Kempen celik herba hujung bulan ini

KUALA LUMPUR 13 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan Gitex Sdn. Bhd. untuk menganjurkan kempen “Celik Herba – Belilah Produk Kesihatan Tempatan” pada 30 April hingga 3 Mei ini.

Kempen yang dianjurkan sempena Pameran Dagangan Antarabangsa Herba ke-enam (Herbal Asia 2009) itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Persidangan Matrade (MECC) di sini.

Herbal Asia dalam kenyataannya di sini berkata, kempen selama empat hari itu merupakan usaha bagi mempergiat program promosi dan pemasaran produk keluaran tempatan khususnya pertanian herba dan produk berasaskan herba.

Kempen yang menyasarkan Malaysia sebagai pusat pengeluar produk pertanian berasaskan herba di rantau Asia Pasifik itu dilihat sebagai satu pendekatan berkesan dalam memberikan pendedahan lebih luas kepada produk herba tempatan dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan tentang khasiat serta nilai ubatan herba tempatan, katanya.

Sebagai platform penting untuk mempromosi produk berasaskan herba, Herbal Asia menyatakan kempen itu juga dijangka menarik minat ramai penggemar herba dari dalam dan luar negara.

Pendedahan besar-besaran semasa kempen dijangka mampu meningkatkan permintaan terhadap produk herba yang sekali gus berupaya melahirkan usahawan baru produk herba di peringkat daerah dan negeri, katanya.

Dengan itu import produk kesihatan berasaskan herba dijangka dapat dikurangkan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Gitex Sdn. Bhd. di talian (03) 6260 3506 atau Hajah Safinah Yaakob di talian (017) 300 7811.

Ceburi ternakan ruminan untuk tampung permintaan daging

KUCHING 13 April – Usahawan bumiputera di Sarawak digalakkan untuk menceburkan diri dalam bidang industri ternakan ruminan memandangkan permintaan daging melebihi daripada bekalan sedia ada di negara ini.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Sarawak, Mohd. Naroden Majais berkata, selain itu pengeluaran daging terutamanya kambing dan lembu telah menjadi satu industri yang boleh mendatangkan keuntungan sekiranya diceburi secara serius.

Menurutnya, ia juga selaras dengan hasrat Dasar Pembangunan Negara 3 (DPN3) untuk mengangkat sektor pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi ketiga negara.

”Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mempertingkatkan tahap sara diri terhadap daging kambing dan lembu yang mempunyai nilai tambah dan pada masa yang sama Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera mahu lebih ramai usahawan bumiputera membabitkan diri dalam sektor tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Keusahawanan Penternakan Kambing di Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Mohd. Naroden berkata, penganjuran kursus penternakan ruminan pada hari ini adalah antara salah satu daripada strategi penting untuk memastikan segala hala tuju yang ditetapkan dapat dicapai.

Katanya, antara hala tuju tersebut ialah meningkatkan sumbangan sektor ternakan bagi mengurangkan import, mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi (baka) pada harga yang kompetitif, meningkatkan jumlah usahawan bumiputera berskala besar dan mempelbagaikan pengeluaran bahan mentah.

Selain itu, tambahnya, pembangunan kapasiti sumber manusia juga merupakan asas utama kepada kejayaan serta aspirasi pembangunan dan daya maju penternakan di negeri ini.

”Kursus ini memberi pendedahan kepada usahawan di Sarawak untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang ilmu penternakan ruminan dan kaitannya dengan pembangunan produk lain.

”Usaha ini bertepatan dengan visi kerajaan yang ingin melahirkan seramai 150,000 usahawan baru dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9),” katanya.

Pasaran tinggi produk tani

wu_011

ILIAS Ali (kiri) dan para petani memerhatikan mesin tabur benih dan baja semasa Hari Promosi Input Pertanian dan Bekalan Ladang di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A1, Arau, baru-baru ini. – UTUSAN/FAIZAL ABU HASSAN


ARAU 14 April – Pertubuhan Peladang Kawasan A-1 (PPK A-1), Guar Sanji di sini yakin hasil jualan input pertanian dan produk industri asas taninya sepanjang 2009 melebihi RM40,000.

Sasaran itu dibuat berdasarkan petunjuk semasa, terutama berpandukan permintaan daripada para pelanggan tempatan sendiri.

Pengerusi PPK A-1, Ilias Ali memberitahu, pihaknya menjangkakan hasil jualan semasa Hari Promosi Input Pertanian dan Produk Industri Asas sepajang 2009 melepasi tahap RM40,000.

“Berdasarkan petunjuk semasa, terutama permintaan daripada para pengguna tempatan, kami percaya catatan jualan tahun 2009 melepasi angka RM40,000 atau akan mencecah RM50,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

PPK A-1 mengadakan Hari Promosi Input Pertanian dan Produk Industri Asas Tani dua kali setahun.

Kali pertama bagi musim 2009, hari tersebut telah diadakan 6 April lepas manakala yang kedua dijadualkan sama ada Ogos atau September depan.

Pengerusi PPK A-1 seterusnya memberitahu, ketika hari promosi itu diadakan, ahli PPK tersebut yang terdiri daripada petani dan penternak didedahkan dengan maklumat untuk menggandakan hasil pertanian masing-masing.

Maklumat berkenaan jelasnya, termasuklah mengenai penggunaan jentera pertanian, racun makhluk perosak, baja dan benih terbaik yang berada di pasaran.

“Penerangan mengenai perkara itu dibuat oleh mereka yang berstatus pakar dalam bidang berkaitan. Semua itu kami buat agar petani mendapat pulangan berganda dari hasil ladang terutama sawah,” ujarnya.

Apa yang lebih membanggakannya kata beliau, semakin ramai petani terutama golongan wanita yang menjadi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Mereka menjadi usahawan IKS di rumah masing-masing. Selepas itu produk makanan, minuman dan hasil kraf tangan dipasarkan semasa Hari Promosi Input Pertanian dan Produk Industri Asas Tani.

“Apa yang lebih membanggakan kami ialah apabila mendapati barangan IKS yang dipasarkan itu bermutu tinggi, harganya pula berpatutan dan pelanggan tetapnya ialah masyarakat tempatan sendiri,” katanya.

Di sebalik pencapaian cemerlang PPK A-1 itu, Ilias ternyata tidak menyembunyikan pihak yang menjadi ‘tulang belakang’ kepada kejayaan PPK berkenaan.

Beliau memberitahu, pihak yang sentiasa menjana kecemerlangan PPK tersebut ialah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sendiri.

“Salah satu tunjang kejayaan PPK A-1 ialah kerana para pegawai MADA tidak jemu memberikan bimbingan terutama mengenai cara menjaga mutu produk dan pelan pemasaran.

“Tanpa MADA, PPK A-1 tidak mampu berdikari untuk menjayakan pelbagai projek bagi manfaat 1,475 ahli. Kami berterima kasih kepada pengarah MADA kerana tidak jemu membantu,” ujarnya.