Adakah tanaman GE selamat untuk serangga?

Kumpulan saintis dan kakitangan Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Amerika Syarikat (AS) telah banyak menjalankan kajian bagi memastikan sama ada tanaman diubah secara genetik (GE) memberikan kesan ke atas ekosistem persekitaran.

Sehingga kini hasil menunjukkan hanya terdapat sedikit risiko yang berkaitan dengan tanaman berkenaan.

Bagaimanapun pendekatan terkini bagi menilai risiko tanaman GE yang ditanam dan digunakan di seluruh dunia masih diperlukan.

Justeru bimbingan amat diperlukan dalam membangunkan kaedah untuk menentukan sama ada tanaman GE sesuai bagi pengeluaran dalam sistem pertanian.

Seramai 20 orang saintis telah mula membangunkan pendekatan saintifik bagi menilai potensi risiko tanaman GE.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada tenaga pakar dari ARS, Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tanaman AS, Pejabat Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS, Program Pestisid Pejabat Agensi Perlindungan Alam Sekitar dan agensi swasta.

Ahli entomologi ARS, Rick Hellmich yang bekerja di Unit Penyelidikan Tanaman Genetik dan Serangga bagi tanaman jagung di Ames, Iowa merupakan sebahagian daripada kumpulan berkenaan.

“Kami mahu membangunkan pendekatan asas sains bagi mengkaji sama ada tanaman GE boleh membahayakan serangga berfaedah seperti kumbang, kupu-kupu, rama-rama atau labah-labah,” katanya.

Beliau menegaskan, apabila isu mengenai keselamatan GE diberi penekanan, ia membentuk satu bidang baru dalam dunia sains.

Sebelum ini tiada garis panduan mengenainya pernah dibincangkan.

Dengan mengguna pakai protokol sedia ada untuk menilai racun serangga mikrobial, saintis berjaya membangunkan jagung Bt yang tidak membahayakan kupu-kupu monarch.

Hellmich percaya hasil kajian daripada projek berkenaan amat bermakna untuk penyelidik seluruh dunia.

Pendekatan yang bersepadu dalam menilai tanaman GE membolehkan saintis membangunkan kaedah berasaskan sains.

Ini akan membantu menyelaraskan keperluan penguatkuasaan antara negara yang berlainan di seluruh dunia.

Kumpulan berkenaan akan membangunkan formula dalam rangka kerja sama seperti yang telah digunakan dalam mengawal sains toksikologi dan alam sekitar seluruh dunia.

Ini termasuk penekanan dalam merumuskan dan menguji hipotesis mengenai risiko, memaksimumkan kegunaan data yang ada dan menggunakan garis panduan bagi setiap peringkat ujian.

Utusan anjur bengkel fertigasi dan ternakan ikan air tawar

ag_031

PENGENDALI bengkel, Dr. Mahamud Shahid memberikan penerangan kepada peserta yang mengikuti Bengkel Usahawan Fertigasi MEGA-Utusan Malaysia, baru-baru ini.


SETELAH berjaya menganjurkan dua siri Bengkel Usahawan Fertigasi MEGA-Utusan Malaysia bersama AgroBank dan May Consult yang mendapat sambutan mengalakkan, penganjur bersetuju untuk mengadakan dua siri lagi Usahawan Fertigasi pada bulan ini.

Bagi mereka yang berminat, penganjur telah menetapkan dua tarikh iaitu pada 13 hingga 15 Mac 2009 untuk bengkel fertigasi siri ketiga, manakala 27 hingga 29 Mac 2009 untuk bengkel siri keempat.

Bengkel yang diadakan selama tiga hari dua malam mendedahkan peserta kepada pengenalan fertigasi, motivasi, pengurusan dan penjagaan penanaman pertanian berasaskan moden itu.

Selain itu, para peserta juga akan diperkenalkan dengan asas kewangan untuk melahirkan usahawan tani yang berjaya.

Bengkel teori akan diadakan di Pusat Latihan Agrobank, Bangi manakala latihan amali diadakan di Kampong Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan.

