Gemilangkan pertanian

ag_011

Abdullah Ahmad Badawi memetik buah jambu batu merah ketika mengadakan lawatan ke Golden Hope Food & Beverages Sdn Bhd di Ladang Sungei Wangi, Sitiawan, Perak.


KERAJAAN telah menyediakan pelbagai polisi yang menghala kepada satu arah iaitu mengindustrikan pertanian ke tahap lebih tinggi sebagai sumber kekayaan melalui peningkatan nilai tambah yang dipacu oleh sains dan teknologi serta sektor swasta yang dinamik.

Dalam satu dekad yang lepas, sektor pertanian mengandungi tiga polisi utama iaitu Dasar Pertanian Negara (DPN) III (1998-2010), diikuti oleh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) (2006-2010) dan Pelan Induk Pertanian III (PIP) (2006 – 2020).

Dasar Pertanian Negara (DPN) III menyediakan landasan untuk pembangunan sektor ini secara menyeluruh dengan penekanan kepada pembangunan mapan sumber.

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi suntikan baru kepada sektor pertanian dengan peruntukan dan strategi meningkatkan nilai tambah pertanian melalui sains dan teknologi dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, modal insan terutama usahawan tani dan pembangunan sektor makanan untuk mencapai imbangan perdagangan positif bagi komoditi dalam sektor itu terus diperkukuhkan.

Polisi bioteknologi juga telah diperkenalkan untuk meningkatkan nilai tambah kepada sektor ini melalui penjanaan produk dan sumber bioteknologi untuk pelbagai tujuan seperti farmasi, perubatan, makanan, hiasan dan industri.

PIP III melengkapkan DPN III dan RMK-9 untuk mengindustrikan sektor pertanian dengan lebih pesat.

Industri asas tani seperti kelapa sawit dan getah telah diberi penekanan khusus untuk dimajukan.

Begitu juga sektor makanan halal yang menerima pelbagai insentif kewangan untuk dibangunkan sama taraf dengan industri pembuatan yang lain.

Malah pembentangan bajet-bajet tahunan melengkapkan sektor pertanian untuk mencapai semua wawasan yang diuar-uarkan dalam ketiga-tiga dokumen polisi tersebut.

Bajet 2007 misalnya menyediakan peruntukan ke arah mengkomersialkan sektor ini melalui peningkatan produktiviti dan kecekapan.

Tabung makanan ditambah sebanyak RM300 juta sementara pembangunan industri daging juga menerima peruntukan sebanyak RM151 juta.

Dalam pada itu, skim kredit bukan makanan sebanyak RM20 juta telah disediakan untuk membantu industri seperti bunga dan kenaf.

Peruntukan juga diberi untuk pembangunan ikan hiasan dan akuakultur.

Industri berasaskan bioteknologi dalam bidang pertanian juga menerima beberapa insentif fiskal yang dijangka akan menggiatkan pertumbuhannya.

Antaranya adalah geran padanan dalam Program Pemerolehan Bioteknologi dan peruntukan untuk pengkomersialan.

Syarikat berstatus ‘bionexus’ pula diberi pengecualian cukai selama 10 tahun bermula daripada tahun pertama syarikat memperolehi keuntungan dan diikuti oleh beberapa kadar konsesi dan insentif lain yang menarik.

Pembangunan industri halal diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Industri Halal yang akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perbadanan Menteri di samping pembinaan tapak Taman Halal dan kredit untuk IKS dan usahawan produk halal.

Peruntukan RM3.6 bilion telah dikhususkan untuk pertumbuhan pertanian tahun 2007, peningkatan sebanyak 28 peratus dibandingkan dengan tahun 2006.

Kerajaan juga telah memperuntukkan dana untuk memajukan tanaman florikultur, herba dan rempah. Peruntukan disediakan untuk menerokai industri baru seperti minyak kelapa asas, nira-nipah dan kambing Boer.

Ini merupakan inisiatif yang dinanti-nantikan untuk menggemblengkan kepelbagaian bio yang dimiliki oleh Malaysia.

Di samping pembangunan sektor pertanian, kerajaan pimpinan Abdullah juga secara serentak menyediakan pelbagai suntikan pembangunan seimbang antara kawasan, pembangunan luar bandar, menangani kemiskinan serta memastikan kelestarian sumber dan persekitaran.

Dalam kata ringkas, usaha-usaha kerajaan adalah menjanjikan persekitaran makro yang subur dan lestari untuk membolehkan sektor pertanian bertumbuh dengan pesat.

Pelbagai peruntukan dan strategi telah disediakan untuk membangun industri berasaskan bio; daripada dana untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), modal teroka untuk bioteknologi, pembangunan usahawan, insentif fiskal, kredit dan pelbagai lagi.

Dengan tiga dokumen polisi menyokong sektor pertanian bersama dengan pelbagai suntikan dana, insentif, prasarana, R&D dan pembangunan usahawan dan latihan, sektor pertanian mampu melonjak ke tahap industri yang menghasilkan keluaran bernilai tinggi, jauh berbeza dengan statusnya sebagai sektor tradisional untuk pengeluaran makanan dan bahan mentah sahaja.

Lanjutan usaha untuk menempatkan semula sektor pertanian sebagai enjin ketiga ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6.5 bilion lagi untuk membangunkan bidang tersebut.

Langkah ini menepati wawasan memajukan sektor pertanian negara.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s