Pertanian lestari utamakan alam semula jadi

ag_0113

Pertanian lestari mengutamakan kaedah semula jadi dan organik.


PERTANIAN antara salah satu pekerjaan yang telah lama dilakukan di seluruh dunia bagi mendapatkan bekalan makanan.

Jika dahulu, pertanian dijalankan secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri tetapi kini pertanian dijadikan satu bisnes atau perniagaan.

Justeru, bagi memperoleh hasil yang tinggi sebagai ladang komersial pelbagai bahan kimia seperti baja dan racun serangga digunakan.

Jika dibanding dengan ladang konvensional yang hasilnya untuk makan sendiri, semua baja yang digunakan adalah terhad manakala racun serangga mungkin tidak digunakan langsung.

Penggunaan racun dan baja kimia yang berleluasa mula menimbulkan kesan sampingan selepas 40 hingga 50 tahun terutama kesannya terhadap alam sekitar .

Kajian juga mendapati sisa racun dan bahan kimia dapat dikesan dalam makanan yang diambil setiap hari.

Di samping itu, penggunaan racun berleluasa menyebabkan populasi serangga perosak bertambah tinggi kerana rintang atau imun terhadap racun yang diberikan selain memusnahkan serangga yang baik dan biasanya berguna sebagai agen polinasi (pendebungaan).

Berbanding dengan dulu, kini penyakit pokok semakin bertambah setiap hari dengan input pertanian yang perlu ditambah.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Abd Jamil Zakaria berkata bagi menyaingi masalah berkenaan, petani perlu beralih ke arah pertanian lestari.

Pertanian lestari merupakan satu konsep pertanian mapan yang tidak mencemarkan alam sekitar.

Produk pertanian lestari adalah selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar selain menstabilkan pendapatan petani.

Peralihan daripada pertanian konvensional kepada pertanian lestari mempunyai banyak kelebihan.

Selain menyumbangkan kepada pencemaran, pertanian konvensional juga membebaskan gas rumah hijau – karbon dioksida, metana dan nitros oksida yang menyebabkan pemanasan global.

Penggunaan baja nitrogen secara berterusan menghasilkan nitros oksida sebagai hasil sampingan.

Walaupun sektor pertanian di negara ini hanya menyumbang 10 hingga 15 peratus gas rumah hijau berbanding sektor perindustrian tetapi jika diuruskan dengan baik akan dapat memperlahankan proses pemanasan global.

Dalam semua keadaan terdapat unsur karbon yang menghasilkan gas rumah hijau.

Oleh itu bagi karbon perlu diselamatkan daripada bebas ke udara dan jika karbon berada di dalam bumi, suhu dijangka akan stabil.

Persidangan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai persidangan mengenai pemanasan global serta kesan-kesannya dalam jaminan makanan, sosial dan ekonomi.

Satu cara bagi mengatasi masalah pembebasan gas rumah hijau dan pemanasan global adalah pertanian lestari.

Pertanian lestari banyak bergantung kepada bahan semulajadi menggunakan flora dan fauna yang terdapat dalam tanah.

Misalnya bagi mendapatkan unsur nitrogen dalam baja, gunakan mikrob yang mampu mengambil nitrogen dari udara untuk dipindahkan ke pokok.

Biasanya dalam pertanian lestari, tanah akan subur apabila terdapat banyak karbon di dalamnya.

Pertanian lestari menggunakan bahan kimia yang minimum dan tidak merosakkan alam sekitar.

Contoh pertanian lestari adalah pertanian organik dan pertanian semulajadi.

Kedua-dua pertanian ini menggunakan sumber semula jadi seperti baja organik, arang daripada kayu bagi menambahkan unsur karbon dalam tanah daripada satu kepada empat peratus.

Apa yang tidak ramai ketahui, hujung rerambut akar mengeluarkan karbon bagi menggalakkan pertumbuhan mikrob.

Manakala pokok yang sihat akan mengeluarkan cairan dari hujung akar bagi menggalakkan pertumbuhan mikrob.

“Jika racun atau baja kimia digunakan ia akan mengganggu kitaran flora dan fauna,” katanya.

Dalam pertanian lestari, nutrien dalam pokok akan berada dalam keseimbangan dan mengurangkan serangan serangga.

Terdapat teori yang mengatakan serangga kurang menyerang pokok yang mempunyai keseimbangan semula jadi.

Bila menggunakan banyak racun perosak, mikrob pada pokok akan mati dan memudahkan serangan serangga dan penyakit.