Bayaran sebanyak RM150 dikenakan kepada para peserta meliputi penginapan, makan minum, pengangkutan dan latihan amali.

Selain Bengkel Fertigasi yang diadakan bulan Mac, penganjur turut mengadakan Bengkel Usahawan Kolam Air Tawar (Ikan Puyu dan Talapia) pada 20 hingga 22 Mac 2009 bertempat di Kompleks Teknologi Pertanian, Jabatan Pertanian, Sungai Udang, Melaka.

Orang ramai yang ingin menyertai bengkel ini dikehendaki menghantar butir-butir peribadi seperti nama, alamat rumah, nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit dan sedikit maklumat peribadi mengenai pengalaman dalam pertanian.

Butir peribadi berkenaan hendaklah dihantar ke Urusetia Bengkel Usahawan MEGA-Utusan-AgroBank, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kompleks Sri Utusan, Lot 6, Jalan P/10, Kawasan Perusahaan Bangi, Seksyen 10, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan atau faks ke talian 03-89243911.

Peserta-peserta yang berjaya setelah melalui tapisan dari panel pemilihan akan dihubungi oleh urusetia dan surat tawaran akan dikeluarkan kepada peserta.

Sebarang maklumat mengenai bengkel itu boleh menghubungi urus setia di talian 012-2846811 (Rosli).

Hasil cili lumayan

Walaupun pernah gagal mengusahakan tanaman cili merah sebelum ini, Abd. Latif Mohd. Yusof, 48, tidak pernah kenal erti putus asa.

Sebelum ini, tanaman cili yang diusahakan di Paya Kangsar, Jerantut, Pahang diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan cili yang tidak dihasilkan tidak bermutu dan terpaksa dimusnahkan.

Biarpun gagal buat kali pertama, Abd. Latif tetap dengan usaha terus mengusahakan ladang cili kulai merah di tanah seluas lima ekar secara sambilan di Kampung Perian, Jerantut, Pahang.

Beliau yang membeli benih cili merah kulai di sekitar Jerantut mengusahakan ladang cili buat kali kedua memilih tanaman ini kerana harga cili yang tinggi dan permintaan yang semakin meningkat.

Walaupun baru enam bulan ditanam, cili merah yang ditanam telah mula mengeluarkan hasil kira-kira 500 kilogram cili sehari.

Beliau memasarkan cili merahnya kepada pemborong yang datang dari pasar Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

Bekerja sepenuh masa sebagai pemborong getah, Abd Latif berkata, tanaman cili merah memerlukan penjagaan yang rumit.

Katanya, tanaman cili merah amat terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat hama, kulat, virus dan serangan pelbagai jenis serangga perosak.

“Sejak mula ditanam sehingga berbuah selepas empat bulan, pokok cili merah memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekitar RM40,000 sehingga mengeluarkan hasil,” katanya semasa ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pokok cili memerlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi dengan semburan racun serangga dilakukan setiap tiga hari.

Beliau yang mempunyai enam pekerja, menjalankan tugas pembajaan setiap minggu selain penyiraman setiap petang.

Ketika ditanya mengapa tidak mempelbagaikan tanaman dengan cili padi, Abd Latif berkata, cili padi memerlukan tenaga pekerja yang lebih banyak untuk tugas-tugas memetik cili.

“Walaupun harga cili padi lebih tinggi tetapi masa memetik cili lebih lama berbanding cili merah,” katanya.

Beliau berhasrat untuk membesarkan lagi keluasan ladang cili merahnya kerana mengeluarkan hasil dalam tempoh lebih lama.

Pokok cili, kata Abd Latif, boleh mengeluarkan hasil sehingga setahun sebelum ditanam semula.

“Selepas ini, saya akan tetap terus menanam cili merah sehingga saya boleh dikatakan penanam cili merah yang berjaya di daerah Jerantut, Pahang.

“Saya akan berusaha mengawal semua jenis penyakit dan serangga yang menyerang pokok cili merah,” katanya.

Sangkar ikan air tawar lubuk duit

ag_011

ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan dibela ketika beratnya mencapai antara 500 dan 700 gram.


