Lumayan jadi penternak

wb_011

PESERTA program keusahawanan ternakan kambing secara komersial mendengar taklimat di Pusat Latihan Sarawak di Kuching, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


KUCHING 15 April – Sarawak yang mempunyai bentuk muka bumi luas bukan sahaja sesuai untuk aktiviti pertanian bahkan kegiatan penternakan yang mampu mendatangkan keuntungan jika dikomersialkan sepenuhnya.

Apatah lagi pada masa ini permintaan daging semakin meningkat di pasaran memberi peluang kepada sesiapa sahaja menceburi bidang tersebut memperoleh pendapatan lumayan.

Namun, apa yang diperlukan adalah minat serta kesungguhan dalam melaksanakan kegiatan penternakan meskipun bermula dengan hanya beberapa ekor kambing atau lembu.

Penasihat Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Adzmy Abdullah memberitahu, memulakan kegiatan ternakan tidak perlu mempunyai beratus-ratus kambing atau lembu untuk menjadi penternak yang berjaya.

Katanya, seorang penternak yang berjaya harus mempunyai pengetahuan dan cara bagaimana mengkomersialkan sepenuhnya haiwan ternakan dan bukan semata-mata menunggu hasil jualan dagingnya.

‘‘Kita perlu membuka minda bahawa bidang ternakan bukan hanya menunggu hasil daging haiwan semata-mata, namun kita perlu melihat perkara lain yang boleh dikomersialkan menerusi kegiatan tersebut.

‘‘Kita boleh mengeksploitasi kegiatan tersebut dengan mewujudkan kegiatan komersial yang lain seperti menghasilkan baja organik atau menternak cacing menerusi najis haiwan ternakan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berkongsi pengalaman dengan para peserta program Kursus Keusahawanan Penternakan Kambing di Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air dekat sini baru-baru ini.

Adzmy bagaimanapun berkata, kegiatan seumpama itu mampu dilaksanakan jika seorang usahawan tersebut memiliki ilmu dan teknologi dalam mengkomersialkan kegiatan ternakan sepenuhnya.

Katanya, bidang ternakan sudah terbukti mendatangkan hasil lumayan apabila dikomersialkan sepenuhnya hingga ada daripada golongan profesional, doktor atau peguam yang menceburi bidang berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, Adzmy memberitahu, beliau berpeluang melihat proses penternakan di Ibraki, Jepun yang menggunakan sepenuhnya potensi kegiatan itu untuk dikomersialkan.

‘‘Di Jepun, penternak mereka menggunakan kaedah psikologi apabila menempatkan empat ekor lembu dalam empat ruang yang telah disediakan dan diberi makanan hingga mampu menghasilkan lembu yang seberat sehingga 800 kilogram.

‘‘Selain itu, mereka hanya akan membersihkan najis haiwan tersebut sebulan sekali dan najis berkenaan yang telah terkumpul banyak kemudiannya diproses menjadi baja organik,” ujarnya.

Beliau menambah, ada penternak menjadikan najis itu sebagai tempat menternak cacing yang kemudiannya boleh dijual sebagai makanan haiwan ternakan seperti ayam atau kegunaan lain.

Apa yang menariknya, Adzmy memberitahu, kaedah yang digunakan oleh penternak Jepun itu adalah cara mereka menguruskan najis tersebut malah bahan tersebut tidak menarik perhatian lalat atau kelihatan kotor dan basah.

Ini kerana, jelasnya, kawasan pembuangan najis haiwan ternakan itu telah diletakkan habuk kayu bagi menjadikan kawasan tersebut sentiasa kering dan bersih.

‘‘Apa yang boleh kita lihat daripada cara penternak Jepun adalah pengetahuan ilmu serta kaedah mereka mengkomersialkan kegiatan ternakan seumpama itu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Adzmy berkata, selain menjalankan kegiatan ternakan lembu dan kambing, usahawan di negeri ini perlu mengambil peluang dan ruang yang ada untuk melaksanakan kegiatan ternakan burung walit atau layang-layang bagi mendapat sarang burungnya.

