Dulu ustaz, kini penternak

wj_0111

SEBAHAGIAN daripada kambing pedaging yang diternak Salleh Dahlan di Kampung Paya, Kluang, Johor.


KLUANG 11 Mac – Penyertaan kaum bumiputera dalam projek pertanian bersepadu berskala kecil kini tumbuh seperti cendawan selepas hujan setelah pelbagai program dan galakan diperkenalkan oleh kerajaan kepada rakyat.

Projek tersebut jika diusahakan secara bersungguh-sungguh bukan sahaja membantu meningkatkan pengeluaran makanan tetapi mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Tidak ketinggalan menyertai projek itu ialah bekas guru agama, Salleh Dahlan, 58, anak jati Kampung Paya, Kluang, yang bersara dua tahun lalu.

Walaupun tidak begitu berpengalaman, namun atas dorongan keluarga dan rakan-rakannya beliau memberanikan diri menternak kambing pedaging dan ikan keli di tanah miliknya seluas hampir satu hektar di kampung tersebut.

Selain itu, beliau juga sedang berusaha untuk menternak burung puyuh dan menanam cili merah serta serai di tapak tersebut.

”Insya-Allah projek ini akan memberikan pulangannya tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Salleh berkata, beliau memulakan ternakan kambing secara kecil-kecilan bermula dengan lapan ekor setahun sebelum bersara sebagai persediaan awal dan mencari pengalaman.

Menurutnya, sebaik sahaja bersara, beliau mengembangkan ternakan itu sehingga 42 ekor termasuk 21 ekor yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menerusi Projek Pintar dan beberapa ekor lagi daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

”Kini jumlah kambing melebihi 80 ekor jenis kacukan dengan 17 ibu,” katanya.

Beliau berkata, beberapa ekor daripada kambing itu pula telah ditempah untuk dibeli oleh pelanggannya.

Salleh yang dibantu oleh dua pekerja sambilan berkata, setakat ini kambingnya tidak menghadapi masalah kesihatan kerana pemeliharaannya mengikut kaedah yang ditetapkan JPH.

”Anak-anak kambing juga cepat membesar dan cergas,” katanya.

Beliau memberi rumput napier, dedak dan kulit jagung sebagai makanan ternakan kerana ia mudah diperoleh.

”Kambing-kambing ini hanya akan dikeluarkan dari kandang ketika panas untuk mengelakkan diserang cacing,” katanya.

Mengenai projek ternakan ikan keli, beliau berkata, projek itu bermula seminggu lalu membabitkan 1,000 ekor yang dipelihara di dalam kanvas.

”Ikan ini boleh mendatangkan pulangan dalam masa kira-kira dua bulan,” katanya.

Menurutnya, beliau mendapat khidmat nasihat dan bimbingan menternak ikan keli daripada Jabatan Perikanan Kluang.

Beliau berkata, sebanyak RM50,000 telah dibelanjakan untuk menjayakan projek pertanian bersepadu berskala kecil itu termasuk pembinaan kandang dan pemasangan pagar duri di sekeliling tapak.

Membentuk usahawan berjaya

wb_011

PARA peserta menerima sijil penghargaan selepas tamat Seminar Asas Keusahawanan di Kuching, baru-baru ini. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN


KUCHING 11 Mac – Dalam melahirkan usahawan, usia bukan menjadi faktor penentu untuk berjaya tetapi perlu disemai di peringkat awal lagi.

Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ supaya usahawan yang dibentuk itu kelak benar-benar mampu menghadapi cabaran-cabaran perniagaan yang kini bersifat globalisasi.

Disebabkan itu, program keusahawanan bukan hanya bertumpu kepada satu kelompok atau kumpulan sahaja tetapi perlu disertai oleh mereka yang berada di peringkat remaja sehingga ke peringkat dewasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi memberitahu, apa yang diperlukan oleh masyarakat sekarang adalah transformasi diri untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Katanya, dalam merealisasikannya, masyarakat dituntut untuk memiliki keistimewaan kedua atau kemahiran tambahan dalam menjadi usahawan selain daripada pekerjaan yang sedia ada sebagai petani atau nelayan serta sebagainya.

”Tidak kira seseorang itu petani atau nelayan bahkan golongan profesional sekalipun, mereka perlu mempunyai kemahiran tambahan iaitu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

”Dengan itu sahaja baru kita mampu memperbaiki kehidupan masing-masing dengan meningkatkan taraf ekonomi sendiri yang secara tidak langsung menaikkan taraf hidup keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Seminar Asas Keusahawanan Parlimen Santubong di salah sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini di sini baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, kerajaan sememangnya menggalakkan masyarakat terutamanya di luar bandar menjadi seorang usahawan dalam pelbagai bidang.

Katanya, disebabkan itu kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai ruang malah melantik agensi serta jabatan tertentu untuk membantu para usahawan ini seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Beliau berkata, apatah lagi ketika ini kerajaan sudah pasti mahu merancakkan aktiviti para usahawan agar ia dapat menjana ekonomi negara sekali gus menggalakkan lebih ramai di kalangan untuk menceburkan diri dalam bidang usahawan ini.

