuah syarikat di bawah bimbingan PUGM, Pittagon Sdn. Bhd., ditubuhkan untuk tujuan penyelidikan dan kajian khusus bagi buah mata naga,” katanya.

Menurutnya, kejayaan Pittagon dalam menghasilkan produk daripada buah mata naga itu amat dibanggakan, malah hasil kajian mendapati buah-buahan itu mempunyai khasiat yang tinggi termasuk daripada batang dan bunganya.

Muzamir berkata, satu strategi berkonsepkan perniagaan teras buah mata naga telah diwujudkan bagi memastikan satu bentuk perniagaan komersial dengan matlamat melahirkan usahawan tercapai.

”Dengan keazaman daripada golongan siswazah muda ini saya percaya ia mampu menunjukkan haluan pasaran pada masa kini dan beberapa produk seperti teh dan kopi telah berada di pasaran sejak lebih enam bulan lalu,” katanya.

Katanya, produk yang baik dan penuh dengan khasiat semula jadi itu adalah jaminan daripada Pittagon kepada pengguna.

‘Khasiat Tiada Tandingan’ adalah moto produk keluaran Pittagon yang menyasarkan golongan lelaki dan wanita berkerjaya agar menjadikan ia sebagai minuman untuk kesihatan dan kecantikan.

Beliau menambah, kesemua siswazah yang mendaftar dengan PUGM akan diberi peluang untuk mendalami bidang pertanian seterusnya perniagaan agar mereka dapat memanfaatkan apa yang diperoleh di PUGM apabila ingin membuka syarikat sendiri.

Katanya, setakat ini, mereka menunjukkan minat serta komitmen yang jitu dalam menentukan hala tuju masa hadapan dan gigih berusaha dengan semangat yang berkobar-kobar untuk berjaya.

Mangga harumanis palsu dijual RM12 sekilogram

wu_061

salah seorang kakitang Jabatan Pertanian, menunjukkan buah mempelam harumanis di Pusat Pertanian Bukit Bintang di Perlis, semalam.


KANGAR 20 April – Musim buah mangga harumanis di utara tanah air dicemari dengan kegiatan segelintir peniaga yang menjual mangga sala pada harga yang tidak masuk akal.

Malah, peniaga terbabit mendakwa mangga sala yang dijual adalah jenis harumanis dengan nilai kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad ketika mendedahkan perkara itu berkata, mangga harumanis palsu itu dijual pada harga RM12 sekilogram.

Katanya, mangga sala sepatutnya dijual pada harga RM1.40 sekilogram mengikut pasaran semasa.

Berbeza dengan mangga harumanis yang dijual RM8 sekilogram bagi gred A (450- 650 gram sebiji), RM7 bagi gred B (350-450 gram) dan RM6 bagi gred C (bawah 350 gram).

Menurutnya, kebanyakan penipuan dilakukan oleh peniaga buah-buahan tepi jalan di hadapan Pusat Pertanian Bukit Bintang.

”Ada orang luar datang ke Perlis mahu membeli harumanis kerana ia terkenal sebagai produk negeri. Apabila pergi ke gerai tepi jalan, mereka yang tidak mengenali buah mangga itu membayar RM12 sekilogram.

”Sebaliknya buah yang dibeli itu bukan harumanis, tetapi mangga sala. Peniaga mahu mengaut keuntungan segera kerana pembeli tidak mengenali buah yang sebenar,” ujarnya katanya ketika merasmikan Jualan Mangga Harumanis 2009 di Pusat Pertanian Bukit Bintang hari ini.

Sabry memberitahu lagi, mangsa cukup yakin dengan dakwaan penjual tersebut kerana peniaga terlibat mendakwa buah yang dijualnya itu adalah dari pusat pertanian di belakang gerai mereka.

Katanya, rungutan mangsa disampaikan kepada beberapa pihak berkuasa pertanian di negeri masing-masing setelah mengetahui ditipu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peniaga supaya menjaga etika perniagaan dan tidak mengulangi tindakan tersebut dan mencemarkan imej peniaga harumanis di negeri ini.