Kini permintaan terhadap makanan organik dan semulajadi bertambah tinggi dengan kesedaran terdapat pelbagai penyakit seperti kanser.

Justeru pihak MARDI mengadakan Seminar Kebangsaan Kali ke 2 Agro-Alam Sekitar 2009 yang bertajuk Agro-Alam Sekitar: Penyesuaian pada perubahan cuaca tidak menentu menerusi pertanian lestari

Seminar yang akan diadakan pada 24 hingga 26 Mac ini di Johor dengan tajaan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Jabatan Kajicuaca) dan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Seminar ini akan membincangkan mengenai kesedaran awam mengenai kepentingan agro-alam sekitar bagi mengekalkan produktiviti pertanian.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengikuti seminar berkenaan boleh menghubungi sekretariat di 019-3443877, 03-89437390 atau e-mel: agroenv@mardi.gov.my.

Janji pulangan lumayan

wj_0115

Osman Cheya Kutty, pembekal daging korban di Kampung Kangkar, Tebrau, Johor Bahru.


JOHOR BAHRU 16 Mac – Pertanian merupakan satu bidang yang cukup sinonim dengan Malaysia kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara.

Bidang penternakan khususnya mengalami fasa perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kebanyakan usahawan di negara ini semakin rancak menjalankan kegiatan penternakan kambing kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Ladang Kambing Osman yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru begitu komited terhadap pengeluaran hasil daging dan tenusu yang segar serta berkualiti tinggi.

Penubuhan ladang tersebut pada peringkat awalnya bertujuan menyahut seruan kerajaan bagi membangunkan sektor pertanian dan penternakan sebagai enjin kedua penggerak ekonomi Malaysia.

Pemiliknya, Osman Cheya Kutty, 40, berkata, bidang penternakan kambing semakin diminati dan sememangnya menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap daging kambing semakin meningkat.

Katanya, permintaan terhadap daging kambing di kalangan masyarakat semakin bertambah dan setiap bulan Ladang Kambing Osman mampu menjual kira-kira 200 ekor kambing untuk pelbagai tujuan.

‘‘Jika dahulu, orang hanya akan membeli kambing setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha tetapi kini hampir setiap hari ada sahaja yang datang untuk membeli kambing untuk dibuat aqiqah,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di ladangnya di Kampung Kangkar, Tebrau di sini baru-baru ini.

Osman berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk para pelanggan yang ingin membeli kambing di ladangnya termasuk urusan penyembelihan, melapah daging serta menyediakan perkhidmatan memasak daging berkenaan.

‘‘Kami menyediakan kemudahan pusat sehenti kepada para pelanggan supaya mereka tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat lain bagi menyembelih kambing yang dibeli.

‘‘Ladang ini turut menyediakan perkhidmatan penghantaran secara percuma kepada para pelanggan yang membeli kambing di sini,’’ jelasnya.

Osman memberitahu, pemilihan baka kambing yang baik untuk tujuan pembiakan adalah amat penting bagi memastikan pengeluaran optimum dapat dihasilkan.

‘‘Antara baka-baka pedaging yang sering mendapat permintaan penternak di Malaysia ialah Jamnapari, Ettawah dan Boer. Manakala untuk pengeluaran susu, jenis Anglo Nubien, Saneen dan British Alpine sentiasa mendapat permintaan tinggi.

‘‘Kami di sini bersedia membekal baka- baka daripada pelbagai jenis pada harga yang amat berpatutan,’’ katanya.

Beliau berkata, adalah amat penting untuk memilih kambing yang mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki seperti baka dan keturunan, bentuk badan dan kualiti pengeluaran daging haiwan itu.

‘‘Kebiasaannya baka kambing untuk tujuan pengeluaran daging mempunyai struktur badan yang padat jika dibandingkan dengan baka untuk pengeluaran susu kerana fizikalnya lebih besar berbanding kambing daging,” katanya.

Selain itu, katanya, pemakanan yang berkualiti merupakan aspek penting bagi memastikan haiwan ternakan membesar dengan cepat dan berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, rumput dan kekacang adalah bahan makanan penting bagi kambing dan lain-lain ternakan ruminan.

‘‘Rumput dan kekacang pada umur yang sesuai, bukan sahaja mempunyai nilai pemakanan dan zat yang penting, tetapi juga mempunyai bahan penting bagi mengeluarkan susu yang berlemak.

‘‘Kuantiti yang banyak di samping adanya gentian kasar dapat merangsang perut besar supaya menjadi lebih cekap bagi memastikan sistem penghadaman haiwan ternakan berada dalam keadaan terbaik,’’ jelasnya.

