Pameran Herba Asia 2009

BUTTERWORTH 9 April – Pengusaha tanaman herba di seluruh negara digalakkan menanam herba yang berpotensi untuk dipasarkan dan dicadangkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pengarah FAMA Wilayah Utara, Ariffin Awang berkata, lima herba yang dikenal pasti berpotensi untuk pasaran dalam dan luar negara ialah mas chotek, kacip fatimah, misai kucing, limau purut dan pegaga.

“Bidang tanaman herba masih belum diterokai secara meluas namun ia penting untuk mengembangkan industri pelancongan herba yang mendapat tempat di hati pelancong asing apabila melawat negara kita,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Perjumpaan dan Taklimat Penggiat Usahawan Herba Peringkat Wilayah Utara (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis) sempena Pameran Dagangan Antarabangsa Herba Asia 2009 kali ke-6 yang bakal diadakan pada 30 April sehingga 3 Mei di Kuala Lumpur.

Lebih 60 penggiat dan pengusaha herba di wilayah utara hadir pada majlis taklimat anjuran Gitex (M) Sdn. Bhd. merangkap penganjur Herba Asia 2009.

Ariffin berkata, penggiat dan pengusaha tanaman herba diingatkan supaya tidak ghairah menanam herba tanpa mengetahui potensi pasaran.

Justeru katanya, adalah penting penggiat tanaman herba bertemu dengan usahawan herba bagi membincangkan serta bertukar-tukar maklumat tentang pemasaran dan pasaran.

“Produk yang dihasilkan di negeri-negeri sebelah utara mempunyai perbezaan. Jadi, kita mahu penggiat industri herba menghasilkan produk untuk memasuki spa kecantikan, hotel-hotel dan resort,” ujarnya.

Kata Ariffin, terdapat lebih 100 pengusaha tanaman herba di Wilayah utara yang perlu kolaborasi dan pendekatan sinergi memandangkan bidang pertanian herba adalah kaedah sampingan yang dapat membantu menambah pendapatan.

Menurut beliau, sejajar dengan hasrat kerajaan melalui FAMA untuk mengembangkan industri pelancongan herba negara ke pasaran luar, seluruh penggiat dan usahawan herba adalah digalakkan menyertai dan hadir ke pameran itu.

Bulan Tanaman dekatkan rakyat dengan pertanian

ag_0111

Sesiapa saja yang berminat dengan pertanian boleh mendapatkan maklumat semasa bulan tanaman.


Selepas bulan Februari diumumkan sebagai Bulan Perikanan, Mac sebagai Bulan Ternakan dan kini bulan April pula dikenali sebagai Bulan Tanaman.

Inisiatif bulan mengikut sektor pertanian diadakan hasil cetusan idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed.

Fokus bulan yang dilakukan merupakan pendekatan Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan dengan lebih fokus dan tersusun mengikut sub sektor pertanian seperti tanaman, perikanan dan ternakan.

Pengarah Pengembangan, Perundingan Pelaburan dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Datuk Safie Baharom berkata, bulan yang dilaksanakan mengikut sub sektor adalah untuk memberikan tumpuan kepada golongan sasar.

Ini termasuk petani, penternak dan nelayan serta mereka yang berminat dalam sektor pertanian untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan, sesi aduan pelanggan dan dialog.

Selain itu pengunjung juga berpeluang melawat tapak pameran serta membeli produk pertanian segar.

”Konsep Bulan Tanaman juga menyaksikan pegawai lebih kerap turun padang seperti dinyatakan oleh Menteri Pertanian (dan Industri Asas Tani).

Semasa program Bulan Tanaman, Jabatan Pertanian bertindak sebagai ketua agensi di bawah kerjasama MoA Inc.

Ia melibatkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Agensi-agensi lain ialah seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agro Bank.

“Semua agensi akan bersama-sama membantu golongan petani dan mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang tanaman dengan memberikan khidmat nasihat teknikal, pengetahuan dan keperluan mereka,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Safie berkata, matlamat sebenar Bulan Tanaman adalah mewujudkan hubungan erat antara pegawai Jabatan Pertanian dan agensi MoA Inc dengan golongan sasar.

Ini membolehkan mereka mengetahui maklumat, program dan aktiviti yang ditawarkan dalam membangunkan sektor pertanian dan industri asas tani.

“Selain itu pegawai-pegawai juga dapat mengetahui keperluan golongan sasar melalui aduan dan dialog supaya sistem penyampaian dapat ditingkatkan dan memberi impak lebih cepat dan berkesan bagi menangani isu berkaitan tanaman,” katanya.

Dengan adanya Bulan Tanaman, ia dapat memberi peluang kepada sesiapa yang berminat dengan aktiviti pertanian untuk mengetahui potensi sebenar tanaman untuk diusahakan secara komersial seperti Amalan Pertanian Baik (APB), fertigasi dan tanaman semula jadi.

Jabatan Pertanian juga ingin menyampaikan dan memberikan maklumat berkenaan pembangunan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Pembangunan Tanah Terbiar, Kawasan Tumpuan Pembangunan Pertanian (ACDA) dan Agro pelancongan.

