Walaupun memiliki kelulusan tinggi daripada beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini, A. Fadzil Zainun, 30, serta tiga rakan kongsinya tidak berasa kekok mengusahakan ternakan udang galah di Kampung Ulu Bendul dekat sini.
Dengan modal permulaan sebanyak RM50,000, A. Fadzil serta Azlan Azmin, 30, Syaiful Nazwan Izati, 27 serta Mohd. Radzi Yusoff, 27, menubuhkan TrueAqua Enterprise pada Oktober 2007 bagi menguruskan tiga kolam ternakan udang galah.
Kini, perniagaan TrueAqua Enterprise semakin berkembang dan udang galah yang diternak di 17 kolam milik syarikat itu dipasarkan di sekitar negeri ini, Perak serta Johor.
Menurut A. Fadzil, dia serta tiga rakan kongsi yang lain nekad meninggalkan pekerjaan masing-masing di sektor swasta kerana yakin dengan potensi bidang penternakan udang galah air tawar untuk menjana pulangan lumayan.
Lulusan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan (Universiti Putra Malaysia) serta Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Universiti Tenaga Nasional) ini berkata, dia pernah bertugas selama lima tahun sebagai jurutera di sebuah syarikat automotif terkemuka di negara ini sebelum berkecimpung dalam bidang penternakan udang galah.
‘‘Walaupun ada ketikanya terpaksa berhujan dan berpanas, saya serta rakan-rakan kongsi yang lain beroleh kepuasan setiap kali masa menuai udang galah tiba,’’ ujarnya.
A. Fadzil berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan kerja oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat ke kolam ternakan udang galah milik syarikatnya di Kampung Ulu Bendul dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abd. Samad Ibrahim; Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zabidi Dun.
Katanya, sehingga kini, kolam-kolam milik TrueAqua Enterprise telah mengeluarkan kira-kira empat tan metrik udang galah.
‘‘Kami turut menganjurkan kursus ternakan udang galah dengan kadar bayaran RM200 setiap peserta. Maklumat lanjut tentang kursus berkenaan serta TrueAqua Enterprise disiarkan di laman blog http://www. freshwaterprawn.blogspot.com,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui, Yunus berkata, TrueAqua Enterprise menerima bantuan sebanyak RM30,000 daripada Jabatan Perikanan negeri pada tahun lalu.
‘‘Peruntukan berkenaan dibelanjakan untuk kerja pembersihan parit buangan, pembelian peralatan, penyelenggaraan, makanan serta benih udang sebanyak 150,000 ekor.
‘‘Di samping itu, TrueAqua Enterprise turut menerima khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan negeri,” jelasnya.
sy nak tya udang yg di hantar hidup atau mati?selain perak dan johor ada tak hantar ke kedah?andai ada udang hidup utk kolam pancing dilira macam mana?
sorry mencelah..encik saiful nazwan izati tu dulu sekolah rendah sek 19 shah alam ke…kalau bukan sorry…