![]() |
ROHANI Abdul Karim diberi penerangan mengenai tempat menyimpan sperma ikan oleh Chew Poh Chiang (kiri sekali) sambil diperhatikan oleh Junaidi Che Ayub (dua dari kiri) selepas merasmikan Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Perikanan di Jelebu, semalam.
|
JELEBU 16 April – Penubuhan Makmal Sperma Ikan di Pusat Penyelidikan Perikanan Ikan Tawar (PPPIT) Glami Lemi di sini mampu menyumbang kepada pembangunan dan pengurusan sektor perikanan negara secara mapan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kejayaan dua saintis di makmal tersebut, Zulkafli Abdul Rashid dan Chew Poh Chiang dalam penyelidikan dan awetan sperma ikan sekali gus mampu menyelamatkan pelbagai spesies ikan sungai yang semakin pupus.
“Ini adalah satu penemuan yang sangat bermakna yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan kerana kaedah awetan ke atas sperma ikan itu secara tidak langsung memberikan harapan baru dalam pembiakan ikan terutama spesies yang semakin pupus.
“Ikan-ikan air tawar ini adalah salah satu daripada khazanah negara kita dan sumber ekonomi masyarakat, jadi wajar ia dipertahankan daripada pupus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian makmal tersebut atau dikenali sebagai Gene Bank dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Perikanan di pusat tersebut hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Chen Pin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri.
Rohani menambah, setelah berjaya melakukan awetan ke atas ikan kelah dan temoleh iaitu antara spesies ikan air tawar yang semakin pupus, Gene Bank diharapkan dapat melakukan kaedah yang sama terhadap spesies ikan lain yang berpotensi untuk akuakultur termasuk ikan laut.
“Semakin banyak spesies ikan air tawar yang terancam dan keadaan mungkin lebih buruk pada masa hadapan, jadi kita berharap penyelidikan dan kaedah yang sama boleh dilakukan ke atas spesies ikan lain pula termasuk ikan laut.
“Ini akan memberikan harapan baru dalam pembiakan spesies ikan tersebut pada masa hadapan,” kata beliau.
Sementara itu Junaidi berkata, teknik awetan bagi ikan kelah dan temoleh tersebut menunjukkan hasil yang menggalakkan walaupun berada pada peringkat awal pembangunannya di negara ini.
“Penubuhan Gene Bank tersebut adalah ekoran daripada kejayaan PPPIT membiak temoleh dan kelah pada Januari 2007. Setelah lebih dua tahun pembangunan dijalankan, kita berjaya mencatatkan sebanyak 33 peratus kejayaan dalam pembiakan.
“Sasaran kita adalah memastikan makmal tersebut berjaya mencatatkan sebanyak 45 peratus pembiakan bagi membolehkan ia diedarkan kepada Pusat Perkembangan Akuakultur di seluruh negara dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.
Sehingga kini, kata beliau, Gene Bank menyimpan sebanyak 10,000 sperma ikan air tawar daripada spesies kelah dan temoleh secara awet.