Sinar baru bekas penagih

wj_0114

SEBAHAGIAN bekas penagih dadah mempelajari teknik menanam cendawan di Pusat Ternakan Kambing Boer dan Cendawan Tiram, Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar.


MUAR 17 Mac – Golongan penagih dadah sering dipinggirkan masyarakat walaupun mereka telah insaf selepas menjalani pemulihan di pusat serenti.

Bagi mendekatkan diri dan membuka mata bekas penagih, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pelbagai program untuk membuktikan golongan berkenaan juga boleh berjaya jika berusaha bersungguh-sungguh dan diterima masyarakat.

Antara program atau kemahiran yang diberikan untuk memulakan kehidupan baru bagi golongan berkenaan adalah melibatkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan.

Menyedari manfaat latihan dan pengetahuan mengenai perkara tersebut, AADK telah menghimpunkan 25 bekas penagih dari seluruh negeri mengikuti kursus penanaman cendawan di Pusat Ternakan Kambing Boer dan Cendawan Tiram di Kampung Tengah, Sungai Terap, di sini.

Ketua Pengarah AADK Johor, K. Sukumaran berkata, program keusahawanan merupakan satu langkah yang bijak dan tepat kerana ia memberi peluang dan ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing.

“Program keusahawanan anjuran AADK seumpama ini bukan sahaja berkesan, malah ia dapat melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Selain itu, program ini juga memberi kemahiran kepada golongan berkenaan untuk menyelia projek pertanian,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan kursus tersebut di sini baru-baru ini.

Sukumaran memberitahu, program keusahawanan seumpama ini turut mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya kepada bekas penagih.

“Program ini sekali gus menunjukkan kesungguhan AADK membantu bekas penagih supaya mereka pulang ke pangkal jalan dan mengusahakan projek pertanian yang mendatangkan hasil dan pendapatan pada masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal berpendapat, usaha yang dilakukan AADK menunjukkan kerajaan begitu komited membanteras masalah penagihan najis dadah.

“Program dua hari ini bukan sahaja menekankan dari aspek pembelajaran semata-mata, sebaliknya dipraktikkan dengan memberi tunjuk ajar kepada para peserta bagaimana cendawan tiram ditanam,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Wirajaya Marketing, Rashid Alias memberitahu, pihaknya berbesar hati menaja lokasi dan program seumpama itu.

Katanya, para peserta yang menyertai program keusahawanan itu bukan sahaja didedahkan dengan pengetahuan secara teori, malah turut diberi kemahiran praktikal dalam bidang pertanian.

“Pertanian berasaskan cendawan tiram semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat dan memberi keuntungan yang berlipat ganda,” katanya yang turut menyumbang 3,000 bongkah cendawan tiram kepada para pelatih AADK.

Justeru, Rashid mengalu-alukan orang ramai terutamanya bekas penagih supaya menceburkan diri dalam bidang tersebut.

Peluang jadi pembekal baja cacing

ag_021

Produk baja daripada cacing keluaran Perintis.


PERINTIS Agrotech Centre (Perintis), sebuah pusat pembangunan industri pertanian dan asas tani, kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menghasilkan produk-produk pertanian biotek berasaskan cacing.

Sehingga kini Perintis telah membuka dua kilang ternakan cacing yang menumpukan kepada pengeluaran baja vermikompos secara besar-besaran.

Di samping itu, sebuah lagi kilang yang terletak di Semenyih digunakan sepenuhnya untuk memproses produk-produk biotek yang berasaskan ekstrak dan baja cacing.

Di antara produk berasaskan cacing yang mendapat sambutan yang paling tinggi ialah Bio-Booster yang merupakan makanan utama yang digunakan dalam sistem ternakan keli ProAsli yang hanya memerlukan penjagaan seminggu sekali dan tanpa penggunaan pelet sehingga waktu tuaian.

Penyelidikan

Kini Perintis giat membangunkan penyelidikan untuk memberi tambah nilai kepada baja vermikompos tersebut.

Terdapat pelbagai lagi produk yang telah dihasilkan iaitu Bio-Vita, yang merupakan vitamin dan makanan tambahan untuk ternakan, Bio-Aqua yang digunakan untuk mengawal kualiti air dan mempercepatkan tumbesaran ternakan ikan dan pelbagai produk lain.

Bagi menampung pengeluaran produk-produk berasaskan cacing ini, seramai 200 pembekal baja vermikompos akan dilantik oleh Perintis.