Menurutnya, usahawan ternakan perlu menggunakan ruang yang masih ada di kawasan ternakan kambing atau lembu untuk mewujudkan rumah yang dijadikan sebagai ladang ternakan burung walit.

Jelas beliau, ladang burung walit mempunyai pasaran luas dan negara ini mengeksport kira-kira 150,000 metrik tan sarang burung dengan pendapatan RM750 juta setahun.

‘‘Malah, sarang burung walit mendapat permintaan tinggi daripada China dan Eropah dengan nilai pasaran dunia adalah RM8 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, usahawan yang mahu memulakan kegiatan ternakan harus mempunyai ilmu dan teknologi supaya kegiatan itu mampu dikomersialkan sepenuhnya.

Gitex cadang konsortium usahawan herba

KOTA KINABALU 16 April. – Gitex (M) Sdn. Bhd, satu daripada syarikat pengusaha industri herba di Malaysia, bercadang menubuhkan konsortium bagi menjaga kepentingan usahawan herba di negara ini.

Buat permulaan, Pengarah Urusannya, Dr Muhammad Hakim Abdullah berkata, seramai 500 usahawan herba dari seluruh negara akan dipelawa untuk menyertai konsortium itu.

“Apabila wujud konsortium, usahawan herba boleh menyuarakan secara bersama apa juga permasalahan yang mereka hadapi berkaitan dengan industri herba, termasuk pemasaran.

“Ia juga akan memberi peluang kepada ahli untuk saling bantu membantu dan bekerjasama termasuk dalam soal mencari dana dan peluang yang terbuka untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya ketika memberikan taklimat mengenai “Peluang dan Bantuan Perniagaan” sempena Herba Asia di sini hari ini.

Pameran Herba Asia 2009 akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di Kuala Lumpur pada 30 April hingga 3 Mei ini.

Dr. Muhammad berkata, Malaysia berpotensi untuk menjadi pengeluar herba terbesar di rantau ini, sekali gus membantu memacu ekonomi negara.

Katanya, nilai dagangan herba negara setiap tahun kini menjangkau RM1.5 bilion dan ia menunjukkan bahawa usahawan herba mempunyai masa depan yang cerah.

“Seperti kaum Cina yang sentiasa bekerjasama untuk berjaya dalam perniagaan, saya percaya kaum Bumiputera termasuk di Sabah juga boleh berjaya melalui penubuhan konsortium usahawan herba di negara ini,” katanya.

Dr. Muhammad berkata, pada masa ini tidak ada kementerian khusus yang bertanggungjawab untuk memperjuangkan kepentingan usahawan atau penggiat herba di negara ini.

“Oleh itu, kita berpendapat bahawa terdapat keperluan segera untuk menghimpunkan semua usahawan herba di negara ini untuk sama-sama berusaha mengeluarkan produk herba yang berkualiti serta kompetitif di pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) cawangan Sabah, Shahida Musa berkata, FAMA bersedia membantu para pengusaha herba menerokai pasaran tempatan dan global. – Bernama

Pengusaha ladang kontrak

ws_011

ISMAIL Yahya (dua dari kanan) memberi penerangan tentang tanaman kacang yang diusahakannya kepada Mohamed Shariff Abdul Aziz (dua dari kiri), Mohd. Yusof Yunus (kiri) dan Shahid Abu Bakar (kanan) di TKPM Kuala Gemas, Tampin, baru-baru ini.


TAMPIN 16 April – Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kuala Gemas di sini merupakan salah satu projek pertanian yang menyertai skim ladang kontrak di bawah kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri.

Dengan keluasan tanah 10 hektar yang disewa dari kerajaan negeri, pengusaha TKPM Kuala Gemas, Ismail Yahya, 50, giat mengusahakan tanaman timun, kacang panjang dan petola.

