FAMA bantu penternak ikan patin

TEMERLOH 6 April – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) daerah Temerloh sedia memberikan bimbingan dan bantuan kepada penternak ikan air tawar dalam sangkar di sini bagi mencapai sasaran pengeluaran sebanyak 85 tan metrik ikan patin sebulan.

Pegawai FAMA daerah, Abdul Razak Abdul Karim berkata, melalui bimbingan dan bantuan itu, penternak dapat meningkatkan hasil pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini terutama ikan patin.

Setakat ini, kata beliau, penternak ikan dalam sangkar di Sungai Pahang dan Sungai Semantan di sini hanya mampu mengeluarkan 40 tan metrik ikan patin sebulan sedangkan permintaan melebihi 85 tan metrik.

“Bagi menampung permintaan tersebut, peniaga terpaksa membawa masuk ikan patin dari Pekan, Maran, Jerantut dan Rompin.

“Bagaimanapun, ikan patin dari kawasan lain kurang mendapat sambutan di kalangan pembeli kerana rasa dan kualitinya yang tidak setanding ikan patin Temerloh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kursus pengendalian dan pemasaran kepada 60 penternak ikan air tawar di sini, semalam.

Kursus itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak.

Menurut Abdul Razak, FAMA akan terus memainkan peranannya dalam membantu penternak meningkatkan pendapatan menerusi khidmat nasihat, pemasaran dan pembangunan infrastruktur, kemudahan serta peralatan yang diperlukan.

Katanya, FAMA akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Temerloh untuk membina dan mengenal pasti gerai-gerai pemasaran tetap bagi membantu penternak memasarkan terus ikan patin dan talapia.

Beliau memberitahu, Jabatan Perikanan dan AgroBank di daerah ini turut memberi bantuan dalam usaha melahirkan lebih ramai penternak dan usahawan tani supaya pengeluaran ikan patin dapat ditingkatkan kepada 85 tan metrik sebulan.

“Kita berharap dapat melahirkan lebih ramai penternak terutama di kalangan belia dan siswazah kerana ia mampu memberikan pulangan lumayan di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

“Walaupun sehingga kini FAMA tidak membeli ikan yang diternak oleh pengusaha tempatan tetapi kita akan terus membantu mereka mendapat tempat seperti di pasar tani dan beberapa lokasi tertentu yang menjadi tumpuan pembeli,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s