Bulan Tanaman yang bermula pada 3 April akan berakhir 8 Mei akan datang dengan pelbagai aktiviti dari peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat.

Aktiviti utama iaitu Hari Bertemu Pelanggan merangkumi aduan dan dialog pelanggan, program insentif tanaman, penerangan pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) selain pameran dan jualan produk tanaman dan industri asas tani.

Safie berkata, Bulan Tanaman peringkat kebangsaan akan dilancarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 12 April di Sungai Dua Tasik Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung sekitar Lembah Kelang, ibu pejabat Jabatan Pertanian Putrajaya juga mengadakan pelbagai program seperti Seminar Pelaburan, dialog , talk show, khidmat pakar runding dan pameran.

Menyentuh mengenai impak Bulan Tanaman dalam membangunkan sektor pertanian, Safie berkata, ia memberikan satu pendekatan yang fokus kepada aktiviti tanaman bagi menghubungkan pegawai agensi dengan golongan sasar.

“Ini bagi memastikan golongan sasar dapat meningkatkan pengeluaran bekalan negara serta pendapatan petani.

“Dengan penyampaian maklumat berkaitan tanaman serta maklum balas pelanggan diharap dapat mengerakkan sektor pertanian ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Safie berharap, Bulan Tanaman yang dilaksanakan dapat memberikan kesan lebih fokus dalam membangunkan sektor tanaman di mana pegawai dan golongan sasar berganding bahu menjayakan pembangunan sektor pertanian.

Kejayaan 50 usahawan MARDI dibukukan

ag_021

sebahagian usahawan bimbingan MARDI melihat kisah kejayaan mereka yang telah didokumentasikan.


Buat pertama kalinya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologinya mendokumentasikan kejayaan usahawan di bawah bimbingannya.

Buku berkenaan yang menonjolkan 50 usahawan berjaya berdasarkan pencapaian mereka dalam perniagaan.

Pengarahnya, Datuk Masri Muhamad berkata, buku berkenaan dihasilkan bagi mengiktiraf tradisi keilmuan MARDI yang patut dikongsi bersama-sama usahawan.

“Penghasilan buku ini juga adalah sebagai merakamkan penghargaan kepada komitmen pegawai MARDI dalam usaha membangunkan usahawan berasaskan teknologi.

“Ini memandangkan di masa akan datang persaingan bertambah sengit dan perlu bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya semasa ditemui selepas majlis penyampaian Buku 50 Usahawan bimbingan MARDI Siri 1: Usahawan Makanan di Serdang baru-baru ini.

Masri menambah, ini juga bagi memberikan aspirasi dan inspirasi kepada barisan pelapis MARDI.

Mengenai pemilihan 50 usahawan, beliau berkata, ini berdasarkan kepada keuntungan yang tinggi, 100 peratus menggunakan teknologi MARDI dan berjaya meningkatkan taraf produk.

“Usahawan berkenaan juga amat yakin dengan teknologi MARDI dan mengambil peluang melabur bagi membesarkan usaha mereka,” katanya.

Tapi apakah beza usahawan bimbingan MARDI dengan agensi lain?

Masri berkata, pihaknya membimbing usahawan secara berterusan dan ingin berkembang berasaskan teknologi dalam pemprosesan, penghasilan produk, pertanian dan penternakan.

“Pihak kami tidak membantu dari segi kewangan tetapi memindahkan teknologi sambil memberikan khidmat nasihat dan memastikan usahawan berkenaan mencapai kejayaan,” katanya.

Usahawan bimbingan MARDI di bawah tiga aktiviti iaitu:

1. khidmat nasihat teknikal kepada semua usahawan menerusi surat, telefon, emel atau faks secara ringkas.

2. usahawan bimbingan untuk pasaran di pasar raya besar

3. usahawan bimbingan untuk pasaran eksport

Masri berkata, selepas ini pihaknya akan terus menerbitkan buku mengenai kejayaan usahawan bimbingan MARDI bagi memberikan motivasi bukan hanya kepada kakitangan tetapi juga bakal usahawan.

Pemprosesan dan pemasaran pertanian makin digemari

Pembangunan industri asas tani telah melonjakkan pasaran produk makanan Malaysia bukan sahaja untuk keperluan negara, bahkan ke peringkat antarabangsa.

Namun begitu, aspek keselamatan dan perundangan makanan adalah prosedur wajib sebelum di terima pasaran.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam mengawal kualiti dan keselamatan makanan melalui Peraturan Makanan 1985 selaras dengan Codex Alimentarius dan perundangan negara lain.

Perundangan keselamatan makanan ini mengambil kira peraturan kebersihan, import makanan, iridiasi makanan dan juruanalisis makanan.

Bagi memenuhi keperluan makanan ini, Malaysia perlu meningkatkan keupayaan kemahiran berkaitan teknologi pemprosesan makanan sebagai pengeluar makanan selamat serta berkualiti.