Menyusuri Sungai Pahang di daerah Jerantut, Pahang, tentu mata tidak lepas memandang sangkar-sangkar ikan air tawar yang meriah menghiasi tebing sungai.

Industri ikan sangkar sebenarnya memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika mereka mengusahakannya secara bersungguh-sungguh.

Antara penternak ikan air tawar yang berjaya di daerah Jerantut, Isharum Bujang, 47, yang telah melibatkan diri dalam industri ternakan ikan sangkar seperti patin dan tilapia sejak 10 tahun lalu.

Bermula dengan modal RM10,000, bekas tentera ini membina dua buah sangkar berukuran 10 kaki x 12 kaki x 5 kaki bagi ikan patin dan tilapia dengan bekalan benih diambil daripada pembekal di Rawang, Selangor.

“Biarpun nampak remeh tetapi sebuah sangkar ikan menelan kos antara RM3,500 hingga RM4,000 bergantung kepada mutu dan upah menarik sangkar ke sungai dan tidak termasuk kos anak benih.

“Harga anak benih ikan patin bersaiz empat inci berharga antara 50 hingga 70 sen seekor berbanding ikan tilapia 40 hingga 50 sen pada saiz yang sama,” katanya yang tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau geran daripada agensi kerajaan atau swasta.

Terdapat 80 sangkar ikan yang dipunyai oleh lima individu berlainan diletakkan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut.

Isharum berkata, ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan ketika beratnya antara 500 hingga 700 gram.

“Permintaan ikan dengan berat lebih kurang 600 gram amat menggalakkan,” katanya.

Biasanya satu sangkar yang menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 ekor benih ikan boleh mengeluarkan sehingga satu tan ikan bagi satu musim.

“Bagaimanapun bukan semua benih ikan yang dilepaskan akan hidup dan membesar kerana sebahagiannya akan mati,” jelas beliau.

Mengenai pasaran, Isharum berkata, permintaan ikan patin dan tilapia sangkar amat menggalakkan terutama di pasar tani, pemborong dan pasar besar Jerantut.

Satu kilogram ikan patin dan tilapia biasanya dijual secara runcit dengan harga RM13 hingga RM14 sekilogram.

“Setakat ini kami tidak dapat memasarkan hasil ikan ke kawasan lain di Pahang kerana hasil yang dikeluarkan masih belum mencukupi,” kata Isharum yang berasal dari Jerantut.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan air tawar, Zanuari Abd. Halim, 42, mula menternak dengan empat sangkar ikan.

Anak jati Jerantut yang menternak ikan patin, tilapia dan beberapa jenis ikan air tawar lain mengakui permintaan yang diterima melebihi bekalan.

“Kami tidak dapat mengeluarkan ikan dengan banyak kerana kami menghadapi masalah dengan bekalan benih dan harga makanan ikan yang semakin mahal.

“Benih ikan yang dibeli kadang-kala kurang berkualiti walaupun dibeli di tempat yang sama dan benih yang kurang bermutu akan menyebabkan ikan lambat membesar untuk dipasarkan,” katanya berusaha mencari benih ikan yang berkualiti.

Kata Zanuari, selain itu ikan sangkar juga sering terdedah kepada risiko kematian akibat cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat, banjir kilat serta masalah berkaitan dengan pencemaran air.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan sangkar, Mohamad Zuhran Mat Ali, 36, pula menjadikan ternakan ikan sangkar sebagai pendapatan sampingan sejak enam tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai kontraktor telekomunikasi kini mempunyai 30 buah sangkar berkata, harga makanan ikan yang semakin meningkat menjadikan penternak semakin tersepit.

“Biasanya bagi satu pusingan ternakan ikan sangkar memerlukan RM3,000 bagi satu sangkar bagi satu musim,” katanya yang bermula hanya dengan sebuah sangkar ikan patin.

Zuhran berkata, bagi satu pusingan ternakan ikan memerlukan kos makanan sehingga RM3,000 dalam bentuk palet bagi tiga peringkat dalam proses pembesaran anak ikan sehingga dewasa.