Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar esok

MELAKA 2 April – Berdasarkan sambutan menggalakkan, Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar anjuran Mega Utusan Malaysia akan diadakan lagi di Kompleks Teknologi Pertanian, Ladang Buah-Buahan Tropika Melaka (MTFF), Sungai Udang dari 4 hingga 6 April ini.

Penyelaras bengkel, Khairuddin Omar berkata, program itu diadakan lagi atas permintaan para usahawan petani dan penternak di negeri ini yang menyifatkan bengkel itu memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, atas permintaan itu, bengkel tersebut diadakan lagi selama tiga hari bermula Sabtu ini bagi membantu para usahawan petani dan penternak mengetahui lebih mendalam penggunaan teknik bertani dan menternak secara lebih moden.

”Sambutan bengkel pertama di MTFF pada 28 hingga 30 Mac lalu cukup menggalakkan malah ramai lagi yang tidak dapat turut serta.

”Atas permintaan itu kita anjurkan lagi bengkel ini di tempat yang sama dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk mengambil bahagian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada bengkel lalu, seramai 30 orang menyertainya. Ia dianjurkan bersama Agro Bank dan May Consult.

Program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu merupakan sebahagian daripada usaha Agro Bank untuk membantu kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan tani di negara ini.

Sehubungan itu Khairuddin berkata, orang ramai dipelawa menyertai bengkel itu dengan yuran RM150 dikenakan bagi setiap peserta dan ia dihadkan hanya kepada 30 peserta pertama yang mendaftar.

Bayaran itu katanya termasuk makan, minum dan tempat penginapan dan mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 012-3558510.

Bengkel itu akan memberi pendedahan kepada para peserta mengenai penggunaan teknik bertani dan menternak sehingga ke peringkat bagaimana ingin memasarkan produk pertanian yang dihasilkan.

Sementara itu, menurut Pengurus Pusat Latihan Tani Agro Bank, Abdul Shukor Abdul Jabbar, selain bengkel dan kursus tani, Agro Bank turut menganjurkan seminar dan lawatan pertanian.

”Ia bertujuan mendedahkan kepada peserta mengenai peluang serta kemudahan terkini yang dtawarkan oleh pelbagai agensi pertanian yang terlibat.

”Penganjuran bengkel juga merupakan sebahagian daripada usaha kita dalam menyokong komitmen dan rancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk melahirkan 10,000 usahawan tani setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, Agro Bank lebih berperanan menyediakan peluang latihan dan bengkel kursus kepada mereka yang berminat melibatkan diri dalam bidang ternakan dan tanaman tanpa mengambil kira latar belakang pendidikan atau profesion peserta.

Tambahnya, dalam bengkel itu, peserta akan diberikan pengkhususan kepada tiga bentuk kursus dan latihan pertanian iaitu penternakan, perikanan, tanaman dan terbaru memperkenalkan kursus ikan puyu dan talapia.

One thought on “Bengkel Usahawan Ikan Air Tawar esok

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s