Dari aspek komersial pula, pencapaian standard berkenaan dapat meningkatkan daya saing industri makanan Malaysia.

Menyedari kepentingan tersebut, Institut Skill-Tech mengorak langkah menjalankan kursus Operator Pengeluar Pemprosesan Makanan Tahap Satu dan Dua, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia.

Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek berkata, permintaan yang sangat memberangsangkan terhadap kedua-dua kursus ini memperlihatkan tanda-tanda bahawa kesedaran semakin tinggi di kalangan masyarakat berkenaan pengeluaran dan pemasaran makanan.

”Potensi pasaran makanan berasaskan pertanian hingga ke peringkat antarabangsa menarik minat generasi muda untuk menyertai kursus seumpama ini,” katanya.

Kursus setahun yang dianjurkan oleh Institut Skill-Tech dapat membuka ruang kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengeluar dan pengedar makanan berasaskan pertanian.

”Jika mereka mempunyai kemahiran pemprosesan dan pemasaran, mereka tidak perlu mempunyai tanaman sendiri. Sebaliknya mereka boleh menjadi usahawan berjaya dengan membeli hasil pertanian yang ditanam orang lain,” ujar Nordin.

Sepanjang tempoh berkursus, bidang pemprosesan makanan memberi penekanan tentang proses kerja yang melibatkan penggunaan makmal pengeluaran.

Mereka bukan sahaja didedahkan dengan aspek keselamatan kerja tetapi juga penyediaan bahan makanan sehingga terhasil produk makanan sepenuhnya.

Dalam erti kata lain, mereka akan mempelajari teknik memproses bahan mentah hinggalah pembungkusan produk mengikut piawaian yang ditetapkan.

Tidak ketinggalan, Institut Skill-Tech turut memfokuskan pembangunan produk halal kerana mereka berpengalaman menjalankan kursus pensijilan halal dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2005.

Dalam bidang pemasaran pula, Institut Skill-Tech ingin mengembangkan bidang tersebut melalui kursus Wakil Jualan dan Penyelia Jualan.

”Banyak syarikat termasuk pasar raya bertaraf hypermarket yang tidak mempunyai ladang pertanian mereka sendiri tetapi mampu meraih keuntungan dengan mengedarkan produk pertanian kerana kekuatan strategi pemasaran mereka,” kata Nordin.

Institut Skill-Tech berharap dapat melahirkan pengedar makanan pertanian terlatih melalui kursus ini. Dalam masa yang sama, mereka juga akan mempunyai kesungguhan untuk meneroka pasaran baru produk berasaskan pertanian.

Menurut Nordin, kedua-dua kursus ini akan dijalankan sepenuhnya di MITC, Melaka.

Memandangkan pembiayaan kursus adalah percuma, belia bumiputera yang berumur 18 hingga 35 tahun digalakkan menyertai kursus ini. Selain itu, mereka juga akan diberikan elaun sara diri berjumlah RM300 sebulan selama setahun.

Kursus ini adalah biasiswa penuh Mara. Setiap pelatih yang berjaya menamatkan kursus akan mendapat sijil SKM dan sijil keusahawanan INSKEN. Untuk maklumat lanjut hubungi 06-5531416 atau 06-5531418.

UPM anjur kursus cendawan

PERUSAHAAN cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dan di tanam secara meluas di seluruh negara.

Banyak faktor yang mendorong ramai pengusaha menceburi bidang ini seperti keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat, kos pengeluaran yang rendah, potensi pemasaran yang baik serta kandungan nutrien pemakanan yang tinggi.

Penerimaan yang baik itu telah mendorong Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Kursus Asas Pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu bermula 28 hingga 29 April ini.

Ia akan diadakan di Rumah Cendawan, Unit Hortikultur Seksyen Tanaman, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Kursus tanaman cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju itu bermatlamat mendedahkan peserta dengan teknik pengeluaran asas supaya mereka dapat melaksanakan penanaman sendiri sebaik sahaja kursus tamat.

Ia terbuka kepada orang ramai yang berminat dengan yuran penyertaan RM400 seorang untuk fail, nota kursus, nota catatan, alat tulis, sijil penyertaan dan makanan tetapi tidak termasuk penginapan.

Penyuntikan

Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti taklimat penyediaan media tanaman, penyuntikan benih, memetik hasil, penyelenggaraan, kaedah pembungkusan hasil, penerangan kemudahan pinjaman bank serta rancangan perniagaan.

Demonstrasi ringkas mengenai penyediaan benih juga akan dilakukan bagi memberi gambaran yang lebih kepada peserta.

Tenaga pengajarnya pula terdiri daripada pegawai dan kakitangan yang berpengalaman dari Unit Tanaman Cendawan, Seksyen Penyelidikan Agroteknologi, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Helmi Azro Mohd. Hassan di talian 03-89471266 atau Abdull Ghaffar Othman di talian 03-89467429.

Untuk mendapatkan maklumat cadangan penginapan pula, peserta boleh menghubungi Rumah Tetamu UPM di 03-89467967.