Sejak menyertai skim ladang kontrak pada pertengahan Februari tahun ini, FAMA telah memasarkan sebanyak 7.6 tan atau RM11,765 hasil keluaran TKPM tersebut.

Menurut Ismail, dia menyertai bidang pertanian sejak dua tahun lalu bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan tani moden di negara ini.

Katanya, sebagai seorang anak petani, minat terhadap bidang pertanian sentiasa subur dalam dirinya.

”Saya menceburi bidang pertanian setelah berkecimpung sebagai kontraktor dalam bidang pembinaan selama beberapa tahun,” jelasnya.

Ismail berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz ke TKPM Kuala Gemas di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah FAMA negeri, Shahid Abu Bakar dan Pegawai Daerah Tampin, Datuk Mohd. Yusof Yunus.

Beliau berkata, penyertaannya dalam skim ladang kontrak FAMA banyak membantu dari segi pemasaran hasil sayur-sayuran yang dikeluarkan.

”Lazimnya, FAMA akan datang ke ladang saya setiap dua hari sekali untuk mengambil sayur-sayuran sebelum dipasarkan ke pasar tani atau pasar raya.

”Secara purata, ladang saya mengeluarkan sekitar 500 hingga 700 kilogram hasil sayur-sayuran setiap hari,” jelas Ismail.

Kata Ismail, sebelum menyertai skim ladang kontrak FAMA, dia mengusahakan tanaman labu dan tebu namun kedua-duanya menghadapi kegagalan.

Menurutnya, kurang pengalaman serta pengetahuan terutama tentang perubahan cuaca merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan itu.

”Saya pernah mengalami kerugian besar apabila labu dan tebu yang baru ditanam musnah akibat banjir yang melanda kawasan ini.

”Lama-kelamaan, saya mulai arif dan mahir tentang perubahan cuaca serta suasana pasaran seterusnya membolehkan saya mengatur jadual tanaman dan tuaian hasil secara lebih sistematik,” ujarnya.

Jelas Ismail, anak lelakinya, Mohd. Syuwairi, 22, kini memikul tanggungjawab menguruskan TKPM Kuala Gemas secara sepenuh masa.

Sementara itu, kata Mohd. Yusof, TKPM Kuala Gemas diusahakan di atas tanah milik kerajaan negeri dengan kadar RM50 setiap 0.4 hektar setahun dan syarat perjanjian adalah secara guna pakai sepanjang tempoh 20 tahun.

Di samping itu, menurut beliau, Pejabat Daerah Tampin memberi bantuan dari segi membina infrastruktur seperti jalan masuk ke ladang serta membenarkan pembinaan premis pusat pengumpulan hasil tanaman.

Gene Bank atasi kepupusan ikan air tawar

ws_041

ROHANI Abdul Karim diberi penerangan mengenai tempat menyimpan sperma ikan oleh Chew Poh Chiang (kiri sekali) sambil diperhatikan oleh Junaidi Che Ayub (dua dari kiri) selepas merasmikan Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Perikanan di Jelebu, semalam.


JELEBU 16 April – Penubuhan Makmal Sperma Ikan di Pusat Penyelidikan Perikanan Ikan Tawar (PPPIT) Glami Lemi di sini mampu menyumbang kepada pembangunan dan pengurusan sektor perikanan negara secara mapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kejayaan dua saintis di makmal tersebut, Zulkafli Abdul Rashid dan Chew Poh Chiang dalam penyelidikan dan awetan sperma ikan sekali gus mampu menyelamatkan pelbagai spesies ikan sungai yang semakin pupus.

“Ini adalah satu penemuan yang sangat bermakna yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan kerana kaedah awetan ke atas sperma ikan itu secara tidak langsung memberikan harapan baru dalam pembiakan ikan terutama spesies yang semakin pupus.

“Ikan-ikan air tawar ini adalah salah satu daripada khazanah negara kita dan sumber ekonomi masyarakat, jadi wajar ia dipertahankan daripada pupus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian makmal tersebut atau dikenali sebagai Gene Bank dan Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Jabatan Perikanan di pusat tersebut hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Siow Chen Pin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perumahan Kerajaan Tempatan, Kampung Baru dan Pengangkutan Awam negeri.