”Bagaimanapun, para usahawan yang melangkah jauh dalam bidang ini diingatkan tidak bertumpu kepada satu bidang sahaja tetapi mempelbagaikannya termasuk usahawan dalam sektor pelancongan.

”Di kawasan saya sendiri iaitu Pantai Damai mempunyai lokasi serta destinasi cantik yang boleh dieksploitasi untuk dimajukan dalam industri pelancongan seperti homestay umpamanya,” ujarnya.

Selain industri pelancongan, Abdul Rahman juga menggalakkan para usahawan terbabit dalam bidang lain seperti pertanian dan perikanan yang diusahakan secara moden,

Katanya, apa yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat kini adalah menggunakan pendekatan atau teknologi yang mampu memberi hasil lumayan.

”Apa yang mahu kita laksanakan adalah dengan menjadikan sektor pertanian dan perikanan tradisional kepada kaedah yang moden pada hari ini selain rancangan projek ikan air tawar segar, ternakan tiram dan industri kotej,” ujarnya.

Bertani ubah corak hidup

ws_011

tapak Semaian Untuk Taman Dapur di Palong 9, Jempol, Negeri Sembilan menjadi kebanggaan pemiliknya. Gambar kecil: Pekerja ladang memetik terung yang sudah matang untuk dijual. – utusan / MD. SHAHJEHAN MAAMIN


JEMPOL 11 Mac – Tidak ramai yang sanggup bermain lumpur, membajak dan bercucuk tanam kerana menganggap ia kerja yang tidak menarik, tiada masa hadapan dan tidak menguntungkan.

Bagaimanapun hari ini ramai yang sudah merasakan bahawa pertanian itu adalah satu perniagaan.

Ini kerana banyak peluang pertanian yang menjurus kepada hasil dan pendapatan lumayan telah dirangka oleh kerajaan bagi memastikan pengusahanya memperoleh pendapatan yang lebih baik.

Bekas pesara tentera, Osman Parman, 53 mengakui pertanian telah mengubah corak hidupnya dan melihat bahawa bidang tersebut mampu dikembangkan.

”Biarlah apa orang kata, bagi saya pertanian telah mengubah corak hidup lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dengan kaedah moden,” katanya di sini hari ini.

Osman menjalankan pertanian secara fertigasi dengan menanam cili kulai, labu, terung dan kobis di atas tanah seluas 0.4 hektar.

Fertigasi ialah kaedah penanaman melalui proses pembajaan dan pengairan yang dijalankan secara serentak bagi mendapat hasil tanaman yang lumayan.

”Memang sukar pada awalnya untuk mengusahakan tanaman seperti ini tetapi saya berpegang kepada konsep berbudi kepada tanah kerana saya yakin apa saja yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil.

”Saya mula mengusahakan tanaman pada bulan November tahun lalu dan kini kebanyakan sayuran yang ditanam telah pun memberikan hasil yang cukup memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata, hasil yang diusahakan itu juga dijual dengan harga borong yang jauh lebih murah dan berpatutan kepada pelanggan di kawasan sekitarnya.

”Saya menjual dengan harga yang murah. Mungkin jika anda membeli sayuran ini di kedai runcit, ia lebih mahal.

”Sekurang-kurangnya saya dapat membantu orang ramai mengurangkan kos perbelanjaan membeli barangan keperluan dapur,” jelasnya.

Osman juga melahirkan rasa gembira apabila menerima sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

”Semasa membeli sayur-sayuran ini, pembeli biasanya akan datang melawat kebun sayur. Mereka suka membeli sayur yang segar,” tambahnya.

Selain itu juga, seiring dengan perkembangan teknologi yang kian dirasai golongan petani moden menyebabkan Osman juga tidak melepaskan peluang untuk mengusahakan tanaman cili kulai melalui kaedah fertigasi dengan hasil yang diperoleh cukup memberangsangkan.

Tambahnya, kaedah seperti ini juga dilihat satu cara yang mudah selain dapat menjimatkan perbelanjaan termasuk kos operasi dan sebagainya.

”Saya juga mengambil kesempatan untuk menjual anak benih cili kulai kepada orang ramai untuk ditanam di kawasan rumah mereka.

”Ini bagi membolehkan orang ramai yang berminat untuk mengusahakan projek ‘taman dapur’ supaya keperluan memasak, khususnya sayur dapat dipetik di belakang rumah masing-masing,” tegasnya.

Osman juga memberitahu, beberapa anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga turut serta dalam membantunya bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan mengenai asas pertanian secara moden ini.

Usahawan akuakultur intai sinar kejayaan

ag_0112

Ternakan tilapia antara projek akuakultur yang dijalankan oleh Mohd. nazri Alaudin.


Memandangkan begitu ramai penternak yang mengusahakan ternakan ikan keli, Mohd. Nazri Alauddin, 30 mula mempelbagaikan projek ternakan ikan air akuakulturnya.

Aktiviti yang dijalankan oleh ayahnya sebelum ini, kini diwariskan kepadanya.