Adalah dijangka lebih 30 tan baja akan dihasilkan dalam tempoh sebulan bulan.

Setakat ini hampir 15 tan per bulan baja telah digunakan bagi memproses produk-produk tersebut dan bermula bulan Jun ini , Perintis mensasarkan pengeluaran produk-produk tersebut sebanyak tiga kali ganda.

Bagi memastikan baja-baja yang dibekalkan kepada Perintis adalah dalam piawaian yang ditetapkan maka setiap pembekal akan dilatih oleh tenaga pakar dari Perintis sendiri.

Selain dari itu bagi memenuhi syarat sebagai pembekal, modal minimum dikenakan bagi memasuki kontrak jaminan belian balik vermikompos tersebut yang merangkumi modal untuk ternakan, makanan dan perubatan ternakan.

Menurut Pengurus Projek AgroHub, Norzana Rafie, Fasa I projek ternakan cacing telah berjaya dibentuk di sekitar Selangor dan kini projek ini telah memasuki fasa ke II untuk ke seluruh negara.

”Di bawah projek ternakan cacing ini, pembekal akan dilatih dan diberi tunjuk ajar secara percuma sebelum membuat ternakan sendiri,” katanya.

Satu kaedah penternakan cara mudah dan jimat akan diperkenalkan di samping teknik penjagaan terkini dengan bantuan produk bioteknologi iaitu Bio-Ternak.

Sebanyak 5 kilogram induk cacing beserta makanan akan diberikan kepada pembekal dilantik untuk diternak dengan menggunakan kaedah ternakan yang telah ditetapkan oleh Perintis sebelum menjual semula baja vermikompos yang dihasilkan kepada pihak syarikat.

Tambah beliau lagi, penggunaan Bio-Ternak bukan sahaja dapat membantu menguraikan sumber makanan cacing dengan lebih cepat malah dapat memberikan selera makan yang tinggi kepada cacing.

Bukan setakat itu sahaja, cacing yang diternak menggunakan Bio-Ternak juga lebih sihat, cepat membesar dan berkualiti tinggi.

Baja yang terhasil juga terbukti lebih bernutrisi tinggi berbanding baja cacing yang dihasilkan menggunakan teknik biasa”.

Keluaran

Mempelbagaikan penggunaan baja cacing untuk produk keluaran sendiri menjadi kunci utama kejayaan Perintis.

Dalam erti kata yang lain, Perintis tidak terlalu bergantung kepada pasaran terbuka sebaliknya lebih tertumpu kepada memasarkan produk-produk penggalak pertanian berasaskan cacing.

Kini satu rundingan telah pun dibuat dengan wakil-wakil dari Thailand dan Indonesia untuk memasarkan produk-produk tersebut ke negara-negara di rantau Asia.

Satu siri promosi telah dirangka dengan kerjasama jabatan perikanan dan jabatan pertanian bagi memperkenalkan produk-produk tersebut ke dunia luar.

Apa yang diharapkan adalah usaha sama yang terjalin di antara pihak Perintis ini dapat memberi menafaat kepada peserta-peserta yang baru menceburi industri ternakan cacing ini sekali gus menjadi jalan alternatif dalam menjana pendapatan sampingan sebelum menceburi industri ini secara komersial.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net atau di pejabat urusan di Bussiness Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

RM8 juta ternak ikan sangkar

wu_011

MUSTAPA (kanan) melihat proses memindah benih ikan menggunakan mesin khas milik Syarikat Trapia di Tasik Temengor, Gerik, Perak baru-baru ini. – UTUSAN/NORSHARUDDIN SAPIAN


GERIK 18 Mac – Syarikat GenoMar melalui anak syarikatnya, Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (TMSB) melabur sebanyak RM8 juta bagi menjalankan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar terbesar di Malaysia, di perairan Tasik Temengor, Gerik, Perak.

Presiden TMSB, Morten Hoyum berkata, projek itu ialah menternak ikan tilapia spesies GenoMar Supreme (GST) yang diperkenalkan oleh syarikat induk, GenoMar AS (GenoMar) dari Norway.

Menurutnya, syarikat berkenaan sebelum ini telah menjalankan penyelidikan dan percubaan untuk menternak anak ikan tilapia GST di beberapa lokasi termasuk di Thailand, Kedah, Johor, Pahang, Terengganu dan Perak.

“Hasil penyelidikan dan percubaan yang dijalankan itu mendapati perairan Tasik Temengor sesuai untuk dijadikan tapak ternakan tilapia GST.