Rohani menambah, setelah berjaya melakukan awetan ke atas ikan kelah dan temoleh iaitu antara spesies ikan air tawar yang semakin pupus, Gene Bank diharapkan dapat melakukan kaedah yang sama terhadap spesies ikan lain yang berpotensi untuk akuakultur termasuk ikan laut.

“Semakin banyak spesies ikan air tawar yang terancam dan keadaan mungkin lebih buruk pada masa hadapan, jadi kita berharap penyelidikan dan kaedah yang sama boleh dilakukan ke atas spesies ikan lain pula termasuk ikan laut.

“Ini akan memberikan harapan baru dalam pembiakan spesies ikan tersebut pada masa hadapan,” kata beliau.

Sementara itu Junaidi berkata, teknik awetan bagi ikan kelah dan temoleh tersebut menunjukkan hasil yang menggalakkan walaupun berada pada peringkat awal pembangunannya di negara ini.

“Penubuhan Gene Bank tersebut adalah ekoran daripada kejayaan PPPIT membiak temoleh dan kelah pada Januari 2007. Setelah lebih dua tahun pembangunan dijalankan, kita berjaya mencatatkan sebanyak 33 peratus kejayaan dalam pembiakan.

“Sasaran kita adalah memastikan makmal tersebut berjaya mencatatkan sebanyak 45 peratus pembiakan bagi membolehkan ia diedarkan kepada Pusat Perkembangan Akuakultur di seluruh negara dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Sehingga kini, kata beliau, Gene Bank menyimpan sebanyak 10,000 sperma ikan air tawar daripada spesies kelah dan temoleh secara awet.

Perlis keluar 500 tan mempelam sala 2009

PADANG BESAR 16 April – Perlis dijangka mengeluarkan 500 tan mempelam sala berharga lebih RM700,000 untuk pasaran tempatan dan antarabangsa sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, anggaran itu berdasarkan kemampuan pengeluaran semasa yang direkodkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Anggaran tersebut juga, katanya, dibuat berasaskan pasaran harga semasa dan hasil ladang sudah tuai dan buah matang yang bakal dikutip secara berjadual.

“Berdasarkan pasaran terkini, buah itu dijual dengan harga purata RM1.40 sekilogram. Setakat ini 75 tan buah mempelam sala dengan nilai RM96,936 telah dipasarkan.

“Apabila 75 tan telah dipetik, bermakna masih ada kira-kira 425 tan buah tersebut yang segar berada di lebih 35 hektar ladang mempelam sala yang dimiliki 44 peladang di Perlis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas melawat ladang kontrak mempelam sala milik seorang peladang, Abdul Hamid Shariff di Kampung Bilal Udoh, Chuping di sini hari ini.

Musim mempelam sala mengeluarkan hasil ialah sepanjang Mac hingga Mei manakala luar musim pula sepanjang Ogos hingga Oktober.

Sabry memberitahu, FAMA Perlis juga telah mengatur program mempromosi dan memasarkan buah tersebut ke Singapura pada tahun ini seperti yang dilakukan tahun lalu.

“Tahun lalu FAMA menjual mempelam sala Perlis di Singapura dengan harga RM4.40 sen sekilogram.

”Selain dijual segar, FAMA turut memasarkan hasil industri hilirannya dalam bentuk jus,” ujarnya

FAMA digesa lebih aktif bantu petani

ag_0113

MOHD. Mokhtar Ismail (tiga dari kanan) melihat jagung rebus yang dijual di ladang di Taman Kekal Pengeluaran Pertanian Makanan (TKPM) Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin.


TASEK GELUGOR 12 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diminta berperanan lebih aktif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi petani terutamanya di tengah-tengah kelembapan ekonomi sekarang.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail berkata, masih banyak rungutan daripada golongan petani mengenai kesukaran mereka untuk memasarkan produk tanaman.