“Saya akan mendalami bidang akuakultur ini dan tidak akan menghampakan impian ayah,” kata Mohd. Nazri semasa ditemui di ladang ternakan ikannya di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang, Melaka.

Dia merupakan pengusaha projek ternakan ikan ketiga yang ditempatkan di sana selepas dua orang pengusaha tidak dapat menepati kriteria yang ditetapkan oleh syarikat subsidiari Jabatan Pertanian Melaka iaitu Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.

Mohd. Nazri merupakan peserta inkubator Jabatan Perikanan yang mengikuti pelbagai kursus anjuran jabatan berkenaan di Batu Berendam, Melaka selama tiga tahun.

“Saya mengikuti pelbagai jenis kursus selama tiga tahun termasuk pembenihan, penjagaan dan ternakan pelbagai ikan air tawar sehingga kepada membuat palet makanan ikan dan industri hiliran berkaitan ikan.

“Kursus berkenaan juga meliputi ikan puyu, keli, tilapia dan pelbagai ikan hiasan,” katanya yang merancang untuk mengeluarkan makanan ternakannya sendiri dalam sedikit masa lagi.

Ditanya mengapa bidang akuakultur menjadi pilihan, Mohd. Nazri berkata, akuakultur merupakan bidang yang luas dan meliputi bidang pembenihan, ternakan dan peralatan.

“Sebagai penternak kita boleh merancang dan membangunkan arah perniagaan mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.

Mohd. Nazri yang mempunyai lapan orang pekerja memberitahu beliau tidak menghadapi masalah pasaran malah tidak cukup memenuhi permintaan.

Bagaimanapun dia berupaya mengeluarkan sehingga lima tan ikan tilapia sebulan, dan hanya 300 kilogram (kg) ikan puyu sebulan kerana tempat yang terhad.

Bercerita mengenai penternakan ikan, Nazri berkata, ikan tilapia biasanya menjalankan persenyawaan secara semula jadi.

“Ikan betina akan bertelur dan yang jantan akan mensenyawakan telur berkenaan lalu dieram oleh betina di dalam mulut.

“Bagi meningkatkan kadar anak ikan yang hidup, teknik aruhan anak benih ikan digunakan bagi memberikan persekitaran yang seakan-akan sama dengan mulut induk,” katanya.

Dalam masa tiga hari, anak ikan akan memakan kuning telur sebelum diberikan hormon untuk membesar sebagai ikan jantan.

Ikan tilapia jantan lebih cepat membesar berbanding ikan betina dan ini membolehkan ikan dipasarkan dalam masa empat hingga lima bulan.

“Hanya ikan tilapia jantan saja diternak untuk pasaran, manakala betina dipelihara untuk dijadikan induk,” katanya.

Bagi satu tangki berkapasiti tiga tan air, ia boleh memuatkan sehingga 3,000 anak benih ikan keli pada satu-satu masa.

Sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti, Nazri menggunakan teknik mikroorganisme berkesan (EM) bagi mengurangkan bau busuk daripada tangki-tangki ikannya dan menyalurkan sisa air ternakan ikan ke petak tanaman sayur.

“Saya merancang untuk menanam sayur menggunakan sisa air ternakan ikan sebagai baja dan ini boleh digunakan sebagai model bagi penternak ikan lain,” katanya.

Bagi memastikan ternakan ikan mencapai saiz dan berat yang dikehendaki, penggredan perlu dilakukan setiap dua minggu.

Bagi mengatasi masalah lambakan ikan keli pula, Mohd Nazri menjalankan perusahaan industri hiliran bagi produk perikanan seperti serunding dan ikan salai.

Manakala ikan puyu pula hanya perlu disuntik hormon mengikut berat badan bagi menggalakkan pengeluaran telur.

Bagi ikan puyu, telur biasa ditetaskan sama ada di dalam kolam tanah dan tangki gentian kaca.

Mempunyai kolam tanah, sangkar dalam tasik, kanvas, kolam simen dan kolam gentian kaca membolehkan beliau menghasilkan sehingga 200,000 benih keli, 70,000 hingga 80,000 tilapia dan 40,000 puyu.

Menyentuh mengenai pasaran, Mohd Nazri berkata, permintaan adalah melebihi pasaran dan beliau dalam perancangan membuka pusat pengumpulan atau hab bagi ikan air tawar di Jabatan Perikanan, Batu Berendam.

“Dengan pembukaan pusat berkenaan bukan saja boleh membantu pembeli mendapatkan ikan segar dan produk hiliran tetapi peralatan berkenaan ternakan ikan serta khidmat nasihat.

“Selain itu penternak juga boleh menjual produk mereka sama ada benih ikan, ikan segar atau produk hiliran berasaskan ikan di sini,” katanya.

Mohd. Nazri berkata, ini dapat mengatasi masalah pasaran yang dihadapi oleh penternak kecil-kecilan.

Merealisasikan saranan kerajaan pertanian adalah perniagaan, beliau juga merancang untuk membuka restoran ikan air tawar bagi mendidik dan mendedahkan orang ramai dengan ikan air tawar.