“Sehubungan itu, pada 14 Januari 2008 lalu, kita telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perikanan untuk menggunakan sebahagian Pusat Perikanan Darat Banding sebagai pusat pembenihan sementara.

“Satu lagi MoU ialah dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak untuk menjalankan projek akuakultur dan pemprosesan ikan tilapia yang turut ditandatangani pada 15 Februari 2008,” katanya.

Menurutnya, syarikat itu telah memulakan projek ternakan percubaan pada November 2007 di dalam 10 unit sangkar bersaiz 6 meter dan enam unit sangkar bersaiz 4 meter.

Katanya lagi, sehingga Disember 2008 lalu, projek percubaan itu telah menghasilkan sebanyak 66 metrik tan ikan tilapia yang dipasarkan ke sebuah pasar raya ternama dengan menggunakan jenama ‘Royal Tilapia‘.

Morten berkata, pihak syarikat juga sedang berunding dengan dua lagi pasar raya besar lain untuk meluaskan lagi pasaran produk berkenaan selepas modul pertama terdiri daripada 20 unit sangkar bulat dijangka siap pada bulan Jun atau Julai depan.

Katanya, buat masa ini, syarikat telah mendapat pengiktirafan daripada pasar raya ternama itu dan menjadi pembekal dengan kapasiti pengeluaran hingga 1.5 tan metrik seminggu.

“Pelaburan syarikat kami juga akan mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan penduduk setempat.

“Sebanyak 50 peratus pengeluaran ikan tilapia akan dijalankan secara ‘ternakan kontrak’ sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan,” katanya.

Menurutnya, menerusi konsep ‘ternakan kontrak’ itu, pihak syarikat akan melantik penternak secara kontrak untuk menternak ikan tilapia mengikut kaedah ternakan yang ditetapkan syarikat.

Jelas beliau, sebelum itu, penternak akan diberi latihan dan pengetahuan dari aspek ternakan dan membeli semula semua hasil pada harga yang sesuai untuk tempoh yang dijanjikan.

Peluang jadi usahawan kreatif

MELAKA 18 Mac – Bagi yang berminat berniaga dan menjadi usahawan kreatif, anda berpeluang merealisasikan hasrat itu dengan menyertai pelbagai program perniagaan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Menurut kenyataan PKNM, pihaknya akan menganjurkan program Pembangunan Usahawan Tekno Kreatif (C-Tap) pada 2 April ini mengikut tiga program berasingan menerusi program kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Ia terbahagi kepada tiga fasa iaitu yang pertama ialah program seminar bertajuk ‘Akademi Usahawan Tekno Kreatif’ pada 2 April ini di Hotel Renaisance, Bandar Hilir, bermula pukul 8.30 pagi.

Antara kandungan program sempena seminar tersebut ialah pendedahan kepada peserta mengenai program C-Tap, peluang perniagaan filem dan televisyen, animasi dan modul 3D, permainan interaktif, kandungan mobile, kandungan interaktif dan audio.

”Antara matlamat seminar ini ialah bagi memberi pendedahan dan maklumat mengenai peluang peniagaan dalam industri kandungan kreatif,” kata kenyataan itu.

Selain itu, menerusi program fasa dua pula ialah mengenai penganjuran bengkel pembangunan usahawan kandungan kreatif yang akan diadakan selama lima hari bermula 29 April ini.

Melalui bengkel tersebut, peserta berpeluang mempelajari mengenai kaedah kerja dalam industri tekno kreatif bermula peringkat asas pengeluaran dan kefahaman dalam bidang keusahawanan seperti cara kemahiran berkomunikasi.

Tiga fasa mengandungi program inkubasi C-Tab dimana peserta yang berjaya mencapai matlamat pada peringkat fasa dua akan diambil sebagai anak didik oleh mentor yang dilantik dari kalangan syarikat usahawan industri kreatif yang berjaya pada masa ini.

Anak didik ini akan didedahkan mengenai teknik kemahiran keusahawanan tekno yang berkesan selain digarapkan teknik baru oleh mentor masing-masing.

Mereka yang berminat menyertai program usahawan kreatif ini boleh mendapatkan borang penyertaan yang disediakan di pejabat Pembangunan Usahawan PKNM, Aras 6, Menara MITC, Ayer Keroh, sebelum 2 April ini.

Maklumat lanjut mengenai program yang disediakan boleh diperolehi melalui urusetia dengan menghubungi Nozarah Mohd. Ali pada talian 06-2326833 atau Rashidi Arash Abdul Rashid di talian 06-2326820.