Katanya, permasalahan di peringkat pengeluaran dan pemasaran perlu diselesaikan secara berkesan bagi memastikan petani tidak tersepit terutamanya ketika harga kos input turut meningkat.

”Sebab itu kita mahu FAMA bertindak secara lebih berkesan untuk kenal pasti apakah masalah yang dihadapi oleh petani terutamanya dalam aspek harga dalam pasaran.

”Masalah (harga) ini memang kita selalu dengar dan kita harap FAMA ambil kira segala pandangan dan permasalahan petani terutamanya mereka yang mengusahakan tanah secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat dan dialog bersama peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Pertanian, Roseley Abdul Khalid dan Pengarah Pertanian negeri, Abdul Nasir Hassan.

Pada sesi dialog itu, beberapa peserta mengemukakan keluhan mereka mengenai masalah pemasaran hasil tani yang masih membelenggu golongan petani di situ.

Mohd. Mokhtar bagaimanapun menjelaskan, masalah pemasaran sering berlaku apabila penawaran terhadap sesuatu produk hasil tani itu melebihi permintaan dalam pasaran.

”Sebagai contoh, apabila harga kacang panjang naik, ramai petani tanam tanaman yang sama sehingga ia mengakibatkan lambakan, sekali gus menjejaskan harga.

”Sebab itu, amat penting agar pengurusan di peringkat pengeluaran disokong oleh aktiviti pemasaran yang lebih terancang dan berkesan,” jelasnya.

Program latihan pertanian percuma

ag_041

Nordin Abd. Malek (dua dari kiri) memberi penerangan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar mengenai latihan oleh Institut Skill-Tech.


Kerajaan sememangnya memandang serius keperluan makanan negara kerana krisis makanan dunia bukanlah suatu perkara remeh.

Pemimpin dunia telah meletakkan kepentingan makanan hingga ke satu tahap sebagai isu keselamatan.

Dalam konteks Malaysia, selain keupayaan pengeluaran makanan, aspek pembangunan kemahiran, teknologi dan inovasi menjadi teras pembangunan pertanian baru.

Menyedari hakikat tersebut, kerajaan turut menggalakkan penyertaan institusi latihan pertanian swasta untuk menjalankan kursus dalam bidang berasaskan pertanian.

Institut Skill-Tech adalah institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) pertama di negara ini yang menjalankan sepenuhnya latihan kemahiran dalam bidang pertanian.

Pada tahun lepas, kerajaan telah mewujudkan Skim Kluster Latihan Kemahiran Sumber Manusia Untuk ILKS bumiputera.

Institut tersebut adalah antara lima ILKS yang menjadi kumpulan perintis skim berkenaan. Oleh kerana bidang pertanian menjadi fokus utama, institut ini telah menerima geran pembiayaan latihan terbesar untuk melatih 2000 peserta dalam tempoh setahun.

Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, skim tersebut diletakkan di bawah Mara dengan kawal selia Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Sasarannya adalah untuk menambah penyertaan belia dalam bidang pertanian secara terlatih.

Percuma

Nordin yang juga Pengerusi Gabungan ILKS bumiputera turut menjelaskan bahawa geran berkenaan bagi membolehkan setiap ILKS termasuk Institut Skill-Tech menawarkan kursus secara percuma kepada belia Bumiputera yang berminat.

Kesungguhan kerajaan juga ditunjukkan dengan menyediakan insentif sara diri berjumlah RM300 sebulan.

”Kalau sebelum ini, bukan hanya mempunyai institusi latihan kemahiran awam (ILKA) sebagai pilihan, kini mereka boleh memilih Institut Skill-Tech sebagai pilihan lain kerana modul dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang digunakan adalah sama dengan ILKA,,” katanya.

Sebagai ILKS yang terpilih, Institut Skill-Tech bolehlah dianggap sebagai pelengkap kepada ILKA memandangkan institut tersebut mempunyai kapasiti dan keupayaan latihan yang agak terhad.

”Kami juga menganggap, geran ini sebagai amanah besar yang perlu dimanfaatkan oleh generasi muda untuk menjadi penggerak sektor pertanian di Malaysia.

“Oleh itu, kami sentiasa berusaha keras untuk mempromosikan program, di samping mencapai sasaran Indeks Petunjuk Utama (KPI) menerusi impak program yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Bagi mencapai misi tersebut, Institut Skill-Tech sedang menggerakkan semua pendekatan penyertaan belia dengan memperkenalkan pelbagai system latihan.

Selain latihan sepenuh masa di mini kampus utama Durian Tunggal, Melaka dan pusat latihan satelit Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Melaka, belia juga boleh mengikuti latihan melalui kaedah e-learning, Pusat Latihan Terhad (kumpulan khas) dan konsep jarak jauh (usahawan sedia ada).

Namun semua sistem tersebut terhad kepada syarat dan kumpulan sasar tertentu.

Kursus selama setahun itu menawarkan bidang-bidang seperti tanaman makanan, akuakultur, senibina landskap, pemprosesan makanan, bioteknologi, ruminan, agro pelancongan (inap desa) serta pemasaran pertanian.

Menurut Nordin lagi, Institut Skill-Tech juga akan membiayai sara diri pelatih sepanjang mengikuti latihan sambil bekerja (OJT) di seluruh negara.

Pada masa ini, terdapat lebih 100 buah agensi awam dan swasta yang menerima pelatih mereka dalam pelbagai bidang.

Pembiayaan ini meringankan beban pelatih ketika menjalani OJT berkenaan.

”Sesetengah syarikat memberi mereka elaun tambahan atau kemudahan tertentu seperti makan dan penginapan.

” Walaupun elaun industri bukanlah matlamat utama OJT, kesediaan sesetengah syarikat menyediakan sagu hati tambahan itu mendorong semangat pelatih,” tambahnya.

Selepas tamat kursus, pelatih yang memilih untuk menjadi usahawan tani berpeluang menikmati pelbagai pembiayaan perniagaan seperti Tabung Ekonomi Usahaniaga (Tekun) dan Mara kerana semua pelatih diwajibkan menjalani kursus keusahawanan seperti yang ditetapkan kerajaan.

Semua pelatih Skill-Tech akan didedahkan dengan perniagaan pertanian dan agronomi pada tahap kedua kursus mereka. Modul keusahawanan mengguna pakai sukatan latihan Insken.

Bagi mencapai kouta kemasukan pelatih, Institut Skill-Tech sedang mengadakan pengambilan besar-besaran bermula sekarang hingga Jun ini.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 06-5531416/18.

Peluang sertai bengkel kambing dan ikan air tawar

ag_031

Bengkel kambing yang diadakan di Ladang Syamille Agro Farm bakal memberi pendedahan kepada peserta dalam pelbagai aspek ternakan.


Selepas menganjurkan beberapa siri bengkel pertanian sejak setahun lepas melibatkan penanaman cendawan, ternakan ikan keli dan kambing, tahun ini program bertujuan melahirkan usahawan pertanian tersebut diteruskan lagi.

Pada tahun ini ia bermula dengan Bengkel Usahawan Bersama Mega Utusan Malaysia melibatkan teknologi fertigasi iaitu penanaman menggunakan sistem pengairan baja dan air serentak untuk pokok cili.

Beberapa siri bengkel tersebut diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan peserta dari serata pelosok negara.

Bengkel anjuran Utusan Malaysia itu mendapat penajaan Agro Bank, selain kerjasama strategik dengan May Consult, sebuah syarikat perunding pertanian tempatan.

Dua bengkel akan diadakan serentak iaitu Bengkel Usahawan Kambing pada 24 hingga 27 April ini di Ladang Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. di Kuala Kangsar, Perak, manakala Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar-Ketutu, Haruan akan diadakan pada 25 hingga 27 April di Sungai Petani Kedah. Bersama-sama ini disertakan borang penyertaan untuk mereka yang berminat menyertai bengkel tersebut dengan bayaran RM150 seorang.

Usia bukan penghalang usahakan ternakan

ag_0211

Abd. Ghafar meninjau lembu-lembu yang dipelihara dalam kandang fidlot.


Siapa kata, warga emas tidak boleh menjana pendapatan sendiri menerusi industri pertanian yang sememangnya menjanjikan pulangan yang lumayan.

Bagi Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya Khairiah Abd. Majid, 60, masih belum terlambat bagi mereka melibatkan diri dalam ternakan kambing Boer dan Jamnapari, biri-biri serta lembu di ladang ternakannya di Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.

Walaupun dulunya Abd. Ghafar bertugas dengan Felda dan kemudian menjalankan perniagaan sajian makanan hampir 10 tahun, tetapi ia tidak mematahkan semangatnya memulakan sesuatu yang baru.

Berjinak-jinak dengan industri ternakan sejak setahun lalu, semuanya bermula apabila seorang sahabat mengajaknya melawat ladang ternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

”Ketika itu timbul minat untuk memelihara kambing dan saya mula membeli kambing Boer terus dari Australia bersama-sama dengan dua rakan lagi dari Melaka dan Perak,” katanya semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Kebiasaannya, dia mengimport sehingga 30 hingga 40 ekor kambing Boer dengan kekerapan dua kali setahun terus dari Australia dan ini dilakukan secara berkelompok bersama-sama rakan lain.

Abd. Ghafar menerusi syarikatnya D NA Maju Ternak Sdn. Bhd. kemudian membeli kambing Jamnapari dan Ferrell bagi mempelbagaikan serta memelihara biri-biri yang dibeli terus dari Australia.

Selain menternak bagi tujuan akikah, korban, kenduri dan pemborong, Abd. Ghafar juga memelihara untuk tujuan pembiakbakaan.

Buat masa ini, dia memiliki 68 ekor kambing Boer dewasa dengan 28 ekor anak, 22 ekor Jamnapari dan enam ekor Ferrell.

Menyifatkan industri ternakan lebih mudah berbanding sajian makanan, bapa kepada tujuh orang anak ini banyak dibantu oleh anak-anak, menantu serta cucu.

”Perniagaan sajian makanan memerlukan saya berada sepenuh masa di sana tetapi dalam ternakan saya hanya memantau segala yang dilakukan oleh anak, menantu dan cucu,” katanya

Ladang ternakan yang mempunyai dua buah kandang kambing bersaiz 60×40 kaki yang dibina di atas tanah seluas dua ekar menerima suntikan modal daripada anak-anak dan simpanan Abd. Ghafar sendiri tanpa bantuan atau pinjaman mana-mana pihak.

Pulang modal

Walaupun baru setahun jagung beroperasi, Abd. Ghafar telah mula menerima pulangan balik modal yang dikeluarkan hasil daripada jualan lembu, kambing, baja tahi kambing serta edaran makanan ternakan.

”Bagaimanapun industri ternakan terutama kambing amat terdedah dengan risiko penyakit seperti kurap, kembung, selesema, bisul, batu karang serta sakit mata.

”Bagi mengawal penyakit, kami mengeluarkan kos sehingga RM1,000 sebulan bagi dua buah kandang untuk memastikan ternakan kami sentiasa sihat,” katanya.

Dibantu menantunya Aslaishaharudin Mohd Daud, 30, yang banyak menjalankan kerja di dalam kandang.

Lebih kurang 500 meter dari ladang ternakan kambing, Abdul Ghafar mempunyai ladang ternakan lembu fidlot di atas tanah seluas dua ekar.

Memulakan ladang ternakan fidlot, Abd. Ghafar mula membeli 215 ekor lembu pada tahun lalu untuk tujuan digemukkan dan pasaran untuk daging.

”Pasaran daging lembu amat besar semasa musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu,” katanya yang memelihara lembu jenis Brahman, Charolais dan LID yang dibeli dari Australia.

Beliau membeli lembu pada usia dua tahun untuk digemukkan di dalam kandang fidlot selama lapan bulan sebelum dijual kepada pembekal.

Lembu yang dipelihara dalam ladang fidlot diberi makan palet, daun sawit, rumput napier, batang pisang dan kacang soya bagi membekalkan protein.

Menyentuh mengenai kos pemakanan, Aslaishaharudin berkata, seekor lembu memerlukan kos purata antara RM2 hingga RM3 sehari.

Biasanya dalam masa dua bulan, berat badan seekor lembu akan meningkat antara 20 hingga 30 kilogram (kg) berbanding semasa mula sampai.

”Bagaimanapun masalah paling utama dalam industri ternakan adalah harga makanan yang semakin meningkat,” katanya yang menjual seekor lembu pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut berat.

Selain menjual daging dan haiwan hidup, beliau juga menjual kulit lembu kepada peraih dari Thailand yang mengambilnya mengikut timbangan berat.

Ladang ternakan dalam resort

ag_0112

Lembu Bali antara baka yang diternak di Ladang Syamille.


BELIAU merenung jauh ke kawasan kandang memerhatikan ternakan kambing Boer yang sedang rancak mengunyah. Tidak jauh dari situ, lembu Bali yang montel dan bersih sedang berkeliaran. Sungai yang memisahkan kompleks ladang dan penginapan serta pusat rekreasi sekali mengalir lesu tetapi dengan airnya yang sangat jernih.

Renungan itu diselangselikan dengan kerutan dahi, mungkin memikirkan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukannya di ladang itu yang baru beberapa tahun beroperasi.

”Mulanya di kawasan ini , saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok,” kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus memberitahu mengenai niat murninya itu.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan dibantu adik beradiknya Badrul Hisham Mohd. Idrus dan Mohd. Zulkifli Mohd. Idrus serta Ketua Pegawai Operasi, Hiruddin Hashim, mereka membangunkan kawasan tersebut sejak hujung 2004 dengan kerja-kerja pembelian tanah daripada penduduk kampung.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.

Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.

Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.

Semua projek tersebut menurut Mohd. Zainuri menelan belanja antara RM5 dan RM6 juta sejak 2004 meskipun beliau juga menggunakan bahan buangan seperti kayu dari landasan keret api, membina landskap dan penginapan bertaraf hotel.

”Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan,” katanya.

Pada mulanya, 50 ekor kambing dibawa masuk dari Australia dan hampir setiap hari, seekor akan mati.

Kali kedua, kejadian sama berulang dan mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mencari petua dan belajar daripada pelbagai pihak.

”Saya pernah dihalau oleh penternak apabila cuba menawarkan diri mendapatkan bimbingan daripadanya dan seorang penternak Cina akhirnya membantu saya memberikan tip berguna,” ujar beliau.

Beliau kemudiannya membangunkan kawasan tersebut sedikit demi sedikit bersesuaian dengan konsep pelancongan tani dan pada masa sama projek pembangunan kemudahan termasuk pejabat, gelanggang sukan masih diteruskan.

Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

”Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik.

”Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus,” katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.

Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.

Sementara itu menurut Mohd. Zainuri, pihaknya akan meluaskan aktiviti kepada penjualan ternakan apa bila projek tersebut dilaksanakan di Perlis tidak lama lagi.

Tumpuan akan diberi kepada pengeluaran di kawasan tersebut manakala ladang sedia ada akan tertumpu kepada pembiakbakaan dan R&D.

Syarikat tersebut terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai ladang pengganda kambing Boer dan lembu pedaging serta penggalak bagi industri ternakan kambing dan lembu.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.

Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.

Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.

Syarikat tersebut akan menjadi pembimbing dan lokasi bagi bengkel ternakan anjuran bersama Agro Bank, MayConsult dan Mega Utusan Malaysia pada 24 hingga 27 April ini.